Video Klip Pilihan

Friday, June 19, 2009

|| Mencari Airmata Taubat ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Hari Jumaat merupakan penghulu segala hari. Hari yang mana dikurniakan lipatan ganjaran kebajikan buat hamba-hambaNYA yang benar-benar menghayatinya. Tatkala berkumandangnya azan masuknya solat fardu Maghrib, maka berubahlah kepada hari berikutnya. Hari biasa yang tidak dikurniakan sebarang kelebihan sebagaimana yang diberikan kepada hari Jumaat.

Untuk itu, rebutlah segala apa yang dikurniakan pada hari mulia tersebut sebagaimana dikurniakan bermacam kelebihan pada sebulan bulan Ramadhan yang bakal menjelma tidak berapa lama lagi. Moga dipertemukan kita dengan bulan penuh kemuliaan, kerahmatan, keampunan dan kebajikan itu.

Tajuk khutbah Jumaat pada hari ini bagaikan suatu hadiah untuk tatapan diri saya sendiri dan kalian semua. Perbahasan berkenaan dengan 'Taubat' amat memberikan kesan kepada sesiapa yang merasakan diri mereka 'insan yang penuh dengan dosa'. Hakikatnya, seluruh anak cucu NABI ADAM A.S itu memang diciptakan tidak lepas dari melakukan salah dan silap berdasarkan kalam RASULULLAH SAW yang cukup masyhur didengari oleh kita semua.

Akan tetapi, ini tidak bermakna ianya membawa maksud kita boleh melakukan dosa sesuka hati secara sengaja dengan alasan selepas itu bertaubat memohon keampunan ALLAH. Namun begitu, kefahaman songsang inilah yang disalah erti oleh segolongan manusia yang berhujah itu adalah lumrah kejadian manusia. Segalanya bergantung kepada kekuatan iman dan takwa masing-masing dalam memperhambakan diri kepada ALLAH.

Dalam ISLAM seandainya diamati secara mendalam, telah digariskan panduan lengkap untuk menjalani kehidupan sebagai seorang muslim dan mukmin di atas muka bumi ini. Tiap sesuatu yang dilakukan ada balasan baik buruknya di dunia dan akhirat kelak. Setiap kesalahan yang dilakukan hendaklah segera kembali kepada ALLAH dengan memohon keampunannya dan menyesali akan keterlanjuran itu.

Mereka yang bertaubat kepada ALLAH adalah mereka yang benar-benar menyesali akan perbuatannya dan tidak akan mengulanginya. Bahkan mereka yang amat dicintai oleh ALLAH adalah dikalangan hamba-hambaNYA yang sentiasa memohon keampunan dengan beristighfar dan bertaubat setiap masa, setiap hari.

Sedangkan RASULULLAH SAW yang kita kenali manusia yang amat dicintai oleh ALLAH yang maksum (tidak pernah melakukan dosa) beristighfar dan bertaubat sebanyak 70 kali sehari semalam! Bagaimana pula kita manusia yang setiap detik melakukan kemaksiatan kepada ALLAH! Sebelum dijemput kembali meninggalkan dunia yang fana ini, maka wajarlah setiap dari kita menyedari hakikat kejadian diri kita dan tindakan yang perlu dikerjakan melalui kesedaran itu.

Akhir kalam, bersamalah kita memperbaiki diri dengan memohon keampunan melalui istighfar dan bertaubat kepada ALLAH setiap hari tanpa menangguhnya ke hari tua yang masih belum pasti menemui kita. Jangan apabila roh sudah dikerongkong, maka ketika itulah kita melafazkan kata taubat memohon keampunan kepada ALLAH. Andai ini berlaku. tidak akan diterima taubatnya kerana ALLAH sendiri menjelaskannya di dalam Surah An-Nisa', ayat 17 dan 18 yang bermaksud :

"Sesungguhnya bertaubatlah kepada ALLAH itu adalah bagi mereka yang melakukan kejahatan kerana kejahilannya (tidak mengetahui akan kejahatan itu) kemudian segera bertaubat. Taubat mereka itulah yang diterima oleh ALLAH. Sesungguhnya ALLAH itu MAHA MENGETAHUI lagi MAHA BIJAKSANA. [17] Dan taubat itu tidaklah diterima oleh ALLAH dari mereka yang melakukan kejahatan sehingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, barulah mereka mengatakan : 'Saya benar-benar bertaubat sekarang.' Dan tidaklah diterima taubat mereka itu mati sedangkan mereka dalam keadaan kekufuran. Bagi mereka itu telah KAMI sediakan azab yang amat pedih. [18]"

Semoga perkongsian ilmu yang sedikit ini dapat memberikan pengajaran kepada diri saya sendiri dan kepada sidang pembaca sekaligus terdetik kalam istighfar menandakan sensitifnya kita terhadap betapa berdosanya kita selama ini kepada RABBUL JALIL. Semoga segala amalan, taubat dan perjuangan ISLAM kita diterima sebelum dipanggil kembali menghadapNYA.

Kata Muthaqqaf : Bersegeralah dalam melakukan amalan kebajikan dan kebaikan di alam dunia yang fana ini sebelum dijemput bersama mereka-mereka yang telah mendahului kita bertemuNYA dengan keISLAMan dan keimanan yang jitu kepadaNYA. Moga dijauhkan dari segala bentuk amalan yang bisa menjemput murka ILAHI sekaligus mengundang azab siksa yang tidak terperi andai tiada penyesalan di akhirnya. ALLAHUMMA AMIN...

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

1 comment:

Park Chick said...

setitik air yang mampu memadamkanselautan api neraka itulah dia si air mata taubat