Video Klip Pilihan

Wednesday, May 30, 2007

.:: Akhirnya Kebenaran Itu Nyata... ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam sejahtera disertai iringan doa buat kalian semua dalam melayari hari-hari mendatang yang beronak liku sedang menanti. Sekalungan kesyukuran dipanjatkan ke Hadrat Ilahi memberikan sedikit ruang untukku menabur butiran-butiran kalimah semangat atas nama Islam di era yang penuh mencabar ini. Salam dan selawat diutuskan buat Junjungan Mulia Nabi Muhammad S.A.W atas usaha menongkah arus Jahiliah untuk memahat ketinggian Islam di bumi Allah ini.

P/S: Gambar menunjukkan respon segelintir orang Islam diberikan melalui doa, munajat dan sokongan di hadapan Mahkamah Persekutuan berharap kemenangan berpihak kepada Islam sebelum perbicaraan awal pagi tadi.

Bagi nisbah mahasiswa/wi yang sedang berada di ambang imtihan, teruskan dengan usaha dan kesungguhan kita bersama dalam menghadapi bahana imtihan ini sehingga ke akhirnya demi mempertahankan maruah Islam. Diiringi dengan bahang kepanasan yang menguji kesungguhan itu. Tapi perlu juga untuk kita semua mengambil cakna dengan seputar arus perdana yang berlaku dalam dunia secara umumnya lebih-lebih lagi yang menyentuh sensitiviti dunia Islam secara khususnya.

Sebuah kemenangan yang ternyata sebuah kebenaran yang berpihak kepada Islam dengan tertolaknya permohonan Lina Joy untuk menghapuskan nama Islam dari Mykadnya. Keputusan yang dilafazkan dari Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim adalah suatu keadilan dan kebenaran yang dinanti-nantikan oleh semua umat Islam di merata tempat. Bagi saya secara individu dan sahabat-sahabat di luar negara secara amnya turut bersyukur atas keputusan yang mana kesannya kelak menunjukkan Islam itu adalah agama yang tertinggi dan perlu dihormati oleh semua pihak terutamanya dari penganut agama lain yang menuntut perubahan pada Artikel 11 dari Perlembagaan Persekutuan. Seharusnya kita perbanyakkan syukur atas kebenaran yang dikurniakan Allah ini.

Cuma yang mungkin memerlukan usaha yang lebih kuat bagi pihak Jabatan Agama dan pihak penggerak untuk memberikan kaunseling dan kesedaran kepada Lina Joy juga mereka-mereka yang menanti akan kemenangan kes ini untuk menukar status agama mereka agar kembali kepada Islam yang sebenar. Ini penting agar mereka tidak menganggap bahawa Islam adalah agama yang setara dengan agama-agama lain yang sedia ada dan boleh dengan mudah menukar dari satu agama kepada agama yang lain mengikut Perlembagaan Persekutuan dalam Artikel 11. Islam adalah agama yang suci dan tidak dengan mudah membiarkan penganutnya menukar agama dengan sesuka hati kerana Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi dari Islam itu sendiri.


Apapun suatu peringatan khusus untuk diri saya sendiri dan kepada kalian semua untuk memberikan sepenuh perhatian kita dalam bidang pengajian kita dengan menguasai seberapa banyak ilmu yang mampu kemudian kembali dengan seberapa segera untuk kita bersama-sama berjuang menegakkan kesucian dan survival Islam itu sendiri yang cuba dihakis oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab. Siapakah lagi yang akan meneruskan dan menyambung siri-siri perjuangan ini kalau bukan kita? Fikir-fikirkanlah bersama. Tanggungjawab itu tersandang pada bahu kita semua dan akan dipersoalkan kelak kerana kita mengetahui hakikat fenomena ini. Salam perjuangan buat semua.

Klik di sini untuk berita lebih lanjut :-)

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: