Video Klip Pilihan

Monday, August 24, 2009

|| Merenungi Sisa-sisa Waktu ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Sebak terasa. Bagaikan ada sesuatu yang terlalu berat menghempap dadaku. Tidak pernah aku rasakan sebegini. Walaupun hanya 8 bulan kembali semula ke Bumi Mesir untuk melangsaikan 'hutang piutang' sebagai seorang mahasiswa. Alhamdulillah dengan izin
ALLAH berjaya juga aku merangkul label graduan yang amat-amat diharapkan oleh sesiapa sahaja yang menuntut di Al-Azhar Asy-Syarif.

Semua yang berjaya menempatkan diri melanjutkan pengajian di Gedung Al-Azhar ini berhasrat untuk menghabiskan pengajian yang ditetapkan selama 4 tahun dengan sebaiknya disamping ilmu-ilmu tambahan lain. Namun segala itu bukanlah kehendak kita untuk memastikan apa yang diimpikan itu terlunas dengan baik meskipun gemblengan usaha yang jitu telah dilakukan.

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Mereka yang berada di dalam pendidikan Al-Azhar sahaja yang mengetahui bagaimanakah sistem pengajian dan suasana di sini. Orang luar boleh bercakap apa sahaja. Akan tetapi mereka tidak mengetahui betapa letih dan beratnya ujian menuntut ilmu di sini. Apapun segalanya kembali kepada diri kita sendiri yang menentukan masa hadapan kita dengan izin ALLAH.

Usahalah yang termampu bagi memastikan kejayaan yang cemerlang dalam akademik agar kembalinya ke pangkuan masyarakat mampu memimpin masyarakat mengenal ALLAH dan ISLAM dengan sebaiknya.

Itulah yang turut bermain di dalam benak mindaku. Adakah aku mampu memikul amanah yang telah terpundak di bahuku itu? Apakah aku mampu menghadapi ragam masyarakat yang bermacam kerenahnya menguji kesabaran pendakwah sekaligus menguji ilmu di dada? Tepuk dada, ketuk pintu hati tanyalah iman.

Sambil merenungi hari-hari yang berbaki bermacam-macam perasaan yang bermain. Bercampur baur antara sedih, gembira, gundah gulana, riang dan sebak. Di hati ini hanya ALLAH yang tahu apa yang difikirkan. Semoga dikuatkan semangat dan keazaman dalam diri ini untuk menempuh cabaran-cabaran yang menanti di hadapan. Segalanya telah tertulis sejak azali lagi mengajar kita erti redha dan berlapang dada selepas berusaha.

Wahai hati, terimalah setiap ketentuanNYA dengan penuh kegembiraan meskipun pahit untuk ditelan. Sememangnya ada perkara yang kita sukai akan tetapi ianya dibenci ALLAH dan juga sebaliknya. Setiap sesuatu yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya. Rancang, teliti punca masalah dan bersabarlah.

Tiada sesiapa yang menginginkan terjadinya sebuah perpisahan terjadi ke atas dirinya. Kemanisan sebuah pertemuan amat mendamaikan. Namun, kita tidak dapat menolak lumrah kehidupan yang telah diatur oleh ALLAH. Setiap sesuatu ada pasangannya. Begitu jugalah pertemuan telah dipadankan dengan perpisahan untuk melengkapkan kitaran hidup manusia.

Usah digemburkan perkara remeh ini kerana tugas yang amat berat sedia menanti di hadapan untuk dilunaskan. Semoga perpisahan yang terjadi akan lebih mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan ISLAM yang telah terjalin atas kalimah LAILAHA ILLAH MUHAMMADUR RASULULLAH.

Bentuklah rangkaian ukhuwah ISLAMIAH yang menyeluruh tanpa disempadani oleh perbezaan bangsa, bahasa, warna kulit mahupun negara yang akan menggagalkan misi menguatkan umat ISLAM untuk menuju pembentukan daulah ISLAM yang dimpi-impikan. Pesanan ini adalah untukku dan seluruh umat ISLAM agar menyedari hakikat kesyumulan ISLAM yang perlu dihayati bersama.

Kata Muthaqqaf : Terima kasih atas segala bentuk huluran ukhuwah yang kalian berikan kepadaku sepanjang 5 tahun menempatkan diri bersama masyarakat mahasiswa yang beraneka ragam. Sesungguhnya kenangan bersama kalian adalah sesuatu yang amat berharga sebagai bukti terjalinnya tuntutan ukhuwah ISLAMIAH yang dituntut oleh RASULULLAH SAW selama ini. Kukuhkan perpaduan, teguhkan kesatuan, utuhkan persaudaraan membentuk hati yang satu. Semoga dipertemukan di lain kesempatan dengan izinNYA.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: