Video Klip Pilihan

Saturday, August 25, 2007

.:: 50 Tahun Malaysiaku Gemilang ; Gemilangkah Islam? ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam sejahtera buat kalian semua sidang pembaca penerus dakwah dan perjuangan peninggalan Nabi S.A.W dalam menegakkan kalimatul haq tidak lain dan tidak bukan Dinul ISLAM. Menyentuh sedikit sensitiviti umat akhir zaman yang semakin tenggelam dek arus kemodenan yang membuta tuli tidak mengenal baik buruk apabila tidak dikawal dengan neraca ISLAM. Sepatutnya perkara sedemikian tidak berlaku pada sebuah negara yang diwar-warkan kepada seluruh dunia sebagai 'Negara ISLAM HADHARI' kononnya. Namun disebaliknya kita menyaksikan pelbagai perkara yang tidak kena pada tempatnya. Sekadar pada nama tapi perlaksanaannya tidak ke mana. Apabila ditanya bagaimana usaha dan perlaksanaan ISLAM HADHARI setakat ini? Jawapan yang diberikan dalam proses, kita kena perlahan-lahan. Tidak masuk akal langsung. Keadaan ISLAM yang semakin ditindas dan tertindas mereka masih berdiam diri lebih menumpukan pembangunan modal insan dan negara sahaja.

Hampir separuh dekad negara kita yang tercinta disimbahi dengan nikmat kemerdekaan yang penuh bermakna bagi sesebuah negara. Bermula pada pengisyhtiharan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Al-Haj pada tanggal 31 Ogos 1957, Malaysia terus mengorak langkah menuju kemajuan demi kemajuan sehinggalah ke tahap ini. Cukup membanggakan, tahniah diucapkan. Akan tetapi, sekiranya diperhatikan secara dekat bagi mereka yang lebih meniti beratkan soal survival agama ISLAM itu sendiri di sebuah negara ISLAM kita melihat fenomena pemisahan antara agama dengan beberapa aspek utama kehidupan seumpama politik, ekonomi dan sosial terutamanya. Fenomena ini jelas terlihat dengan pincangnya 3 aspek utama didalam sesebuah negara akibat pemisahan yang berlaku.

Sepanjang tempoh 50 tahun kemerdekaan negara yang kita cintai tidak tampak pembangunan tamadun ummah ISLAM yang gemilang seperti tema hari kemerdekaan pada tahun ini iaitu 'MALAYSIAKU GEMILANG.' Seiringkah perjalanan pembangunan negara yang semakin mencanak bersama dengan pemantapan ISLAM di hati dan minda rakyat yang majoritinya ISLAM? Kalau soalan itu ditanyakan kepada saya, secara peribadi saya menjawab, "Tiada sebarang perubahan terhadap ummah ISLAM di Malaysia bahkan semakin teruk dengan pelbagai kancah kebejatan akhlak yang membawa kepada pengikisan hak mutlak ISLAM ke atas agama lain sekiranya situasi ini berterusan tanpa usaha baik pulih dijalankan." Apa nak jadi dengan negaraku yang tercinta ini? Mana perginya janji-janji kalian yang mengatakan ISLAM akan menjadi agama terhormat di mata rakyat?

Dikesempatan yang masih bersisa ini ku menyeru kepada diriku sendiri terutamanya dan kalian semua selaku pelapis, pemangkin dan generasi pencetus yang bakal menggegarkan kembali gemilangnya ISLAM di muka bumi Malaysia khususnya seterusnya ke pelusuk dunia amnya. Kalam yang mengatakan, "kita nak menegakkan dan menerapkan ISLAM kena perlahan-lahan. Kita kena sokong government dengan ISLAM H******nya. Kalau bukan kita siapa lagi?" rasanya cukuplah sampai di sini sahaja. Sekembalinya kita setelah berpijak di tanah air yang tercinta maka terpundaklah beban untuk melancarkan usaha pengislahan secara besar-besaran. Usah di postpone sehingga ke suatu masa tertentu akan tetapi on the spot kepada kerja-kerja dakwah. Insyaallah, ALLAH akan bersama-sama dengan hambanya yang berjuang di jalan ALLAH semata-mata mengharapkan kembalinya tertegak kalimah ALLAH di muka bumi yang ketandusan Khilafah Islamiah suatu ketika dahulu.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Friday, August 24, 2007

.:: Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir Tampil Muka Baru ::.

بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum w.b.t kepada kalian semua sidang pembaca yang dirahmati Allah sentiasa hendaknya. Alhamdulillah, selaut kesyukuran ku panjatkan ke atas Allah Yang Esa seiring tautan selawat dan salam ke hadrat Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W selama mana nadi jantungku masih berdenyut. Sesungguhnya putaran roda kehidupan sememangnya akan memperlihatkan berdiri dan jatuhnya seseorang kadangkala berada di atas juga sebaliknya. Apapun itu adalah sunnatullah yang telah ditetapkan jodoh, rezeki dan ajal setiap makhluk yang dicipta Al-Khaliq. Bergelar pemimpin seolah-seolah title yang diimpikan oleh mereka-mereka yang menginginkan kemasyhuran agar dikenali ramai. Hakikatnya itu sudah pasti akan tetapi disebaliknya terpundak sebuah amanah yang perlu dilaksanakan kerana bakal dipersoalkan kelak.

Sekiranya dibelek helaian directory kitab-kitab hadith sahih karangan ulama' muktabar Sunan Sittah terutamanya dan selainnya pada item yang merujuk kepada kepimpinan yang mana mafhum hadith tersebut ketika mana Ibnu Abbas bertanya kepada Nabi S.A.W tentang kepimpinan lantas Baginda menjawab," sesungguhnya mereka yang meminta kepada jawatan dalam kepimpinan itu maka dia akan keseorangan dalam kepimpinannya manakala mereka yang diminta untuk menjadi pemimpin maka Allah Taala akan mengutuskan para malaikat untuk membantunya." Semoga kita tergolong digolongan kedua yang mendapat bantuan dalam melaksanakan tugasan sebagai seorang yang telah diberikan kepercayaan penuh oleh ahli yang meminta kita untuk menyandang sesebuah jawatan. Allahumman surna wansuril islama wal muslimin.

Malam Jumaat tadi yang penuh dengan barakah selaku pemimpin segala hari telah pun diumumkan 8 muka-muka baru yang bakal mengorak langkah menuju paradigma seiring dengan acuan Alquran dan Sunnah seperti yang digariskan. Dalam masa yang sama 2 muka-muka lama masih perlu dikekalkan bagi memastikan pemanduan lebih berhemah dan terarah demi memastikan segala gerak kerja berjalan dengan lancar. Benarlah kata pepatah Sepanyol "hilang patah tumbuh berganti." Apapun perjuangan perlu diteruskan demi memastikan kerja-kerja menjaga kebajikan suara anak-anak negeri Johor ini terjaga. Semoga kalian semua akan dirahmati dan mendapat limpahan inayah dari Allah S.W.T dalam menjalankan tanggungjawab yang terpundak.

Di sini turut saya lampirkan 8 muka-muka baru yang bakal mewarnai kepimpinan Ahli Jawatankuasa Tadbir Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir bagi sesi 2007/2008. Diharap linangan doa kalian akan seiring dengan tampuk pemerintahan yang baru kali ini.

Penulis berharap pemerintahan sesi ini lebih terpandu dengan bantuan dari sahabat-sahabat ahli Johor yang masih berada di seluruh pelusuk Ardul Kinanah ini dengan meletakkan pundak tersebut di bahu mereka tanpa memberikan kerjasama terhadap sebarang program dan aktiviti yang akan mereka laksanakan.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa




Thursday, August 23, 2007

.:: PMRAM Terus Mengorak Langkah ::.

بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera buat kalian semua sahabat yang kukasihi kerana Allah. Hampir setiap hari ku dan sahabat-sahabat kepimpinan disibukkan dengan Anniversary Of Malaysia's National Day (A MIND '07) kali ke-50 yang baru 2 hari berlangsung secara rasminya dengan dipertandingkan acara-acara dewan seperti pantun, pidato, khutbah, hafazan, debat ala parlimen, forum dan banyak lagi. Akan tetapi hakikatnya 5 hari lebih awal telah bermula acara padang dengan perlawanan bola sepak Piala Malaysia yang merupakan acara sukan tahunan yang dinanti-nantikan oleh kaki-kaki bola di semua peringkat Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dan juga Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM). Turut sama menjemput pasukan dari anak-anak negeri Sabah walaupun bukan di bawah naungan PMRAM. Kesudahannya menyaksikan Sabah yang merupakan pasukan jemputan menjuarai Piala Malaysia kali ini.

Hari ini (23 Ogos 2007) merupakan hari terakhir bagi acara-acara dewan sebelum disambung kembali acara-acara sukan seperti bola tampar, sepak takraw, ping pong dan silat. Walaupun PMRAM diasak dan diserang dengan pelbagai sekatan namun begitu Allah masih memberikan peluang untuk sebuah persatuan yang berlandaskan Quran dan Sunnah untuk terus meneruskan misi murni itu. Dalam masa yang sama jika dilihat pada pandangan mata kasar sememangnya PMRAM seolah-olah hilang sokongan ahlinya. Namun sebenarnya masih ramai ahli yang menyokong dan mendokong PMRAM dari belakang walaupun mereka diancam dengan pelbagai kecaman yang tidak berasas. Buktinya ramai ahli yang memberikan sokongan padu mereka dalam menjayakan AMIND pada kali ini.

Ingatlah sesungguhnya di sana ramai pihak-pihak yang tidak senang duduk melihat keberjayaan segala aktiviti dan program yang dijalankan oleh persatuan induk anak-anak Melayu ini di Ardul Kinanah ini. Mereka telah merencanakan pelbagai pelan untuk menarik ahli terutamanya adik-adik yang baru dan akan sampai dari jatuh ke tangan PMRAM. Antaranya dengan cara mereka mewujudkan ahli jawatankuasa sambutan mahasiswa baru dalam masa yang sama PMRAM sememangnya merupakan persatuan yang menyambut kedatangan adik-adik yang akan sampai. Jika dilihat impaknya kelak adik-adik baru yang dimomok-momok dengan kejahatan dan 'bahaya'nya PMRAM akan menilai dengan kematangan minda mereka dalam membezakan antara yang hak dan yang batil demi mendapatkan kepastian dan kebenaran momokan mereka itu.

Mereka juga turut menggerakkan jentera diperingkat mereka dengan menjalankan perayaan menyambut hari kemerdekaan Malaysia kali ke-50 dengan mengadakan pelbagai acara yang menghidangkan hadiah yang lumayan kepada pemenang-pemenang yag bertuah lebih-lebih lagi mereka mendapat peruntukan yang besar berbanding PMRAM. Walaupun begitu, sokongan ahli terhadap PMRAM tidak berbelah bahagi walaupun hadiah yang di berikan tidaklah seberapa. Ini cukup membuktikan bahawa ahli yang kebanyakannya golongan azhari bukanlah memandang pada material semata-mata. Apa yang penting untuk kita dapatkan dari setiap acara yang dipertandingkan menatijahkan ribat ukhuwah yang berkekalan tika senang mahupun susah.

Semoga matlamat sebenar segala aktiviti yang dijalankan hanyalah semata-mata mengharapkan keredhaan Allah untuk meneruskan pelayaran kehidupan yang sudah pasti penuh dengan pelbagai liku-liku. Sudah semestinya memerlukan kekuatan fizikal dan mental untuk menghadapinya. Untuk itu tidaklah kami pimpinan dan PMRAM itu sendiri mampu berdiri dengan tegak dan gagah kecuali dengan sokongan, dokongan dan huluran tangan dari kalian semua untuk mewujudkan suasana bahawa 'KITA PMRAM' dan bukanlah PMRAM itu milik Badan Pengurus dan HEWI. Kembalikan keizzahan ISLAM, kuatkan ribat ukhuwah. Pastikan kejayaan adalah milik bersama demi ISLAM itu sendiri bukannya hak peribadi. Renungi dan fikirkan bersama.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Wednesday, August 22, 2007

.:: Konsert Raudhatul Infak PMRAM '07 Untuk Semua ::.

بسم الله الرحمن الرحيم




Assalamualaikum w.b.t buat semua sahabat yang kukasihi kerana Allah. Insyaallah sebagaimana yang kalian semua maklum sepertimana yang diiklankan di laman web PMRAM www.pmram.org mengenai konsert tersebut yang diadakan pada 28 Ogos ini bertempat di Nadi Riadhi, Madinat Nasr Haiyu Sadis bersebelahan Universiti Al-Azhar selepas solat Maghrib berjamaah di sana. Konsert ini diadakan bertujuan untuk mengumpul dana syaqah/apartmen/kondominium untuk melancarkan, memudahkan dan mengaktifkan gerak kerja kebajikan yang dibawa oleh PMRAM itu sendiri kepada seluruh mahasiswa/wi yang berada di Perlembahan Nil ini. Ini tidak lain adalah untuk memastikan PMRAM akan terus bergerak menyalurkan kebajikan dengan kita mempunyai dewan dan markaz bagi memudahkan segala aktiviti yang PMRAM jalankan dirasai semua pihak.

Ini memandangkan kepada kebebasan PMRAM untuk menjalankan program semakin disekat oleh pegawai-pegawai rumah negeri yang selama ini menjadi tempat PMRAM berprogram dengan alasan PMRAM adalah pembangkang. Tuduhan yang tidak berasas sama sekali! Juga bermacam dakyah dan sekatan yang dilakukan demi memastikan PMRAM akan terus terkubur. Semoga Allah melindungi sebuah persekutuan dan persatuan pelajar yang selama ini banyak menyalurkan kebajikan kepada pelajar Malaysia di Mesir. Dengan itu diharap konsert yang akan diadakan akan memberikan semangat baru kepada PMRAM untuk terus memberikan kebajikan kepada seluruh mahasiswa/wi di Ardul Kinanah ini. Tiket berharga LE15 bagi warga Malaysia manakala LE20 bagi yang bukan warganegara berserta poster INTEAM LE1 boleh dapatkan pada wakil BKAN dan DPM masing-masing. Selamat berhibur sambil menderma.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Sunday, August 19, 2007

.:: Terima Seadanya ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Pasca Menerima Natijah Tahun 3,

Fakulti Usuluddin, Jabatan Dakwah dan Pengetahuan Islam,
Universiti Al-Azhar Asy-Syarif, Kaherah.

Terpana seribu bahasa setelah aku menerima lontaran keputusan yang sememangnya memeranjatkan semua yang mendengarnya lebih-lebih lagi empunya diri ini. Sungguh tidak disangka-sangka impianku ingin mendapat keputusan yang cemerlang akhirnya menjadi kenyataan. Setinggi-tinggi kesyukuran yang tidak terbatas hingga langit ke tujuh menemui hadrat Allah yang Esa. Adakah ini sekadar mimpi di siang hari atau sebuah realiti yang pasti?

Ustaz Afifi menjerit kepadaku meminta no giliranku. Lantas ku bacakan kepadanya "arba'ah alaf miatain wa tis'ata asyar" atau 4219 dalam digit angka lalu dibacakan namaku, "Mohd Rafiq Abd Aziz, jaiyid.....". Terkedu seketika disamping sahabat-sahabatku mengucapkan kalam tahniah atas kejayaanku. Terasa seolah-olah aku di alam maya. Tidak sekadar hari itu sahaja ku mempercayai akan keputusan yang ku perolehi. Untuk mendapatkan kepastian yang dominan, lantas aku bertanyakan lagi buat kali ke dua, jawapan diberikan masih dan tetap. Harap-harap indah khabar dari rupa.

Akan tetapi sedikit gusar menyelinap di segenap qalbi ini setelah mendengar khabar bahawa pernah berlaku satu kes seorang sahabat menerima natijah yang masih belum ditampal diberitahu beliau mendapat keputusan yang baik. Namun apabila keputusan tersebut telah ditampal didapati beliau tidak melepasi had kelulusan tidak melebihi 2 subjek dengan lebihan 2 subjek. Ya Allah, ku harap pada-Mu jualah semoga keputusan yang sedia aku perolehi ini adalah sepertimana apabila ianya akan ditampal kelak.

**********************


Dilema Di Ambang Natijah,
Bait Manhal, Haiyu Thamin,
Madinat Nasr, Kaherah.

Berat rasanya kaki ini untuk meneruskan langkah kaki menuju ke syuun kuliah pengajian usuluddin esok hari. Ke sana semata-mata untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang ku nanti-nantikan selama ini. Terasa menggeletar pangkal jantungku ini membayangkan natijah yang masih belum pasti. Apakah natijah yang bakal aku perolehi? Berjayakah aku untuk menduduki kerusi di pengajian di tahun 4 atau akan kekal di takuk yang lama? Adakah segala kemungkinan dan kemungkinan itu akan melemahkan jiwaku sebelum aku natijah yang sebenar menerpa ke benak mindaku? Ya Allah apakah kali ini aku akan ditambahi dengan ujian kegagalan selepas pelbagai ujian dari pelbagai sudut telah ENGKAU berikan?

Terasa semakin longlai semangat yang tersisa ini untukku meneruskan langkah perjuangan yang masih panjang ini. Lebih-lebih lagi tika menanti sebuah 'penentuan kelayakan' untuk menempatkan diri yang serba kekurangan ini di kelas pengajian yang seterusnya atau kekal di 'kerusi lama' yang pernah aku duduki pada sesi pembelajaran yang lepas. Mengapa segala persoalan ini bermain di benak mindaku? Apa sudah tiada perkara awlawiyat lain yang hendak difikirkan? Di sana berlambak perkara yang lebih utama perlu aku fikirkan yang memerlukan kepada penyelesaian dan tindakan susulan berbanding perkara peribadi yang seharusnya seumpama ini terserahlah pada-NYA untuk menentukannya.

Ah, biarkanlah keputusan imtihan itu. Kalau lulus, alhamdulillah kesyukuran dipanjatkan. Kalau sebaliknya sabar dan terima sahajalah ianya sebagai sebuah ujian untuk menguji tahap keimanan dan ketakwaan hamba-NYA yang terpilih sahaja. Segalanya akan bermula esok untuk menentukan kedudukanku sebenar-benarnya. Malas nak difikirkan ku buang sejauh-jauhnya mengenai 'kelayakan esok' lantas ku capai tetikus sambil membuka mana-mana fail dari pancaran skrin komputer untuk menghilangkan gusar yang terbit dari kamar hati ini. Setelah lama menyingkap satu persatu fail yang terpapar di hadapan mata, tertarik hati ini untuk menonton realiti tv 'Macam-macam Aznil' yang sekian lama juga tidak aku tontoni sebagai penghibur kegusaran itu.

Rasanya lebih dari 5 rancangan realiti tv telah aku habiskan sebagai pengubat sementara sebelum debaran esok yang akan aku dan sahabat-sahabat seangkatan hadapi. Aku hanya mampu berdoa dan berharap kami bakal mengecapi kejayaan bersama dengan izin Rabbul Izzati. Harapanku pada-MU subur kembali. Semoga segala yang indah akan menjadi nyata bukan sekadar igauan semata diserikan dengan sahutan doa pada sisa waktu yang berbaki. Harap-harap diperkenankan. Jauh memikir hingga akhirnya terlelap.

**********************

Seusai fajar menyinsing,
Masih di koordinat yang sama.

Keletihan mata ini tidak dapat ku tahan lagi. Ku sorongkan kembali bantal sambil jari utamaku menekan pepunat tetikus mencari ikon 'Yahoo Messenger' untuk ku aktifkan ruangan sembangku. Setelah terpapar ruangan sembangku diaktif lantas ku aktifkan ikon 'busy' untuk aku sambung kembali pengembaraanku selepas melihat jam waktu ini kemudian kukuncikan jam penggera pada jam 10 pagi. Lamunanku terhenti setakat itu untuk memberikan ruang kepada siaran tertunda kisah mimpiku yang aku sendiri tidak tahu mengenai apa. Sememangnya terkadang kisah mimpi itu cukup menganehkan sehingga menggambarkan kehidupan kita secara realiti. Antara percaya atau tidak, percayalah pada Allah yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Sekitar jam 11, aku dikejutan dengan panggilan dari sahabat sekuliahku. Beliau mengatakan keputusan yang dinanti-nantikan selama ini telah pun sampai di tangan pegawai pejabat pentadbiran bagi tahun 3. Lantas segera ku kejutkan sahabat yang sama waktu denganku untuk seiring bersama ke pejabat pentadbiran fakulti usuluddin untuk mendapatkan hasil usaha kami sebelum ini. Di sepanjang perjalanan yang mengambil masa sekitar 45 minit dari Seksyen 8 ke universiti kami di Saidina Husain, Medan Al-Azhar tidak putus-putus ku pohon doa ke hadrat Ilahi semoga DIA memberikan kejayaan kepada kami.

Bagi diri yang serba hina dina ini, ku sandarkan sepenuhnya keputusan yang tersimpan digenggaman Ilahi dalam menentukan nasib setiap hamba-hamba-NYA. Aku akur pada setiap keputusan yang akan dibacakan kelak. Kegusaran kembali lagi meresapi degup pantas nadi utama. Walaupun pada awalnya emosi diri ini telah ku gelintar semasak-masaknya. Namun emosi itu bukanlah semudah yang disangka. Memerlukan masa yang panjang untuk menjinakkannya. Bersabarlah dalam mendidiknya. Walau apapun yang bakal aku perolehi, pokok pangkalnya aku kembali kepada Allah yang menentukan segalanya. Akur atas sunnahNya dan berusaha dengan sekerasnya di masa mendatang andaikata keputusan itu tidak menyebelahi diri ini. Andaikata sebaliknya, ku tetap akan memanjatkan kesyukuran atas ketentuannya. Akur dengan setiap apa yang berlaku kerana di sana semestinya terdapat hikmah yang terselindung untuk difikirkan oleh orang-orang yang cerdik pandai.

Ku gagahi jua langkah kakiku ini menuruni anak tangga bas 80 palang bergegas mendahului yang lainnya menuju ke pejabat pentadbiran kuliah usuluddin. Berkerumun di hadapan kaunter tahun 3 mereka yang tidak sabar meninginkan kepastian keputusan imtihan masing-masing. Ku menanti dengan penuh sabar hingga tiba pada giliranku memberikan kad pengajianku kepada pegawai pentadbiran tahun 3. Sebagaimana ku sebutkan sebentar tadi, segala keputusan yang pasti nanti akan aku akur pada ketentuan itu. Aku akur, ku tawakal dan ku berdoa padanya. Semoga dibukakan segala pintu kebaikan yang bisa membantu kestabilan keputusan itu. Harapan yang pasti.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Sunday, August 12, 2007

.:: Semua Itu Adalah Milik-NYA ::.

بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum w.b.t dan salam hormat buat kalian semua yang ku kasihi kerana Allah. Setinggi-tinggi penghargaan ku panjatkan ke hadrat Allah Tuhan Yang Esa atas segala nikmat kurniaan yang tidak terhingga dan diduga. Setelah menerima segala pelbagai dugaan dari pelbagai sudut lantas terpapar beberapa bait lirik lagu Inteam yang sememangnya tidak dapat disanggah lagi. Bersama kita hayati potongan bait lirik lagu tersebut sebagai pendorong dan membawa kita kembali ke alam nyata.

Tanpamu kasih,
Ku tak berdaya,

Hilang punca dan arah,

Hanyut alpa di arus bergelora,


Kasih,

Daku derita,

Lemah dalam sengsara,

Jiwa dan tubuh kepedihan,

Tersiksa terhukum,

Menanggung kifarah dariMU.

Sesungguhnnya selama mana menanti keputusan yang mendebarkan itu, diri yang dipenuhi dengan kotoran tiak layak untuk menerima keputusan yang baik itu. Namun segala itu adalah datangnya dari ALLAH dan milik-NYA segala. Kejayaan itu adalah pinjaman semata. Seumpama kebahagiaan dan kesihatan semua itu adalah pinjaman dari-NYA dan DIA berhak untuk menentukan nasib seseorang.

Oleh yang sedemikian itu, ku meningatkan diriku dan kalian semua agar kejayaan yang kita kecapi atas nama 'pinjaman' yang perlu kita bayar dengan menyampaikannya kepada orang lain dan masyarakat kelak. Hakikat ini perlu diawasi agar kita senantiasa berjaga-jaga dalam setiap tindak-tanduk bagi mengelakkan dari sifat-sifat mazmumah sebagai contoh ujub, takbur dan bangga diri. Bersama kita mengawasi diri kita daripada jatuh ke lembah kemurkaan-NYA itu.

Tahniah buat kalian yang berjaya. Ingatlah kejayaan itu bukanlah milik kita akan tetapi ianya milik Allah. Maka kejayaan itu adalah untuk ALLAH dan ISLAM. Ingatlah ketika mana Nabi Allah Sulaiman dikurniakan dengan pelbagai nikmat dia tidak pernah lupa untuk mengatakan bahawa segalanya itu adalah milik Allah melalui rakaman Allah di dalam Al-Quran pada ceraian surah An-Naml ayat ke 40 yang berbunyi :

هذا من فضل ربي

Dan ingatlah seperkara bahawa kejayaan yang kita perolehi itu adalah bukan untuk kepentingan diri sendiri akan tetapi adalah untuk memartabat dan mendaulatkan kembali kesucian ISLAM yang telah dionari oleh tangan-tangan mereka yang benci melihat keagungan ISLAM itu kembali bertapak. Renung-renungkan dan selamat beramal bersama.

Salam perjuangan, salam reformis, salam mahabbah.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa


Friday, August 10, 2007

.:: Seputar Di 'Hari Penentuan' ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum w.b.t dan salam hormat kepada semua sahabat yang ku kasihi kerana Allah.

Sekian lama rasanya jari jemari ini kehausan untuk melontarkan sebarang isu dan pandangan yang berkaitan qadiah semasa mahupun lontaran jejak langkah sepanjang permukiman jasadku ini di perlembahan Nil yang berkat ini. Apapun tergeraknya minda ini untuk melakar entri pada kali ini memandangkan kekusutan yang terlihat pada raut sahabat-sahabat dan adik-adik yang sudah pun mengetahui natijah kepada usaha yang dilakukan dalam peperiksaan yang lalu. Sedikit gusar terbit di tirai hati ini tatkala memerhatikan mereka yang diuji dengan kegagalan yang sememangnya tidak diinginkan oleh sesiapa pun. Namun suasana sedemikian tidak dapat dihindarkan oleh penuntut-penuntut ilmu Allah di bumi Al-Azhar ini yang mereka sendiri sedia maklum dan cukup memahami situasi yang mendebarkan itu.

Buat kalian yang telah pun mengetahui keputusan yang mengejutkan dan dinanti-nantikan itu, ku harap kalian bersabarlah dan ingatlah bahawa setiap apa yang terjadi itu adalah ketentuan dari Allah bukan menandakan bahawa dia tidak mengasihi kita. Akan tetapi perlunya kita merasakan itu merupakan sebuah ujian dari Allah sebagai tanda sayangnya DIA pada kita dengan kedatangan ujian tersebut. Buat kalian dan diri ini yang masih menantikan detik yang mendebarkan itu agar dapat meneruskan munajat, berdoa dan berharap sepenuhnya kepada yang memegang segala ketentuan dalam menetapkan sebuah ketetapan yang tidak sepenuhnya bergantung pada usaha penat lelah mengorbankan waktu tidur tetapi mengabaikan tanggungjawab kepada yang berhak. Dengan izin-NYA, tidak akan dihampakan hamba-hambanya yang benar-benar mentaati perintah-NYA.

Rasanya cukup dulu sekadar ini dahulu kerana tirai mata ini ingin melabuh. Bersama kita mengimarahkan tirai malam saiyidul aiyam atau penghulu segala hari iaitu hari Jumaat bersamaan dengan 27 Rejab 1428 yang mana merupakan tarikh di mana kefardhuan solat 5 waktu diperintahkan. Hayati dan perjuangkan dengan sebaik-baiknya usaha baginda Nabi S.A.W dalam memberikan kepada kita kemudahan melaksanakan ibadah ini dari 50 waktu kepad 5 waktu sehari semalam. Salam perjuangan. Take good care. Keep in touch with ALLAH and ISLAM truth way of life. Renung-renungkan dan selamat beramal.


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa