Video Klip Pilihan

Tuesday, August 04, 2009

|| Analisis Peristiwa ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Hampir sebulan lebih saya tidak menganalisis beberapa peristiwa yang berlaku dalam dan luar negara untuk menyatakan pandangan peribadi. Lebih-lebih lagi yang menyentuh soal kepentingan ISLAM, keadilan sejagat dan hak sivil insani. Ramai yang tahu mengkritik dan mempersoalkan mengenai sesuatu peristiwa yang berlaku apabila ianya menyentuh kepercayaan dan hala tuju yang diperjuangkan.

Namun, ramai juga yang salah matlamat perjuangannya melihat arus perubahan yang berlaku masa kini merupakan satu perubahan yang salah sehingga bermati-matian mempertahankan hujah yang lapuk dan semakin diperlekeh. Itu pun masih tak faham-faham.


Mesir - Ceramah Perdana : Mahasiswa dan Masa Depan Ummah


Bertarikh 26 Julai 2009, hari Ahad jam 9.00 malam bertempat di Dataran Haiyu Asyir telah berlangsungnya ceramah perdana ini yang menjemput khas para penceramah dari Selangor, Malaysia. Para penceramah yang terdiri daripada wakil Exco Kerajaan Negeri Selangor 'Baru', wakil Majlis Agama Selangor dan Pembantu Khas Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Ceramah Perdana yang berlangsung mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada para siswa siswi anak-anak Malaysia yang meliputi seluruh bidang pengajian. Mereka datang dengan satu tujuan untuk mendengar butir-butir mutiara ilmu dan maklumat semasa yang bermanfaat daripada wakil sebuah kerajaan negeri yang 'baru'. Itu yang diharap-harapkan oleh mereka yang hadir.


Itulah kebiasaannya yang akan dilakukan oleh mana-mana wakil kerajaan yang hadir. Tanpa mengira dari mana parti politik sekalipun. Andai yang hadir dari wakil parti UMNO, hatta PAS sekalipun pasti akan menceritakan mengenai kebaikan mahupun keburukan yang berlaku sebelum dan selepas diperintah. Hatta DAP, MCA, MIC sekalipun yang hadir ke luar negara tidak disekat untuk berucap atau menyampaikan sebarang pandangan mereka.

Keadaan di Malaysia yang disekat dengan AUKU, OKU, KAKU dan sebagainya memperlihatkan terhalangnya mereka untuk menyatakan suara mereka terhadap mana-mana kerajaan pemerintah. Namun kini AUKU yang selama ini mengurung pemikiran para pelapis kepimpinan negara telah dipinda dan menunjukkan tanda-tanda yang positif terhadap kemajuan para siswa siswi dalam memilih haluan mereka.


Berbanding dengan situasi di luar negara yang tidak mempunyai sekatan akta zalim tersebut, maka para siswa siswi berhak untuk menyatakan pandangan dan sokongan mereka secara bebas. Oleh kerana itu jugalah tiada masalah sesiapa sahaja di kalangan pemimpin dari mana-mana parti sekalipun untuk datang dan memberikan ucapan mereka. Sekaligus memberikan maklumat yang tepat dan jelas secara langsung daripada mulut wakil parti yang hadir.


Untuk itu, saya secara peribadi menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada segala apa yang diperkatakan oleh ahli panel yang berucap pada malam tersebut mengenai perubahan yang berlaku terhadap kerajaan negeri yang baru berbanding yang sebelumnya. Umur kerajaan negeri yang baru berumur setahun 4 bulan ini masih terlalu awal untuk berubah secara drastik ke atas kerosakan, kebobrokan dan penyelewengan yang telah dilakukan oleh kerajaan sebelumnya.


Sebagai seorang mahasiswa yang bijak dan berdaya saing, sewajarnya mengambil kira kedua-dua belah pihak dengan menganalisis secara adil tanpa melebihkan sebelah pihak yang lain. Dan yang paling utama selaku seorang mahasiswa yang berilmu, intelek dan amanah terhadap ilmu sewajarnya neraca
ISLAM menjadi titik pertemuan yang utama untuk menyelesaikan segala kemelut yang berlaku.

Al-Quran dan Sunnah tidak boleh tidak wajib diletakkan di kedudukan tertinggi dalam perlembagaan bagi memastikan seluruh masyarakan tanpa mengira yang
ISLAM dan bukan ISLAM mendapat hak masing-masing. Orang yang bijak dan memiliki ilmu Perundangan ISLAM, Usuluddin dan Pengajian ISLAM keseluruhannya tidak wajar membelakangi perjuangan yang berlandaskan ISLAM semata-mata menegakkan wadah perjuangan yang jelas terpesong dan menjadikan ISLAM hanya pada nama.

Buat para siswa siswi di Mesir khususnya dan di mana-mana sahaja secara umum nilailah sesuatu yang terjadi menurut lunas-lunas
ISLAM dan janganlan mengikut hawa nafsu bisikan syaitan durjana semata.

Malaysia - Perhimpunan MANSUH ISA Berjaya!


Tahniah saya ucapkan kepada sahabat-sahabat seluruh rakyat Malaysia yang bangkit menentang kezaliman yang selama ini diperalatkan oleh kerajaan pemerintah selama hampir 52 tahun. Akta yang jelas zalim ini tidak sewajarnya dikekalkan di negara demokrasi seperti Malaysia yang mempunyai perlembagaan dan perundangan yang semakin terhakis dek kerana salah guna semakin berleluasa.

Perhimpunan MANSUH ISA yang dirancang berbulan-bulan sebagaimana perhimpunan PPSMI dan BERSIH sebelum ini merupakan sebuah perhimpunan yang jelas sekadar menghimpunkan rakyat yang cintakan keadilan dan hak masing-masing dipelihara. 2 perhimpunan sebelumnya memperlihatkan satu gelombang himpunan rakyat bagi membantah sebuah sistem dan ketidak adilan yang dilakukan oleh kerajaan dalam keadaan yang aman tanpa berlakunya kerosakan.


Namun setelah berakhirnya Perhimpunan MANSUH ISA yang berjaya menghimpunkan sasaran seramai 100, 000 bahkan melebihi angka sasaran tersebut bagi menyatakan bantahan terhadap akta zalim tersebut. Akhir perhimpunan tersebut hanyalah semata-mata untuk menghantar memorandum keapada Yang Di Pertuan Agong di Istana Negara bagi mendesak kerajaan agar memansuhkan ISA tersebut yang jelas akta kuno yang tidak sesuai digunakan sekarang ini.


Apa yang berlaku kini, media masa yang merupakan lidah rasmi kepada kerajaan tidak henti-henti memburuk-burukkan Gerakan Mansuh ISA yang turut sama disertai oleh seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat. Malah yang keterlaluannya, kerajaan menganggap perhimpunan yang dirancang dalam keadaan aman ini didalangi oleh pembangkang kerana seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat mempelopori perhimpunan tersebut.

Keamanan yang dirancang berubah menjadi kacau bilau apabila pihak polis dan FRU yang merupakan ejen dan kuli-kuli yang sepatutnya menjaga keamanan menembak gas pemedih mata, water cannon, air asid seterusnya menangkap mereka-mereka yang memakai menyertai perhimpunan tersebu atas arahan pihak atasan. Pihak atasan tersebut tidak lain adalah Menteri Dalam Negeri yang mendapat arahan daripada Perdana Menteri.


Oleh kerana tindakan polis-polis kerajaan itu apakah rakyat hanya berdiam diri diserang dengan segala macam keganasan tersebut yang jelas menimbulkan huru hara yang tidak diingini oleh semua pihak.
Akta ISA jelas menzalimi rakyat. Penangkapan tanpa bicara dan soal siasat seolah-olah berada di negara darurat seperti di Mesir. Keganasan yang dilakukan di Mesir memaksa kerajaan Mesir mengisytihar darurat.

Adakah perhimpunan yang diperkenan oleh Yang Di Pertuan Agong dikira sebagai keganasan sedangkan ianya menyentuh soal hak rakyat untuk mendapat keadilan dengan memansuhkan akta yang tidak dinafikan zalim. Perkara ini turut diakui oleh mantan Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi agar ISA ini bukan lagi dikaji semula akan tetapi dimansuhkan terus.


Alasan untuk menjaga kestabilan politik dan ekonomi adalah tidak munasabah sekiranya cara yang dilakukan terhadap seseorang suspek tidak bertamadun. Di manakah letaknya ajaran ISLAM dan mana-mana agama sekalipun yang mementingkan keadilan dalam apa jua kesalahan yang dilakukan agar disoal siasat dan dibicarakan terlebih dahulu sebelum menyumbatnya ke penjara. Sungguh zalim dan kejam andai akta ini diteruskan!


Rakyat yang waras, mementingkan keadilan dan menjaga keharmonian sejagat sewajarnya tidak berdiam diri melihat kezaliman terus bermaharajalela. Keadilan perlu ditegakkan. Kezaliman perlu dihentikan dengan apa cara sekalipun.
ISLAM tidak menjara umatnya menghukum seseorang secara semberono tanpa usul periksa.

Apa gunanya mempelajari Perundangan
ISLAM dan mendalaminya ke peringkat yang seterusnya andai perlaksanaan, penjelasan dan usaha memartabatkan ISLAM tiada langsung. Sia-sia dan omong kosong 'bercita-cita untuk memartabatkan ISLAM' yang dinukilkan pada khalayak untuk andai realitinya hanya retorik dan hipokrit.

Malaysia - Di mana Letaknya ISLAM?


Lewat akhir Jun memasuki Julai lepas riuh rendah media masa arus perdana memainkan kenyataan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyentuh berkenaan UMNO tidak ubah seperti Ayah Pin dan Komunis. Alasan dan sebabnya mudah kerana UMNO menolak ISLAM.

Selepas kenyataan tersebut dikeluarkan maka ramailah dikalangan pemimpin UMNO yang bangkit membidas kenyataan tersebut dengan mengatakan UMNO lah yang selama ini memperjuangkan
ISLAM sebelum PAS. Memanglah sebab mereka ditubuhkan lebih dahulu dari PAS bolehlah mereka mengatakan mereka memperjuangkan ISLAM.

Namun andai dilihat kes Natrah cukup panjang lebar menjelaskan situasi sebenar yang mana tiada langsung pembelaan yang dilakukan oleh kerajaan UMNO ketika menentukan hak penjagaan Natrah sehinggalah dia disahkan di bawah penjagaan ibu bapanya di Britain sekaligus murtad. Usaha mereka bagi menunjukkan mereka benar-benar memperjuangkan Natrah hanya berlaku selepas kes selesai yang tidak memberi apa-apa makna.

Selain itu juga UMNO mendakwa mereka telah pun mewujudkan Takaful
ISLAM, Perbankan ISLAM, ISLAM Hadhari yang telah terkubur selepas bertukarnya kepimpinan, Taman Tamadun ISLAM dan apa sahaja yang mereka namakan dengan ISLAM. Apakah memadai semua itu maka ISLAMlah UMNO? Adakah boleh perundangan ISLAM itu mengambil mana-mana juzuk yang sesuai dan mengabaikan juzuk lain yang tidak sesuai sedangkan ianya jelas diarahkan oleh ALLAH di dalam Al-Quran?

Bukan itu sahaja, kalau diamati asas perjuangan UMNO itu sekalipun hanyalah memperjuangkan BANGSA MELAYU semata-mata. Akan tetapi mereka menisbahkan perjuangan bangsa yang mereka laungkan sepanjang 52 tahun itu termasuklah di dalamnya memperjuangkan
ISLAM.

Persoalannya di sini, sepanjang isu murtad, keganasan dan penindasan terhadap umat ISLAM dunia, isu boikot dan sebagainya adakah mereka memulakan segala perjuangan ISLAM itu? Sekatan dan perlonggaran hal-hal berkaitan ISLAM selama ini banyak berlaku oleh para pemimpin UMNO. Yang lebih memalukan ada di kalangan mereka yang merupakan lepasan agama hanya mampu melihat dan menyaksikan segala jenis kerosakan dan kebobrokan ke atas ISLAM yang berlaku.

Selebihnya saya serahkan kepada para sahabat pembaca sekalian yang semakin celik IT dan maklumat yang perlu dianalisis. Analisislah dengan sebaik mungkin. Timbanglah mengikut timbangan yang waras berlandaskan Al-Quran dan Sunnah bukan dengan akal semata.


Semoga perjuangan yang kita impi-impikan yang dipenuhi dengan keamanan, keadilan, dan keharmonian mengikut lunas-lunas
ISLAM akan terealisasi dengan jayanya. Andai bukan pada zaman kita, perjuangkanlah untuk generasi mendatang. Moga usaha yang sedikit ini akan dipandang oleh ALLAH seterusnya menganugerahkan kefahaman kepada seluruh umat manusia terhadap kebenaran yang hakiki.

Salam perjuangan!


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: