Video Klip Pilihan

Friday, July 17, 2009

|| Mana Silapnya Ukhuwah Ini? ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Orang-orang beriman itu Sesungguhnya bersaudara. sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap ALLAH, supaya kamu mendapat rahmat.

Al-Hujurat : 10

Kala ini Hari Keluarga Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir 2009 sedang berlangsung untuk hari yang ke-3 sebelum menutup tirainya keesokan harinya di Rumah Johor, Rabaah. Bukan sahaja Johor, bahkan hampir keseluruhan Badan Kebajikan Anak Negeri yang bernaung di bawah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir sedang mengadakan Hari Keluarga bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah sesama negeri.

Namun disebalik tujuan yang murni ini masih ramai yang tidak mengambil peduli akan kepentingan program-program yang dijalankan oleh Badan Kebajikan Anak Negeri masing-masing yang menghimpunkan seluruh anak-anak negeri berkampung di Kota Kaherah, Mesir.

Kebanyakan sahabat-sahabat yang berada di cawangan-cawangan bahkan yang berada di Kota Kaherah tidak langsung meluangkan masa walaupun sebentar untuk bersama-sama menjayakan hari keluarga yang diadakan.

Ramai yang memandang enteng program ukhuwah sebegini yang diadakan dengan tujuan untuk menghimpunkan antara 'abang/kakak lama' dan 'adik-adik yang baru' yang rata-rata tidak mengenali antara satu sama lain. Adalah tidak munasabah untuk menyalahkan 'adik-adik baru' yang tidak mengenali 'abang/kakak lama' seandainya mereka tidak turun merendahkan ego berjumpa dan memperkenalkan diri.

Dari situlah jalinan ukhuwah akan mampu dipererat melalui ziarah dan bertukar-tukar pandangan susulan daripada pertemuan antara dua zaman sekaligus mengukuhkan ukhuwah ISLAMIAH sesama muslim yang dituntut ISLAM selama ini.

Apa gunanya kita mempelajari, mendalami dan mengaji ilmu Usuluddin, Syariah ISLAMIAH, Dirasat ISLAMIAH, Bahasa Arab, Tahfiz dan Qiraat bahkan Perubatan sekalipun sekiranya aspek ukhuwah tidak mampu untuk dipelihara. Apa gunanya berada di satu tempat pengajian akan tetapi nilai persaudaraan sesama kita tidak dapat disemai apatah lagi apabila pulang ke Malaysia nanti apabila masing-masing akan sibuk dengan kerjaya, keluarga dan tugas.

Tatkala itu penyesalan tiada gunanya. Masa yang berlalu tidak akan dapat diputar kembali. Manisnya ikatan ukhuwah di alam pengajian tidak akan dapat digembur kembali kerana masing-masing mempunyai prioriti tersendiri untuk ditunaikan dengan amanah dan tanggungjawab yang kian bertambah untuk dipikul.

Masalah yang kian parah ini berlaku hampir di keseluruhan Badan Kebajikan Anak Negeri yang berhadapan dengan komitmen ahli yang teruk. Kemunculan 'abang/kakak lama' ke Rumah Anak Negeri hanyalah apabila wujudnya keperluan. Sebagai contoh apabila urusan zakat, biasiswa dan pinjaman.

Maka akan terpacul dari mulut 'adik-adik lama' pertanyaan "siapa ustaz/zah tu? Tak pernah nampak pun?". Bahkan ada di kalangan exco BKAN yang tidak mengenalinya hingga terpaksa membuka semula fail pendaftaran untuk memastikan adakah mereka merupakan ahli yang sah.

Bagi mereka yang berperasaan pastinya akan berasa malu dan segan seandainya hingga ke tahap itu mereka tidak dikenali. Namun bagi mereka yang tidak berperasaan, ianya sesuatu yang biasa. Malah ada yang mengatakan "inilah 'adik-adik baru' tak datang rumah 'abang/kaka lama' lepas tu tak kenal".

Siapakah yang patut dipersalahkan apabila kesedaran ukhuwah sesama muslim di negara orang ini tidak mampu untuk dijaga? Adakah pihak BKAN juga dipersalahkan sedangkan program-program yang diadakan tidak mendapat sambutan? Fikir-fikirkanlah.

Bukan bermaksud untuk menuding 'abang/kakak lama' dalam perkara sebegini. Akan tetapi saya selaku antara 'abang lama' agak terasa apabila ada di kalangan 'adik-adik baru' bahkan 'abang/kakak lama' yang bersuara tidak kenal.

Maka wajarlah program seumpama hari keluarga yang diadakan sekali setahun diraikan dengan sebaik-baiknya dengan memperkukuhkah ukhuwah sesama ahli anak negeri selain ukhuwah yang dipererat sesama sahabat yang berlainan negeri dan negara.

Pentingnya di Malaysia kelak. Apabila kita telah selesai pengajian dan menceburkan diri di medan sebenar yang kadangkala berhajat kepada bantuan sahabat-sahabat lain yang mempunyai kelebihan dalam sesuatu bidang untuk dikongsi di tempat kita sebagai contoh.

Buat anak-anak Johor yang masih berada di cawangan-cawangan bahkan yang berada di sekitar Kota Kaherah masih berbaki sehari untuk kita menebus kesilapan ini. Meriahkan hari keluarga yang akan menutup tirai keesokan harinya di Rabaah. Bersama kita datang ke Rabaah di sebelah pagi yang akan diisi dengan pembentangan kertas kerja 'Tahnik, Azan dan Aqiqah' dan sebelah petangnya pertandingan bowling di Kota Keriangan Wonderland, Abbas Aqad.

Maklumat lanjut bolehlah kalian layari blog rasmi Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir. Klik di sini. Begitu juga dengan anak-anak negeri yang lain.

Semoga ukhuwah sesama kita dapat diutuhkan dengan sebaiknya sebelum kita pulang ke tanah air kelak untuk memperkukuhkan ukhuwah umat ISLAM pula.

Kata Muthaqqaf : Ku impikan umat ini kembali bersatu. Ku impikan perjuangan umat ini kuat lagi utuh. Ku juga bermimpi ingin melihat sahabat-sahabat di sekelilingku kembali bersatu mengangkat martabat ISLAM mengikut kehendak YANG ESA. Namun segala itu tidak akan terlaksana andai masih ada ego dan mementingkan diri sendiri. Ayuh kuatkan ukhuwah ini. Moga ISLAM juga akan kuat dengan kuatnya ikatan ukhuwah yang murni ini. Salam ukhuwah untuk semua.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: