بسم الله الرحمن الرحيم
Berlalu sudah Hari Keluarga BKPJM 2009 diakhiri dengan sebuah memori yang sungguh menyeronokkan bagi sesiapa yang mengikutinya sejak dari awal lagi. Bermula dengan acara sukaneka akan tetapi andai diamati seolah-olah 'makaneka' kerana dari 3 acara yang diadakan 2 daripadanya acara memakan buah tembikai dan apple. Ada benarnya juga kata-kata pengerusi majlis pada malam penutup malam tadi, saudara Akhmal Ali dan saudara Miftahul Ulum.
Selesai acara 'makaneka' yang lebih tertumpu kepada aktiviti luar, disambung aktiviti dalam dewan yang amat mencabar sahabat-sahabat yangmenyertainya. Antara acara yang dipertandingkan menganyam ketupat menggunakan riben, membina bangunan paling tinggi menggunakan sehelai kertas surat khabar dan pakai kain pelikat dengan satu tangan. Masing-masing dengan kreativiti tersendiri menunjukkan bakat yang sekian lama terpendam.
Saya amat tertarik dengan kalam penutup yang disampaikan oleh Pegawai Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir yang menyentuh soal kecemerlangan mahasiswa Pengajian ISLAM yang sering menjadi bualan. Oleh kerana itulah, diutuskan seorang pegawai kebajikan di rumah-rumah negeri untuk memastikan kecemerlangan para mahasiswa mahasiswi lebih terkehadapan. Harap-harapnya begitulah.
Bukan seperti sesetengah pegawai 'kebajikan' rumah-rumah negeri yang mengongkong dan mengekang keterlibatan mahasiswa mahasiswi untuk terlibat dengan persatuan mahasiswa di sini. Malah ada yang mengugut dan mengecam dengan modal zakat, biasiswa dan pinjaman sekiranya ada diantara mereka yang terlibat.
Bahkan yang amat menyedihkan, ada dikalangan mereka yang memaksa para mahasiswa mahasiswi yang sudah berada di taraf universiti menyertai persatuan-persatuan yang lebih menjurus kepada gagasan dan fahaman politik kebangsaan. Andai berlanjutan perkara ini, mahasiswa mahasiswi Al-Azhar tidak akan ke mana kerana tidak diberikan ruang untuk memilih hala tuju yang mereka rasakan sesuai menurut acuan ISLAM yang dipelajari.
Itu merupakan kerenah dan perangai pegawai-pegawai rumah negeri yang kebanyakannya sudahpun bertukar. Moga muka-muka baru para pegawai 'kebajikan' rumah negeri dapat meningkatkan prestasi kecemerlangan para mahasiswa mahasiswi di bumi Anbia ini. Sekaligus membuktikan kecemerlangan akademik para Azhari Azhariah bukan cemerlang dari sudut kematangan ilmu semata-mata.
Selain aktiviti-aktiviti berbentuk pertandingan bagi mewujudkan kebersamaan dan kasih sayang diantara satu sama lain, turut diadakan pembentangan-pembentangan kertas kerja yang prioritinya akan diaplikasikan apabila pulang ke tanah air kelak. Berhari keluarga, hari keluarga juga, ilmu dan thaqafah tidak sewajarnya dipinggirkan agar seluruh tenaga Azhari Azhariah dan sahabat medik mampu menguasai ilmu-ilmu nilai tambah yang lebih kepada praktikal.
Terima kasih atas huluran ukhuwah yang dikongsi bersama sepanjang hari keluarga yang berlangsung. Hakikat ukhuwah itu amat mahal nilainya berbanding emas dan permata. Janganlah dihancurkan sebuah ukhuwah yang terjalin kerana secebis pertelingkahan. Janganlah dipunahkan sebuah kasih sayang yang terbina kerana perbezaan pendapat yang merupakan lumrah bagi setiap manusia.
Ayuh elokkan kembali sebuah ikatan,
Genggam kembali tautan kasih,
Yang terbina atas sebuah jambatan,
Jambatan suci ukhuwah fillah.
Kuburkan permusuhan leraikan dengki,
Bentuklah syakhsiah kukuhkan perpaduan,
Tanam kasih sayang tadhiah terpatri,
Memaku zikrullah tersemai keredhaan.
Ayuh bangkit menyahut seruanNYA,
Nasihat diterima bertengkar jangan,
Lakari kesatuan lestarikan janjiNYA,
Moga selamanya dalam pelukan ghufran.
1730 waktu tempatan,
Di ambang Israk Mi'raj,
Asrama Pelajar Johor Mesir.
Kata Muthaqqaf : Artikel ini adalah kelangsungan dari artikel yang lepas. Moga ukhuwah yang terbina tanpa mengira pangkat, batasan umur, perbezaan ideologi, negara, bangsa mahupun bahsa tidak merencat pembentukan ukhuwah ISLAMIAH menuju khilafah ISLAMIAH yang diimpikan oleh semua. Kukuhkan ukhuwah ISLAMIAH sesama seterusnya jalinlah ukhuwah yang lebih global tanpa mengira apa anutan untuk menyambung risalah ISLAM yang pernah dipelopori oleh para NABI, RASUL dan mereka-mereka selepasnya.
Nukilan Ilham Nurani,
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
No comments:
Post a Comment