Video Klip Pilihan

Showing posts with label .:: Untukmu PMRAM ::.. Show all posts
Showing posts with label .:: Untukmu PMRAM ::.. Show all posts

Wednesday, August 19, 2009

|| Tahniah dan Takziah : Kepimpinan BKPJM Sesi 2009/2010 ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Kepimpinan silih berganti. Saban tahun pertukaran tampuk kepimpinan pasti berlaku demi untuk memberikan ruang kepada orang lain menimba pengalaman dalam menguruskan sebuah organisasi yang tidak seindah mata memandang. Bebanan dari sudut tugas dan tanggungjawab yang diterima selaku kepimpinan dalam masa yang sama menjawat jawatan sebagai seorang penuntut ilmu ALLAH menongkat harapan masyarakat di Malaysia cukup mencabar keampuhan kendiri.

Namun saya yakin, berkat daripada sokongan para sahabat yang digerakkan hatinya oleh ALLAH untuk mencalonkan seseorang yang difikirkan layak. Seterusnya pangkahan dan undian yang ditentukan oleh seluruh ahli yang faqih, alim dan kenal kemampuan seseorang untuk memimpin sebuah entiti ISLAM yang kecil demi meneruskan agenda kebajikan.

Pilihanraya yang berlaku pada kali ini dibawah seliaan saya selaku Pengarah Lajnah Khas Mesyuarat Agung Tahunan (LKMAT) Badan Kebajikan Pelajar Johor Di Mesir pada awalnya cukup menakutkan kami. Terutamanya Suruhanjaya Pilihanraya yang masing-masing langsung tiada pengalaman dalam menghadapi pilihanraya yang amat sengit sehingga melibatkan calon Yang Dipertua yang tidak pernah lagi dipertandingkan sepanjang penubuhan badan kebajikan ini.


Ala kulli hal, segalanya mendapat pimpinan dan bantuan dari ALLAH hasil usaha dan tawakal yang tinggi kepada RABBUL JALIL memudahkan segala gerak kerja sehingga ke penghujungnya.

Sambutan Di Luar Jangkaan


Saya secara peribadi amat gembira dengan sokongan, dokongan dan sambutan yang amat memberangsangkan dari seluruh ahli di Kaherah mahupun cawangan-cawangan yang turun mengundi dan memberikan sepenuh semangat kepada kepimpinan. Meskipun jumlah AJKT yang separuhnya berada di Malaysia, tidak mematahkan semangat kepimpinan yang diketahui bebanan kerja yang menimbun ditambah lagi jawatan yang dipangku.

Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada kalian yang kuat dan masih bersemangat untuk menggerakkan jentera BKPJM dengan sepenuh tenaga.

Saya perhatikan seluruh AJKT dan HEWI hakikatnya tidak bersemangat untuk dimuhasabah kerja-kerja mereka. Namun setelah melihat kedatangan ahli yang amat memberangsangkan di luar jangkaan meniup kembali obor semangat agar terus berkobar untuk dimuhasabah demi untuk kemaslahatan kepimpinan sesi mendatang. Tampak senyuman masih mampu diukirkan untuk tatapan ahli demi meredakan ledak kesedihan di hati.


Saya bersama seluruh adhoc pelaksana LKMAT juga amat gembira dan terharu dengan sambutan yang diberikan seolah-olah segala usaha dan penat lelah yang dilakukan berbaloi demi memastikan LKMAT kali ini meriah. Kemungkinan pilihanraya bagi menentukan Yang Dipertua dan AJKT merupakan daya penarik kepada sambutan yang menggalakkan itu.

Di harap sokongan, sambutan dan bantuan yang sedemikian dapat diteruskan selepas ini dalam program-program seterusnya anjuran BKPJM demi memastikan ukhuwah, akhlak, kecemerlangan, thaqafah dan kesatuan sesama ahli dikekalkan. Bahkan harapan semoga seluruh ahli juga dapat menyokong dan meneruskan momentum ini terhadap Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir yang sedia maklum peranannya kepada anak-anak Malaysia yang berada di perantauan ini.

Tahniah dan Takziah

Untuk akhirnya, sekalung penghargaan tahniah diucapkan kepada seluruh kepimpinan baru BKPJM yang dipilih oleh ALLAH. Juga sekalung peringatan takziah atas amanah yang berat ini demi melunaskan agenda kebajikan yang terpundak dengan jayanya. Sesungguhnya segala perencanaan, muhasabah dan cadangan yang dilontarkan tidak akan mampu dilaksanakan andai huluran tangan-tangan yang bantu memudahkan segala susunan gerak kerja terealisasi.

Buat tatapan para sahabat pejuang agama, penuntut ilmu ALLAH sekalian agar memberikan sepenuh kepercayaan kepada seluruh kepimpinan yang dipilih berpandukan petunjuk dari ALLAH itu sendiri. Baik kepimpinan PMRAM, BKAN, DPM bahkan negara kita sendiri selagi mana mereka yang dipilih oleh suara majoriti berlandaskan Quran dan Sunnah. Menurut ISLAM yang syumul tanpa meminggirkan juzuk-juzuk yang lain.

Seandainya mereka tergelincir dan terpesong dari landasan yang digariskan, maka tegurlah sebaik mungkin sebelum ditentang dan dilawan habis-habisan. Bentuklah akhlak ISLAMIAH dalam diri individu muslim bagi memastikan ISLAM diminati dan senang didekati oleh sesiapa sahaja yang memandang. Itulah impian yang terindah.


Bagi yang tidak dipilih oleh ALLAH untuk membantu agama ALLAH usah bersedih dan berkecil hati kerana ingatlah bahawa segalanya merupakan suratan dari ALLAH yang menentukan akan tiap sesuatu yang terjadi. Moga semangat yang kalian tunjukkan ketika berkempen, melaksanakan tugasan yang diberikan dapat diteruskan di hari mendatang.

Berakhir Dengan Harapan

Alhamdulillah, infiniti kesyukuran kepada ALLAHU RABBI atas segala pimpinannya membenarkan tulang empat kerat ini terus menaburkan bakti kepada sebuah badan kebajikan anak negeri, BKPJM yang banyak mengajar saya erti ukhuwah dan kasih sayang. Sebelum ini hampir 2 tahun saya hanya disibukkan dengan pentadbiran PMRAM sehingga tidak berkesempatan untuk menyumbangkan sesuatu untuk BKPJM.

Ditaklifkan sebagai Pengarah LKMAT sedikit sebanyak mengajarku erti sebuah perancangan yang dinamik demi memastikan segala perencanaan berjaya dilaksanakan dengan sebaiknya. Bantuan dan teguran dalam gerak kerja meneguhkan lagi kesatuan sekaligus memupuk sifat pengorbanan, ikhlas dan berlapang dada antara satu sama lain. Sungguh ironi suasana yang terhasil.

Itulah program terakhir yang berjaya saya kendalikan dengan bantuan semua sahabat-sahabat sebelum diri ini pergi meninggalkan bumi barakah yang banyak mengajar erti kehidupan kepada insan kerdil ini. Bumi yang tidak mampu untuk diungkapkan dengan kata-kata melakar jutaan suka duka sebagai kenangan di hari kemudian. Yang keruh moga dapat diambil pengajaran dan tauladan sebelum ditinggalkan. Manakala yang jernih bersih dikekalkan dan diteruskan untuk dinikmati sejagat.

Sebagaimana ISLAM yang menjadi milik umat ISLAM diamanahkan untuk menjaga dan memeliharanya dari segala yang menganggu gugat, begitu jugalah sebuah persatuan dan gerakan yang menjadi wadah untuk menegakkan ISLAM perlu dijaga dan dipelihara bersama-sama. Bukanlah ianya terpundak pada bahu kepimpinan yang menjadi pengatur dan penggerak demi memastikan hala tuju matlamat sesebuah persatuan terarah.


Persatuan dan gerakan yang mengikut landasan Quran dan Sunnah adalah milik bersama yang perlu dipertahankan oleh semua invidu. Justeru kesedaran ini perlu diinsafi oleh semua bagi membentuk kesatuan dan perpaduan yang jitu dari seluruh ahli kepada persatuan dan gerakan itu.

Itulah harapan dan pesanan yang dapat saya nukilkan dari lubuk hati yang dalam sebelum berangkat pulang ke pangkuan masyarakat menuai segala benih ilmu yang diperolehi yang amat dinanti-nantikan. Moga hati ini akan terus thabat. Moga batang tubuh ini juga akan terus istiqamah dengan semangat yang disemai di bumi barakah untuk disiram dalam perjuangan menegakkan ISLAM di Malaysia kelak.

Doa, peringatan, kritikan dan teguran sinis kalian amatlah diharapkan agar diri ini mampu menongkat perjuangan sedia ada tanpa henti sehingga ke titisan darah yang terakhir sebelum menghembuskan nafas terakhir. Moga kita menyedari peranan masing-masing mengikut lapangan semasa dan kesesuaian keadaan dalam memperjuangkan yang hak bukan hanya menyibukkan diri dengan menuntut ilmu.

Kata Muthaqqaf : Keseimbangan dalam membahagikan masa di antara menuntut ilmu, urusan dakwah ISLAMIAH dan ibadah kepada ALLAH adalah perlu bagi memastikan kesinambungan ISLAM dapat dikekalkan seterusnya ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Friday, July 17, 2009

|| Mana Silapnya Ukhuwah Ini? ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Orang-orang beriman itu Sesungguhnya bersaudara. sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap ALLAH, supaya kamu mendapat rahmat.

Al-Hujurat : 10

Kala ini Hari Keluarga Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir 2009 sedang berlangsung untuk hari yang ke-3 sebelum menutup tirainya keesokan harinya di Rumah Johor, Rabaah. Bukan sahaja Johor, bahkan hampir keseluruhan Badan Kebajikan Anak Negeri yang bernaung di bawah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir sedang mengadakan Hari Keluarga bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah sesama negeri.

Namun disebalik tujuan yang murni ini masih ramai yang tidak mengambil peduli akan kepentingan program-program yang dijalankan oleh Badan Kebajikan Anak Negeri masing-masing yang menghimpunkan seluruh anak-anak negeri berkampung di Kota Kaherah, Mesir.

Kebanyakan sahabat-sahabat yang berada di cawangan-cawangan bahkan yang berada di Kota Kaherah tidak langsung meluangkan masa walaupun sebentar untuk bersama-sama menjayakan hari keluarga yang diadakan.

Ramai yang memandang enteng program ukhuwah sebegini yang diadakan dengan tujuan untuk menghimpunkan antara 'abang/kakak lama' dan 'adik-adik yang baru' yang rata-rata tidak mengenali antara satu sama lain. Adalah tidak munasabah untuk menyalahkan 'adik-adik baru' yang tidak mengenali 'abang/kakak lama' seandainya mereka tidak turun merendahkan ego berjumpa dan memperkenalkan diri.

Dari situlah jalinan ukhuwah akan mampu dipererat melalui ziarah dan bertukar-tukar pandangan susulan daripada pertemuan antara dua zaman sekaligus mengukuhkan ukhuwah ISLAMIAH sesama muslim yang dituntut ISLAM selama ini.

Apa gunanya kita mempelajari, mendalami dan mengaji ilmu Usuluddin, Syariah ISLAMIAH, Dirasat ISLAMIAH, Bahasa Arab, Tahfiz dan Qiraat bahkan Perubatan sekalipun sekiranya aspek ukhuwah tidak mampu untuk dipelihara. Apa gunanya berada di satu tempat pengajian akan tetapi nilai persaudaraan sesama kita tidak dapat disemai apatah lagi apabila pulang ke Malaysia nanti apabila masing-masing akan sibuk dengan kerjaya, keluarga dan tugas.

Tatkala itu penyesalan tiada gunanya. Masa yang berlalu tidak akan dapat diputar kembali. Manisnya ikatan ukhuwah di alam pengajian tidak akan dapat digembur kembali kerana masing-masing mempunyai prioriti tersendiri untuk ditunaikan dengan amanah dan tanggungjawab yang kian bertambah untuk dipikul.

Masalah yang kian parah ini berlaku hampir di keseluruhan Badan Kebajikan Anak Negeri yang berhadapan dengan komitmen ahli yang teruk. Kemunculan 'abang/kakak lama' ke Rumah Anak Negeri hanyalah apabila wujudnya keperluan. Sebagai contoh apabila urusan zakat, biasiswa dan pinjaman.

Maka akan terpacul dari mulut 'adik-adik lama' pertanyaan "siapa ustaz/zah tu? Tak pernah nampak pun?". Bahkan ada di kalangan exco BKAN yang tidak mengenalinya hingga terpaksa membuka semula fail pendaftaran untuk memastikan adakah mereka merupakan ahli yang sah.

Bagi mereka yang berperasaan pastinya akan berasa malu dan segan seandainya hingga ke tahap itu mereka tidak dikenali. Namun bagi mereka yang tidak berperasaan, ianya sesuatu yang biasa. Malah ada yang mengatakan "inilah 'adik-adik baru' tak datang rumah 'abang/kaka lama' lepas tu tak kenal".

Siapakah yang patut dipersalahkan apabila kesedaran ukhuwah sesama muslim di negara orang ini tidak mampu untuk dijaga? Adakah pihak BKAN juga dipersalahkan sedangkan program-program yang diadakan tidak mendapat sambutan? Fikir-fikirkanlah.

Bukan bermaksud untuk menuding 'abang/kakak lama' dalam perkara sebegini. Akan tetapi saya selaku antara 'abang lama' agak terasa apabila ada di kalangan 'adik-adik baru' bahkan 'abang/kakak lama' yang bersuara tidak kenal.

Maka wajarlah program seumpama hari keluarga yang diadakan sekali setahun diraikan dengan sebaik-baiknya dengan memperkukuhkah ukhuwah sesama ahli anak negeri selain ukhuwah yang dipererat sesama sahabat yang berlainan negeri dan negara.

Pentingnya di Malaysia kelak. Apabila kita telah selesai pengajian dan menceburkan diri di medan sebenar yang kadangkala berhajat kepada bantuan sahabat-sahabat lain yang mempunyai kelebihan dalam sesuatu bidang untuk dikongsi di tempat kita sebagai contoh.

Buat anak-anak Johor yang masih berada di cawangan-cawangan bahkan yang berada di sekitar Kota Kaherah masih berbaki sehari untuk kita menebus kesilapan ini. Meriahkan hari keluarga yang akan menutup tirai keesokan harinya di Rabaah. Bersama kita datang ke Rabaah di sebelah pagi yang akan diisi dengan pembentangan kertas kerja 'Tahnik, Azan dan Aqiqah' dan sebelah petangnya pertandingan bowling di Kota Keriangan Wonderland, Abbas Aqad.

Maklumat lanjut bolehlah kalian layari blog rasmi Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir. Klik di sini. Begitu juga dengan anak-anak negeri yang lain.

Semoga ukhuwah sesama kita dapat diutuhkan dengan sebaiknya sebelum kita pulang ke tanah air kelak untuk memperkukuhkan ukhuwah umat ISLAM pula.

Kata Muthaqqaf : Ku impikan umat ini kembali bersatu. Ku impikan perjuangan umat ini kuat lagi utuh. Ku juga bermimpi ingin melihat sahabat-sahabat di sekelilingku kembali bersatu mengangkat martabat ISLAM mengikut kehendak YANG ESA. Namun segala itu tidak akan terlaksana andai masih ada ego dan mementingkan diri sendiri. Ayuh kuatkan ukhuwah ini. Moga ISLAM juga akan kuat dengan kuatnya ikatan ukhuwah yang murni ini. Salam ukhuwah untuk semua.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Thursday, July 02, 2009

|| Di mana keadilan untuk ARMA? ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Mutakhir ini kedengaran bergoncang institusi ARMA dengan dengan desas-desus yang hangat diperkatakan berkenaan dengan pencabulan penghuni yang menetap di situ. Goncangan tersebut bertambah hebat lebih-lebih lagi apabila berlakunya insiden kebakaran sebuah bilik menguatkan desas-desus untuk 'pembuangan' para penghuninya dengan alasan yang tidak munasabah menurut sumber-sumber para penghuni yang menetap di sana.

Pelbagai alasan yang dikemukakan oleh para pegawai KBMK dan JPMK untuk 'membuang' para penghuni ARMA itu dalam masa yang sama beberapa individu yang rapat dan membantu mereka pula tidak akan dikenakan tindakan 'pembuangan' tersebut. Jelas berlaku diskriminasi di situ.

Antara alasan yang lain juga adalah berikutan kerja pengislahan dan baik pulih yang dilakukan terhadap bangunan ARMA rentetan daripada insiden kebakaran yang berlaku demi keselamatan para penghuni ARMA katanya. Namun yang menjadi tanda tanya, para penghuni diminta keluar daripada penempatan tersebut selama 2 minggu untuk proses baik pulih dengan mengangkut bersama segala barang-barang mereka.

Selepas selesai proses baik pulih tersebut barulah mereka dibenarkan untuk kembali menginap di ARMA dengan syarat mereka perlu untuk mengikuti temuduga sepertimana sebelumnya dengan beberapa pertanyaan yang bakal dilontarkan untuk melayakkan mereka menetap di Asrama Rumah Melayu Abbasiah itu.

Ini adalah maklumat yang diperolehi melalui sebaran para penghuni ARMA yang merasa tipisnya peluang mereka untuk kembali menetap di penempatan mahasiswa/wi Malaysia itu. Kebanyakan mereka yang memilih untuk tinggal di sana atas beberapa alasan antaranya :

1- Kos sara hidup yang rendah berbanding tinggal di rumah sewa.

2- Kedudukannya yang berhampiran dengan pusat pengajian induk Al-Azhar bagi lelaki.

3- Berdekatan dengan Masjid Al-Azhar dan beberapa pusat pengajian talaqi yang lain.

4- Menjadi pusat bagi mendapatkan maklumat berkaitan dengan kerajaan Malaysia yang disalurkan terus kepada mereka.

5- Dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran tanpa terlalu disibukkan dengan program-program PMRAM dan BKAN berbanding program-program yang disusun di bawah JPMK dan KBMK.


Itu adalah sebahagian alasan yang menjadikan ARMA sebagai pilihan para mahasiswa untuk diduduki. Namun begitu, setiap sesuatu itu diciptakan ALLAH ada pro dan kontranya. Terpulang kepada setiap mahasiswa yang sudah berada di tahap universiti untuk menilai setiap tindakan yang dilakukan.

Kembali kepada pencabulan yang berlaku mutakhir ini yang melibatkan hampir majoriti penghuni ARMA. Pun begitu, yang menjadi tanda tanya dengan alasan-alasan yang dikemukakan bagaikan tidak masuk akal sehingga bertindak untuk mengeluarkan para penghuni dan segala harta benda hak miliknya.

i- Alasan utama 'pembuangan' para penghuni hanyalah untuk membaik pulih sistem litar elektrik yang dikatakan menjadi punca kebakaran. Apakah berbaloi mereka dikeluarkan bersama harta benda mereka hanya kerana untuk membaik pulih sistem litar elektrik yang berlaku di tingkat 5 daripada bangunan 7 tingkat itu?

ii- Baik pulih yang ingin dilaksanakan merangkumi keseluruhan ARMA hanya memakan masa selama 2 minggu bagaikan suatu yang mustahil memandangkan pengalaman baik pulih yang pernah dilaksanakan di rumah-rumah negeri memakan masa berbulan-bulan bahkan makan tahun.

iii- Terdapat diskriminasi melalui arahan yang dikeluarkan terhadap seluruh penghuni dalam masa yang sama difahamkan terdapat segolongan mahasiswa yang pro KBMK dan JPMK akan terus tinggal di dalamnya.

iv- Menyusahkan penghuni yang diarah keluar dan yang ingin kembali menetap di situ kerana terpaksa mengangkut segala harta benda mereka.

v- Terdapat aduan yang diterima bagi mahasiswa yang ingin kembali menetap di ARMA akan menjalani temuduga melayakkannya menjadi penghuni ARMA yang antara kriterianya BUKAN DIKALANGAN AHLI PMRAM.

vi- Pembentukan penghuni ARMA selepas baik pulih dilihat lebih untuk menyekat pengaruh luar seterusnya membina pengaruh UMNO, ISMA dan yang seumpama dengannya sekaligus menyingkirkan pengaruh-pengaruh PMRAM dari bertapak di sana.


Itu adalah sebahagian maklumat yang saya perolehi daripada para penghuni ARMA yang semakin gusar memikirkan nasib mereka apabila dikeluarkan daripada Asrama Rumah Melayu Abbasiah itu. Keputusan penyingkiran dan 'pembuangan' penghuni ARMA ini akan diketahui malam ini melalui pertemuan yang akan diadakan oleh pegawai JPMK dalam menentukan nasib sahabat-sahabat kita di sana.

Harapannya semoga kebenaran sentiasa berpihak kepada orang-orang yang memperjuangkannya sekaligus mematahkan kebathilan yang menyangka akan terus kekal bermaharajalela. Buat para sahabat yang menetap di ARMA, semoga kalian tabah memperjuangkan hak kalian untuk terus menetap di sana tanpa diheret dengan alasan-alasan picisan yang sukar untuk diterima oleh akal.

Sekian untuk makluman.

Kata Muthaqqaf : Penulis adalah di antara mereka yang pernah menetap di sana dan mengetahui sedikit sebanyak permasalahan sahabat-sahabat di sana akan terus menyokong kebebasan mahasiswa untuk menetap di sana tanpa disempitkan dengan perbezaan ideologi semata-mata. FI AMANILLAH...


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Tuesday, June 16, 2009

|| Terbang Ke Turki ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Kejayaan dan sambutan yang diterima daripada rehlah ke Turki yang telah diadakan buat julung kalinya pada tahun lepas, maka hasil persetujuan bersama pihak PMRAM, Markaz Nil sekali lagi menyediakan 15 kerusi khusus untuk pelajar Malaysia pada rehlah kali ini. Rombongan kali ini akan bertolak pada 27 Jun ini dengan yuran penyertaan sebanyak USD570 termasuk tiket penerbangan pergi balik, penginapan, makan dan urusan pembayaran di sana selama seminggu.

Setakat ini pihak wakil pelajar Malaysia melalui PMRAM yang diwakili oleh saudara Muhammad Labib bin Abdul Jalil selaku Ketua Badan Sambutan dan Rehlah mengatakan pendaftaran masih dibuka kepada sesiapa di kalangan ikhwah medik mahupun pengajian ISLAM yang ingin menyertainya.

Kepada sesiapa yang berminat boleh menghubungi beliau di talian berbayar +20193694407 ataupun melalui saudara Mohd Yazid bin Pardi selaku Ketua Badan Pendidikan dan Komunikasi Bahasa juga di talian berbayar +20161531573.

Sampaikan kepada sahabat-sahabat serumah, jiran tetangga dan yang berminat sementara peluang keemasan ini masih ada sebelum terlambat. Bersama membangun bersama ISLAM.

Kata Muthaqqaf : Bagi sesiapa yang mempunyai rezeki lebih, bolehlah menyertainya. Agak-agak kalau nak 'payung' saya pun apa salahnya. Sediakan payung sebelum hujan. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada maknanya. ~Julang Thaqafah Bakti Dicurah~

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Monday, April 20, 2009

|| Perjelas Isu ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Terasa terpanggil untuk untuk memberikan respon terhadap beberapa serangan balas yang diberikan oleh individu yang amat tidak menyenangi terhadap segala tindak tanduk PMRAM sebagaimana lebih ramai daripada mereka yang sedikit juga tidak senang. Umum masyarakat mahasiswa Mesir mengetahui dan sudah lali dengan segala macam tohmahan yang individu tersebut lemparkan kepada PMRAM dan lebih banyak menyebelahi 'pihak kerajaan' dengan menyokong dengan segala macam hujah demi memastikan hujahnya diterima pakai oleh mahasiswa Mesir yang memang matang menilai manakah pihak yang benar.


Kelihatannya, saya tidak boleh untuk masih berdiam diri untuk melihat 'sebuah kebenaran' disembunyikan lantas festival yang dicanang-canangkan berjaya menambat hati mahasiswa. Keberjayaan diadakan festival tersebut dengan kehadiran yang memberangsangkan sehingga tidak mencukupi kerusi meja untuk tetamu bertandang menjamu selera. Bahkan dikatakan barang jualan yang digunakan turut habis awal sebelum waktu tutupnya bazaria tersebut setiap hari. Dari sudut peniaga, ianya masuk akal dengan kedatangan pelanggan dan tetamu yang tidak putus-putus.

Namun begitu, keberjayaan mereka mengadakan bazaria dan festival tersebut sebenarnya berpunca dari kedatangan tetamu di kalangan warga buhus Islamiah yang menetap berhampiran dengan ARMA. Mereka semua merupakan 'penyelamat' kepada keberjayaannya perjalanan festival tersebut yang dikatakan mendapat sambutan yang menggalakkan. Bukan dari pelajar Malaysia majoritinya. Kalau ada pun mereka merupakan orang yang sama yang menetap di buhus Islamiah bersama para pelajar yang lain. Hatta saya mendapat maklumat yang sahih dari seorang sahabat yang menetap di ARMA, kebanyakan diantara mereka sendiri tidak turun menjamu selera di bazaria tersebut.


Manakala kenyataan yang mengatakan "Walaupun ada mahasiswi kita berniaga bersebelahan dengan gerai mahasiswa, mereka sungguh menjaga etika yang disyariatkan. Menutup aurat dan bercakap dengan sopan dan santun. Tiada adegan “panas” sentuh menyentuh seperti yang pernah disiarkan oleh SYAFIK ZULAKIFLI. Barangkali itu dulu, sekarang lain. Barangkali juga dulu “tiada”(adegan panas), sekarang pun “lagi tiada”. Saya kata “barangkali….” harap saudara SYAFIK ZULAKIFLI boleh memahami frasa tersebut." Amat ringkas dan jelas berkenaan dengan kenyataan yang beliau nyatakan. Persoalannya adakah beliau selama 3 hari bazaria tersebut duduk memerhatikan gerai yang dimaksudkan? Mustahil mereka mampu menjaga etika yang dimaksudkan apabila sudah duduk bersebelahan tanpa sebarang perbualan yang lagha.

Mahasiswa mahasiswi Mesir yang mendalami agama merupakan mereka yang paling mudah terleka dan terjebak dengan maksiat. Seandainya diminta kepada pihak Hisbah PMRAM yang menguruskan hal berkaitan amar makruf nahi mungkar ini memang tidak terhitung banyaknya. Soal Hisbah ini diperlekehkan oleh seorang blogger yang mengatakan peranan Hisbah merupakan tanggungjawab yang dipikul apabila telah benar-benar tertubuh negara ISLAM. Bilakah agaknya akan tertubuh negara ISLAM yang dimaksudkan seandainya masing-masing masih berpeluk tubuh dengan kemaksiatan yang berlaku di persekitaran kita dengan menyalahkan Hisbah PMRAM?

Justeru itu, tindakan yang tidak memisahkan antara peniaga dan pelanggan dikalangan mahasiswa dan mahasiswi itupun sebenarnya sudah membuka kepada pintu-pintu maksiat. Pintu maksiat itu banyak. Bukan sekadar bersentuhan antara lelaki dan wanita. Bukan sekadar berpegangan antara dua jantina yang berlainan jenis ini. Bahkan suara dan pandangan mata itu sendiri sudah menjadi pembuka kepada pintu maksiat itu sendiri. Apa yang saya maklum, beliau sedang menduduki M.A di Universiti Kaherah. Adakah sekecil perkara ini masih ingin diperjelaskan? Apakah semata-mata ingin mengelakkan persamaan dengan kebanyakan bazaria di BKAN dan DPM kalian sanggup menggadaikan prinsip ISLAM?

Inikah 'cita-cita tinggi untuk agama, bangsa dan negara' yang beliau maksudkan sedangkan perkara besar berkaitan agama masih tidak dapat diselesaikan di Mesir ini? Bagaimana pula apabila berhadapan dengan 'kemaksiatan' di Malaysia yang amat membimbangkan semua pihak? Adakah ini yang dibanggakan dengan kehadiran dari kalangan mahasiswa mahasiswi Asean termasuk Mesir selain Malaysia sehingga mengatakan festival tersebut berjaya? Ya, saya bersetuju ianya berjaya. Berjaya mengetepikan nilai-nilai ISLAM yang digariskan oleh entiti ulama dengan membina pandangan peribadi demi kemaslahatan yang mencemarkan identiti ISLAM!

Kunjungan PMRAM Dipandang Enteng?

Umum mengetahui semalam pimpinan Majlis Presiden PMRAM bersama barisan Yang Dipertua-Yang Dipertua BKAN dan Pengerusi-pengerusi DPM yang diketuai oleh Presiden PMRAM itu sendiri bertandang ke pejabat Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) bagi menyampaikan hasrat ahli. Selepas berakhirnya Festival Kebudayaan dan Sukan ASEAN 2009 (FEKSAS 09) minggu lalu ramai dikalangan ahli PMRAM yang sensitif berkaitan isu ini bertanyakan kepada pimpinan mengenai respon terhadap tarian tersebut terutamanya selain festival tersebut secara umum.

Tiada orang lain yang akan memberikan 'serangan balas' terhadap segala tindak tanduk PMRAM melainkan 'orang kuat UMNO di Malaysia' itu. Beliau mengatakan pihak PMRAM sudah terlambat untuk memberikan respon terhadap isu tarian dalam festival tersebut. Akan tetapi ISMA-MESIR yang telah menyatakan pendirian mereka berkenaan isu tarian ini telah berjaya 'menambat' hati mahasiswa Mesir. Siapakah dikalangan mahasiswa Mesir yang telah ter'tambat' hati mereka berkenaan dengan pengecualian dan kekesalan mereka di atas ke'luar'an pengetahuan mereka berkenaan tarian tersebut?

Setelah diamati kembali, penulis dapat merasakan mereka cuba untuk mengalih isu supaya saya bersama sahabat-sahabat penulis lain yang menyatakan ketidak persetujuan tarian tersebut membuat permohonan maaf secara terbuka. Sayangnya, mereka lupa yang mereka sebenarnya yang perlu memohon maaf kepada masyarakat Malaysia di atas keterlanjuran yang telah berlaku. Mengapa mesti disalahkan pihak lain yang cuba memainkan dan mempertahankan maruah ISLAM yang dirobek 'tanpa pengetahuan' mereka dengan menyatakan alasan yang pelbagai. Adakah soal kanak-kanak perempuan dan kakak kanak-kanak perempuan itu menjadi soal khilaf berkenaan isu ini?

PMRAM telah mengeluarkan kenyataan hukum berkenaan hiburan secara umum dan beberapa makluman berkenaan kunjungan dan respon pimpinan ke pejabat KBMK yang diadakan dalam suasana yang harmoni dalam menyelesaikan kemelut yang berlaku. Namun begitu, ada juga pihak yang tidak senang duduk dengan kunjungan tersebut hingga mengatakan kelambatan PMRAM dalam menjuarai isu ini. Yang paling menyakitkan hati apabila 'kaki bodek' ini mengelaskan para blogger yang banyak mengkritik isu ini tidak ubah seperti gaya politik jalanan kerana tidak bertentang 4 mata bersama pihak yang dikritik.

Dakwaannya bahawa gaya politik jalanan yang menjaja cerita tanpa bukti, tuduh menuduh untuk menjatuhkan imej dan maruah orang lain. Di sepanjang penulisan saya dan beberapa blogger lain, tidak pernah pula kami menyebut secara jelas individu yang terlibat secara langsung dengan sesuatu perkara. Kami sekadar menjelaskan situasi sesuatu program tanpa mengaibkan mana-mana individu. Akan tetapi, andai diselidik kembali mengenai politik jalanan yang dimaksudkan, 'dia' lah yang mengamalkan politik jalanan tersebut dengan cara menyebut secara jelas nama individu yang berkenaan. Bersama koreksi diri dan jangan hanya menuding jari hanya nampak kesalahan orang lain.

Bukan ini caranya untuk mencari populariti dengan menjaja kesilapan pihak yang memperjuangkan kebenaran seterusnya menaikkan pihak yang jelas-jelas menjayakan festival kemaksiatan tersebut. Kekesalan yang dinyatakan oleh pihak KBMK dan JPMK di atas keterlanjuran slot tarian tersebut dan berjanji tidak akan berulang lagi amat dialu-alukan. Justeru kunjungan pimpinan PMRAM dapat mewakili pihak KBMK berkenaan keterlanjuran pihak penganjur yang 'tidak tahu menahu' tanpa disengajakan. Pihak yang menganjurkan festival ini tidak pula memberikan respon yang hanya bergantung harap kepada 'orang kuat UMNO Malaysia' itu sahaja untuk memanipulasi isu.

Apapun, semoga 'aku janji' yang dinyatakan oleh pihak KBMK diharapkan dapat direalisasikan dalam program-program mendatang yang akan sentiasa mendapat komitmen dari seluruh masyarakat pelajar Malaysia di Mesir. Sekiranya perkara sebegini tidak dititik beratkan, kami yang cintakan suasana ISLAM ini tidak teragak-agak untuk memastikan program sebegini diboikot sehingga membiarkan pihak-pihak yang mengendalikan sesebuah program hilang arah untuk merujuk 'buku panduan' ISLAM lantas mengikut trend lama sebagai kebiasaan program. Semoga sinar hidayah ALLAH dan taufiqNYA yang penuh dengan hikmah sentiasa menerangi hidup kita dalam mengecapi redhaNYA sehingga berjaya mendapat dengan rahmatNYA.


Berikut penulis sertakan beberapa keratan Hadith Qudsi, Hadith NABI SAW dan kalam ulama muktabar sebagai pedoman kita untuk melayari kehidupan dunia yang tidak lepas dari pancaroba yang semakin tenat. Moga kita sentiasa istiqamah dan thabat dalam memperjuangkan kebenaran kerana ALLAH untuk ISLAM itu sendiri.

[i]
Marilah sejenak kita mengambil pengajaran dari Hadith Qudsi, dari ALLAH, PENCINTA dan PEMILIK kasih sayang dan cinta, yang menitipkan kasih sayang antara hati-hati, yang mengekalkan ikatan antaranya, yang memperteguhkan janji ikrar mereka untuk menjadi 'teman ke syurga', mencari redhaNYA YANG ESA, PEMBERI SEGALANYA, ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG. "CintaKU mesti bagi orang-orang yang saling mencintai kerana AKU, CintaKU mesti bagi orang-orang yang saling bersilaturahim kerana AKU, CintaKU mesti mesti bagi orang yang saling menasihati kerana AKU, CintaKU mesti bagi orang-orang yang saling mengunjungi kerana AKU, CintaKU mesti bagi orang-orang yang saling memberi kerana AKU" (Hadith Qudsi) Lihatlah betapa ALLAH menjanjikan cintaNYA YANG MAHA AGUNG kepada "teman ke syurga.

[ii]
Menjelang perpisahannya dengan NABI MUSA A.S, NABI KHIDIR A.S, memberi nasihat, "Hai MUSA, janganlah terlalu banyak bicara, dan jangan pergi tanpa perlu, dan jangan banyak tertawa, juga jangan mentertawakan orang yang berbuat salah, dan tangisilah dosa-dosa yang telah kamu perbuat, hai putra Ali 'Imran." (Tanbighul Ghafilin: 192-193)

[iii]
"Sesiapa yang mengajak manusia ke jalan hidayah (kebenaran), dia akan memperolehi ganjarannya seperti ganjaran orang-orang yang mengikutinya. Tidak dikurangkan sedikit pun daripada ganjaran pahala mereka. Dan sesiapa yang mengajak manusia ke jalan kesesatan, maka dia akan memperolehi dosanya seperti dosa orang-orang yang mengikutinya dengan tidak dikurangkan sedikit pun daripada dosa mereka." (Hadith riwayat Muslim – no. 6980)

[iv]
Peringatan Imam Ghazali : Jangan menerima apa-apa pemberian daripada golongan pembesar, walaupun kamu tahu pemberian itu adalah dari sumber yang halal. Sikap tamakkan pemberian mereka akan merosakkan agama. Dari situ akan timbul rasa simpati terhadap mereka. Kamu akan mula menjaga kepentingan mereka dan berdiam diri terhadap kezaliman yang mereka lakukan. Ini semua akan merosakkan agama.


Kata Muthaqqaf : Apa yang baik itu datangnya dari ALLAH manakala yang buruk pula adalah atas kelemahan diri penulis meskipun hakikat segalanya itu adalah atas kekuasaan yang MAHA ESA. Bersama perbaiki keadaan dengan menegakkan jarum kebenaran bukan membangunkan benang kesalahan yang dimaklumi kebasahannya.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Tuesday, March 31, 2009

|| Ayuh Tolak Pemikiran Sempit! ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Seusai muktamar sanawi PMRAM kali ke-76 pelbagai spekulasi yang ditimbulkan dikalangan masyarakat mahasiswa. Spekulasi yang ditimbulkan bukan untuk menaikkan dan menyahut segala usul yang telah disepakati oleh perwakilan pada ketika itu. Akan tetapi spekulasi yang ditimbulkan lebih untuk memprovok dan menghentam segala macam usul yang dibahaskan. Juak-juak yang dimaksudkan tidak lain adalah mereka yang merupakan mata dan telinga kepada pertubuhan-pertubuhan selain PMRAM. Sila rujuk akronim IJAN
(bahasa lembut) @ NAJIS (bahasa kasar) yang disentuh dalam entri yang lepas.

Suka untuk penulis jelaskan sebanyak mungkin berkaitan dengan IJAN@NAJIS supaya kalian yang tidak mengikuti perbahasan tersebut terang lagi bersuluh tanpa menuduh PMRAM menyemai bibit-bibit permusuhan. PMRAM sentiasa berfikiran terbuka dalam menerima sebarang program-program yang dianjurkan oleh mana-mana pertubuhan selagi mana ianya tidak memecah belahkan ahli, mengajak ahli membenci PMRAM, dan menyebarkan dakyah kepolitikan dalam program-program mereka. Kesemua pertubuhan tersebut kecuali 'anak kandung' politik MELAYU di Malaysia tidak sekalipun PMRAM membenci. Hatta 'anak kandung' itu.


Namun begitu, disebabkan kerana mereka mempunyai agenda memecah belah kesatuan PMRAM, lantas majoriti perwakilan menyokong dan mendorong kepada usul tersebut dibawakan. Umum sedia maklum semenjak 78 tahun yang lampau PMRAM sentiasa menaungi sesiapa sahaja rakyat Malaysia yang melanjutkan pengajian di Ardil Kinanah ini. Hatta mereka yang sudah terjerumus dengan bermacam jenis pertubuhan selain PMRAM tika ini. Mereka tidak akan lupa, tetapi dek nafsu, bisikan syaitan dan material bermaharajalela, inilah natijahnya.

Kembali kepada tujuan utama penulis ingin bawakan pada kali ini masih berputar sekitar Muktamar Sanawi PMRAM yang baru beberapa hari berlalu. Masih terasa kehangatannya memandangkan terdapat beberapa individu antagonis dan parasit menuding PMRAM yang bukan-bukan. Oleh yang demikian itulah menggerakkan minda ini untuk menolak beberapa dakwaan dan pemikiran yang sempit ke arah primitif. Terkadang seronok juga apabila terdapat makhluk-makhluk parasit ini untuk menguji kekuatan dalaman dan luaran. Ujian yang ALLAH datangkan kepada hamba-hambaNYA pelbagai dan ini merupakan salah satu daripadanya.


USUL MAHASISWA YANG SEMPIT?


Terdapat dakwaan sesetengah parasit yang merupakan mata dan telinga untuk kepentingan mereka menuduh perbahasan usul yang hangat diperbincangkan pada hari tersebut tidak lebih hanya bersifat kekitaan dan terarah kepada kesatuan semata. Apa yang mereka rasakan usul yang perlu dibahaskan sepatutnya menyentuh soal peningkatan akademik mahasiswa dari segi komitmen yang jitu melalui kehadiran ke kuliah. Juga budaya berpersatuan yang tidak menganggu waktu pengkuliahan.


Untuk makluman seluruh sidang pemerhati yang menjadi pemerhati dan mampu menilai sejauh manakah program-program yang diadakan oleh PMRAM menjejaskan waktu kuliah. Bahkan banyak program yang diadakan oleh PMRAM lebih kepada meraikan jadual kuliah pengajian meskipun terdapat beberapa program yang terpaksa diadakan pada waktu kuliah. Memandangkan tiada masa lain dan dilihat penting untuk kesinambungan PMRAM itu sendiri sebagai contoh Muktamar Sanawi ini sendiri. Ditambah lagi tarikh perlaksanaan Muktamar Sanawi ini sendiri bukanlah ketetapan dari PMRAM akan tetapi dari Kementerian Kemasyarakatan Mesir selaku penaung kepada PMRAM.


Selebihnya seandainya ada program yang diadakan pada musim pengkuliahan dilihat memandangkan sesebuah program yang bersifat santai dan tidak mengambil masa yang panjang. Dan yang paling utama ianya merupakan permintaan ahli setelah dipertimbang bersama seluruh kepimpinan bukan keputusan peringkat PMRAM semata-mata. Melihat juga program yang diadakan oleh PMRAM tidak berat dan kuliah masih 'belum panas' pembukaannya disamping terdapat juga subjek-subjek yang belum mula pengajarannya.

Kini tibalah giliran penulis ingin bertanya kepada mereka yang 'makan cili' dan semestinya dia akan merasai kepedasan cili itu. Di bulan-bulan terakhir di saat menghampiri imtihan semester ke-2 pada bulan Mei ini mengapa program yang dinamakan Festival Asean yang menyajikan pelbagai program yang padat diadakan? Bukankah program ini juga sayugianya paling utama dikritik dan disuarakan kepada pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) yang merupakan penganjur bersama sebuah pertubuhan yang disembunyikan namanya?

Di saat kesibukan mahasiswa yang sepatutnya menelaah kitab akan tetapi dihidangkan dengan pelbagai pertandingan dan agenda yang tidak diketahui sejauh mana keuntungannya kepada mahasiswa dalam meningkatkan thaqafah. Bahkan adakah program yang tahun ke-2 diadakan ini mampu menjaga adab dan tata susila yang digariskan oleh ISLAM memandangkan program yang sama pada tahun sebelumnya menyaksikan percampuran antara lelaki dan perempuan dengan perbualan dan sebagainya hingga melenyapkan identiti Azhari! Tidak hairanlah kita lihat maksiat dan kebejatan akhlak semakin berleluasa di kalangan mahasiswa apabila adab ISLAMI diketepikan!


Adakah ini yang ingin dibanggakan sedangkan kepentingan ISLAM itu diketepikan dan hanya mengambil beberapa perkara yang memberikan manfaat kepada diri semata-mata? Bagaimana sekarang ini memandangkan kebanjiran mahasiswa perubatan yang kita sendiri lihat cetek pengetahuan agamanya melihat keadaan penuntut pengajian ISLAM yang tidak tumpah seperti mereka! Aduh, sungguh memalukan kerana segelintir yang porak peranda, habis keseluruhannya dipandang rapuh oleh mereka!

Tidak dinafikan kalam juak-juak yang berfikiran kebangsaan mengatakan bahawa Al-Azhar menggunakan manhaj pertengahan, tidak tegas juga terlalu terbuka. Kita perlu jelas bahawa mereka yang mengaji di pusat pengajian ISLAM terkemuka ini bukanlah mereka yang hanya cenderung ke arah satu aliran pemikiran semata-mata. Oleh sebab itulah Al-Azhar mengamalkan keterbukaan dalam masa yang sama mengajarkan konsep ISLAM yang syumul dan kontemporari tanpa menyekat mana-mana individu mengikut pemikiran masing-masing selagi tidak bertentangan dengan syara'.

Selebihnya kitalah yang membentuk tuntutan ISLAM itu sendiri untuk menaikkan ISLAM itu sendiri. Kita yang perlu menyemai konsep amal ISLAMI yang sebenarnya dan menjauhi amalan sekular, liberal,
modenisasi dan sebagainya yang hanya mengambil ISLAM sebahagian sahaja dan meninggalkan sebahagian yang lain. Itulah yang menyalahi syumulnya ISLAM mengikut ajaran yang dibawa oleh JUNJUNGAN BESAR SAW. Atas kapasiti pemahaman yang jelas terhadap tuntutan amal ISLAMI yang sebenar inilah PMRAM dibenci dan dihujum dengan pelbagai dakyah membawa ideologi yang sama dengan parti politik ISLAM di Tanah Air bahkan dunia keseluruhannya.

Selain itu penulis juga berminat untuk menjelaskan kepada sidang pembaca yang mencari kesalahan PMRAM bahawasanya bukanlah bermaksud perwakilan tidak mengusulkan usul yang menyentuh soal peningkatan akademik, penguasaan Bahasa Arab dikalangan ahli dan sebagainya menandakan PMRAM tidak mengambil berat. Isu pendidikan dan peningkatan Bahasa Arab merupakan agenda utama dan ianya terbukti mencapai misinya pada sesi lepas melalui majlis-majlis tafaqquh yang menjemput sheikh-sheikh dan doktor di Al-Azhar itu sendiri yang menyampaikan ceramah mereka dalam Bahasa Al-Quran itu secara tidak langsung.

Dalam masa yang sama penekanan yang serius PMRAM terhadap ahli dalam isu yang didakwa itu sebenarnya tidak pernah dilupakan pada setiap kali program-program yang dijalankan bukan sahaja oleh PMRAM, bahkan oleh BKAN dan DPM yang merupakan wakil kepada ahli masing-masing. PMRAM tidak ingin melihat penguasaan dalam melaksanakan program akan tetapi diwakilkan kepada BKAN dan DPM dalam menggembleng tenaga meningkatkan dua elemen yang sering dilemparkan itu.

Baiklah, penulis merasakan cukup setakat ini dahulu penjelasan penulis berkenaan dengan beberapa perkara bagi menjelaskan kedudukan yang sebenar. Penulis tidak mahu pihak yang bertanggungjawab melihat mereka berjaya menyerang dengan hujah-hujah yang sama dimainkan saban tahun. Selebihnya ahli yang berada di bawah naungan PMRAM sayugianya menilai dengan bijak di manakah situasi PMRAM tika ini dengan serangan pihak-pihak yang cemburu dengan kesatuan yang PMRAM terbitkan. Tidak hairanlah mengapa saat ini jelas perjuangan beberapa pertubuhan untuk meraih ahli sehingga tegar menyemai fitnah kepada PMRAM untuk memecah belahkan ahli itu sendiri.

Bersama pertahankan kesatuan ISLAM ini. Bersama pertahankan PMRAM selagi mana perjuangannya tidak lari dari tuntutan ISLAM. Bersama menolak pemikiran yang sempit menerapkan nilai-nilai munafik dan fasik dalam diri. Seterusnya bersamalah kita bersatu di bawah naungan ISLAM dan mana-mana pertubuhan yang jelas memperjuangkan semangat cintakan ALLAH, RASULULLAH SAW dan ISLAM itu sendiri jauh dari semangat perkauman, kebangsaan dan kenegaraan!


Kata Muthaqqaf :
Penulis berhak bersuara sebagaimana kalian. Selagi mana penulis berada di landasan yang benar fikirkanlah. Sekiranya penulis terpesong dan tersasar dari jalan menuju ALLAH, maka tegurlah dengan penuh berhikmah dan nasihat yang terbaik. Moga bersama kita mencurahkan idea, keringat dan material untuk kepentingan
ISLAM bukan kepentingan peribadi!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Sunday, March 29, 2009

|| Selamat Maju Jaya PMRAM 2009! ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Akhirnya 'kerajaan mahasiswa' PMRAM 2009 berjaya dibentuk dengan perletakan dan penyusunan barisan kepimpinan yang padu dan berdaya saing dalam meneruskan era kepimpinan abang-abang lama sejak dahulu lagi. Maaf penulis agak kelewatan untuk memaklumkan kepada kalian semua yang menantikan siapakah muka-muka baru yang memegang portfolio-portfolio
yang terkini. Penulis mendapatkan maklumat terkini berkenaan barisan kepimpinan PMRAM sesi 2009 ini dari blog sahabat penulis, saudara Syafiq Zulakifli yang telah diangkat sebagai Anggota Penasihat PMRAM bersama 3 orang penasihat yang lain.

Pesan penulis kepada barisan kepimpinan PMRAM 2009 supaya kalian semua meneruskan segala usaha-usaha menaikkan kualiti para mahasiswa di Mesir yang merangkumi Pengajian ISLAM dan Perubatan walaupun di sana terdapat sekatan yang menghalang kebersamaan beberapa pihak. Teruskan kesinambungan tema yang tercipta tahun lepas untuk memastikan sasaran tema tersebut lebih matang dan menyeluruh. Pastikan 'JULANG THAQAFAH, BAKTI DICURAH' sentiasa bersemi di kalangan ahli. Elakkan perpecahan dan semai mahabbah wa rahmah sesama masyarakat pelajar agar wawasan ISLAM yang syumul dapat dihayati bersama.

Salam perjuangan buat kalian semua. Teruskan berpegang teguh dengan tali ALLAH dan jangan bersengketa dan bertelagah sesama kita. Peliharalah hubungan bersama ALLAH dengan penuh khusyuk dan ikatan yang utuh. Dalam masa yang sama hubungan sesama manusia yang harmoni akan terhasil akibat dari keterikatan yang hebat dengan RABBULIZZATI. InsyaALLAH, pemeliharaan ALLAH akan berpanjangan sehingga ke akhirnya walaupun diasak dan dikecam dari pelbagai sudut.Kekuatan PMRAM adalah datangnya dari ALLAH bukan dari kepimpinan yang mentadbir.

Ku tinggalkan kalian dengan sebaris kepimpinan yang terlantik dari wakil sahabat-sahabat kalian yang mencalonkan barisan PMRAM 2009 yang padu dan mantap. Bukan sekadar menatap sebuah pengorbanan yang bakal mereka sajikan, malah seruan untuk membantu amat diperlukan untuk menggerakkan agenda peningkatan kebajikan, pendidikan, thaqafah dan kepimpinan di kalangan ahli PMRAM itu sendiri. Semoga rahmat dan hikmah sentiasa menghiasi dada-dada para pejuang agama ALLAH walau di mana sahaja keberadaannya.


STRUKTUR ORGANISASI PERSEKUTUAN MELAYU REPUBLIK ARAB MESIR (PMRAM) 2009


PRESIDEN (PENGERUSI HAL EHWAL WANITA ISLAM [HEWI])
ABDUL MU`IZZ
BIN MUHAMMAD

TIMBALAN PRESIDEN (LAJNAH PERANCANG DAN PANITIA)

SHAHRIZAN
BIN MOHD HAZIME

NAIB PRESIDEN I (LAJNAH DAKWAH DAN PEMBANGUNAN INSAN)

MOHD AZRUL
BIN ISMAIL

NAIB PRESIDEN II (LAJNAH MUHAFAZAH)
NIK ROSDI BIN NIK JUSOH

NAIB PRESIDEN III (LAJNAH KEBAJIKAN DAN KEMANUSIAAN)

MUHAMAD ZUHAILI
BIN SAIMAN

SETIAUSAHA AGUNG

MOHD ADLAN BIN MOKHTARUDDIN

TIMBALAN SETIAUSAHA AGUNG

MUHAMMAD ABDUL MALIK
BIN ABDUL KARIM

NAIB SETIAUSAHA AGUNG (LAJNAH PENDAFTARAN)

AMALUDDIN
BIN ARSHAD

BENDAHARI KEHORMAT

MEOR MOHAMMAD KHAIRUL ANUAR BIN KHAIRUDDIN


BADAN PENDIDIKAN DAN KOMUNIKASI BAHASA

MOHD YAZID
BIN PARDI

BADAN PENGETAHUAN DAN PENYELIDIKAN

MOHD FARKHAN
BIN MD ZAIN

BADAN PENERANGAN DAN PENERBITAN

AHMAD TAUFIQ
BIN MOHD DAHLAN

BADAN EKONOMI

MOHAMAD AZLAN
BIN ALIAS

BADAN SAMBUTAN DAN REHLAH

MUHAMMAD LABIB BIN ABD JALIL


BADAN KEBUDAYAAN, KESENIAN DAN SUKAN

JAMAL NAJMUDDIN
BIN SULAIMAN

STRUKTUR ORGANISASI HAL EHWAL WANITA (HEWI)
PMRAM 2009


TIMBALAN PENGERUSI HEWI
SITI ANISAH BINTI AHMAD

NAIB PENGERUSI HEWI I (UNIT PERANCANG DAN PANITIA)
NUR MAZNI BINTI AHMAD PAUZI

NAIB PENGERUSI HEWI II (UNIT DAKWAH DAN PEMBANGUNAN INSAN)
NOR HIDAYAH BINTI CHE YUSOF

NAIB PENGERUSI HEWI III (UNIT MUHAFAZAH)
SHAHIDATUL AKMA MOHD SHA`ARY

SETIAUSAHA HEWI
NOR HAFIZA BINTI ABDUL WAHAB

TIMBALAN SETIAUSAHA HEWI
NOR HIDAYAH BINTI ABDUL RAHMAN

NAIB SETIAUSAHA HEWI (UNIT PENDAFTARAN)
SAMIHAH BINTI ABDULLAH

BENDAHARI HEWI
`IZZATI FARHANA BINTI MAHADZIR

UNIT KEBAJIKAN DAN KEMANUSIAAN
NORRAUDAH HANUM BINTI HJ SALIM

UNIT PENDIDIKAN DAN KOMUNIKASI BAHASA
SITI NORSANIYAH BINTI SHAPIIN

UNIT PENGETAHUAN DAN PENYELIDIKAN
HURRIYYAH BINTI ABDUL MOKTI

UNIT PENERANGAN DAN PENERBITAN
IBTISAM BINTI MOHAMAD

UNIT EKONOMI
SITI FATHIYAH BINTI MOHD RAZI

UNIT SAMBUTAN DAN REHLAH
FAUZIAH BINTI ABDUL RAHMAN

UNIT KEBUDAYAAN KESENIAN DAN KEMASYARAKATAN
SITI UMAIRAH BINTI SAMSUDIN


Kata Muthaqqaf : Tiada tuhan paling sempurna ALLAHU RABBUNA,Tiada kalam seindah AL-QURAN, tiada nasihat secantik SUNNAH, tiada model sebaik RASULULLAH SAW, tiada agama sesyumul ISLAM, tiada manisnya perjuangan tanpa UJIAN DAN MEHNAH. Salam perjuangan buat kalian.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa