Video Klip Pilihan

Friday, December 07, 2012

Antara Dua Darjat - Siri 1

   Perut bagaikan mahu meletup dek kerana makanan yang disumbat bagaikan tak ingat dunia. Hidangan yang disediakan memang sungguh menyelerakan. Nasi burung puyuh kerana dihidang bersama burung puyuh goreng. Sebagaimana nasi ayam kerana dihidang bersama ayam. Alhamdulillah, makan malam percuma malam ini selepas bacaan Yaasin dan Tahlil ringkas. Juga bersempena meraikan jamuan perpisahan diantara kami pelatih guru KPLI KDC JAJ dan penyelaras Tuan Haji Mohd Zain Bin Badui.

   Selama hampir setahun setengah berkampung di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Temenggong Ibrahim menggamit sejuta memori walaupun kewujudan kami di sini hanya di musim cuti persekolahan. Memandangkan kursus yang kami duduki hanya untuk musim cuti sahaja. Syukur seadanya ditempatkan di perkampungan ilmu yang aman damai. Sambil berteleku menadah ilmu bersama para ilmuan yang mahir dalam membina modal insan guru yang profesional berlandaskan Islam.

   Kurang seminggu lagi aku akan menduduki peperiksaan bagi KPLI KDC JAJ. Segala macam ilmu yang telah kami anuti sudah pastinya akan terduga di dalam dewan peperiksaan tersebut. Sama ada di Dewan Seri Temenggong (DST) atau Dewan Dato' Khairuddin Hj Ashaari (DDKA) masih samar-samar. Atau mungkin hanya di bangku meja kelas tutorial sahaja. Siapa yang tahu. Yang pastinya, bagaimana kelengkapan perangku sebelum memasuki medan peperangan yang cukup getir. 

   Sudah hampir 4 tahun meninggalkan dewan peperiksaan. Mampukah aku menawan rasa gusar tatkala memasuki dewan peperiksaan yang bakal mencorak lukisan masa hadapanku?

' Nasihat anak murid supaya betah untuk berperang. Takkan cikgunya pucat lesi kot? ' bisikku di dalam hati.

***************

   "Aku nak pindah SABK di Selangorlah macam ni. Tunggu Johor ni nak SABK sudah bertahun-tahun. Aku ni anak ramai nak sara. Kau lainlah isteri kerja kerajaan..." bebel Cikgu Khatijah salah seorang guru senior di SMA Lughatil Arabiah Tangkak. Aku yang baru setahun jagung mengajar hanya mampu melempar secoret senyuman meraikan kata-katanya. Bagiku, tidak mengapalah pendapatan kecil sekalipun yang penting berkat. 

   Namun tidak bererti aku tidak bersetuju dengan usaha-usaha membawa Sekolah Menengah Agama Rakyat diletakkan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia sebagaimana segelintir guru yang 'anti keris' dan 'anti dacing'.

   "Kau diam-diam dulu tau. Aku bagitahu kau sahaja dulu, Pengetua pun masih tidak tahu menahu tentang hal ini. Mungkin lepas Hari Guru nanti aku pindah. Urusan perpindahan pun aku tengah buat. Kau jangan kecoh-kecoh tau Rasul," sambung Cikgu Khatijah lagi. 

   "Ya lah, Kak Khatijah. Saya diam. Saya tak suka pecahkan rahsia orang ini. Saya seorang yang penyimpan rahsia. Jangan takut. Erm, tunggu tahun depan tak boleh ke kak? Kalau akak keluar nanti siapalah yang nak ajar madah-madah akak tu?" tanyaku.

"Alah, kau kan ada. Apa susah-susah," jawab Ustazah Khatijah ringkas.

   Ustazah Khatijah seorang guru lama yang sudah cukup lama mengajar. Membesarkan anak-anak seorang diri selepas berpisah dengan suaminya yang berhasrat ingin bernikah lagi sudah lali dalam hidupnya. Disuruh mencari teman ditolaknya mentah-mentah. Katanya lebih selesa hidup sebegitu.

   Masing-masing berhak menentukan anak panah hidupnya. Mahu tepat ke sasaran mata tertinggi, rendah, sederhana. Semuanya itu terletak di genggaman tangan kita. Yang penting, jangan salah sasaran. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak boleh diundurkan masa.

' Selamat maju jaya kak Khatijah, ' bisik hatiku.

***************

P/s: Jom sambung menelaah Kitab Ilmu Pendidikan... ^_^

Thursday, December 06, 2012

Utusan Rindu Untuk Sahabat...











Bingkisan rindu untuk sahabat-sahabatku yang sudah sekian lama tidak bersua (Maahad al-Islami lit-Tarbiah wat-Tahfiz  1999 - 2002, Maahad Johor 2003, Universiti Al-Azhar, Mesir 2004 - 2008)






BINGKISAN RINDU - Far East (Cinta Pertama)

Antara kita tiada rahsia,
Susah dan senang tetap bersama,
Terpatri namamu,
Kau takkan ku lupa...

Sudah bertahun lama,
Kita tidak lagi bersua,
Hanya tinggal kenangan,
Yang tak mungkin kita lupa...

Kirimkan khabar selalu,
Seiiringan hembusan bayu,
Sekadar pengubat,
Rasa rindu di kalbu...

Pantas masa berlalu,
Meninggalkan kita semua,
Tanpa disedari,
Bertambahlah usia kita..

Potret lama masih ku simpan,
Ku bingkaikan kenangan,
Hingga terkadang ku,
Tersenyum sendirian...

Perjalanan kita,
Masih jauh,
Halangan berliku,
Bakal kita tempuh,

Imbasan kenangan semalam,
Jadi azimat penguat semangat,
Penentu masa hadapan,
Harapanku kau kan bahagia selalu...

Wednesday, December 05, 2012

Bertatih dalam penulisan kreatif Islami...

Ayuh menyusur arus menyebar suara addin ke segenap pelosok alam dengan penuh berhikmah, bertauladan dan berperisai yang tinggi... ^_^

Di teratak rindu ini...

Di teratak rindu ini,
Ku menangis sepi,
Meratap luluh hati,
Mengenangkan rindu yang pergi.

Di teratak rindu ini,
Ku merintih sayu,
Meruntun jiwa simpati,
Memanggil kasih silih merayu.

Di teratak rindu ini,
Ku mengharap yang Satu,
Cahaya iman dipenuhi,
Menjadi suluh dikala buntu.

C218
IPGKTI
12.00 malam

Tuesday, December 04, 2012

Ku hentikan ilham...


Sukarnya untuk mengekalkan istiqamah dalam beramal dan beribadah...
Pasti ranjaunya deras untuk dihadapi...

Sukarnya untuk mengekalkan istiqamah dalam beramal dan beribadah...
Nafsu menyerang bertubi-tubi...

Sukarnya untuk mengekalkan istiqamah dalam beramal dan beribadah...
Iman lekas merudum leka bermain...

Sukarnya untuk mengekalkan istiqamah dalam beramal dan beribadah...
Ikatan dunia tersimpul intim di hati...

Sukarnya untuk mengekalkan idtiqamah dalam beramal dan beribadah...
Ku hentikan ilham untuk mencari istiqamah yang hilang...

C218
IPGKTI
11.18 malam