Video Klip Pilihan

Wednesday, April 04, 2007

.:: Satukan Fikrah Satukan Amal ::.

بسم الله الرحمن الرحيم



Salam sejahtera buat sahabat sekalian dalam meniti arus kehidupan yang semakin berkocak kencang dengan pelbagai kerenah alam yang semakin menyukarkan seruan dakwah demi menyatukan insan ke arah kesatuan seluruh umat Islam yang bakal menggegarkan dunia. Sebelum jari jemari ini semakin rancak menari menterjemahkan panorama dunia yang semakin berkecamuk dengan pelbagai ragamnya. Selautan selawat dan salam yang sedalam-dalamnya ke atas Junjungan S.A.W dengan semangat juang yang tinggi demi mengharapkan tertegaknya kalimah Allah kepada seluruh umat manusia dan jin. Akan tetapi segala usaha itu tidak akan berjaya setelah mana Baginda berjaya menyeru pembesar Quraisy yang akhirnya menjadi pembantu Baginda dalam menyebarluaskan dakwah Islamiah yang dicanang-canang oleh Rasulullah S.A.W yang mana merupakan amanat dari Allah S.W.T, Tuhan Sekalian Alam.

Dunia semakin lama semakin bergerak menuju ke arah kemodenan, kemajuan dan ketinggian tamadun yang akhirnya menjadikan umat Islam itu semakin terserlah di mata dunia bahkan dipandang mulia oleh anutan agama selainnya yang tidak diiktiraf di sisi Allah. Kebenaran Islam sememangnya tidak dapat disangkal dengan menggunakan akal semata. Ini kerana kedatangan Islam itu bukanlah satu fahaman atau agama yang baru. Akan tetapi ianya merupakan satu pelengkap bagi agama-agama yang terdahulu yang telah diutuskan Allah S.W.T ke atas utusan-utusan terdahulu sebelum diutusnya Nabi S.A.W yang sangat kita cintai. Kecemburuan mereka meluap-luap sehingga ke saat ini sehingga sanggup menyebarkan fitnah bahawa Islam itu agama yang ganas, saling suka berperang, bertumpah darah dan tidak adil.


Hayati bersama firman Allah S.W.T :


ولن ترضى عنك اليهود ولا النصارى حتى تتبع ملتهم ( البقرة : 120 )

Mafhumnya : Dan sesungguhnya mereka iaitu Yahudi dan Nasrani tidak akan redha ke atas kamu (Islam) sehinggalah kamu mengikut agama mereka.


Seandainya kita sama-sama perhatikan konflik yang sedang berlaku dalam dunia Islam yang mana pihak kuffar laknatullah dengan gabungan seluruh agama non Islam termasuklah Kristian dan Yahudi yang sekarang lebih dikenali dengan panggilan Israel yang menggunakan jalan kekerasan merampas, membunuh dan menghancurkan negara-negara Islam yang mereka lihat mengancam kedudukan mereka. Alasan mereka melaksanakan agenda itu adalah kerana wujudnya pengganas yang mengancam keselamatan dunia. Akan tetapi disebalik alasan tersebut mereka sebenarnya ingin melenyapkan institusi agama Islam yang merupakan pegangan agama global dan glokal setiap negara.


Apakah yang dilakukan oleh OIC dalam masalah ini? Apakah yang mereka bincangkan sebenarnya apabila diadakan perjumpaan tersebut? Apakah resolusi yang dapat mereka capai dan perlaksanaan yang bakal dicetuskan natijah dari perjumpaan itu? Terasa canggung pabila melihatkan kesatuan negara-negara Islam bagaikan membisu sejuta bahasa dalam mempertahankan negara-negara Islam yang dicabul ‘kehormatan’nya oleh musuh-musuh yang jahannam adalah tempat mereka kelak. Dimanakah kesatuan Islam yang dahulunya gah dan disanjung oleh dunia bahkan ditakuti dengan kekuatan dan kesatuan yang jitu bagaikan air walau dicincang tidak akan putus.


Namun itu semua hanyalah kegemilangan lampau. Tetapi mesti diingat bahawasanya satu masa kelak ketika mana diutuskan Imam Mahadi dan Nabi Isa A.S ke muka dunia ini bila mana kala itu manusia telah berada dalam era kesesatan yang nyata memerlukan kepada utusan untuk memperbaiki kefasadan itu. Akan tiba saat itu dan bersamalah kita nantikan. Dan pada saat itu sudah hampir tiada lagi nilai-nilai Islam yang sebenar seperti mana yang dibawa didalam Alquran dan Sunnah. Dalam fatrah mencapai masa tersebut, kita adalah zaman yang pertengahan sebelum tibanya tika itu perlulah berusaha menggerakkan segala enjin-enjin dakwah dan memperkasakan segala wahdah kesatuan dalam menyatukan fikrah insani mengikut acuan yang sebenar.


Kitalah umat akhir zaman yang telah dilabelkan oleh Allah kerana sayang dan kasihNya kepada Rasulullah S.A.W yang merupakan kekasihNya. Maka diberikan kita keistimewaan umat yang terpilih dan dijamin dengan kemasukan ke syurga terlebih dahulu dan juga sebaliknya berdasarkan amalan masing-masing. Namun untuk mencapai umat pilihan itu memerlukan kepada satu usaha untuk membantu Islam itu sendiri dalam bekerja untuk Islam menyeru ke arah kebaikan dan mencegah dari kemungkaran. Itulah amanat untuk umat akhir zaman untuk mendapat label terhormat di sisi Allah S.W.T. Persoalannya adakah kita bersedia untuk menghadapi dan menjalankan amanat yang diarahkan itu? Fikir-fikirkanlah bersama.


Firman Allah S.W.T :

كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله ولو ءا من أهل الكتاب لكان خيرا لهم

( آل عمران : 110 )

Mafhumnya : Kamu (umat Islam) adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan dari kalangan umat manusia untuk menyeru mereka ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran dan beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya dan sekiranya ahli kitab itu beriman sekalipun kamu adalah yang terbaik dari mereka.


Itulah yang dicanang oleh Allah terhadap hamba-hambaNya, umat akhir zaman yang merupakan umat teristimewa. Maka seharusnya kita semua memperkasakan dan menterjemahkan setiap bilah kalimah Alquran itu untuk ditatbiq dan diperlaksanakan dalam merealisasikan impian kita sebagai umat yang terbaik bukan sekadar dengan goyang kaki sahaja. Gunakanlah seberapa banyak peluang yang ada untuk menyeru, memperbaiki dan menyelesaikan masalah ummah yang semakin tenat ini.


Semua itu memerlukan kepada satu kesatuan dan perpaduan. Kesatuan dan perpaduan yang dimaksudkan adalah kesatuan dari segi fikrah dan amal. Kesatuan fikrah yang diertikan di sini adalah mempunyai satu fikrah ke arah untuk mewujudkan dan menaikkan kembali khilafah Islamiah yang telah runtuh pada tahun 1924. Dalam masa yang sama kita juga mesti turut menyatukan amal pekerjaan kita bekerja semata-mata kerana Allah S.W.T dan kerana Islam itu sendiri. Sekiranya dua kesatuan ini dapat diperkasakan dan direalisasikan sekaligus akan menaikkan keizzahan Islam yang sememangnya telah sedia izzah.


Bersamalah kita bersatu dalam memperkuatkan kembali benteng Islam yang semakin sirna ini. Satukan fikrah, satukan amal kita bersama. Setelah itu, sudah pastilah Islam itu akan kembali gah di mata dunia. Usahlah berpecah oleh kerana perbezaan pandangan pada sesuatu furu’ ibadah sehingga memecah belahkan ummah. Kembalilah kepada Alquran dan Sunnah sebagaimana yang diterangkan para ulama yang merupakan perintis daripada para tabi’ tabi’in daripada para sahabat yang seterusnya berhubung terus dengan Rasulullah S.A.W. Usahlah kita mentafsirkan satu Hadith mahupun ayat berdasarkan kefahaman kita yang cetek dan mengetepikan pandangan ulama yang diiktiraf ilmunya dan lebih tinggi sarjana ilmunya merangkumi seluruh aspek kelimuan.


Ciptaan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa


No comments: