Video Klip Pilihan

Saturday, November 08, 2008

|| Solat Penentu Muslim Atau Kafir! ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Selama hampir 2 bulan penulis berada di tanah air, bermacam-macam ragam manusia dalam masyarakat yang ditemui. Sememangnya pada peringkat awal penulis sangkakan mudah dan agak selesa untuk berdamping dengan masyarakat yang sememangnya kaya dengan pelbagai kerenah yang tak terlayan. Apatah lagi perkara-perkara yang menyentuh perihal keagamaan yang merupakan amalan dalam kehidupan seharian.

Solat. Itulah tunjang kepada kebahagiaan manusia yang bergelar mukmin untuk berjaya di dunia dan akhirat. Mungkin ramai dikalangan umat Islam itu sendiri tidak nampak dan sedar akan kepentingannya. Bahkan ada yang menganggap solat sekadar sebuah amalan yang tiada kepentingannya. Tidak hairanlah akibat dari sambil lewa ini suasana masyarakat sekarang ini berada di tahap yang amat membimbangkan.
Ramai dikalangan sahabat-sahabat yang penulis temui tidak kira samada di alam maya mahupun di alam nyata yang masih kabur berkenaan dengan kepentingan 'tiang agama' yang amat dititik beratkan oleh Islam. Meskipun ramai diantara mereka yang sedia maklum berkenaan dengan WAJIBNYA menunaikan kewajipan ini namun perihal dunia melekakan mereka.

Siapakah yang bertanggungjawab ke atas mereka? Sepanjang pertemuan dan perkenalan penulis bersama golongan tersebut mereka memerlukan golongan agamawan untuk mendekati mereka. Golongan pengajian agama untuk menunjukkan kepada mereka jalan yang lurus untuk kembali kepada Allah. Itu adalah tanggungjawab saya, kamu dan kalian semua yang tahu secara mendalam selok belok perihal agama ini.

Jangan Ambil Sambil Lewa!

Apa yang mampu untuk penulis ingatkan kepada diri penulis seterusnya seluruh sidang pembaca yang masih tercari-cari sinar kebenaran sememangnya memerlukan usaha untuk mendapatkannya. Solat merupakan tiang kepada agama. Tanpa solat runtuhlah agama manakala dengan menunaikannya maka berdiri teguhlah agama itu.

Solat juga merupakan penghubung kepada manusia dan Tuhannya. Kepadanya untuk kita mengadu, memohon perlindungan, keampunan, dan rezeki. Bukan kepada selainnya. Bahkan dalam sebuah Hadith sahih Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : 'Sesungguhnya solat itu merupakan amalan yang membezakan antara orang Islam dan orang Kafir!'

Berhutang kepada Allah

Apa yang pasti, seandainya kita tidak menunaikan tuntutan solat 5 waktu sehari semalam ianya akan dimasukkan ke dalam buku hutang di bahu kiri oleh malaikat 'Atid. Apabila dibentangkan olehnya segala amalan baik dan buruk seseorang hamba kepada Allah kelak segalanya akan dihisab dengan adil dan saksama.
Begitu juga dengan solat. Namun begitu apa yang amat menakutkan kelak, segala amalan baik yang pernah dilakukan oleh anak adam itu tidak akan dihisab kecuali selepas solatnya selesai dihisab. Selagi baik perlaksanaan solatnya maka baiklah amalan selainnya. Akan tetapi andai solatnya terdapat kelompongan, maka anak adam itu akan dihisab ke dalam api neraka terlebih dahulu sebelum berpindah ke amalan berikutnya.

Seteruk mana pun seseorang manusia itu, solat janganlah diabaikan. Jangan sekali-kali meninggalkan kewajipan solat seharian 5 waktu yang bersamaan 50 waktu ganjarannya sebagaimana sewaktu mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa Israk Mikraj.

Langsaikan Segera!

Dalam kes yang lain pula, bahkan ianya terjadi kepada individu-individu yang mengalami masalah yang sama sejak bermula pendedahan ini. Ada diantara mereka yang mengatakan apabila satu-satu solat telah terlepas waktunya, maka mereka langsung meninggalkannya. Bahkan ada yang mengatakan bahawa seorang ustaz yang mereka temui mengatakan tidak perlu menggantikan solat yang telah kita tinggalkan kerana waktunya telah terlepas.
Bila mana dikatakan solat akan dituntut oleh Allah sebagai sebuah hutang sekiranya tidak ditunaikan dengan sebaiknya, maka ianya WAJIB ditunaikan walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Bahkan Islam turut menyuruh mereka yang tidak mampu solat dalam keadaan berdiri maka solatlah dalam keadaan duduk. Tak boleh duduk, maka solatlah dalam keadaan baring. Tak boleh baring, maka solatlah menggunakan isyarat mata. Kalau tak boleh juga, maka solatlah dengan hati seperti mana yang berlaku ke atas orang-orang yang sakit dan nazak.

Oleh yang demikian, solat itu perlu diqada' (diganti) segera usah dilengah-lengahkan. Usah menunggu waktu solat yang berikutnya barulah ditunai selepas itu. Yang pastinya, jangan sekali-kali meninggalkannya sekalipun kita terlupa dan terlepas waktu samada secara sengaja mahupun tidak. Ianya tetap WAJIB ditunaikan walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

Akhir kata, solatlah kamu sebelum kamu disolatkan. Tatkala itu penyesalan tiada gunanya. Salam peringatan buat semua.

Untuk renungan bersama :

Allah SWT berfirman maksudnya : "Sesungguhnya dengan menunaikan solat itu dapat mencegah seseorang itu dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar."

Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadith yg diriwayatkan oleh Ibnu Hatim dan Mardawiyah yang bermaksud : "Sekiranya solat itu tidak mampu menghalang seseorang itu dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, segalanya kembali kepada solat yang dilakukannya yang tidak sempurna"


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: