Video Klip Pilihan

Friday, November 23, 2007

.:: Rahmati Dan Peliharalah 'Dia' Ya Allah!! ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Semenjak berita bondaku ditimpa musibah gangguan makhluk Allah yang tidak dijemput itu fikiran ku sentiasa menerawang terkenangkan bagaimanakah keadaan bondaku setiap saat. Bagaimanakah keadaannya tika ini? Mampukah bondaku melawan dan menangkis gangguan yang datang menganggu setelah hampir sebulan lebih. Seketika aku menerima berita tersebut 2 hari lepas aku langsung terpana membayangkan apakah penyakit yang menimpa bondaku sehingga kakakku di dalam pesanan ringkas yang dihantarnya memberitahu supaya mendoakan kesejahteraan bonda di Malaysia. Fikiranku jadi tidak menentu memikirkan apakah yang telah menimpa bondaku. Segala yang kulakukan tidak keruan selagi mana aku tidak mengetahui berita sebenar yang terjadi.

Lantas aku mendapatkan sesiapa dikalangan sahabatku yang menjalankan perniagaan panggilan luar negara melalui internet dan menghubungi bondaku. Setelah beberapa kali nombor telah ku dail alhamdulillah akhirnya berjaya juga aku menghubungi bondaku. Sayup kedengaran suara bondaku memanggil namaku. Sebak rasanya dada ini mendengar suara itu memanggil diri ini. Hati ini merintih ingin sebtiasa berada disamping bondaku menjaga dan memulihkan kembali semangat bondaku seperti dulu. Bonda yang ku kenal periang dan penuh dengan senyuman hilai tawa. Terasa ingin merembes ai mata ini apabila teringatkan bondaku yang menderita gangguan tersebut.

Setelah bertanyakan keadaan bondaku dalam lemah suaranya memberitahu gangguan yang hadir bila tibanya malam. Menjelang Maghrib secara tiba-tiba sejuklah seluruh anggota badan sehingga ke Subuh tidak mampu untuk bondaku melelapkan matanya. Mengapakah masih ada manusia yang berhasad dengki dengan kebahagiaan orang lain sehingga tega melakukan amalan mensyirikkan Allah semata-mata tidak ingin melihat kebahagiaan orang lain setelah kebahagian yang diimpi-impikan tidak dikecapi. Setakat apa yang ku ketahui arwah isteri pertama ayah tiriku ini dahulu turut menerima nasib yang sama diganggu dengan makhluk Allah yang tidak dijemput sehinggalah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Nauzubillahi min zalik. Moga apa yang pernah menimpa kepadanya tidak akan berlaku kepada bondaku yang tersayang. Dialah yang banyak memberikan inspirasi untuk aku terus berjaya dalam memperjuangkan ISLAM di muka bumi ini.

Walau apapun, aku berharap semoga ENGKAU sentiasa melindungi dan memelihara bondaku dari sebarang gangguan yang tidak baik dari manusia yang berniat buruk kepada bondaku juga kepada seluruh anggota keluargaku. Janganlah ENGKAU menghampakan harapan dan permintaan hambamu ini. Akan tetapi sekiranya apa yang bakal berlaku itu telahpun tertulis hambamu ini hanya mampu berdoa, berharap dan bertawakal semoga yang bakal berlaku merupakan kesudahan yang baik dan terbaik untuk semua. Sebelum ini ENGKAU telah mengambil 'penyuntik semangatku' pergi tanpa sempat untukku menunjukkan kepadanya kejayaan anaknya ini menjejakkan kaki ke menara gading. Ku berharap ENGKAU mengizinkan 'sumber inspirasiku' ini sempat melihat kejayaan anaknya mengenggam segulung ijazah dan kembali ke pangkuannya dengan selamatnya. Begitu jugalah harapan semua anak-anak kepada ibu bapa dan keluarganya yang jauh di mata semoga sentiasa berada di bawah lembayung rahmat dan peliharaan Allah hendaknya.

Di kejauhan mata memandang hanya untaian doa dan utusan harapan kepada Rabbul Izzati agar dirimu diberikan kekuatan keimanan dan pautan kepada Allah yang utuh dengan melaksanakan solat-solat sunat Hajat, Tahajud disamping melazimi zikrullah supaya dengan amalan itu mampu membakar iblis dan jin laknatullah yang menganggu urusan peribadatan manusia dan kufur kepada Allah Azza Wajalla. Untaian doa dari kalian juga amatlah ku harapkan semoga sedikit sebanyak memberikan kekuatan kepada bondaku bertarung dan melawan tipu daya musuh-musuh yang hanya mampu dilihat dengan 'mata halus' sahaja. Terima kasih diatas segala motivasi dan suntikan semangat yang kalian semua berikan untukku lebih tabah menghadapi ujian di dalam perjuangan yang sentiasa menagih pengorbanan. Ku akur dan berserah segalanya kepadaNya.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: