Video Klip Pilihan

Sunday, December 28, 2008

|| Salam Maal Hijrah 1430!!! ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Salam sejahtera buat semua kawan-kawan, sahabat-sahabat, teman-teman yang dirahmati ALLAH sekalian. Sekian lama jari jemari ini tidak menekan papan kekunci untuk memberikan sebarang maklumat, ilmu mahupun pengetahuan untuk dikongsi bersama. Manakan tidak buat masa ini penulis yang baru kembali ke bumi Anbia' sedang sibuk menumpukan perhatian dengan pengajian untuk menghadapi imtihan yang bakal menjelma pad 19, 22 dan 24 Januari nanti.


Apapun yang bakal dan akan terjadi merupakan suatu suratan takdir yang telah ditetapkan ILAHI untuk dihayati bersama kerana setiap yang terjadi pasti ada hikmah yang tersendiri untuk diambil pengajaran.

Sekadar ingin mengucapkan salam Maal Hijrah 1430 kepada semua sahabat-sahabat yang dikasihi kerana ALLAH walau di mana kalian berada yang masih terus memberikan komitmen untuk membangunkan dan memartabatkan Islam di kemuncak usia dunia ini. Semoga amalan baik yang telah kita lakukan pada tahun lepas *(1429H) diterima ALLAH dan diampuni segala dosa kemaksiatan dan keterlanjuran yang berlaku pada tahun itu.

Harapan dan impian yang perlu disematkan oleh setiap hamba ALLAH yang mengaku beriman kepada ALLAH untuk tahun baru *(1430H) semoga amalan yang akan dilakukan sentiasa mendapat pimpinan daripada ALLAH. Dan dihindari dari segala kemaksiatan, dosa dan segala macam larangan yang ditegahnya.

Semoga kata-kata salah seorang Khalifah Ar-Rasyidin, Saidina Umar Al-Khattab ini mampu kita sematkan dan jadikan azimat dalam menongkah saki baki kehidupan yang masih belum pasti bilakah pengakhirannya.

Kata-kata beliau yang berbunyi : Jikalau hari ini lebih baik dari semalam, maka BERUNTUNGLAH. Jikalau hari ini sama seperti semalam, maka SIA-SIALAH. Jikalau hari ini lebih teruk dari semalam, maka CELAKALAH.

Justeru itu, ayuh kita bersama berganding bahu memperbaiki segala kesilapan dan kekurangan yang berlaku pada tahun yang lepas dengan menaik tarafnya pada tahun ini. Pesan saya juga semoga segala amal baik yang telah dilakukan sebelum ini iaitu pada sekitar bulan Ramadhan diteruskan dengan sebaiknya pada bulan-bulan selainnya. Kerana tanda amalan puasa yang dilakukan pada bulan barakah itu diterima adalah dengan berterusannya perlaksanaan amalan tersebut.

Semoga kita mampu menjadi mukmin yang sentiasa beringat dan ingat mengingati antara satu sama lain sebelum kelak segala amal baik yang kita lakukan dalam masa yang sama tidak melaksanakan amar makruf nahi mungkar akan menjadi sia-sia di hadapan ALLAH. Bagaikan habuk yang ditiup angin sebagaimana yang dijelaskan di dalam Al-Quran.

Salam Maal Hijrah 1430H. Fikir-fikirkan dan selamat bermuhasabah!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Monday, December 22, 2008

|| Kembali Sediakala ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Akses Jauhari

Akhirnya penulis selamat jua menjejakkan kaki kembali ke bumi Anbia' di mana bumi yang dijunjung penuh dengan khazanah ilmu. Tepat jam 540 pagi paa tarikh 21 Disember 2008 bersamaan 23 Zulhijjah 1429 kapal terbang yang membawa penulis berjaya mendarat dengan selamatnya. Kesyukuran yang tidak terhingga dipanjatkan kehadrat RABBURRAHIM atas kesempatan yang dikurniakan kali ini.

Yang pastinya sepanjang berada di Malaysia selama hampir 3 bulan memberikan sejuta memori, pengajaran dan input yang belum pernah penulis perolehi sebelum ini. Meski telah kembali kedua insan tersayang menemui RABBULJALIL, diri ini mensyukuri nikmat sebuah ukhuwah yang telah terbina daripada insan-insan yang sudi berkongsi sebuah kasih sayang. Insan yang turut menerima dugaan yang hampir sama mendekatkan dirinya memahami diri ini.

Sesungguhnya pengalaman dan pertemuan yang berputik ketika keberadaan penulis di Tanah Air begitu bermakna yang perlu disyukuri dengan sebanyak-banyaknya. Setiap pertemuan pasti di sana akan diakhiri dengan perpisahan. Itulah pasangan yang telahpun ditetapkan ALLAH akan setiap sesuatu dengan pasangan masing-masing. Cuma yang memedihkan lubuk hati ini adalah perpisahan yang terhasil samada sementara mahupun selamanya pabila maut melingkarinya. Serahkan pada YANG ESA yang berkuasa menentukan akan setiap sesuatu.

Namun begitu, segala yang terjadi telahpun tersurat dan tersirat pada Qada' dan QadarNYA. Maka kita selaku manusia seharusnya menerima ketentuan ini dengan hati yang terbuka. Hati yang mulus dengan pasrah mengharapkan redhaNYA semata. Itulah sifat mukmin yang sejati.

Kembali Sediakala

Ya, tepat sekali subtopik ini. Tepat jam 540 pagi tatkala mendaratnya kapal terbang yang penulis naiki, maka penulis kembali sediakala. Kembali memikul sebuah tanggungjawab yang sebelum ini tergantung tidak bertali. Tanggungjawab memikul amanah sebagai penuntut ilmu ALLAH untuk menegakkan syiarNYA kelak. Meski terasa kelayakan yang tidak menepati ciri-ciri selaku pejuang agamaNYA, namun amanah ini mesti dipikul jua.

Sedangkan sang burung yang hanya membawa beberapa titisan air untuk membantu memadam api yang membakar Nabi ALLAH Ibrahim merasakan tanggungjawabnya membantu agama ALLAH. Apatah lagi kita, manusia yang sempurna ciptaannya tidak menyedari hakikat itu.

Oleh yang demikian, semua penganut yang merasakan tanggungjawabnya terhadap Islam perlu menyedari tuntutan untuk membantu agamaNYA walau dengan sekecil-kecil perkara. Semoga yang kecil itulah akan dipandang oleh ALLAH dan menjadi pemberat di neraca timbangan kelak.

Apa yang pastinya, segalanya telah kembali sediakala untukku menyambung kembali tanggungjawabku sebagai seorang penuntut ilmu dengan mendalaminya dengan penuh tekun dan sabar. Moga-moga segala memori yang tercipta sebelum berlepasnya penulis ke Ardul Kinanah akan teguh bersemadi sehingga kembali dipertemuan mendatang. Pertemuan yang lebih matang demi memupuk sebuah wadah perjuangan Islam yang syumul.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Sunday, December 07, 2008

|| Haji, Aidiladha dan Korban ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Hari ini, Isnin, 8 Disember 2008 bersamaan 10 Zulhijjah 1429 merupakan hari yang amat bermakna bagi umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Lebih-lebih lagi buat mereka yang sekarang ini berada di Tanah Haram Makkah Al-Mukarramah, dalam misi menyempurnakan rukun Islam yang ke-5. Beruntunglah mereka kerana diberikan keizinan oleh ALLAH dengan ruang dan peluang yang tiada siapa menjangka dapat menyempurnakan rukun Islam yang terakhir itu.

Haji

Semoga para tetamu ALLAH yang datang berjuta-juta batu dari pelbagai negara, bangsa, bahasa, warna kulit tanpa mengira keturunan dan pangkat hanya dengan satu tujuan. Hanya dengan satu matlamat untuk bertemu ALLAH dan menggapai redhaNYA disamping menyempurnakan tuntutanNYA. Itulah impian dan harapan semua manusia yang bergelar muslim sekaligus mukmin yang benar-benar rindu akan RABBnya.

Dicelah-celah kesibukan dalam melaksanakan segala tuntutan dan rukun mendapat 'Haji Mabrur' itu, tidak sepatutnya dilupakan seorang insan yang amat berjasa untuk Islam. Berjiwa besar dalam memenuhi segala arahan Tuhannya menjadi utusan untuk menyampaikan sebuah ajaran yang benar yang diterima di sisiNya. Dialah KEKASIH ALLAH. Dialah PENGHULU SEGALA NABI. Dialah INSAN PALING MULIA dari sekalian makhluk. Tidak lain tidak bukan, dialah JUNJUNGAN BESAR NABI MUHAMMAD SAW.

Sekiranya seorang yang berkunjung ke Tanah Haram tidak mengambil peluang untuk menziarahi INSAN TERAGUNG ini amatlah malang. Amatlah rugi baginya kerana tega tidak menjenguk seorang insan yang begitu sayang dan cintakan umatnya. Sayang dan cinta kepada umatnya tidak berbelah bahagi sehinggakan pada akhir hayatnya menyebut 'umatku... umatku... umatku...'. Tepuk dada tanyalah iman masing-masing sejauh manakah kecintaan dan kerinduan yang kita ungkapkan kepada BAGINDA SAW.

Aidiladha

Disana para tetamu ALLAH sedang mengerjakan ibadah haji dengan sepenuh penghayatan dengan memfokuskan jiwa dan raganya semata-mata untuk ALLAH. Manakala bagi umat Islam selain mereka pula menyambut sambutan Aidiladha bagi turut sama meraikan kejayaan para tetamu ALLAH merentasi segala ujian yang terkandung dalam ibadah haji itu. Malahan, ada pendalat ulama yang menyebut bahawasanya barangsiapa yang menghidupkan Aidiladha dengan sebaik-baik ibadah dengan puasa, takbir, tahmid, tasbih dan sebagainya menyerupai ganjaran mereka yang menunaikan haji.

Meskipun begitu tidak bermakna kemanisan dan kenikmatan yang dirasai oleh para tetamu ALLAH menyamai ganjaran yang diterima oleh mereka yang bukan ahliNYA. Tidak boleh tidak untuk mereka yang belum berpeluang mengerjakannya untuk mencari peluang untuk melaksanakannya. Setidak-tidaknya sekali seumur hidup sebagaimana pendapat kebanyakan ulama.

Justeru itu, bersamalah kita meraikannya dengan memperbanyak amalan-amalan yang mampu menjemput redha ILAHI di saat para tetamuNYA di sana khusyuk mengharapkan sebuah keredhaan.

Korban

Sebelum menutup tirai entri Aidiladha yang berkunjung setahun sekali ini, satu elemen lagi yang perlu dititik beratkan di sini untuk tatapan kita bersama supaya menghayatinya. Elemen ini seringkali dibacakan dalam khutbah Jumaat. Acapkali diperdengarkan dalam ceramah melalui corong-corong radio dan kuliah-kuliah harian di saentero rumah ALLAH. Ibadah korban juga merupakan ibadah yang amat dituntut untuk dilaksanakan oleh selain para tetamu ALLAH.

Melalui ibadah korban ini begitu banyak pengajaran yang boleh disunting untuk diterjemahkan dalam kehidupa seharian. Ianya merupakan satu ibadah yang direalisasikan berikutan peristiwa 'korban' yang berlaku diantara Nabi ALLAH IBRAHIM dan anaknya ISMAIL. Mereka sanggup berkorban demi mentaati perintah RABBULALAMIN. Sehingga akhirnya ALLAH menukarkan anaknya Ismail kepada seekor Kibash yang akhirnya dijadikan sebuah ibadah yang dituntut dalam Hari Raya Aidiladha ini.

Itu merupakan sebuah peristiwa yang cukup makruf dikalangan umat Islam sejagat. Apa yang ingin penulis kongsikan bersama sidang pembaca sekalian adalah hikmah disebalik tuntutan ibadah korban ini. Hikmah yang sewajarnya dihayati dan diterjemahkan oleh setiap anggota muslim dan mukmin dalam segenap kehidupannya. Sebuah tuntutan yang amat berharga untuk setiap daie sebelum berhadapan dengan kehidupan masyarakat yang pelbagai kerenah.

Justeru itu, hendaklah setiap daie mempersiapkan diri supaya lebih fleksibel dan ke arah kontemporari untuk berhadapan dengan masyarakat era millenium ini yang penuh dengan tribulasi. Bahkan tidak keterlaluan untuk dikatakan kian meruncing di akhir zaman ini.

Apa yang pasti dan yang seharusnya diambil perhatian di sini adalah sejauh manakah penghayatan kita melalui peristiwa korban pada zaman perutusan para Anbia' dan ibadah korban itu sendiri. Seharusnya setiap individu muslim itu perlu menanamkan dalam diri mereka kepentingan untuk berkorban di setiap masa dalam apa jua ketika tanpa dipinta. Korban yang dimaksudkan di sini adalah erti sebuah pengorbanan yang telah dilakukan dalam diri masing-masing.

Erti pengorbanan yang dimaksudkan di sini adalah sebuah pengorbanan yang mampu dilakukan oleh seorang yang bergelar mukmin itu untuk dirinya, keluarga, masyarakat, bangsa, negara dan yang paling utama apa pula pengorbanan kita untuk agama tercinta. Untuk Islam yang telah memberikan sinar cahaya kedamaian, ketenangan dan keamanan kepada kita selaku umatnya.

Jadikan Sambutan Haji, Aidiladha dan Korban tahun ini seumpama pertemuan kita yang terakhir dengan mengabdikan diri sebaik-baiknya demi menggapai redhaNYA. Itu merupakan sasaran seorang yang bergelar mukmin andai dia benar-benar mengharap dan mendamba selaut rindu, kasih dan sayang RABBURRAHIM.

Fikir-fikirkan dan renungkan bersama semoga bermanfaat untuk kita bersama.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa