Video Klip Pilihan

Showing posts with label .:: Mahasiswa Pengubah Masa Depan Negara ::.. Show all posts
Showing posts with label .:: Mahasiswa Pengubah Masa Depan Negara ::.. Show all posts

Friday, June 03, 2011

Misi Menambah Ilmu Bermula...



Alhamdulillah, kesyukuran ke hadrat yang Maha Esa di atas kesempatan yang diberikan untuk menambah baik sahsiah dan memperbaiki bidang pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan. Moga diri ini akan lebih terarah dalam meneruskan tradisi penyampaian ilmu yang lebih baik selepas ini. Terima kasih kepada isteriku yang tersayang, adik beradikku, keluarga mertuaku dan semua orang-orang yang ku sayangi di atas sokongan dan dorongan yang tidak berbelah bahagi. Insyaallah, akan ku lakukan yang terbaik. Moga Allah berkati segala usaha yang baik.

Peace no war... ^_^

Tuesday, December 15, 2009

|| Ahlan Wa Sahlan 1431 Hijrah! ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Tahun 1430 semakin hampir melabuhkan tirainya. Tanpa disangka-sangka begitu pantas masa berlalu memasuki tahun yang berikutnya. 1431 hijrah tahun
ISLAM yang bakal kunjung tiba hari Jumaat ini. 1 Muharram tarikh yang kurang diambil perhatian oleh masyarakat yang mengaku muslim berbanding tahun masihi yang diingat sampai bila-bila.

Kalendar atau taqwim merupakan tahun umat ISLAM yang diperkenalkan ketika zaman Khilafah Islamiah Saidina Umar Al-Khattab yang terkenal dengan pelbagai perkara-perkara baru untuk kemaslahatan umat ISLAM. Sejarah yang semakin dilupakan yang perlu disuntik kepada muda mudi muslim.


Peranan ini bukan satu tugas yang ringan. Ia memerlukan tenaga yang cukup besar bagi menyedarkan umat ISLAM akan sejarah-sejarah penting yang perlu disemai seterusnya menjadi suntikan semangat untuk berjuang mempertahankan AD-DIN dari terus diperkotak katik oleh musuh.

Peranan sesebuah kerajaan adalah yang paling utama seterusnya dicorakkan kepada para pimpinan sebelum menjadi contoh kepada rakyat jelata. Andai tiada usaha menanam semangat cintakan ISLAM kepada rakyat nescaya akan semakin jauhlah masyarakat.

Justeru kewujudan parti, NGO, gerakan mahasiswa dan individu iti sendiri diharap mampu mengembalikan masyarakat kepada ISLAM seterusnya memilih kepimpinan yang benar-benar memenuhi tuntutan agama itu sendiri.

Ayuh kita pasakkan api semangat cintakan ALLAH, RASULNYA dan ISLAM pada tahun baru yang bakal menjelma. Mainkan peranan kita selaku hambaNYA dan penganutnya yang tidak hanya duduk diam melihat kerosakan terhadap agama oleh tangan-tangan jahiliah.

Klik di LINK ini untuk memuat turun doa akhir tahun dan awal tahun. SALAM MAAL HIJRAH 1431 kepada semua umat ISLAM di serata dunia!

Kata Muthaqqaf : Untuk akhirnya jangan lupa untuk sama-sama kita membaca doa akhir tahun (sebelum Maghrib) dan doa awal tahun (selepas solat fardhu Maghrib) di rumah-rumah ALLAH atau bersama keluarga di rumah. Moga diampunkan segala khilaf, dosa, kemaksiata, salah dan silap sepanjang tahun ini dan dilindungi dari perkara-perkara yang dimurkaiNYA pada tahun hadapan.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Sunday, November 15, 2009

|| Sampaikanlah... ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Ku akui
Hati sering berbicara
Sukma mengkritik benci
Pilu menyorot
Maksiat tegar
Dosa memugar
Diangkat diktator
Rakus membina batuan
Remeh memupuk naluri

Akhir zaman
Manusia berlaku jaguh
Dosa bersalut maksiat
Tanggal malu
Terbang maruah
Seiring api murka
Bersemarak lolongan
Neraka bertakhta
Tersedia buat mereka

Di sana sini
Tidak bersembunyi
Sesuai ditonton
Semua lapisan
Tiada pembela
Tampil membenteng
Menyumpah di sukma
Takkan berkesudahan

Bilakah agaknya
Kan lahir asadullah
Tiada silu terkaku
Tiada rapuh berguru
Tegas mendaulat
Mengarak obor
Kesucian AL-ISLAM


Sampaikanlah
Arahan ringkas
Padat bermakna
Rantaian bertali arus
Warisan mulia
Di anjung kasih-NYA

Muthaqqaf Azhari,
Teratak Sri Pulai Perdana.



Kata Muthaqqaf : Monolog hati sering mengungkapkan kebenaran kerana hati itu suci sesuci kain yang putih. Namun apabila nafsu yang berkuasa, gelap gempita menyelubungi andai ianya tidak dirantai dengan sebaiknya. Rona-rona alam banyak memberikan ilham. Moga lebih berdedikasi untuk membantu agama-NYA.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Sunday, October 11, 2009

|| Bukan Milik Kita ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Nampak gayanya Bagan Pinang yang merupakan kubu kuat UMNO masih bukan milik kita. Rakyat yang merupakan pengundi telah menentukan pilihan mereka. Mereka lebih cenderung untuk memilih calon yang popular dan dikenali ramai tanpa melihat terlebih dahulu dari aspek lain yang telah mencemari ciri-ciri seorang pemimpin yang sepatutnya dipilih.


Selain Jentera Pilihanraya PAS perlu menilai dan membuat analisa sepenuhnya mengenai kecenderungan para pengundi yang beralih arah, rakyat jelata umumnya juga perlu melihat dengan lebih telus adakah begini masa hadapan negara kita. Menghalalkan perkara yang jelas diharamkan oleh ALLAH berkenaan dengan rasuah yang seolah-olah dipandang sepi.

Dalam masa yang sama, andai dilihat saban hari sebelum hari pembuangan undi PAS dan Pakatan sentiasa diburuk-burukkan oleh media tali barut BN/UMNO yang menjadi hidangan rakyat Malaysia setiap hari. Tidak hairanlah mereka mempergunakan jentera atas nama kerajaan Malaysia dengan sebaik mungkin sehingga menghalalkan yang haram, menanggalkan demokrasi yang menjadi 'laungan takbir' selama ini.


Sekaligus menidakkan laungan 1 Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' hanya demi kepentingan survival politik sempit mereka yang semakin berpecah menanti belah. Juga kenyataan yang mengatakan seolah-olah hanya BN/UMNO yang mampu membawa agenda perpaduan, kemajuan dan pembangunan menafikan parti-parti lain gagal untuk mentadbir negara.

Rakyat Malaysia semakin menuju ke arah masyarakat yang cerdik dan bijak dalam membuat pilihan. Bahkan semakin bijak menimbang sesuatu berita yang disampaikan oleh media yang dieksploitasi oleh kerajaan pemerintah sahaja. Diskriminasi terus berlaku tanpa memberikan ruang sedikit pun kepada parti-parti dalam Pakatan untuk bersuara.

Namun di celah-celah timbunan intan yang berkilau, ada juga kaca yang sudah sebati dengan pengamalan kerajaan sedia ada sekaligus berpandangan hanya kerajaan sedia ada sahaja yang mampu mentadbir Malaysia walaupun terlibat dengan rasuah, politik wang dan bermacam lagi kejahatan yang disembunyikan.


Moga masih ada sinar kejayaan dan kemenangan yang menanti suatu masa nanti apabila kebangkitan menegakkan ISLAM, keadilan dan kebenaran menjadi tunjang dalam diri.

Tahniah kepada sahabat-sahabat pemuda, para petugas dan para pemimpin PAS yang berjuang bertungkus lumus demi membawa suara ISLAM dan ciri-cirinya dihayati bersama. Meski kita kalah pada kali ini, mungkin ada hikmahnya yang ALLAH dah tentukan untuk penghayatan kita di masa mendatang.

Kata Muthaqqaf : Sesungguhnya setiap helaan nafas yang kalian hembuskan semasa berjuang membantu ISLAM dilihat oleh ALLAH sebagai helaan amal bakti sebagai bukti tatkala bertemuNYA kelak. Semoga setiap amalan yang menuju redhaNYA mendapat perhatian yang sewajarnya. FI RI'AYATILLAH!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Saturday, October 10, 2009

|| Titipan Semangat - Undilah PAS! ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Sekali dengar tiap bait lagu ini dinyanyikan, begitu indah sekali. Dalam kesedihan diri ini tidak dapat sama-sama membantu sahabat-sahabat seperjuangan di Bagan Pinang, namun diri ini akur. Selepas ini masih banyak lagi siri-siri perjuangan yang memerlukan diri ini untuk meluangkan masa, tenaga dan jiwa demi merealisasikan misi 'ISLAM Memimpin perubahan' dinikmati semua.

Tiada lain yang mampu ku titipkan di kejauhan ini. Hanya titipan doa dan kata-kata juang agar kalian terus thabat, sabar dan berkobar-kobar demi memastikan ISLAM terus bertahkta di hati masyarakat. Seterusnya menjadi pilihan untuk menjulang kedaulatan ISLAM supaya sentiasa berada di puncaknya.

Justeru itu, untuk kalian semua ku titipkan sebuah lagu yang bukan sekadar lagu. Akan tetapi sebagai azimat buat diri para pejuang ALLAH sekalian dalam menempuh kejahatan orang-orang kafir, fasiq, munafiq bahkan umat ISLAM itu sendiri yang tidak ingin melihat ISLAM berdiri tertegak.

Hiasilah diri kita semua dengan sebahagian dari sifat mahmudah yang merupakan qudwah hasanah dari RASULULLAH SAW sebagai panduan mengharungi liku-liku perjuangan yang penuh duri. Maaf kerana tidak berkesempatan bersama kalian dalam membantu perjuangan jihad fi sabilillah yang amat-amat dinantikan oleh semua. Salam perjuangan!

SIFAT MAHMUDAH - Hijjaz

Chorus
Inilah sebahagian Sifat Mahmudah
Yang patut ada pada diri kita
Susah dimiliki payah dijaga
Hanya yang punya
Yang bermujahadah (2x)

IKHLAS itu jiwa yang murni
Rahsia
ALLAH di dalam hati
Terlalu sembunyi tapi dapat dikesan
Jika disuluh dengan saksama
Nista dan puji tiada berbeza

REDHA sifat hati yang suci
Ujian yang tiba rasa gembira
Atau tiada apa terasa
Kerna menerima anugerah Tuhannya (2x)

Sifat SABAR sedikit berbeza
Ujian yang menimpa sakit dirasa
Tapi dapat ditahan perasaannya
Hanya bermain di dalam sahaja
Di luar tidak nampak terang nyata


Kata Muthaqqaf : Inilah cabaran dalam memperjuangkan ISLAM. Tiada yang mudah. Tiada yang goyang kaki. Segalanya memerlukan ketahanan fizikal, mental, iman dan takwa merantai jiwa dan atma merintis jalan-jalan syahid di hadapan. Moga ALLAH memandang usaha kita ini dalam timbangan rahmat dan redhaNYA.

Undilah PAS untuk kesejahteraan sejagat demi memastikan ISLAM kembali di persada. ALLAHU AKBAR!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Friday, October 09, 2009

|| Sebelum Terlewat ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Ingatan dan pesanan kepada seluruh umat ISLAM, saudara-saudara seakidah yang cintakan ALLAH, cintakan RASULULLAH SAW dan cintakan ISLAM yang dibawa oleh Baginda SAW untuk melaksanakan puasa sunat 6 Syawal. Ianya bukan sunat yang biasa akan tetapi sunat muakkad iaitu sunat yang digalakkan.

Perlaksanaan amalan-amalan sunat ini bukan sekadar tuntutan, bahkan ianya dilihat sebagai penampung kepada amalan wajib yang dilaksanakan andai berlaku kekurangan dan kelompongan yang mengurangi fadhilat di dalamnya.

Abu Ayyub al-Ansari ada meriwayatkan satu hadith daripada RASULULLAH SAW di dalam menerangkan tentang kelebihan puasa enam Syawal yang maksudnya : “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun.” (Dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, juga dikeluarkan oleh sekalian ramai ulama hadith seperti At-Tirmizi, An-Nasaie dan Ibnu Majah)


Imam As-Syafie menjelaskan bahawa hadith ini adalah hadith sahih.

Imam At-Tabrani pula ada mengeluarkan di dalam susunan hadithnya yang turut berkaitan dengan fadhilat puasa enam Syawal maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan diikuti kemudiannya puasa enam hari dalam bulan Syawal, keluarlah dari dirinya segala dosa seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya”


Berbaki 10 hari lagi sebelum memasuki bulan Zulkaedah, segerakanlah melaksanakannya untuk menguatkan iman dan menambahkan tanda kecintaan kita kepada ALLAH dan RASULNYA. Seterusnya meningkatkan kesabaran dan keimanan kita untuk berhadapan dengan liku-liku cabaran dalam menegakkan ISLAM di atas muka bumi ALLAH ini.

Rujukan Quran dan Sunnah melalui Forum ukhuwah.com klik pada link untuk penjelasan lebih terperinci.

Kata Muthaqqaf : Jangan lewat-lewatkan sesuatu perkara, kelak apabila ianya berlalu penyesalan sudah tidak berguna lagi. Beraya beraya juga. Ibadah kena tingkatkan juga. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Moga perjuangan akan lebih manis apabila ditambat ikatan cinta kepada ALLAH dan RASULNYA. FI RI'AYATILLAH!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Thursday, October 08, 2009

|| Mesej Dari Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Ini sudah lebih. Melampau sangat puak-puak pemuda UMNO/BN yang menyahut seruan hunusan keris Menteri Dalam Negeri. Inilah jadinya apabila amalan samseng telah diajarkan oleh pemimpin tertinggi UMNO/BN itu. Masalahnya orang-orang Melayu ISLAM UMNO yang buat. Memalukan bangsa sendiri! Lebih teruk lagi memalukan agama!

Mesej dari Ketua DPPP, Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi melalui Ustaz Zaifuddin Ketua Pemuda Kawasan Gelang Patah : 'Keadaan semakin kritikal. Ramai ahli kita dipukul. Semalam Markaz Pemuda PAS Pusat telah diceroboh dan petugas dihalau keluar. Demi ALLAH dengan nama Jihad Fi Sabilillah ana selaku pemegang amanah Ketua DPPP mengerahkan seramai mungkin pemuda dari seluruh negara agar turun ke Bagan Pinang.' Daripada Tantawi


Kepada sahabat-sahabat seperjuangan yang dikurniakan kesihatan jasad dan rohani bersama-samalah turun menghulurkan bantuan bagi mempertahankan survival PAS di sana dan memastikan keamanan dari terjadi keganasan yang melampau dari saudara seagama kita yang sudah hilang akal dan kawalan.

YA ALLAH BANTULAH TENTERA-TENTERAMU YANG SEDANG BERJUANG MEMPERTAHANKAN AGAMAMU WALAU DI MANA MEREKA BERADA! ALLAHU AKBAR!

P/S : Klik pada perkataan berwarna pink untuk mengetahui berita lebih lanjut.

Kata Muthaqqaf : Penulis mempunyai semangat yang sama dengan kalian untuk membantu ISLAM dan PAS dari terus dibelasah untuk menimbulkan provokasi supaya kita kembali membalas keganasan UMNO/BN seterusnya meraih undi simpati dengan mengatakan PAS/PR memulakan keganasan. Dasar hati busuk!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Wednesday, October 07, 2009

|| Dapat 'Cuti' Tambahan ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Sudah lebih sebulan saya bercuti selepas berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Hajat di hati ingin segera mendapatkan kerjaya setelah sahabat-sahabat seperjuangan lain telah mendapat tempat.

Namun apakan daya, ALLAH tambahi lagi cuti yang sedia ada 2 minggu lagi untuk saya berehat membiasakan dengan persekitaran masyarakat juga isu-isu yang berlegar di dalamnya. Cuti yang tidak bergaji.

Kaki kiri yang terseliuh sebagaimana yang tercatat dalam entri Ahad lepas, sebagaimana yang ditetapkan ALLAH. Sepertimana yang dinasihati doktor sebelum ini, lantas saya mendapatkan rawatan lanjut pemeriksaan sinar x untuk mengenal pasti bengkak yang masih tidak surut.

Jelas kelihatan keretakan pada tulang jari kelingking yang apabila mendapat nasihat doktor Hospital Besar Kuala Lumpur perlu disimen demi memastikan keseimbangan tulang yang retak itu agar tidak menjadi lebih teruk.

Dalam tempoh 2 minggu ini, saya dinasihatkan bergerak dengan menggunakan tongkat dan tidak banyak menggunakan kaki kiri yang disimen dari bawah lutut sehinggalah ke jari jemari kaki.

Ku sangkakan kemalangan kecil itu tidak membawa sehingga kakiku disimen dan berjalan menggunakan tongkat pula. Pengalaman dan ujian buatku. Walau kemalangannya kecil namun untuk masa depan, adalah lebih baik.

ALLAH sendiri berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud ;

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; ALLAH mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui."

Saya redha dengan ketentuan ini. Hanyalah doa dari kalian yang saya harapkan semoga kakiku ini disembuhkan segera dengan izin ALLAH. Kemaafan jua dipinta daripada sahabat-sahabat andai dalam tempoh masa 2 minggu ini ada hak-hak yang tidak dapat saya tunaikan.

Kata Muthaqqaf : Anugerah Media ISLAM Negara [AMIN] malam ini di Putrajaya International Conference Centre, Konvokesyen sahabat-sahabat di UIA pada hari Sabtu ini dan PRK di Bagan Pinang keesokan harinya yang pastinya tidak dapat saya hadiri atas keuzuran yang tidak diduga ini. Moga kejayaan, kemenangan, rahmat, inayah dan hidayah ALLAH sentiasa mengiringi kalian semua. Salam penuh kerinduan dan kasih sayang buat kalian semua.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Monday, October 05, 2009

|| UMNO Bagai Telur Di Hujung Tanduk ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Kurang seminggu dari sekarang akan berlangsung buat sekian kalinya Pilihanraya Kecil Bagan Pinang N.31 yang menyaksikan pertembungan buku dan ruas PAS dan UMNO. PRK sebelumnya menyaksikan kemenangan berturut-turut di Semenanjung Malaysia di pihak PAS-DAP-PKR yang membentuk Pakatan Rakyat.


Suara PR ini memberikan kesan yang amat mendalam kepada rakyat dalam memperjuangkan kebenaran, keadilan, ketelusan dan kebebasan yang rata-rata diidami semua. Tsunami politik yang berlaku pada PRU12 yang lepas masih memberikan impak yang amat mendalam kepada rakyat yang sedar akan kebobrokan yang berlaku pada kerajaan pemerintah UMNO-BN selama lebih 50 tahun.

Dalam keghairahan para pemimpin pemerintah menghentam dan mencipta keburukan terhadap PR mereka tidak menyedari bahawa rakyat bukanlah bodoh setelah melihat hasil pemerintahan selama lebih setengah abad. Diikuti dengan siri-siri pembongkaran yang semakin menyerlahkan kebobrokan dan ketidak telusan yang telah dilakukan oleh mereka.

Lihat sahajalah berita-berita yang disiarkan oleh 'Media Prima' yang merupakan ejen UMNO-BN dalam membuat propaganda memburuk-burukkan pakatan pembangkang dengan pelbagai tuduhan yang berniat mala-fide. Seterusnya menjadikan mereka seolah-olah teraniaya, telus dan bersih mengharapkan undi simpati menyebelahi mereka dengan menggunakan seluruh jentera kerajaan (PDRM, SPRM, ISA etc.) bagi memastikan kuasa di tangan mereka dapat terus kekal.


Apakah rakyat yang semakin menuju ke arah negara membangun dengan penerapan nilai-nilai ilmu yang tinggi akan bersikap tunggu dan lihat dengan hanya mengejar kemajuan semata? Rakyat Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan sudah membuktikan mereka bukanlah bagaikan lembu yang dicucuk hidungnya dengan hanya memangkah dengan membuta tuli tanpa melihat calon mereka terlebih dahulu.

Rakyat yang semakin bijak membuat pilihan dalam menentukan masa hadapan negara mengetahui yang mana baik dan buruk. Yang mana adil dan bobrok dalam pelbagai sudut.

Dengan izin ALLAH, yang batil pasti akan dikalahkan oleh yang hak. Lambat laun seandainya mereka terus dengan mentaliti mengumpul harta, mengejar kebendaan, melanggar hukum ALLAH, menyemai amalan rasuah dan tidak berlaku adil dalam pemerintahan kelak janji ALLAH pasti belaku. Janji untuk menggantikan satu kaum yang membelakangi hukum ALLAH dengan satu kaum yang benar-benar cintakan ALLAH.


Ayuh kita tegakkan keadilan, perjuangkan keadilan dan semarakkan ISLAM dengan penuh bersemangat menjelaskan kepada rakyat akan hakikat yang sebenar. Adalah tidak wajar andai kita terus menerus mentaati pemimpin yang gagal menjalankan fungsi ISLAM dalam pentadbirannya selepas segala macam nasihat dan teguran diberikan.

Jadikan ISLAM model pemerintahan yang menyeluruh. Negara Malaysia yang menjadikan ISLAM sebagai agama rasmi bukan hanya sekadar sebagai pegangan semata. Sewajarnya segala tunjuk ajar yang ISLAM gariskan dilaksanakan dengan sebaik mungkin mengikut acuan yang ditunjukkan melalui Junjungan Besar, NABI MUHAMMAD S.A.W.

Jangan takut dan gentar terhadap segala macam cacian dan maki hamun kerana ianya merupakan sunnah dalam perjuangan. Semoga usaha yang secebis ini akan diambil kira oleh ALLAH tatkala hari pengadilan kelak.

Kata Muthaqqaf : Tiada yang indah dalam berjuang. Tiada yang selesa dalam bekerja untuk ISLAM. Tiada yang manis dalam menegakkan kebenaran. Tiada yang lurus jalan menuju ALLAH. Segalanya ini memerlukan pengorbanan, semangat juang yang tinggi dan ketetapan hati berjuang tiada lain semata-mata mengharapkan redhaNYA.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

|| Belum Masanya Lagi ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Belum masanya lagi...

Itulah kata-kata perangsang yang sering diulang-ulang oleh mereka yang berada di sekeliling saya. Aku baru sebulan bergelar graduan sudah bising tidak menerima sebarang panggilan kerja. Apatah lagi sahabat-sahabat lain di luar sana yang bertahun-tahun masih belum mendapat tempat.

Suatu masa nanti pasti akan ada satu tempat yang sesuai dengan saya dan setiap orang. Cuma cepat atau lambat. Bersabar diiringi usaha, doa dan tawakal kunci segala kejayaan dalam menongkah kehidupan di dunia ini.

Lagi pula buat masa ini, kerana musibah yang melanda mungkin 2-3 hari saya terpaksa di kuarantin di rumah merencat segala perancangan yang diatur. Bukan kerana saya dijangkiti influenza selsema babi (nauzubillahi min zalik). Tetapi saya ditimpa influenza 'terseliuh' yang tidak berjangkit kecuali apabila anda cuai seperti saya.

Sepertinya simptom-simptom yang berbahaya yang disebutkan oleh Doktor Yazid semalam tiada. Harap-harap keesokan hari kaki kiri ini akan kembali normal untuk saya menjalani kehidupan seperti biasa bagi menyelesaikan beberapa perkara untuk masa hadapan yang lebih cemerlang.

Sukar untuk dijangka apa yang akan berlaku 5 minit akan datang apatah lagi hari esok. Semoga hari esok lebih baik dari hari ini. Tak sabar rasanya diri ini ingin berdiri di kaki sendiri untuk turun ke pangkuan masyarakat. Melihat sendiri kebobrokan akhlak masyarakat atas tunjuk ajar dari kepimpinan negara yang jelas kebobrokannya.

Harapan diri ini, semoga kerjaya dunia yang bakal menyibukkan diri tidak menjejaskan kerjaya akhirat untuk terus mencurahkan bakti kepada masyarakat dan ISLAM secara langsung. Moga dikuatkan diri ini dan sahabat seperjuangan untuk menginfakkan diri kepada ISLAM tanpa mementingkan diri dengan dunia sahaja.

Kata Muthaqqaf : Libatkanlah diri kita dengan jamaah atau kumpulan yang memperjuangkan suara ISLAM bukan atas kepentingan bangsa dan peribadi. Elakkan diri dari terasing dan diasingkan daripada jamaah yang akhirnya jauh dari hidayah ALLAH apabila duniawi merantai kalbu.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Tuesday, September 29, 2009

|| Meneruskan Jejak Pengabdian ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah dengan penuh rasa tunduk dan syukur dipanjatkan ke hadrat
NYA kerana berjaya juga kita mengerjakan rukun ISLAM yang ke-3 iaitu berpuasa sebulan di bulan Ramadhan. Moga segala kebaikan, kebajikan, dan segala macam anugerah yang disediakan di dalamnya dapat kita bawa pulang untuk diteruskan pada hari-hari selepasnya sehinggalah dipertemukan pada Ramadhan yang berikutnya.

Sedih. Itulah perasaan yang mungkin bersemi di jam terakhir sebelum kemunculan Syawal sebagai hari kemenangan bagi mereka yang berjaya mengerjakan ibadah Ramadhan dengan penuh keimanan dan keinsafan mengharapkan keredhaan ALLAH. Itulah juga sikap yang ditunjukkan oleh orang-orang terdahulu tatkala Ramadhan bakal menyingsing.


Kini kita telah pun melangkah ke 9 Syawal dan berbaki tiga suku bulan sebelum berpindah ke bulan berikutnya. Suka untuk saya mengingatkan diri saya dan saudara-saudara seagama sekalian untuk kita sama-sama meneruskan pengabdian ini. Bersama kita kerjakan puasa 6 hari daripada bulan Syawal ini sebagai tanda syukur kepadaNYA.

Terpulang kepada kita samada ingin melaksanakannya secara berturut-turut, berselang seli ataupun pada setiap hari Isnin dan Khamis. Semoga ianya akan lebih menguatkan dan menambahkan keimanan kita kepada ALLAH.

Salam Syawal yang mulia kepada semua. Semoga kita memperolehi rahmat, inayah, hidayah dan taufiq daripadaNYA setiap masa dan ketika.

FI RI'AYATILLAH, FI AMANILLAH...

Kata Muthaqqaf : Ayuh pertingkatkan amal ibadah kita bukan bermusim akan tetapi konsisten sepanjang masa demi mencuri secebis kasih sayang ALLAH yang tinggi nilainya.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Sunday, September 27, 2009

|| Tetap Dengan Prinsip ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Walau bagaimana keadaan sekalipun, tidak akan sekali-kali ku pertaruhkan maruah dan ketinggian ISLAM dek kerana sesuap makanan di McDonalds, KFC, Pizza Hut, A&W dan yang seumpama dengannya. Buatlah macam mana pun, takkan ku berganjak dari menyokong fatwa yang dikeluarkan oleh ulama tersohor abad ini, Dr. Yusof Qaradhawi yang menyebut bahawa umat
ISLAM 'wajib memboikot' segala produk yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat, Israel Laknatullah dan konco-konconya yang bertindak menindas, memerangi serta membunuh umat ISLAM sesuka hati.

Pemboikotan ini secara jelas terbukti berjaya memberikan pengajaran yang amat berbekas kepada musuh-musuh ISLAM ini apabila mereka mengalami kerugian jutaan bilion Dolar Amerika sebagaimana yang dilaporkan. Tahniah, teruskan usaha ini sehingga mereka tunduk kepada ISLAM.


Namun panas hanyalah seketika. Tanpa diduga hujan di tengah hari. Begitulah umat ISLAM kini yang hanya memboikot, memaki hamun dan cakap berapi-api yang bersifat sementara. Penderitaan saudara-saudara seakidah di merata dunia yang tiada penghujungnya dipandang sepi.

Selepas beberapa ketika, apabila keadaan kembali reda dan aman sedangkan mereka di sana masih terus ditindas, dibedil dan dinafikan hak dengan pencerobohan yang jelas tiada kesudahannya. Sehinggalah sampai suatu masa yang telah ditetapkan yang MAHA ESA.

Untuk itu, jangan kalian hanya mendabik dada mengatakan kalian pejuang agama sedangkan apabila bab untuk berkorban, semuanya hanya mampu berdiam diri. Meskipun ianya halal, akan tetapi disebabkan keuntungannya digunakan untuk memerangi umat ISLAM, apakah kita masih mampu berdiam diri?


Berusahalah untuk menjadi penyumbang kepada kebangkitan memartabatkan kembali khilafah ISLAMIAH seandainya tidak mampu berada di saf paling hadapan mengangkat pedang! Itu pun sudah memadai jika dibandingkan dengan tin kosong yang hanya membingitkan telinga. Tapi isinya, apapun tiada.

Kata Muthaqqaf : Kepada kakakku, makcik dan sesiapa yang pernah mengajak diri ini untuk sesekali makan di restoran berkenaan, terima kasih kerana memahami kedegilan diri yang dalam banyak perkara lebih-lebih lagi menyentuh sensitiviti ISLAM. Moga kita terdidik untuk cinta dan sayangkan ISLAM seterusnya menjadi ikutan generasi mendatang. ISLAM Memimpin Perubahan!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Monday, September 07, 2009

|| Saranan Kepada Media Arus Perdana ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Lepas satu, satu ujian yang menimpa kerajaan baru Pakatan Rakyat di negeri-negeri yang diberikan mandat oleh rakyat. Hebahan permasalahan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat hebat diperkatakan oleh media arus perdana. Asam garam pergolakan yang dilalui dalam mentadbir sesebuah kerajaan semestinya akan berlaku dalam mana-mana pemerintah.

Itu merupakan cabaran untuk mematangkan sesebuah kerajaan agar dapat mempelajari sesuatu dari masalah yang menimpa sekaligus memberikan pengajaran kepada sesebuah kerajaan untuk melaksanakan amanah dengan sebaiknya.

Tapi yang menjadi masalahnya, semenjak kemenangan besar Pakatan Rakyat menguasai 5 buah negeri disamping negeri yang sedia ada, diskriminasi tetap berlaku. Diskriminasi yang sememangnya merobek demokrasi memualkan segenap penjuru perasaanku terhadap politik kotor yang dilakukan oleh pemerintah negara kita.

Bagi mereka yang hanya membaca dan meneliti pembacaan berasaskan media arus perdana yang meliputi media cetak dan elektronik pasti akan percaya bulat-bulat. Kenyataan yang berbentuk provokasi demi menjatuhkan reputasi kerajaan negeri yang di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

Menurut pengamatan saya, amalan berat sebelah yang dikenakan oleh media arus perdana adalah atas arahan pihak atasan yang semakin hilang kepercayaan rakyat. Meski berbagai cara dan tindakan yang dilakukan oleh pemerintah berkuku besi ini, ALLAH pasti akan memberikan petunjuk jalan kepada manusia agar memilih jalan yang benar.

Dek kerana pengamalan diskriminasi, berat sebelah dan kuku besi ini, saya menyarankan kepada media arus perdana menukar identiti mereka. Utusan Malaysia kepada Utusan UMNO, Berita Harian kepada Berita BN. Begitu juga TV1, TV2, TV3 dan yang seumpamanya. Dan ditambahi satu ayat, "Hanya untuk ahli BN (UMNO/MCA/MIC/GERAKAN) SAHAJA". Contohilah Harakah yang jelas memang untuk ahli PAS dan bebas memihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat sahaja.

Dengan cara ini, saya berpandangan selepas ini pasti media arus perdana yang bobrok ini tidak akan dicemuh, disaman dan diboikot kerana ketidak adilan yang diamalkan. Lakukan perubahan demi kesejahteraan dan keharmonian rakyat.

Kata Muthaqqaf : Realisasikan gagasan '1 Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'. Jangan hanya bercakap sahaja. Kelak mengundang murka YANG ESA. Andai kesedaran ini tiada, maka nantikan balasan ALLAH pada PRU13 nanti! Mahkamah ALLAH yang diberikan kuasa melalui tangan-tangan rakyat! ALLAHU AKBAR!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa