Video Klip Pilihan

Monday, April 16, 2007

.:: Buat Kesekian Kalinya ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Hubungan persahabatan dan ukhuwah sesama sahabat perlulah dijaga serta dielakkan dari perkara yang bisa meretakkan hubungan itu.

Assalamualaikum W.B.T, salam sejahtera buat kalian semua para sahabat sidang pembaca, ulama profesional juga tidak dilupa profesional ulama yang turut sama bangkit demi menegakkan syiar Islam. Kemantapan Islam semakin sirna dek penindasan dan tekanan yang bukan sahaja berpunca dari pihak musuh laknatullah yang memang telah nyata matlamat mereka bahkan dari musuh dalam selimut dikalangan umat Islam itu sendiri yang munafik, fasik dan mungkin sampai ke peringkat kafir. Nauzubillah. Kesyukuran yang tidak terhingga dipanjatkan setinggi-tingginya ke hadrat Allah S.W.T Tuhan Maha Perkasa diatas nikmat kurniaan yang tidak terhingga kepada kita setakat ini. Juga tidak dilupa jutaan selawat dan salam diutuskan buat Junjungan Besar S.A.W atas setiap suntikan dakwah yang telah disampaikan sehinggalah sampai pada kita la ni.

Kian lama juga jari jemari ini menyepi dari mencampakkan sebarang sebarang isu dan ilmiah yang bisa menambah thaqafah kita bersama. Jutaan kemaafan buat kalian semua atas ketidak berkesempatan diri ini untuk menyampaikan sebarang maklumat yang penting untuk makluman kita bersama. Apapun untuk artikel hari ini sekadar ingin berkongsi bersama kalian semua sambil-sambil kita menyedari bahawa 'exam around the corner' sebagai peringatan dan tindakan lanjut untuk mencapai kelulusan yang lebih memberangsangkan pada kali ini berbanding sebelum ini. Namun diri ini masih terus leka dibuai dengan lenaan nafsu dan kemahuannya yang membantutkan semangat untuk lebih bersungguh-sungguh dalam study smart agar akal ini dapat memahami setiap potong kalimah ilmu yang terdapat di dalam naskhah barakah itu. Teringat kembali satu kalam yang sering bermain di bibir dalam mengingatkan sahabat-sahabat akan tetapi diri ini masih seperti dulu.

Telah berkata Saidina Ali Karamallu Wajhahu (Dimuliakan Allah wajahnya kerana tidak pernah sepanjang hidupnya menyembah berhala selain Allah ) semoga Allah meredhainya dalam kata-kata hikmahnya :

"Seandainya hari ini bagimu lebih baik dari semalam, maka BERUNTUNGLAH. Seandainya masih sama seperti semalam, maka SIA-SIALAH. Seandainya lebih teruk dari semalam, maka CELAKALAH ke atasmu".

Dimanakah kedudukan dan posisi kita semua sekarang ini? Walaupun ini bukanlah lafaz yang keluar dari mulut Rasulullah S.A.W akan tetapi selaku salah seorang Khulafa Ar-Rasyidin yang sememangnya tinggi ilmu beliau bahkan disebut oleh Rasulullah S.A.W sendiri dalam satu hadith mafhumnya : "Aku adalah pintu segala ilmu, jika kamu ingin membuka pintu ini hendaklah kamu mempunyai kuncinya, maka pada Ali terdapat kunci itu". berdasarkan mafhum dari hadith tersebut dapat kita simpulkan bahawa pada Saidina Ali itu terdapat ketinggian ilmu yang luas kerana beliau sentiasa mendampingi Rasulullah S.A.W sehinggakan diumpamakan sedemikian rupa. Bagaimana dengan kita pula sahabatku sekalian? Fikir-fikirkanlah sedalam mana dan setakat mana pula kedudukan penguasaan ilmu kita untuk berhadapan dengan masyararakat yang penuh dengan polemik dan tribulasinya.

Bukanlah diri ini layak dalam membicarakan dan melontarkan sebarang pandangan dalam situasi kecemasan ini kerana diri ini masih dalam peringkat mendalami, mengkaji dan mengeksploitasi sebanyak mana ilmu Allah yang ada di bumi Anbia' ini untuk diluahkan kepada masyarakat kelak. Apa yang pasti, kita perlu rasa bahawa diri kita merupakan dai'e, pengubah umat dari kegelapan kepada cahaya ketenangan dan kebenaran sebagaimana yang digagaskan oleh para Anbia', sahabat, tabi' tabi'in sehinggalah sampai pada kita. Kesedaran inilah yang perlu dipupuk sedari awal sebelum akal dan nafsu berada di luar kawalan neraca Iman. Bersama kita berusaha lagi dan lagi demi mencapai target tertinggi dalam pencapaian semasa dalam masa yang sama tanpa melupakan peranan kita selaku seorang mukmin yang menginginkan sahabat-sahabatnya yang lain mengecapi kejayaan yang bakal ditempa kelak.

Ku tinggalkan kalian semua dengan sepotong Hadith yang menjadi genggaman erat tangan ini agar tidak mementingkan periuk nasi sendiri sahaja agar kita tidak meninggalkan sahabat-sahabat kita yang lain terkapai-kapai mencari cahaya kefahaman dalam pengajian mereka. Ingatilah dan eratilah ia bersama.


... إن الله فى عون العبد ما دام العبد فى عون أخيه ...

( أو كما قال النبى صلى الله عليه وسلم )

Mafhumnya : ..... Sesungguhnya Allah S.W.T akan sentiasa bersama membantu seseorang hamba itu selama mana hamba itu sentiasa membantu saudaranya.....


Bersama iringi dalam setiap doa dan solat agar kejayaan yang bakal dikecapi akan digenggam bersama. Kenangilah sahabat-sahabat kita dalam setiap bingkisan doa yang diutuskan ke hadratNya. Moga kejayaan milik kita bersama. Sekian.

Cetusan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: