Video Klip Pilihan

Monday, May 18, 2015

Salam 2015

Assalamualaikum dunia...
Dah bersawang dan berhabuk blog aku ni rupanya...
Terima kasih kepada yang menjadikan blog yang serba kekurangan sebagai rujukan dalam bacaan anda...

Wednesday, May 07, 2014

Nukilan Sulung 2014

Alhamdulillah ala kulli hal...
Alhamdulillah atas segala nikmat kurniaanMu ya Allah...
Meskipun hambaMu ini sering kufuri...
Meskipun hambaMu ini sering ingkari...
Meskipun hambaMu ini sering lupai...
Meskipun hambaMu ini sering lukai...

Nafsu sering merobek tenang...
Iman acapkali tertewas...
Taubat kerap tertunda...
Kejahatan megah ke langit...

Rejab muncul menghulur tangan...
Pintu gerbang menuju istana penghulu bulan...
Dipagari panglima Syaaban nan gagah...
Laluinya dengan hati yang girang...

Salam dakwah...

Friday, January 04, 2013

| Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh | Semoga sihat selalu dalam lindungan Allah |

| Carilah Allah dlm hatimu |
| Gelintarlah redhanya tanpa jera |
| Serulah namaNya dalam setiap hela nafasmu |
| Kekanglah nafsumu biarkannya sengsara |

| Temuilah Allah dalam ibadahmu |
| Rinduilah Allah dalam rukuk sujudmu |
| Semailah Muhammad dalam kata-katamu |
| Pasti kan tenang nan damai jiwamu |

| P/s: Luangkan masa kita ber'dhuha' sebagaimana kita buangkan banyak masa untuk sarapan pagi | Peace no war =) |

Friday, December 07, 2012

Antara Dua Darjat - Siri 1

   Perut bagaikan mahu meletup dek kerana makanan yang disumbat bagaikan tak ingat dunia. Hidangan yang disediakan memang sungguh menyelerakan. Nasi burung puyuh kerana dihidang bersama burung puyuh goreng. Sebagaimana nasi ayam kerana dihidang bersama ayam. Alhamdulillah, makan malam percuma malam ini selepas bacaan Yaasin dan Tahlil ringkas. Juga bersempena meraikan jamuan perpisahan diantara kami pelatih guru KPLI KDC JAJ dan penyelaras Tuan Haji Mohd Zain Bin Badui.

   Selama hampir setahun setengah berkampung di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Temenggong Ibrahim menggamit sejuta memori walaupun kewujudan kami di sini hanya di musim cuti persekolahan. Memandangkan kursus yang kami duduki hanya untuk musim cuti sahaja. Syukur seadanya ditempatkan di perkampungan ilmu yang aman damai. Sambil berteleku menadah ilmu bersama para ilmuan yang mahir dalam membina modal insan guru yang profesional berlandaskan Islam.

   Kurang seminggu lagi aku akan menduduki peperiksaan bagi KPLI KDC JAJ. Segala macam ilmu yang telah kami anuti sudah pastinya akan terduga di dalam dewan peperiksaan tersebut. Sama ada di Dewan Seri Temenggong (DST) atau Dewan Dato' Khairuddin Hj Ashaari (DDKA) masih samar-samar. Atau mungkin hanya di bangku meja kelas tutorial sahaja. Siapa yang tahu. Yang pastinya, bagaimana kelengkapan perangku sebelum memasuki medan peperangan yang cukup getir. 

   Sudah hampir 4 tahun meninggalkan dewan peperiksaan. Mampukah aku menawan rasa gusar tatkala memasuki dewan peperiksaan yang bakal mencorak lukisan masa hadapanku?

' Nasihat anak murid supaya betah untuk berperang. Takkan cikgunya pucat lesi kot? ' bisikku di dalam hati.

***************

   "Aku nak pindah SABK di Selangorlah macam ni. Tunggu Johor ni nak SABK sudah bertahun-tahun. Aku ni anak ramai nak sara. Kau lainlah isteri kerja kerajaan..." bebel Cikgu Khatijah salah seorang guru senior di SMA Lughatil Arabiah Tangkak. Aku yang baru setahun jagung mengajar hanya mampu melempar secoret senyuman meraikan kata-katanya. Bagiku, tidak mengapalah pendapatan kecil sekalipun yang penting berkat. 

   Namun tidak bererti aku tidak bersetuju dengan usaha-usaha membawa Sekolah Menengah Agama Rakyat diletakkan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia sebagaimana segelintir guru yang 'anti keris' dan 'anti dacing'.

   "Kau diam-diam dulu tau. Aku bagitahu kau sahaja dulu, Pengetua pun masih tidak tahu menahu tentang hal ini. Mungkin lepas Hari Guru nanti aku pindah. Urusan perpindahan pun aku tengah buat. Kau jangan kecoh-kecoh tau Rasul," sambung Cikgu Khatijah lagi. 

   "Ya lah, Kak Khatijah. Saya diam. Saya tak suka pecahkan rahsia orang ini. Saya seorang yang penyimpan rahsia. Jangan takut. Erm, tunggu tahun depan tak boleh ke kak? Kalau akak keluar nanti siapalah yang nak ajar madah-madah akak tu?" tanyaku.

"Alah, kau kan ada. Apa susah-susah," jawab Ustazah Khatijah ringkas.

   Ustazah Khatijah seorang guru lama yang sudah cukup lama mengajar. Membesarkan anak-anak seorang diri selepas berpisah dengan suaminya yang berhasrat ingin bernikah lagi sudah lali dalam hidupnya. Disuruh mencari teman ditolaknya mentah-mentah. Katanya lebih selesa hidup sebegitu.

   Masing-masing berhak menentukan anak panah hidupnya. Mahu tepat ke sasaran mata tertinggi, rendah, sederhana. Semuanya itu terletak di genggaman tangan kita. Yang penting, jangan salah sasaran. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak boleh diundurkan masa.

' Selamat maju jaya kak Khatijah, ' bisik hatiku.

***************

P/s: Jom sambung menelaah Kitab Ilmu Pendidikan... ^_^

Thursday, December 06, 2012

Utusan Rindu Untuk Sahabat...











Bingkisan rindu untuk sahabat-sahabatku yang sudah sekian lama tidak bersua (Maahad al-Islami lit-Tarbiah wat-Tahfiz  1999 - 2002, Maahad Johor 2003, Universiti Al-Azhar, Mesir 2004 - 2008)






BINGKISAN RINDU - Far East (Cinta Pertama)

Antara kita tiada rahsia,
Susah dan senang tetap bersama,
Terpatri namamu,
Kau takkan ku lupa...

Sudah bertahun lama,
Kita tidak lagi bersua,
Hanya tinggal kenangan,
Yang tak mungkin kita lupa...

Kirimkan khabar selalu,
Seiiringan hembusan bayu,
Sekadar pengubat,
Rasa rindu di kalbu...

Pantas masa berlalu,
Meninggalkan kita semua,
Tanpa disedari,
Bertambahlah usia kita..

Potret lama masih ku simpan,
Ku bingkaikan kenangan,
Hingga terkadang ku,
Tersenyum sendirian...

Perjalanan kita,
Masih jauh,
Halangan berliku,
Bakal kita tempuh,

Imbasan kenangan semalam,
Jadi azimat penguat semangat,
Penentu masa hadapan,
Harapanku kau kan bahagia selalu...

Wednesday, December 05, 2012

Bertatih dalam penulisan kreatif Islami...

Ayuh menyusur arus menyebar suara addin ke segenap pelosok alam dengan penuh berhikmah, bertauladan dan berperisai yang tinggi... ^_^

Di teratak rindu ini...

Di teratak rindu ini,
Ku menangis sepi,
Meratap luluh hati,
Mengenangkan rindu yang pergi.

Di teratak rindu ini,
Ku merintih sayu,
Meruntun jiwa simpati,
Memanggil kasih silih merayu.

Di teratak rindu ini,
Ku mengharap yang Satu,
Cahaya iman dipenuhi,
Menjadi suluh dikala buntu.

C218
IPGKTI
12.00 malam

Tuesday, December 04, 2012

Ku hentikan ilham...


Sukarnya untuk mengekalkan istiqamah dalam beramal dan beribadah...
Pasti ranjaunya deras untuk dihadapi...

Sukarnya untuk mengekalkan istiqamah dalam beramal dan beribadah...
Nafsu menyerang bertubi-tubi...

Sukarnya untuk mengekalkan istiqamah dalam beramal dan beribadah...
Iman lekas merudum leka bermain...

Sukarnya untuk mengekalkan istiqamah dalam beramal dan beribadah...
Ikatan dunia tersimpul intim di hati...

Sukarnya untuk mengekalkan idtiqamah dalam beramal dan beribadah...
Ku hentikan ilham untuk mencari istiqamah yang hilang...

C218
IPGKTI
11.18 malam

Thursday, March 15, 2012

Praktikum Praktikum Praktikum...

Habis interaksi Mac di IPGM Kampus Temenggong Ibrahim hari Sabtu ini maka bersiap sedialah untuk menghadapi peperangan praktikum untuk menguji segala ilmu yang diperolehi di IPGKTI...

Semoga berjaya dengan cemerlang kepada semua rakan-rakan guru KPLI-KDC-JAJ 2011 / 2012 IPGM Kampus Temenggong Ibrahim!

Wednesday, November 09, 2011

Salam Aidiladha 1432H

Subhanallah, agak lama penulis tidak mengemaskini medan dakwah yang dahulunya menjadi wasilah utama penulis untuk berkongsi ilmu dan pengetahuan. Masakan tidak, hambatan masa, tanggungjawab dan komitmen yang tidak mampu untuk diungkapkan melainkan kita berada di lapangan yang hakiki. Sebelum ini penulis seperti kebanyakan dari kita yang aktif menulis ketika di bangku universiti yang masih belum merasai hambatan tanggungjawab yang sebenarnya.

Pun begitu, sebenarnya masih ada ruang-ruang masa untuk menukilkan sebaris dua kata-kata sebagai peringatan untuk kita bersama. Cuma keasyikan penulis berkolaborasi bersama laman sosial 'MukaBuku' menyebabkan agak berat jari jemari ini beralih ke mekanisme dakwah yang 'kuno' ini kalau tidak keterlaluan.


Akan tetapi tidak bermakna penulis berhasrat untuk menutup akaun mekanisma 'kuno' ini memandangkan begitu banyak jasa yang telah diberikan kepada penulis sehingga berani untuk menyatakan idea, pandangan, pendapat dan ugutan kepada pihak yang berkenaan. Curahan tersebut dihamburkan demi untuk membela Islam itu sendiri seandainya sesuatu isu yang benar-benar memerlukan perjuangan yang berterusan selaku penyambung mata rantai para mujahid silam.

Di kesempatan ini, suka untuk penulis merakamkan ucapan Salam Aidiladha 1432H. Semoga medan Aidiladha yang tersemat di dalamnya peristiwa pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S dan anaknya Nabi Ismail A.S sehingga disyariatkan ibadah korban yang sangat mulia ini. Semoga kita dapat mengambil iktibar yang tersurat dan tersirat seterusnya diterjemahkan dalam kehidupan kita selaku pejuang agama Allah.

Moga Aidiladha kali ini mendatangkan 1001 keinsafan kepada kita untuk lebih berkorban untuk Islam melebihi pengorbanan untuk keluarga, anak-anak, isteri, bangsa dan yang seumpama dengannya yang tidak mendatangkan apa-apa faedah sekiranya keperluan Islam tidak diutamakan.


Bersama kita renungi dan benamkan sedalam-dalamnya ke lubuk hati kita agar tersentap untuk bangkit di barisan hadapan saf perjuangan yang dilaung-laungkan.

Monday, June 27, 2011

Salam Israk Mikraj 1432!!!

Insyaallah 2 hari lagi seluruh umat Islam di serata dunia akan menyambut Israk Mikraj yang pastinya mengungkap akan kebesaran Allah yang memperjalankan hambaNya bermula dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa sebelum naik bertemu Allah melalui 7 lapis langit sehinggalah ke Sidratul Muntaha.

Berjalannya Nabi S.A.W hanya dalam masa satu malam itu bukanlah perjalanan makan angin. Akan tetapi ianya adalah perjalanan yang memberikan 1001 makna yang tersirat sebagai panduan untuk kita menjadikannya pedoman dalam menjalani kehidupan di dunia ini sebagai persediaan menuju ke dunia yang kekal abadi.

Pesanan dan ingatan keras untuk diriku sendiri dan seluruh umat manusia yang beragama Islam agar sentiasa mentaati Allah dengan sebenar-benar taat. Eksplorasi segala macam peristiwa di dalam Israk Mikraj itu dan sematkan dalam diri kita agar terhindar daripada ancaman-ancaman Allah yang jelas merupakan amaran awal kepada kita.


Seandainya kita menyedari akan amaran tersebut, sama-sama kita berjanji kepada diri kita untuk memperbaiki diri kita agar terhindar dari seksa pedih Allah dan azabNya yang dijanjikan kepada mereka yang ingkar sebagaimana tersedianya nikmat dan syurgawi untuk mereka yang taat.

Moga peringatan yang ringkas ini berguna untuk kita semua. Ya Allah berkatilah kami dengan sinar redhaMu, ampunilah kami dengan belas kasihMu, tuntunlah kami dengan kasih sayangMu.

Friday, June 03, 2011

Misi Menambah Ilmu Bermula...



Alhamdulillah, kesyukuran ke hadrat yang Maha Esa di atas kesempatan yang diberikan untuk menambah baik sahsiah dan memperbaiki bidang pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan. Moga diri ini akan lebih terarah dalam meneruskan tradisi penyampaian ilmu yang lebih baik selepas ini. Terima kasih kepada isteriku yang tersayang, adik beradikku, keluarga mertuaku dan semua orang-orang yang ku sayangi di atas sokongan dan dorongan yang tidak berbelah bahagi. Insyaallah, akan ku lakukan yang terbaik. Moga Allah berkati segala usaha yang baik.

Peace no war... ^_^

Friday, April 15, 2011

Mencari Ilham...

Admin blog ini masih dalam proses mencari ilham untuk mengemaskini laman sesawang ini. Maaf dipinta kerana terhenti agak lama untuk meneruskan kesinambungan usaha dakwah yang murni ini. Insyaallah akan dikemaskini dalam masa terdekat. Terima kasih kepada tetamu-tetamu yang tidak diundang yang sudi menjenguk pondok usang ini. Salam mahabbah fillah.

Ikhlas dari,
Muthaqqaf Azhari

Saturday, November 20, 2010

|| Bukan Maksudku, Bukan Niatku... ||

Syukur ke hadrat Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang kerana mengizinkan hambaNya yang serba hina ini untuk mencoret sepatah dua kata di medan dakwah maya ini. Buat ke sekian kalinya saya memohon maghfirah dari-Nya yang Maha Mengetahui akan kekhalalan yang menimpa diri ini sehingga membantutkan perjalanan dakwah blog ini. Kemaafan dari kalian semua juga saya pinta.

Bukan maksudku untuk mengabaikan medan dakwah maya yang selama ini menjadi medan perkongsian ilmu dan didikan bersama. Akan tetapi melihat kepada dakwah realiti disamping kerja sebagai pendidik yang begitu banyak tanggungjawab yang diamanahkan membantut usaha dakwah maya tersebut.

Apa yang pasti, penulis ingin menjelaskan kepada sahabat-sahabat seperjuangan sekalian bukan niatku untuk mengabaikannya. Insyaallah, penulis bermohon kpd Allah agar dithabatkan hati ini dalam perjuangan Islam yang hakiki secara seimbang merangkumi realiti dan maya setelah penulis sendiri yang memilih untuk menceburkan diri di dalam medan dakwah ini.

Syukran kathiran khairul jazak kepada sahabat-sahabat yang sudi menziarahi laman perkongsian ilmu yang serba kekurangan ini lebih-lebih lagi yang sudi menegur sebarang kesilapan yang wujud. Insyaallah penulis akan perbaiki dari semasa ke semasa dengan sedaya yang mampu.

Doakan semoga Islam terus menjadi jalan hidup kita dan seluruh umat Islam di Malaysia khususnya. Dan semoga kebathilan akan jatuh tersungkur untuk memberikan cahaya kemenangan kepada kebenaran yang dinanti-nantikan selama ini. Semoga juga Allah merahmati kerja-kerja dakwah yang sekecil zarah ini di timbangan hisabnya kelak.

Allhumma Amin... Kullu Sanah Wa Antum Bikhoir! Taqabbalallahu Minna Wa Minna Wa Minkum Taqabbal Ya Karim...

Tuesday, September 07, 2010

|| Perutusan Khas Untuk Bakal Graduan Akademi Ramadhan 1431H! ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Aidilfitri yang bakal menjelma pastinya menggamit semua jiwa-jiwa umat Islam di merata dunia. Tidak kurang juga mereka yang berat hatinya membiarkan Ramadhan berlalu pergi. Manakan tidaknya, Ramadhan yang dipenuhi dengan jutaan kebajikan amat merangsang jiwa untuk sentiasa mendampingiNya.

Dengan ibadah Tarawihnya, Tadarusnya, Qiamullailnya, bersedekahnya dan bermacam-macam lagi. Pokoknya, hanya mereka yang menghidupkannya sahaja yang akan merasainya. Merasai kemanisan iman, kemanisan beribadah kepadaNya yang akhirnya membawa kepada kesedihan dan kesayuan tatkala ianya akan pergi meninggalkan kita.

Apa yang boleh kita lakukan ialah berdoa memohon keampunanNya semoga segala amalan ibadah yang kita laksanakan selama sebulan di sepanjang Ramadhan yang mulia diterima di sisiNya. AMIN YA ROBBAL 'ALAMIN.

Di kesempatan yang ada ini, penulis dan isteri sekeluarga DENGAN INGATAN TULUS IKHLAS, MENGUCAPKAN SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MEMOHON 10 JARI DARI HUJUNG RAMBUT HINGGALAH KE HUJUNG KAKI MAAF ZAHIR DAN BATIN andai di sana wujud perkara-perkara yang terkecil hati, terguris rasa, mengundang jauh hati sesama kita. Hakikat maaf itu tidak bermusim pada Aidilfitri ini sahaja.

Akan tetapi dek kerana adat masyarakat Malaysia yang berbondong-bondong memohon ampun maaf pada bulan Syawal, maka raikanlah adat tersebut akan tetapi sebaiknya andai ada melakukan salah silap sesama manusia jangan ditunggu 12 bulan. Andai Allah menjemput kita lebih awal, menyesal tak sudah.

Kata Muthaqqaf : Salam Aidilfitri hari kemenangan buat umat Islam di seluruh dunia yang mengenali diri ini sekeluarga. Moga kita menjadi hamba-hambaNya yang bertakwa sebagaimana yg dikehendakiNya.


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa