بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera kepada semua pembaca yang dirahmati Allah sekalian. Semoga sentiasa berada di dalam lindungan dan rahmat Allah. Sinaran selawat dan salam ku suluhkan ke hadrat Rasulullah s.a.w atas segala penat lelah yang di usahakan selama ini sehingga kita memperolehi nikmat IMAN dan ISLAM yang hakiki tanpa sebarang tajdid yang perlu dilakukan kerana ISLAM itu sendiri memang sedia ada dengan ketamadunan dari segala aspek kehidupan. Menjurus kepada entri yang ingin ku kongsi bersama kalian semua sebagai mutiara ilmu yang sukar untuk diperolehi dan perlunya disampaikan untuk kesedaran umat ISLAM itu sendiri.
Ianya bermula tatkala menantikan giliran untukku menguruskan terjemahan pengesahan pengajian di kuliah bagi sesi ini untuk permohonan biasiswa zakat pada tahun ini. Seorang senior yang telah hampir 10 tahun bermastautin di bumi Mesir ini yang tidak jemu untuk berkongsi sebarang ilmu dan thaqafah yang memberikan input kepada manusia di sekelilingnya. Ustaz Rosni yang sekarang bekerja di bawah Kedutaan Besar Malaysia Di Mesir memang cukup dikenali dikalangan anak-anak Johor di Mesir sebelum beliau 'membina masjid'. Ketika mana beliau tinggal di Abdeen, Kaherah. Beliau juga sebelum menyambung pengajian di Perlembahan Nil, beliau pernah mengaji di Tanah Haram selama 3 tahun.
Beliau memberitahu kepada kami yang berada di pejabat memberitahu bahawa 2 perkara yang sedang berlaku di Malaysia amnya khususnya di Johor yang pertama banjir besar yang melanda dan yang kedua munculnya emas yang tidak disangka-sangka di pantai Mersing, Johor. Apa agaknya yang cuba disampaikan oleh beliau sebenarnya? Sedikit sebanyak memberikan tanda tanya kepada kami yang mendengarnya. Apa yang dapat ku bayangkan berdasarkan kefahaman dalil-dalil hadith Rasulullah yang menyatakan bahawa hari kiamat semakin hampir.
Dan baru-baru ini juga kita digemparkan dengan sebuah berita yang tersebar dinakalkan dari Ustaz Haron Din bahawa planet Marikh telah pun berputar dari arah yang bertentangan dari arah yang sebenar dan planet-planet yang berdekatan juga akan turut terkesan dengan perubahan tersebut. Berita ini diperolehi sumber dari NASA di Amerika Syarikat yang merahsiakan berita ini dari pengetahuan umum dan memberikan kelebihan terutamanya kepada umat ISLAM. Ini yang perlu diketahui lantas melahirkan kesedaran untuk membuat perubahan menyediakan bekal untuk ke sana.
Kalau dilihat kepada beberapa fenomena yang saya sebutkan sebentar tadi sebenarnya menunjukkan semakin hampirnya ajal dunia ini. Setiap yang bernyawa pasti merasai mati(Al-ayat). Maka dunia dan cakerawala ini juga akan menemui ajalnya. Bahkan dalam riwayat sebuah Hadith Nabawi meriwayatkan bahawa setiap hari bumi berdoa kepada Allah sebanyak 10,000 kali supaya disegerakan kiamat kerana tidak tahan dengan maksiat dan kerosakan yang berlaku di dunia. Apakah tidak timbul secebis keinsafan apabila terbaca apatah lagi terdengar mengenai ayat-ayat Allah dan Hadith Nabawi yang menerangkan mengenai peristiwa akhir zaman ini?
Sekiranya disingkap satu persatu tanda-tanda kiamat kecil sememangnya semuanya telah berlaku bahkan tanda-tanda kiamat besar hampir keseluruhannya menunjukkan tanda-tandanya yang sebenar. Anak yang menderhaka kepada kedua orang tua, bangunan pencakar langit yang melampaui ketinggian masjid yang sepatutnya lebih tinggi dari bangunan yang ada di sekelilingnya sepertimana yang berlaku di Tanah Haram, orang jahil bercakap tentang agama, munculnya emas yang menggunung dari permukaan laut, maksiat berleluasa dan dianggap seperti suatu yang biasa dan banyak lagi petanda kiamat yang besar yang gerund untuk disebutkan disini.
Sesungguhnya dunia ini sudah tua berusia jutaan tahun sehinggakan kita lihat pelbagai malapetaka yang semakin kerap berlaku di merata tempat di dunia ini. Apa tandanya itu? Sedarlah dan bersamalah kita kembali kepada Allah dengan mempersiapkan diri kita dengan bekalan yang sebanyak-banyaknya tanpa had waktu. Kerana saban hari kita rasakan dan perhatikan berlakunya kematian di sana sini terjadi pada sahabat kita, jiran kita, saudara mara kita bahkan pada ahli keluarga kita sendiri. Bagaimana pula dengan diri kita? Sesungguhnya mati itu pasti dan akan berlaku pada semua makhluk yang bernyawa di atas muka bumi ini tanpa mengira umur, masa dan tempat. Sekiranya Allah tentukan si pulan mati sekian maka terjadilah ia.
Apabila memikirkan segala apa yang berlaku dengan pelbagai fenomena yang meyentak hati sanubari, adakah terbit kesedaran berbaur keinsafan untuk melakukan perubahan menyelamatkan diri kita dari tergolong dikalangan orang-orang yang rugi atau mencampakkan diri kita ke sana? Sebuah lontaran soalan yang sangat berbisa kepada orang yang bergelar mukmin yang apabila membaca, melihat dan memerhatikan ayat-ayat Allah maka gentarlah hatinya dan bergenanglah airmatanya. Oleh yang sedemikian, bersamalah kita memperbanyakkan amalan semata-mata mengharapkan keredhaan Allah dan mendapat syurga Allah dengan rahmat Allah bukan dengan amalan kita kerana jika ditimbang amalan kita sememangnya tidak akan melayakkan kita berada di sana.
Allahumma Inna Nasa'lukal Jannah Wa Na'uzubika Minan Nar…
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
No comments:
Post a Comment