|| Bismillahirrahmanirrahim || || Allahumma Solli 'Ala Muhammad S.A.W Wa'ala Alihi Wa Sahbihi Ajma'in || || Bersama Mencari Redha Allah || || Mahbub Mardhatillah ||
Video Klip Pilihan
Wednesday, May 07, 2014
Nukilan Sulung 2014
Friday, January 04, 2013
| Carilah Allah dlm hatimu |
| Gelintarlah redhanya tanpa jera |
| Serulah namaNya dalam setiap hela nafasmu |
| Kekanglah nafsumu biarkannya sengsara |
| Temuilah Allah dalam ibadahmu |
| Rinduilah Allah dalam rukuk sujudmu |
| Semailah Muhammad dalam kata-katamu |
| Pasti kan tenang nan damai jiwamu |
| P/s: Luangkan masa kita ber'dhuha' sebagaimana kita buangkan banyak masa untuk sarapan pagi | Peace no war =) |
Friday, December 07, 2012
Antara Dua Darjat - Siri 1
' Nasihat anak murid supaya betah untuk berperang. Takkan cikgunya pucat lesi kot? ' bisikku di dalam hati.
Wednesday, December 05, 2012
Di teratak rindu ini...
Ku menangis sepi,
Meratap luluh hati,
Mengenangkan rindu yang pergi.
Di teratak rindu ini,
Ku merintih sayu,
Meruntun jiwa simpati,
Memanggil kasih silih merayu.
Di teratak rindu ini,
Ku mengharap yang Satu,
Cahaya iman dipenuhi,
Menjadi suluh dikala buntu.
C218
IPGKTI
12.00 malam
Tuesday, December 04, 2012
Ku hentikan ilham...
Sukarnya untuk mengekalkan istiqamah dalam beramal dan beribadah...
Pasti ranjaunya deras untuk dihadapi...
Sukarnya untuk mengekalkan istiqamah dalam beramal dan beribadah...
Nafsu menyerang bertubi-tubi...
Sukarnya untuk mengekalkan istiqamah dalam beramal dan beribadah...
Iman lekas merudum leka bermain...
Sukarnya untuk mengekalkan istiqamah dalam beramal dan beribadah...
Ikatan dunia tersimpul intim di hati...
Sukarnya untuk mengekalkan idtiqamah dalam beramal dan beribadah...
Ku hentikan ilham untuk mencari istiqamah yang hilang...
C218
IPGKTI
11.18 malam
Sunday, November 15, 2009
|| Sampaikanlah... ||
Ku akui
Hati sering berbicara
Sukma mengkritik benci
Pilu menyorot
Maksiat tegar
Dosa memugar
Diangkat diktator
Rakus membina batuan
Remeh memupuk naluri
Akhir zaman
Manusia berlaku jaguh
Dosa bersalut maksiat
Tanggal malu
Terbang maruah
Seiring api murka
Bersemarak lolongan
Neraka bertakhta
Tersedia buat mereka
Di sana sini
Tidak bersembunyi
Sesuai ditonton
Semua lapisan
Tiada pembela
Tampil membenteng
Menyumpah di sukma
Takkan berkesudahan
Bilakah agaknya
Kan lahir asadullah
Tiada silu terkaku
Tiada rapuh berguru
Tegas mendaulat
Mengarak obor
Kesucian AL-ISLAM
Sampaikanlah
Arahan ringkas
Padat bermakna
Rantaian bertali arus
Warisan mulia
Di anjung kasih-NYA
Muthaqqaf Azhari,
Teratak Sri Pulai Perdana.
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
Tuesday, June 23, 2009
|| Jangan Biarkan... ||
Jangan biarkan...,
Detik berlalu begitu sahaja,
Berlalu pergi dengan sia-sia,
Tanpa manfaat di hari muka,.
Kelak menyesal tidak bermakna.
Jangan biarkan...,
Usia darah muda merantai jiwa,
Merela diri terleka ternoda,
Berlaku nista peduli tiada,
Menanti senja belum tentu masanya.
Jangan biarkan...,
Murka ALLAH singgah menerpa,
Menyentap rahmat hidupkan sirna,
Biarkan sengsara dunia bertakhta,
Moga lazatnya syurga menanti di sana.
Jangan biarkan...,
Urusan ISLAM dipandu si buta,
Amanah ALLAH terpundak semua,
Memikul tugas berjamaah bersama,
Sendirian bergerak mengundang hampa.
Jangan biarkan...,
Bisikan iblis menguasai diri,
Godaan nafsu melilit hati,
Putus asa meruntun rohani,
Istiqamah kunci rentas tribulasi.
Ayuh bersama perkasa thaqafi,
Kuatkan jiwa menjana jatidiri,
Moga terus thabat melunas janji RABBI,
Salam perjuangan mahabbah ISLAMI!
Di ambang senja,
22 Jun 2009,
Tanjung Puteri Haiyu Asyir,
Kota Kaherah, Mesir.
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
Friday, June 12, 2009
|| Berlapang Dada Atas Segalanya ||
Semalam dan hari ini,
Sendat menghimpit waktu,
Kejadian di luar jangka,
Menguji tahap iman di dada.
Sekelip mata dia pergi,
Insan penyayang luhur budi,
Baik pekerti ramah disenangi,
Menjadi bualan ingatan bererti.
Hati sukar melepaskan pergi,
Hati berat menerima kenyataan,
Hati berbisik hanya mimpi,
Hati syahdu merasai kehilangan.
Namun segalanya bukan dipinta,
Kuasa ALLAH mengatasi segala,
Sampai masa kembali jua,
Berlapang dada redha menerima.
Segalanya bukan kehendaknya,
Segalanya bukan perancangannya,
Segalanya bukan percaturannya,
Tetapi segalanya adalah suratanNYA.
Moga kembalinya dengan aman,
Dicucuri rahmat rohnya tenteram,
Untaian doa sepenuh dambaan,
Syahid jalanNYA dinaungi ISLAM._____________________________
Malam Penghulu Segala Hari,
1045 malam,
Madinat Nasr, Kaherah.
Sajak ini tercipta selepas 'Tragedi Ain Sokhnah' yang meragut nyawa seorang sahabat medik yang merupakan Ketua Pelajar Tahun 3 Perubatan. Pemergian arwah amat dirasai. Semoga rohnya mendapat tempat yang terbaik di sisi ALLAH.
Di kala ini juga seorang sahabat perubatan yang masih berada dalam keadaan kurang stabil sedang menjalani pembedahan, saudara Muhammad Akram Bin Abd Kadir tahun 3 Perubatan Universiti Kaherah. Semoga ALLAH mempermudahkan pembedahan tersebut dan memberikan peluang kepadanya untuk terus berbakti kepadaNYA dan ISLAM.
Manakala saudara Mohamad Saif Bin Jamaluddin masih berada di Suez bagi menyelesaikan kes tersebut ditemani seorang pegawai JPA. Semoga segalanya dipermudahkan oleh ALLAH dan diberikan ketenangan kepada beliau yang mengalami trauma selepas tragedi tersebut.
Harapan kepada kita semua dapat melaksanakan solat sunat Hajat memohon kepada ALLAH semoga mereka yang yang terlibat dalam tragedi ini mendapat bantuan daripadaNYA yang maha mengetahui akan tiap sesuatu. Segalanya ada di luar jangkaan akal manusia juga sebagai iktibar untuk berlapang dada dengan qada dan qadarNYA, selain mempersiapkan diri sebelum dijemput menghadapNYA tanpa mengira usia, tempat dan masa.
Kata Muthaqqaf : YA ALLAH MATIKANLAH KAMI SEMUA DALAM HUSNUL KHATIMAH (MATI DALAM IMAN) DAN JAUHKANLAH KAMI MATI DALAM SU'UL KHATIMAH (MATI DALAM KEKUFURAN). ALLAHUMMA AMIN...
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
Tuesday, June 09, 2009
|| Sesuci Embun Fajar ||

Sayup menusuk di hening fajar,
Seruan assolah menyentak sepi,
Kala munajat masih sebentar,
Ku gagah jasad membersih diri.
Fajar nan hening penuh bererti,
Permulaan langkah untuk bakti,
Berkatnya di sini seawal mentari,
Disimbahi tenang segenap nurani.
Kesepian fajar akan tiada ertinya,
Andai diturut bisikan berbisa,
Meruntun nafsu tiada baiknya,
Hidup disapa lesu tiada tersisa.
Embun fajar itu sentiasa suci,
Sesuci lahirnya sekujur bayi,
Memenuhi ianya mentaati,
Tiang seri sumber rohani.
Usah terleka lalai terculas,
Segera berlutut sujud menadah,
Pintu kembali terbuka luas,
Sebelum terkunci berakhir sudah.----------------------------------------Hening dinihari,
Asrama Pelajar Johor,
Kaherah, Mesir.
Kata Muthaqqaf : Fajar itu penuh dengan nikmat. Sebelum terbitnya mentari pagi, setiap mukmin sedia maklum janji terhadap ARRAHIM. Seberkat-berkat hidup mukmin itu apabila permulaan hidupnya dimulai dengan tanda syukur yang tidak berbelah bahagi ke hadrat ARRAHMAN. Usah biarkan hidup yang indah ini diselebungi kegelapan yang dicipta oleh diri kita sendiri. Penuhi tuntutanNYA, pelihara perintahNYA, tenang sentosa di lembayung ALHAFIZ.
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
Monday, May 18, 2009
|| Tidak Semudah Itu ||
Tidak semudah itu untuk dicintaiNYA,
Perlu imbangi duniawi sasari ukhrawi.
Tidak semudah itu untuk merebut secebis keampunan,
Perlu iltizam istiqamah merantai kalbu.
Tidak semudah itu untuk menggapai hidayah,
Perlu kegigihan jitu kekentalan jiwa.
Tidak semudah itu untuk mara kehadapan,
Perlu kesungguhan hati menerobos rintangan.
Bukan mudah untuk mendapatkan cinta,
Perlu keikhlasan, kejujuran tersemai rapi.
Tidak semudah itu untuk menggamit kedamaian,
Perlu pengorbanan harta, jiwa raga.
Tidak semudah itu untuk menggondol kejayaan,
Perlu yakini usaha gantungi tawakalNYA.
Tidak semudah itu untuk hidup senang,
Perlu lalui susah redahi payah.____________________________
Hening sepertiga malam,
Kota Nasr, Kaherah,
Isnin, 18 Mei 2009,
0030 pagi.
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
Sunday, May 10, 2009
|| Monolog Kasih Ibu ||
Hari ini hari yang amat bermakna pada setiap manusia. Tidak mengira lelaki, perempuan, kanak-kanak, dewasa, tua mahupun muda pasti akan menyambut hari yang bermakna ini. Biarpun hari sebegini tidak pernah disambut oleh RASULULLAH SAW tidak bermakna ianya merupakan sesuatu yang sesat. Selagi ianya disambut tanpa melibatkan penyelewengan akidah mengesakan ALLAH, selagi itulah ianya dibenarkan menurut pandangan kebanyakan ulama ahli sunnah.
Oleh itu, marilah kita menyambut hari ibu pada hari ini dengan cara mengucapkan selamat hari ibu kepada insan yang bergelar ibu. Insan yang banyak berjasa dalam membesarkan kita sehingga kita menjadi diri kita saat ini. Sesungguhnya ucapan 'selamat hari ibu' kepada mereka sudah cukup menggembirakan hati mereka. Sekaligus melenyapkan segala penat lelah membesarkan kita selama ini.
Pesanan saya kepada sahabat-sahabat yang masih diberikan kesempatan merasai kasih sayang seorang yang bergelar ibu agar hargailah mereka. Gembirakanlah hati mereka ketika hayat mereka. Jadilah seorang anak yang mampu berbakti kepada ibu dan bapanya ketika di dunia lagi apatah lagi di akhirat. Selagi peluang kehidupan yang ALLAH berikan kepada mereka di dunia ini, maka manfaatkan segala waktu yang bersisa bersama mereka.
Renungilah susah payah mereka mengendong kita selama 9 bulan ke sana dan ke sini dengan penuh hati-hati. Seterusnya membesarkan kita sehingga menjadi insan yang berguna kepada agama dan masyarakat. Sehinggalah kita menjadi diri kita tika ini. Dengan izin ALLAH kita masih berpeluang untuk bersama mereka. Bersyukurlah di atas kesempatan yang dikurniakanNYA untuk kita membuktikan kejayaan dalam kehidupan kita kepada mereka sudah begitu menggembirakan mereka.
Jangan apabila sampai masanya ALLAH menjemput mereka, hanya untaian doa yang mampu kita kepilkan sebagai tanda ucapan terima kasih di atas segala penat lelah mereka membesarkan kita selama ini. Masih belum terlambat. Tunaikanlah khidmat bakti yang sehabis baik kepada orang tua kita sehingga mereka menghembuskan nafas yang terakhir. Supaya kelak apabila mereka dipanggil mengadap ALLAH, mereka pergi dalam keadaan tenang tersenyum riang.
Monolog Kasih Ibu
Buat mak di 'sana',
Dikau sentiasa di hati,
Sayangmu merimbun,
Kasihmu semarak,
Bertakhta di kamar,
Yang kalut sepi,
Meruntun nurani,
Yang durja nestapa,
Tidak ku hirau,
Ku gagahkan langkah,
Teruskan perjalanan,
Mempersiap diri,
Bersama mak sentosa,
Disamping abah bahagia,
Disirami cinta HAKIKI...
Kiriman ucapan syukran jazilan kepada emak yang telah sudi membesarkan anakmu yang degil ini. Maafkan segala dosa salah silap anakmu selama hidupmu.
Hening Dhuha,
Hari Ibu 2009,
Kaherah, Mesir.
Selamat hari ibu kepada para ibu, ummi, mak dan mama yang pernah dan sudi menerima diri ini sebagai anak mereka.
Nukilan Ilham Nurani,
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
Tuesday, March 31, 2009
|| Ayuh Tolak Pemikiran Sempit! ||
Seusai muktamar sanawi PMRAM kali ke-76 pelbagai spekulasi yang ditimbulkan dikalangan masyarakat mahasiswa. Spekulasi yang ditimbulkan bukan untuk menaikkan dan menyahut segala usul yang telah disepakati oleh perwakilan pada ketika itu. Akan tetapi spekulasi yang ditimbulkan lebih untuk memprovok dan menghentam segala macam usul yang dibahaskan. Juak-juak yang dimaksudkan tidak lain adalah mereka yang merupakan mata dan telinga kepada pertubuhan-pertubuhan selain PMRAM. Sila rujuk akronim IJAN (bahasa lembut) @ NAJIS (bahasa kasar) yang disentuh dalam entri yang lepas.
Suka untuk penulis jelaskan sebanyak mungkin berkaitan dengan IJAN@NAJIS supaya kalian yang tidak mengikuti perbahasan tersebut terang lagi bersuluh tanpa menuduh PMRAM menyemai bibit-bibit permusuhan. PMRAM sentiasa berfikiran terbuka dalam menerima sebarang program-program yang dianjurkan oleh mana-mana pertubuhan selagi mana ianya tidak memecah belahkan ahli, mengajak ahli membenci PMRAM, dan menyebarkan dakyah kepolitikan dalam program-program mereka. Kesemua pertubuhan tersebut kecuali 'anak kandung' politik MELAYU di Malaysia tidak sekalipun PMRAM membenci. Hatta 'anak kandung' itu.
Namun begitu, disebabkan kerana mereka mempunyai agenda memecah belah kesatuan PMRAM, lantas majoriti perwakilan menyokong dan mendorong kepada usul tersebut dibawakan. Umum sedia maklum semenjak 78 tahun yang lampau PMRAM sentiasa menaungi sesiapa sahaja rakyat Malaysia yang melanjutkan pengajian di Ardil Kinanah ini. Hatta mereka yang sudah terjerumus dengan bermacam jenis pertubuhan selain PMRAM tika ini. Mereka tidak akan lupa, tetapi dek nafsu, bisikan syaitan dan material bermaharajalela, inilah natijahnya.
Kembali kepada tujuan utama penulis ingin bawakan pada kali ini masih berputar sekitar Muktamar Sanawi PMRAM yang baru beberapa hari berlalu. Masih terasa kehangatannya memandangkan terdapat beberapa individu antagonis dan parasit menuding PMRAM yang bukan-bukan. Oleh yang demikian itulah menggerakkan minda ini untuk menolak beberapa dakwaan dan pemikiran yang sempit ke arah primitif. Terkadang seronok juga apabila terdapat makhluk-makhluk parasit ini untuk menguji kekuatan dalaman dan luaran. Ujian yang ALLAH datangkan kepada hamba-hambaNYA pelbagai dan ini merupakan salah satu daripadanya.
USUL MAHASISWA YANG SEMPIT?
Terdapat dakwaan sesetengah parasit yang merupakan mata dan telinga untuk kepentingan mereka menuduh perbahasan usul yang hangat diperbincangkan pada hari tersebut tidak lebih hanya bersifat kekitaan dan terarah kepada kesatuan semata. Apa yang mereka rasakan usul yang perlu dibahaskan sepatutnya menyentuh soal peningkatan akademik mahasiswa dari segi komitmen yang jitu melalui kehadiran ke kuliah. Juga budaya berpersatuan yang tidak menganggu waktu pengkuliahan.
Untuk makluman seluruh sidang pemerhati yang menjadi pemerhati dan mampu menilai sejauh manakah program-program yang diadakan oleh PMRAM menjejaskan waktu kuliah. Bahkan banyak program yang diadakan oleh PMRAM lebih kepada meraikan jadual kuliah pengajian meskipun terdapat beberapa program yang terpaksa diadakan pada waktu kuliah. Memandangkan tiada masa lain dan dilihat penting untuk kesinambungan PMRAM itu sendiri sebagai contoh Muktamar Sanawi ini sendiri. Ditambah lagi tarikh perlaksanaan Muktamar Sanawi ini sendiri bukanlah ketetapan dari PMRAM akan tetapi dari Kementerian Kemasyarakatan Mesir selaku penaung kepada PMRAM.
Selebihnya seandainya ada program yang diadakan pada musim pengkuliahan dilihat memandangkan sesebuah program yang bersifat santai dan tidak mengambil masa yang panjang. Dan yang paling utama ianya merupakan permintaan ahli setelah dipertimbang bersama seluruh kepimpinan bukan keputusan peringkat PMRAM semata-mata. Melihat juga program yang diadakan oleh PMRAM tidak berat dan kuliah masih 'belum panas' pembukaannya disamping terdapat juga subjek-subjek yang belum mula pengajarannya.
Kini tibalah giliran penulis ingin bertanya kepada mereka yang 'makan cili' dan semestinya dia akan merasai kepedasan cili itu. Di bulan-bulan terakhir di saat menghampiri imtihan semester ke-2 pada bulan Mei ini mengapa program yang dinamakan Festival Asean yang menyajikan pelbagai program yang padat diadakan? Bukankah program ini juga sayugianya paling utama dikritik dan disuarakan kepada pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) yang merupakan penganjur bersama sebuah pertubuhan yang disembunyikan namanya?
Di saat kesibukan mahasiswa yang sepatutnya menelaah kitab akan tetapi dihidangkan dengan pelbagai pertandingan dan agenda yang tidak diketahui sejauh mana keuntungannya kepada mahasiswa dalam meningkatkan thaqafah. Bahkan adakah program yang tahun ke-2 diadakan ini mampu menjaga adab dan tata susila yang digariskan oleh ISLAM memandangkan program yang sama pada tahun sebelumnya menyaksikan percampuran antara lelaki dan perempuan dengan perbualan dan sebagainya hingga melenyapkan identiti Azhari! Tidak hairanlah kita lihat maksiat dan kebejatan akhlak semakin berleluasa di kalangan mahasiswa apabila adab ISLAMI diketepikan!
Adakah ini yang ingin dibanggakan sedangkan kepentingan ISLAM itu diketepikan dan hanya mengambil beberapa perkara yang memberikan manfaat kepada diri semata-mata? Bagaimana sekarang ini memandangkan kebanjiran mahasiswa perubatan yang kita sendiri lihat cetek pengetahuan agamanya melihat keadaan penuntut pengajian ISLAM yang tidak tumpah seperti mereka! Aduh, sungguh memalukan kerana segelintir yang porak peranda, habis keseluruhannya dipandang rapuh oleh mereka!
Tidak dinafikan kalam juak-juak yang berfikiran kebangsaan mengatakan bahawa Al-Azhar menggunakan manhaj pertengahan, tidak tegas juga terlalu terbuka. Kita perlu jelas bahawa mereka yang mengaji di pusat pengajian ISLAM terkemuka ini bukanlah mereka yang hanya cenderung ke arah satu aliran pemikiran semata-mata. Oleh sebab itulah Al-Azhar mengamalkan keterbukaan dalam masa yang sama mengajarkan konsep ISLAM yang syumul dan kontemporari tanpa menyekat mana-mana individu mengikut pemikiran masing-masing selagi tidak bertentangan dengan syara'.
Selebihnya kitalah yang membentuk tuntutan ISLAM itu sendiri untuk menaikkan ISLAM itu sendiri. Kita yang perlu menyemai konsep amal ISLAMI yang sebenarnya dan menjauhi amalan sekular, liberal, modenisasi dan sebagainya yang hanya mengambil ISLAM sebahagian sahaja dan meninggalkan sebahagian yang lain. Itulah yang menyalahi syumulnya ISLAM mengikut ajaran yang dibawa oleh JUNJUNGAN BESAR SAW. Atas kapasiti pemahaman yang jelas terhadap tuntutan amal ISLAMI yang sebenar inilah PMRAM dibenci dan dihujum dengan pelbagai dakyah membawa ideologi yang sama dengan parti politik ISLAM di Tanah Air bahkan dunia keseluruhannya.
Selain itu penulis juga berminat untuk menjelaskan kepada sidang pembaca yang mencari kesalahan PMRAM bahawasanya bukanlah bermaksud perwakilan tidak mengusulkan usul yang menyentuh soal peningkatan akademik, penguasaan Bahasa Arab dikalangan ahli dan sebagainya menandakan PMRAM tidak mengambil berat. Isu pendidikan dan peningkatan Bahasa Arab merupakan agenda utama dan ianya terbukti mencapai misinya pada sesi lepas melalui majlis-majlis tafaqquh yang menjemput sheikh-sheikh dan doktor di Al-Azhar itu sendiri yang menyampaikan ceramah mereka dalam Bahasa Al-Quran itu secara tidak langsung.
Dalam masa yang sama penekanan yang serius PMRAM terhadap ahli dalam isu yang didakwa itu sebenarnya tidak pernah dilupakan pada setiap kali program-program yang dijalankan bukan sahaja oleh PMRAM, bahkan oleh BKAN dan DPM yang merupakan wakil kepada ahli masing-masing. PMRAM tidak ingin melihat penguasaan dalam melaksanakan program akan tetapi diwakilkan kepada BKAN dan DPM dalam menggembleng tenaga meningkatkan dua elemen yang sering dilemparkan itu.
Baiklah, penulis merasakan cukup setakat ini dahulu penjelasan penulis berkenaan dengan beberapa perkara bagi menjelaskan kedudukan yang sebenar. Penulis tidak mahu pihak yang bertanggungjawab melihat mereka berjaya menyerang dengan hujah-hujah yang sama dimainkan saban tahun. Selebihnya ahli yang berada di bawah naungan PMRAM sayugianya menilai dengan bijak di manakah situasi PMRAM tika ini dengan serangan pihak-pihak yang cemburu dengan kesatuan yang PMRAM terbitkan. Tidak hairanlah mengapa saat ini jelas perjuangan beberapa pertubuhan untuk meraih ahli sehingga tegar menyemai fitnah kepada PMRAM untuk memecah belahkan ahli itu sendiri.
Bersama pertahankan kesatuan ISLAM ini. Bersama pertahankan PMRAM selagi mana perjuangannya tidak lari dari tuntutan ISLAM. Bersama menolak pemikiran yang sempit menerapkan nilai-nilai munafik dan fasik dalam diri. Seterusnya bersamalah kita bersatu di bawah naungan ISLAM dan mana-mana pertubuhan yang jelas memperjuangkan semangat cintakan ALLAH, RASULULLAH SAW dan ISLAM itu sendiri jauh dari semangat perkauman, kebangsaan dan kenegaraan!
Kata Muthaqqaf : Penulis berhak bersuara sebagaimana kalian. Selagi mana penulis berada di landasan yang benar fikirkanlah. Sekiranya penulis terpesong dan tersasar dari jalan menuju ALLAH, maka tegurlah dengan penuh berhikmah dan nasihat yang terbaik. Moga bersama kita mencurahkan idea, keringat dan material untuk kepentingan ISLAM bukan kepentingan peribadi!
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
Sunday, March 29, 2009
|| Selamat Maju Jaya PMRAM 2009! ||
Akhirnya 'kerajaan mahasiswa' PMRAM 2009 berjaya dibentuk dengan perletakan dan penyusunan barisan kepimpinan yang padu dan berdaya saing dalam meneruskan era kepimpinan abang-abang lama sejak dahulu lagi. Maaf penulis agak kelewatan untuk memaklumkan kepada kalian semua yang menantikan siapakah muka-muka baru yang memegang portfolio-portfolio yang terkini. Penulis mendapatkan maklumat terkini berkenaan barisan kepimpinan PMRAM sesi 2009 ini dari blog sahabat penulis, saudara Syafiq Zulakifli yang telah diangkat sebagai Anggota Penasihat PMRAM bersama 3 orang penasihat yang lain.
Pesan penulis kepada barisan kepimpinan PMRAM 2009 supaya kalian semua meneruskan segala usaha-usaha menaikkan kualiti para mahasiswa di Mesir yang merangkumi Pengajian ISLAM dan Perubatan walaupun di sana terdapat sekatan yang menghalang kebersamaan beberapa pihak. Teruskan kesinambungan tema yang tercipta tahun lepas untuk memastikan sasaran tema tersebut lebih matang dan menyeluruh. Pastikan 'JULANG THAQAFAH, BAKTI DICURAH' sentiasa bersemi di kalangan ahli. Elakkan perpecahan dan semai mahabbah wa rahmah sesama masyarakat pelajar agar wawasan ISLAM yang syumul dapat dihayati bersama.
Salam perjuangan buat kalian semua. Teruskan berpegang teguh dengan tali ALLAH dan jangan bersengketa dan bertelagah sesama kita. Peliharalah hubungan bersama ALLAH dengan penuh khusyuk dan ikatan yang utuh. Dalam masa yang sama hubungan sesama manusia yang harmoni akan terhasil akibat dari keterikatan yang hebat dengan RABBULIZZATI. InsyaALLAH, pemeliharaan ALLAH akan berpanjangan sehingga ke akhirnya walaupun diasak dan dikecam dari pelbagai sudut.Kekuatan PMRAM adalah datangnya dari ALLAH bukan dari kepimpinan yang mentadbir.
Ku tinggalkan kalian dengan sebaris kepimpinan yang terlantik dari wakil sahabat-sahabat kalian yang mencalonkan barisan PMRAM 2009 yang padu dan mantap. Bukan sekadar menatap sebuah pengorbanan yang bakal mereka sajikan, malah seruan untuk membantu amat diperlukan untuk menggerakkan agenda peningkatan kebajikan, pendidikan, thaqafah dan kepimpinan di kalangan ahli PMRAM itu sendiri. Semoga rahmat dan hikmah sentiasa menghiasi dada-dada para pejuang agama ALLAH walau di mana sahaja keberadaannya.

ABDUL MU`IZZ BIN MUHAMMAD
TIMBALAN PRESIDEN (LAJNAH PERANCANG DAN PANITIA)
SHAHRIZAN BIN MOHD HAZIME
NAIB PRESIDEN I (LAJNAH DAKWAH DAN PEMBANGUNAN INSAN)
MOHD AZRUL BIN ISMAIL
NAIB PRESIDEN II (LAJNAH MUHAFAZAH)
NIK ROSDI BIN NIK JUSOH
NAIB PRESIDEN III (LAJNAH KEBAJIKAN DAN KEMANUSIAAN)
MUHAMAD ZUHAILI BIN SAIMAN
SETIAUSAHA AGUNG
MOHD ADLAN BIN MOKHTARUDDIN
TIMBALAN SETIAUSAHA AGUNG
MUHAMMAD ABDUL MALIK BIN ABDUL KARIM
NAIB SETIAUSAHA AGUNG (LAJNAH PENDAFTARAN)
AMALUDDIN BIN ARSHAD
BENDAHARI KEHORMAT
MEOR MOHAMMAD KHAIRUL ANUAR BIN KHAIRUDDIN
BADAN PENDIDIKAN DAN KOMUNIKASI BAHASA
MOHD YAZID BIN PARDI
BADAN PENGETAHUAN DAN PENYELIDIKAN
MOHD FARKHAN BIN MD ZAIN
BADAN PENERANGAN DAN PENERBITAN
AHMAD TAUFIQ BIN MOHD DAHLAN
BADAN EKONOMI
MOHAMAD AZLAN BIN ALIAS
BADAN SAMBUTAN DAN REHLAH
MUHAMMAD LABIB BIN ABD JALIL
BADAN KEBUDAYAAN, KESENIAN DAN SUKAN
JAMAL NAJMUDDIN BIN SULAIMAN
STRUKTUR ORGANISASI HAL EHWAL WANITA (HEWI)
PMRAM 2009
TIMBALAN PENGERUSI HEWI
SITI ANISAH BINTI AHMAD
NAIB PENGERUSI HEWI I (UNIT PERANCANG DAN PANITIA)
NUR MAZNI BINTI AHMAD PAUZI
NAIB PENGERUSI HEWI II (UNIT DAKWAH DAN PEMBANGUNAN INSAN)
NOR HIDAYAH BINTI CHE YUSOF
NAIB PENGERUSI HEWI III (UNIT MUHAFAZAH)
SHAHIDATUL AKMA MOHD SHA`ARY
SETIAUSAHA HEWI
NOR HAFIZA BINTI ABDUL WAHAB
TIMBALAN SETIAUSAHA HEWI
NOR HIDAYAH BINTI ABDUL RAHMAN
NAIB SETIAUSAHA HEWI (UNIT PENDAFTARAN)
SAMIHAH BINTI ABDULLAH
BENDAHARI HEWI
`IZZATI FARHANA BINTI MAHADZIR
UNIT KEBAJIKAN DAN KEMANUSIAAN
NORRAUDAH HANUM BINTI HJ SALIM
UNIT PENDIDIKAN DAN KOMUNIKASI BAHASA
SITI NORSANIYAH BINTI SHAPIIN
UNIT PENGETAHUAN DAN PENYELIDIKAN
HURRIYYAH BINTI ABDUL MOKTI
UNIT PENERANGAN DAN PENERBITAN
IBTISAM BINTI MOHAMAD
UNIT EKONOMI
SITI FATHIYAH BINTI MOHD RAZI
UNIT SAMBUTAN DAN REHLAH
FAUZIAH BINTI ABDUL RAHMAN
UNIT KEBUDAYAAN KESENIAN DAN KEMASYARAKATAN
SITI UMAIRAH BINTI SAMSUDIN
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa