Video Klip Pilihan

Wednesday, August 19, 2009

|| Tahniah dan Takziah : Kepimpinan BKPJM Sesi 2009/2010 ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Kepimpinan silih berganti. Saban tahun pertukaran tampuk kepimpinan pasti berlaku demi untuk memberikan ruang kepada orang lain menimba pengalaman dalam menguruskan sebuah organisasi yang tidak seindah mata memandang. Bebanan dari sudut tugas dan tanggungjawab yang diterima selaku kepimpinan dalam masa yang sama menjawat jawatan sebagai seorang penuntut ilmu ALLAH menongkat harapan masyarakat di Malaysia cukup mencabar keampuhan kendiri.

Namun saya yakin, berkat daripada sokongan para sahabat yang digerakkan hatinya oleh ALLAH untuk mencalonkan seseorang yang difikirkan layak. Seterusnya pangkahan dan undian yang ditentukan oleh seluruh ahli yang faqih, alim dan kenal kemampuan seseorang untuk memimpin sebuah entiti ISLAM yang kecil demi meneruskan agenda kebajikan.

Pilihanraya yang berlaku pada kali ini dibawah seliaan saya selaku Pengarah Lajnah Khas Mesyuarat Agung Tahunan (LKMAT) Badan Kebajikan Pelajar Johor Di Mesir pada awalnya cukup menakutkan kami. Terutamanya Suruhanjaya Pilihanraya yang masing-masing langsung tiada pengalaman dalam menghadapi pilihanraya yang amat sengit sehingga melibatkan calon Yang Dipertua yang tidak pernah lagi dipertandingkan sepanjang penubuhan badan kebajikan ini.


Ala kulli hal, segalanya mendapat pimpinan dan bantuan dari ALLAH hasil usaha dan tawakal yang tinggi kepada RABBUL JALIL memudahkan segala gerak kerja sehingga ke penghujungnya.

Sambutan Di Luar Jangkaan


Saya secara peribadi amat gembira dengan sokongan, dokongan dan sambutan yang amat memberangsangkan dari seluruh ahli di Kaherah mahupun cawangan-cawangan yang turun mengundi dan memberikan sepenuh semangat kepada kepimpinan. Meskipun jumlah AJKT yang separuhnya berada di Malaysia, tidak mematahkan semangat kepimpinan yang diketahui bebanan kerja yang menimbun ditambah lagi jawatan yang dipangku.

Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada kalian yang kuat dan masih bersemangat untuk menggerakkan jentera BKPJM dengan sepenuh tenaga.

Saya perhatikan seluruh AJKT dan HEWI hakikatnya tidak bersemangat untuk dimuhasabah kerja-kerja mereka. Namun setelah melihat kedatangan ahli yang amat memberangsangkan di luar jangkaan meniup kembali obor semangat agar terus berkobar untuk dimuhasabah demi untuk kemaslahatan kepimpinan sesi mendatang. Tampak senyuman masih mampu diukirkan untuk tatapan ahli demi meredakan ledak kesedihan di hati.


Saya bersama seluruh adhoc pelaksana LKMAT juga amat gembira dan terharu dengan sambutan yang diberikan seolah-olah segala usaha dan penat lelah yang dilakukan berbaloi demi memastikan LKMAT kali ini meriah. Kemungkinan pilihanraya bagi menentukan Yang Dipertua dan AJKT merupakan daya penarik kepada sambutan yang menggalakkan itu.

Di harap sokongan, sambutan dan bantuan yang sedemikian dapat diteruskan selepas ini dalam program-program seterusnya anjuran BKPJM demi memastikan ukhuwah, akhlak, kecemerlangan, thaqafah dan kesatuan sesama ahli dikekalkan. Bahkan harapan semoga seluruh ahli juga dapat menyokong dan meneruskan momentum ini terhadap Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir yang sedia maklum peranannya kepada anak-anak Malaysia yang berada di perantauan ini.

Tahniah dan Takziah

Untuk akhirnya, sekalung penghargaan tahniah diucapkan kepada seluruh kepimpinan baru BKPJM yang dipilih oleh ALLAH. Juga sekalung peringatan takziah atas amanah yang berat ini demi melunaskan agenda kebajikan yang terpundak dengan jayanya. Sesungguhnya segala perencanaan, muhasabah dan cadangan yang dilontarkan tidak akan mampu dilaksanakan andai huluran tangan-tangan yang bantu memudahkan segala susunan gerak kerja terealisasi.

Buat tatapan para sahabat pejuang agama, penuntut ilmu ALLAH sekalian agar memberikan sepenuh kepercayaan kepada seluruh kepimpinan yang dipilih berpandukan petunjuk dari ALLAH itu sendiri. Baik kepimpinan PMRAM, BKAN, DPM bahkan negara kita sendiri selagi mana mereka yang dipilih oleh suara majoriti berlandaskan Quran dan Sunnah. Menurut ISLAM yang syumul tanpa meminggirkan juzuk-juzuk yang lain.

Seandainya mereka tergelincir dan terpesong dari landasan yang digariskan, maka tegurlah sebaik mungkin sebelum ditentang dan dilawan habis-habisan. Bentuklah akhlak ISLAMIAH dalam diri individu muslim bagi memastikan ISLAM diminati dan senang didekati oleh sesiapa sahaja yang memandang. Itulah impian yang terindah.


Bagi yang tidak dipilih oleh ALLAH untuk membantu agama ALLAH usah bersedih dan berkecil hati kerana ingatlah bahawa segalanya merupakan suratan dari ALLAH yang menentukan akan tiap sesuatu yang terjadi. Moga semangat yang kalian tunjukkan ketika berkempen, melaksanakan tugasan yang diberikan dapat diteruskan di hari mendatang.

Berakhir Dengan Harapan

Alhamdulillah, infiniti kesyukuran kepada ALLAHU RABBI atas segala pimpinannya membenarkan tulang empat kerat ini terus menaburkan bakti kepada sebuah badan kebajikan anak negeri, BKPJM yang banyak mengajar saya erti ukhuwah dan kasih sayang. Sebelum ini hampir 2 tahun saya hanya disibukkan dengan pentadbiran PMRAM sehingga tidak berkesempatan untuk menyumbangkan sesuatu untuk BKPJM.

Ditaklifkan sebagai Pengarah LKMAT sedikit sebanyak mengajarku erti sebuah perancangan yang dinamik demi memastikan segala perencanaan berjaya dilaksanakan dengan sebaiknya. Bantuan dan teguran dalam gerak kerja meneguhkan lagi kesatuan sekaligus memupuk sifat pengorbanan, ikhlas dan berlapang dada antara satu sama lain. Sungguh ironi suasana yang terhasil.

Itulah program terakhir yang berjaya saya kendalikan dengan bantuan semua sahabat-sahabat sebelum diri ini pergi meninggalkan bumi barakah yang banyak mengajar erti kehidupan kepada insan kerdil ini. Bumi yang tidak mampu untuk diungkapkan dengan kata-kata melakar jutaan suka duka sebagai kenangan di hari kemudian. Yang keruh moga dapat diambil pengajaran dan tauladan sebelum ditinggalkan. Manakala yang jernih bersih dikekalkan dan diteruskan untuk dinikmati sejagat.

Sebagaimana ISLAM yang menjadi milik umat ISLAM diamanahkan untuk menjaga dan memeliharanya dari segala yang menganggu gugat, begitu jugalah sebuah persatuan dan gerakan yang menjadi wadah untuk menegakkan ISLAM perlu dijaga dan dipelihara bersama-sama. Bukanlah ianya terpundak pada bahu kepimpinan yang menjadi pengatur dan penggerak demi memastikan hala tuju matlamat sesebuah persatuan terarah.


Persatuan dan gerakan yang mengikut landasan Quran dan Sunnah adalah milik bersama yang perlu dipertahankan oleh semua invidu. Justeru kesedaran ini perlu diinsafi oleh semua bagi membentuk kesatuan dan perpaduan yang jitu dari seluruh ahli kepada persatuan dan gerakan itu.

Itulah harapan dan pesanan yang dapat saya nukilkan dari lubuk hati yang dalam sebelum berangkat pulang ke pangkuan masyarakat menuai segala benih ilmu yang diperolehi yang amat dinanti-nantikan. Moga hati ini akan terus thabat. Moga batang tubuh ini juga akan terus istiqamah dengan semangat yang disemai di bumi barakah untuk disiram dalam perjuangan menegakkan ISLAM di Malaysia kelak.

Doa, peringatan, kritikan dan teguran sinis kalian amatlah diharapkan agar diri ini mampu menongkat perjuangan sedia ada tanpa henti sehingga ke titisan darah yang terakhir sebelum menghembuskan nafas terakhir. Moga kita menyedari peranan masing-masing mengikut lapangan semasa dan kesesuaian keadaan dalam memperjuangkan yang hak bukan hanya menyibukkan diri dengan menuntut ilmu.

Kata Muthaqqaf : Keseimbangan dalam membahagikan masa di antara menuntut ilmu, urusan dakwah ISLAMIAH dan ibadah kepada ALLAH adalah perlu bagi memastikan kesinambungan ISLAM dapat dikekalkan seterusnya ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: