Video Klip Pilihan

Sunday, May 31, 2009

|| Dah Hampir Sangat ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Saat entri ini ditulis, dunia sedang berhadapan dengan pelbagai jenis wabak penyakit yang menyerang bertubi-tubi. Selepas satu, satu. Selepas AIDS, AEDES, MALARIA, H5N1 dan kini H1N1 yang lebih dikenali dengan 'influenza selsema khinzir' dalam nada yang lembut. Andai diamati setiap sesuatu kejadian yang berlaku di akhir-akhir zaman ini, situasi ini sama sekali tidak terlepas dari cengkaman ADDIN yang lengkap memenuhi setiap sudut kehidupan insani.

Mungkin ramai yang melihat setiap musibah yang melanda dunia sekarang adalah disebabkan penyakit yang terdapat pada satu-satu haiwan seterusnya tersebar kepada masyarakat manusia pula. Dari sudut sains tidak dapat dinafikan ianya merupakan jangkitan dari haiwan kepada manusia dan seumpamanya. Namun begitu, perlu diingat bahawasanya setiap yang berlaku di alam sekeliling pasti ada sangkut paut dengan setiap perbuatan manusia itu sendiri.


Ini bersesuaian dengan untaian Kalam-ALLAH dan pesanan-pesanan yang ditinggalkan oleh NABI SAW sebagai perisai tribulasi akhir zaman.

Di dalam Al-Quran sendiri ada menyebut bahawasanya setiap sesuatu kerosakan yang merangkumi penyakit wabak dan sebagainya adalah berpunca dari tangan-tangan manusia itu sendiri. Bahkan dalam sabda NABI SAW menghuraikan dengan lebih jelas lagi berkenaan penyebaran wabak penyakit kepada umat manusia ini.

Dari Ibnu Umar, RASULULLAH SAW bersabda: “Bagaimana keadaan kamu ketika lima perkara berlaku di kalangan kamu, dan aku berlindung dengan ALLAH dari terjadinya perkara itu kepada kamu atau kamu sempat menempuhnya. Tidak timbul kemungkaran di kalangan satu-satu bangsa melainkan mereka melakukannya secara terang-terang, akan timbul penyakit taun dan penyakit-penyakit yang tidak pernah ada terhadap orang-orang sebelum mereka (penyakit ganjil)……” [Hadith riwayat Ibnu Majah]


Setakat ini dunia kondisi penyakit ini semakin membarah dan merebak dari sebuah negara ke negara yang lain. Ianya bermula dengan negara-negara yang jelas menolak terhadap keESAan ALLAH dan diikuti negara-negara berhampiran dengannya. Setakat informasi yang penulis perolehi, mereka yang diserang penyakit berbahaya ini adalah kaum yang masih belum menerima hidayah ISLAM.

Namun begitu, umat ISLAM tidak boleh memandang enteng 'amaran ALLAH' ini agar sentiasa bermohon kepadaNYA moga seluruh umat ISLAM dijauhkan dari bencana wabak penyakit ganjil yang kian bejat ini. Memohon keampunan kepada ALLAH atas segala dosa kemaksiatan yang telah dilakukan semoga diampunkan dan diberi pimpinan dalam setiap tingkah kelakuan memenuhi tuntutan ISLAM.

Ini adalah satu daripada tanda-tanda kiamat yang sudah menampakkan jasadnya. Tanda-tanda kiamat besar yang semakin menghampiri saat dan waktu yang tidak diketahui sesiapa pun kecuali ALLAH. Tanda-tanda yang kecil sudah semakin dilupakan. Bahkan dianggap lumrah duniawi hingga sanggup menggadaikan iman dengan kekufuran. Nauzubillahi Min Zalik.

Selepas satu bala yang melanda tanpa sempat untuk ditemui penawar muncul pula bala musibah yang baru. Akhir zaman ini merupakan zaman terakhir yang amat mencabar keimanan umat manusia terhadap RABBULIZZATI. Akhir zaman ini juga merupakan zaman di mana akan dihimpunkan segala jenis kemungkaran dan kemaksiatan yang pernah dilakukan oleh umat manusia terdahulu.


Tidak hairanlah mengapa dewasa ini satu persatu kemungkaran ini semakin tenat untuk diubati. Lihat sahajalah setiap hari dilaporkan pembunuhan anak hidup-hidup sebagaimana yang pernah terjadi pada kaum Quraisy Mekah di zaman RASULULLAH SAW.

Amalan mendatangi kaum sejenis seumpama gay, lesbian, homoseksual yang dilaknat ALLAH turut membimbangkan umat ISLAM yang pernah menjadi amalan kaum NABI ALLAH LUTH AS diazab dengan diterbalikkan negara mereka suatu ketika dahulu.

Diikuti dengan amalan maksiat lain seperti seks bebas bahkan secara terang-terangan tanpa segan silu, pembunuhan, sumbang mahram, penderhakaan kepada orang tua, yang muda tidak menghormati yang tua, jual beli minum arak yang kian berleluasa, murtad yang menjadi-jadi dan banyak lagi.

Segala apa yang berlaku di sekeliling kita itu dengan begitu pesat merebak terutama di kalangan remaja sama seperti merebaknya influenza H1N1 yang melanda dunia kini. Puncanya jelas melalui pengharaman yang diterangkan oleh Al-Quran dan Sunnah sebab apa diharamkan sesuatu perkara itu. Segalanya untuk kesejahteraan hidup umat manusia.

Namun begitu, manusia tidak nampak hikmah disebaliknya. Mereka hanya memikirkan keseronokan dan kenikmatan yang diperolehi sesuatu yang ditegah oleh ISLAM yang akhirnya mencampakkan mereka ke lurah kebinasaan. Kenikmatan dan keseronokan yang diperolehi hanya bersifat sementara. Azab dan akibatnya pula berpanjangan ketika di dunia lagi disambung di alam kubur dan klimaksnya di alam akhirat kelak.

Semoga entri kali ini adalah sebagai peringatan buat diri penulis sendiri terutamanya dan seterusnya buat tatapan sidang pembaca sekalian sebagai persediaan bekalan kita untuk mengharungi kehidupan berikutnya. Alam abadi yang tiada tara nikmatnya untuk selamanya.

Akhirnya, saya tinggalkan bacaan penghukum terhadap diri kita bersama dengan selembar lirik lagu yang menggambarkan situasi bakal tempat persinggahan yang kekal abadi.

Buatlah pilihan yang terbaik bukan hanya untuk keseronokan duniawi dengan mengetepikan ukhrawi. Bahkan ukhrawi yang menjadi keutamaan dengan mengetepikan kepentingan duniawi andai itu yang terbaik.


KEPASTIAN - INTEAM [ALLAHU RABBI 2009]

Ujian TUHAN kepada semua insan,
Adalah kehidupan ini,
Yang baik menjadi tuntutan,
Yang buruk dijauhkan.

Syurga yang dijanjikan,
Bukanlah suatu khayalan,
Tentang nikmat berpanjangan ILAHI.

Neraka yang tercipta,
Menghimpun azab derita,
Tangisan kesengsaraan insan.

Syurga adalah kelazatan,
Terbentang buat hamba beriman,
Yang kasihkah TUHANnya,
Yang kasihkan RASULnya,
Yang kasih AGAMAnya.

Neraka tempat kemurkaan,
Angkara kedurjanaan insan,
Yang lupakan TUHANnya,
Yang lupakan RASULnya,
Yang lupa AGAMAnya.

Siapakah yang lebih mulia,
Dari mereka yang tidak lupa,
Janji ALLAH adalah kepastian,
Dan nikmat syurga adalah indah.

Kata Muthaqqaf : Semoga artikel yang tidak seberapa ini mampu memberikan satu peringatan kepada kita bersama dengan melakukan satu revolusi pengabdian terhadap ALLAH sementara roh masih di jasad, sementara jantung masih bernafas. Semoga ALLAH menerima taubat permohonan keampunan atas dosa-dosa yang telah kita lakukan. TAQOBBALALLAHU MINNA WA MINKUM.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Friday, May 29, 2009

|| Sekadar Makluman ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam sejahtera buat semua. Di sini penulis sekadar ingin memaklumkan kepada sesiapa sahaja di kalangan sahabat penulis yang telah menambah penulis ke dalam rangkaian penghubung silaturrahim Yahoo Messenger melalui kata laluan zulfaisal_85 agar menambahi penulis melalui kata laluan yang baru iaitu new_cairo@rocketmail.com. Kata laluan sebelum ini mengalami beberapa masalah teknikal yang perlu dielakkan menyebabkan ianya perlu dihapuskan.

Kerjasama, sokongan, kritikan dan kalam nasihat kalian penulis dahulukan dengan ucapan terima kasih. Kepada mereka yang telah menambah penulis melalui kata laluan elhakim_elegant@yahoo.com disarankan untuk tidak menambah kata laluan yang dimaksudkan kerana sudah memenuhi ruang yang diberikan. Ini adalah berikutan rangkaian penghubung silaturrahim Yahoo Messenger hanya mampu menampung seramai 1000 orang sahaja dalam satu-satu masa.

Ayuh berukhuwah kerana ALLAH untuk kesatuan dan perpaduan ISLAM dan ummah sejagat. Salam ukhuwah buat semua.

Sekadar makluman.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Saturday, May 23, 2009

|| Hikmah Disebalik Kemelut Di Perak ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Hampir 4 bulan kemelut di Perak masih tidak menemui penghujungnya apabila masing-masing mempunyai hujah perundangan masing-masing. Apabila di bawa ke muka pengadilan pun masih menemui jalan buntu apabila pihak yang kalah masih berusaha untuk mendapatkan mandat yang diberikan bagi mengurus tadbir kerajaan negeri yang sudah sekian lama terbantut.

Seorang Menteri Besar yang jelas mendapat mandat daripada rakyat dengan saluran yang betul sehingga mengangkat sumpah. Manakala seorang lagi Menteri Besar yang tidak mengikut saluran yang betul akan tetapi mendakwa ianya mengikut sistem undian majoriti DUN yang tidak mempercayai Menteri Besar sedia ada hingga menggulingkannya.


Sehingga ke hari ini kemelut di Perak masih tidak berkesudahan. Setelah di bawa ke Mahkamah Tinggi dan pengisytiharan Menteri Besar yang sah mengikut kes yang pernah berlaku di Sarawak. Tak sampai 24 jam pihak lawan mengemukakan rayuannya di Mahkamah Rayuan sehingga berjaya mengetepikan perlantikan Mahkamah Tinggi dalam masa yang amat singkat. Hebat bukan! Mahkamah dalam masa yang pantas mampu membuat keputusan mengenai kes ini berbanding kes-kes yang bertahun-tahun masih belum diselesaikan!

Sejurus selepas Menteri Besar Rakyat akur dengan arahan Mahkamah Rayuan lantas beliau juga mengemukakan rayuan untuk membantah dan menafikan rayuan yang dikemukakan oleh Menteri Besar Kudeta sehingga ianya berjaya diadili. Sepertimana kepantasan Mahkamah Rayuan memberikan keputusannya untuk rayuan yang dikemukakan oleh Menteri Besar Kudeta maka sepantas itu jugalah keputusan dikeluarkan memihak bukan kepada Menteri Besar Rakyat.

Dengan rasa penuh kesyukuran si Menteri Besar Kudeta ini merafa'kan rasa syukurnya kerana mahkamah menyebelahinya dan mengisytihar beliau sebagai Menteri Besar yang sah walaupun bukan dilantik oleh rakyat kerana dilantik oleh sultan yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

Bahkan institusi istana ini dilihat dipermainkan oleh segolongan parti politik untuk mendapatkan mandat yang sewajarnya diberikan oleh rakyat. Perkara ini jelas sebagaimana yang dijelaskan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyatakan bahawasanya semua Menteri Besar yang ada di seluruh negeri adalah perlantikan dari dakyat itu sendiri. Dan seandainya berlaku masalah ianya perlu dikembalikan kepada rakyat dengan membubarkan DUN.


Bukan masalah pembaziran wang rakyat yang sepatutnya difikirkan. Seharusnya kebajikan rakyat yang tidak terjaga semenjak kemelut ini 4 bulan lalu difikir panjangkan untuk mengembalikan keamanan negeri Perak sebagaimana negeri-negeri lain.

Kami yang berada di perantauan turut merasakan sesuatu yang amat tidak puas hati dengan apa yang telah berlaku itu. Perdana Menteri selaku pemutus malah dikatakan sebagai pemula segala kemelut dengan membeli 3 wakil rakyat yang bermasalah sehingga menyebabkan berlaku kemelut ini tidak cuba menyelesaikan kemelut ini dari berpanjangan.

Jalan yang terbaik andai diamati dengan pandangan yang diberikan dari pelbagai pertubuhan NGO dan segenap parti politik sewajarnya dipertimbangkan dengan sebaiknya. Usah berterusan untuk menggalas kepimpinan dalam masa yang sama ramai rakyat yang tidak meredhai perlantikannya. Kelak ianya akan menyukarkan perlaksanaan pentadbiran.

Namun, disebalik kemelut yang berlaku ini begitu banyak impaknya kepada rakyat jelata sebagai pengetahuan tambahan. Dari sudut positif, pengetahuan berkenaan kehakiman, DUN, Undang-undang Tubuh Kerajaan sesebuah negeri dan yang seumpama dengannya mampu memupuk golongan cendekiawan, intelektual dan mahasiswa yang berdaya saing untuk membantu menguruskan negara berlandaskan pemahaman perundangan yang baik.


Ianya secara tidak langsung memberikan pemahaman yang cukup jelas kepada saya terutamanya tentang segenap peristiwa yang berlaku agar dapat memberikan gambaran kepada asal kemelut ini. Seterusnya membantu bagi menegakkan sebuah kebenaran dari terus dinodai dan dicemari dengan sewenang-wenangnya.

Kembali kemelut di Perak. Kelihatannya ianya masih akan terus berlanjutan sekiranya tiada satu usaha untuk membubarkan DUN dan memberikan seluas-luas pilihan kepada rakyat untuk menentukan Menteri Besar dan kerajaan yang mereka restui. Rakyatlah mahkamah dan hakim yang selayaknya dirujuk meskipun ianya dibawa ke muka pengadilan antarabangsa sekalipun tidak akan mampu menyelesaikan kemelut ini kerana setiap individu mempunya pendirian dan tafsiran masing-masing terhadap sesuatu fasal.

Sebagai contoh apabila Mahkamah Rayuan menolak keputusan Mahkamah Tinggi dengan alasan hakim Mahkamah Tinggi tersilap berkenaan dengan kes Ketua Menteri Sarawak yang pernah berlaku yang mengesahkan bahawa seseorang Menteri Besar tidak akan dipecat jawatannya melainkan melalui sistem undi tidak percaya di sidang DUN. Akan tetapi Mahkamah Rayuan menyatakan bahawa boleh berlaku undi tidak percaya tanpa diusulkan sidang DUN.

Andai ini yang difahami, maka sebagaimana yang diulas oleh pemerhati dan ahli politik yang berkecimpung dalam perundangan bahawa selepas ini usul undi tidak percaya terhadap mana-mana Menteri Besar, Ketua Menteri bahkan Perdana Menteri itu sendiri boleh dilakukan tanpa perlu dibawa di dalam sidang DUN dan Parlimen! Maka ketika itu akan semakin bercelaru seandainya tafsiran fasal tersebut dimengerti sebegitu.


Saya bukanlah orang yang berkecimpung secara langsung dalam dunia perundangan ini. Akan tetapi melalui tafsiran dan maklumat yang diulas panjang oleh beberapa tokoh politik kesan dan akibatnya adalah sedemikian rupa. Dalam masa yang sama, pertimbangan penerimaan maklumat yang seimbang dari pelbagai sudut juga perlu diteliti bagi memberikan penilaian yang sematangnya mengenai sesuatu isu yang dimainkan.

Nah, itulah hikmah yang sepatutnya diambil oleh setiap individu Muslim rakyat Malaysia dalam mencanai sesuatu isu agar tidak ketinggalan lantas membuat hukuman secara rambang tanpa menyelidiki punca utama. ISLAM mengajar umatnya agar mengenalpasti sesuatu masalah sebelum membuat sebarang hukuman agar keadilan tertegak.

Usah menghukum politik adalah sesuatu yang kotor, jijik dan membosankan sehingga tidak mahu masuk campur langsung kerana politik adalah bersih dan suci pada hakikatnya. Bahkan ianya merupakan sebahagian daripada ISLAM. Akan tetapi pandangan mata manusia yang menghukum politik itu kotor sewajarnya dituding ke arah para aktivis yang berkecimpung di dalamnya yang mencemari institusi politik dengan segala macam rasuah, penipuan, kebobrokan dan pecah amanah sehingga melahirkan anak-anak yang membenci politik.

Politik adalah penting untuk menegakkan ISLAM agar kembali menjadi sumber pentadbiran negara secara saksama. Tanpa politik, ISLAM tidak akan mampu ditegakkan di dalam diri masyarakat kerana tiada penghayatan di peringkat pusat seterusnya diterapkan di peringkat bawahan. ISLAM untuk semua bangsa, agama dan negara. Bahkan ISLAM terbukti berlaku adil kepada seluruh lapisan masyarakat pada zaman pentadbiran RASULULLAH SAW sebagai contoh.


Itulah hikmah yang sewajarnya dipandang positif oleh setiap mata masyarakat dalam setiap lapangan tugas untuk menguji dan mengajar erti kesabaran dalam memperjuangkan kebenaran yang penuh berliku sebelum menemui pengakhiran yang manis. Semoga ALLAH akan menunjukkan kepada seluruh mata yang memandang akan kebenaran yang pasti akan tertegak walaupun terpaksa mengorbankan jiwa dan raga untuk ISLAM kerana ALLAH yang amat dicintai dan disayangi selamanya.

Kata Muthaqqaf : Penilaian daripada manusia itu bermacam. Kecenderungan juga bervariasi. Segalanya perlu diputuskan dengan kecerdasan akal yang bijak dengan suluhan RABBANI tanpa menurut bisik syaitan dan nafsu yang menyesatkan manusia. Nilailah dengan sebaiknya. Semoga ISLAM akan kembali bersinar menerangi hidup insani.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Friday, May 22, 2009

|| Lenguhnya Tangan Ni... ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Lenguh, kebas dan sengal. Itu yang mampu dinyatakan setelah begitu lama bergelumang dalam sistem penaipan papan kekunci huruf. Maka sistem secara manual menggunakan tenaga yang terhimpun pada jarian tangan seolah-olah lumpuh. Apa tidaknya, apabila segalanya diserahkan kepada sistem perkomputeran menyebabkan kebiasaan aktiviti harian yang dilakukan terasa janggal.

Itulah yang saya alami setelah sekian lama tidak menggunakan nikmat tangan untuk menulis. Apabila berhajat untuk mengarang sesebuah artikel, papan kekunci komputer riba sasarannya. Bukan bermakna segala pencatitan melalui khidmat tangan dibekukan. Akan tetapi kuantitinya sedikit berbanding penulisan sebegini.

Pun begitu, semenjak dianugerahkan dengan rezeki yang datangnya dari ALLAH berupa komputer riba peribadi dan bermacam lagi diharap tidak melemahkan dan mengabaikan diri ini terhadap tanggungjawab utama yang dipundakkan. Moga segala nikmat kurniaan ini menjadi pemangkin untuk lebih bersungguh dalam medan dakwah melalui penulisan blog dan seumpama dengannya.

Semalaman saya baru selesai menghadapi kertas pertama untuk semester akhir dan berbaki dua kertas lagi menyusul. Alhamdulillah atas segala kemudahan dan kesenangan yang diberikan oleh ALLAH mampu menjawabnya dengan penuh tekad. Cuma terasa sengal, lenguh dan kebas tangan ketika melunaskan kehendak soalan di kertas jawapan yang disediakan.

Saya rasakan seperti bertahun-tahun tidak menulis. Meskipun begitu, adalah tidak wajar sistem perkomputeran dipersalahkan kerana banyak manfaat daripada mudaratnya andai diguna secara baik. Segalanya kembali kepada diri kita sendiri. Segala kemudahan yang ada di sekeliling sewajarnya disyukuri dan dimanipulasi sebaiknya tanpa disalah guna.

ALLAH sendiri berfirman di dalam Al-Quran yang bemaksud : "Dan janganlah kamu mencampakkan (diri kamu) dengan tangan-tangan kamu ke arah kebinasaan dan berbuat baiklah. Sesungguhnya ALLAH suka akan orang-orang yang berbuat baik." [2:195]

Moga kertas-kertas yang mendatang akan lebih baik keadaannya dan diberikan kekuatan untuk menjawab dengan sebaiknya dengan izin ALLAH. Usaha yang berterusan disamping doa yang tidak putus-putus diiringi dengan iltizam yang jitu dalam amalan-amalan ketaatan secara istiqamah diharap mampu menatijahkan sesuatu yang positif. Segalanya bemula pada diri sendiri.

Kata Muthaqqaf : Optimis dalam melakukan sesuatu yang positif adalah kunci kepada kejayaan yang cemerlang. Salam kejayaan buat semua!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Tuesday, May 19, 2009

|| Membentuk Generasi Al-Quran ||

بسم الله الرحمن الرحيم
Saat entri ini ditulis saya masih belum menjalani peperiksaan bertulis Al-Quran bagi tahun akhir ini. Kebanyakan sahabat-sahabat seangkatan dan adik-adik junior telah menyudahkan peperiksaan bagi subjek Al-Quran melainkan mahasiswa tahun akhir Fakulti Syariah Islamiah Kaherah yang akan menemui ujian syafawi (lisan) selesai peperiksaan bertulis.

Apa jua keadaannya, setiap mahasiswa yang mendaftar masuk pengajian di Universiti Al-Azhar Mesir wajib melalui peperiksaan Al-Quran yang merupakan subjek teras semua fakulti. Inilah yang membezakan antara mahasiswa Al-Azhar dengan mahasiswa universiti terkemuka yang lain. Tanpa mengira apa jua bidang pengajian agama mahupun perubatan, Al-Quran merupakan syarat untuk meneruskan pengajian dan menyudahkannya. Itulah kelebihan kami.

Andai direnung-renungkan penerapan dan tekanan silibus yang disusun oleh universiti tertua ini banyak memberikan kesan kepada mahasiswa itu sendiri. Hafazan semata-mata tidak memadai. Akan tetapi ianya perlu diiringi dengan pemahaman yang jitu terhadap setiap ayat yang dihadam. Ini amat perlu bagi membina mahasiswa yang bukan menghafaz Al-Quran hanya semata-mata untuk peperiksaan.

Alangkah malang andai amalan sebegini menjadi kebiasaan kita semua. Ianya sekaligus membenarkan usaha-usaha para orientalis dan zionisme untuk memastikan anak-anak orang ISLAM hanya membaca Al-Quran tanpa menghayatinya untuk menjadi pedoman hidup. Fenomena sebegini pastinya kian membarah andainya tiada suatu kesedaran bersama. Saban tahun Kitab-ALLAH ini dibacai dan dikhatami namun penghayatannya tidak sampai ke mana.

Teringat motto sekolah saya dahulu ketika di Sekolah Menengah ISLAM dan Tahfiz Pasir Gudang, 'Membentuk Generasi Al-Quran' yang menerapkan nilai-nilai penghayatan Al-Quran. Disamping menghafaznya sebagai persediaan untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir. Alhamdulillah dan bersyukur kepada ALLAH kerana saya merupakan perintis mewakili tempat bermulanya mengenal ALLAH dan ISLAM secara serius.

Justeru itu, 'Membentuk Generasi Al-Quran' sayugianya bukan motto semata-mata. Bahkan perlu dihadam oleh setiap individu muslim yang ingin mendaulatkan ketuanan ISLAM kelak. Tidak boleh tidak kesedaran secara individu perlu bagi memastikan kelangsungan dakwah nan suci ni terus mekar berpandukan suluhan Al-Quran secara syumul demi ISLAM itu sendiri.

Oleh itu, saya menasihati diri saya, dan sahabat-sahabat seperjuangan pejuang agama ALLAH sekalian untuk kita terus memartabatkan Al-Quran dalam hati sanubari kita sepanjang masa lantas menjadikannya sebagai pedoman sepanjang masa. Dalam masa yang sama konsep ini juga perlu untuk dikembangkan terhadap setiap cabang ilmu yang dipelajari bukan untuk peperiksaan semata-mata.

Kata Muthaqqaf : Ayuh bersama kita menyahut seruan 'Membentuk Generasi Al-Quran' agar ianya terus menjadi azimat di dunia seterusnya menjadi syafaat di akhirat kelak. Salam perjuangan imtihan kepada semua!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Monday, May 18, 2009

|| Tidak Semudah Itu ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Tidak semudah itu untuk dicintaiNYA,
Perlu imbangi duniawi sasari ukhrawi.

Tidak semudah itu untuk merebut secebis keampunan,
Perlu iltizam istiqamah merantai kalbu.

Tidak semudah itu untuk menggapai hidayah,
Perlu kegigihan jitu kekentalan jiwa.

Tidak semudah itu untuk mara kehadapan,
Perlu kesungguhan hati menerobos rintangan.

Bukan mudah untuk mendapatkan cinta,
Perlu keikhlasan, kejujuran tersemai rapi.

Tidak semudah itu untuk menggamit kedamaian,
Perlu pengorbanan harta, jiwa raga.

Tidak semudah itu untuk menggondol kejayaan,
Perlu yakini usaha gantungi tawakalNYA.

Tidak semudah itu untuk hidup senang,
Perlu lalui susah redahi payah.

____________________________

Hening sepertiga malam,
Kota Nasr, Kaherah,
Isnin, 18 Mei 2009,
0030 pagi.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Saturday, May 16, 2009

|| Epilog Seorang Pendidik ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Tanggal 16 Mei setiap tahun merupakan hari yang diletakkan untuk mengiktiraf golongan insan bernama 'GURU'. Mereka amat bermakna kepada seluruh umat manusia dalam membentuk jatidiri seorang manusia yang berguna kepada ISLAM, negara dan bangsanya sendiri. Insan yang bergelar guru tidak pernah mengenal erti lelah. Tidak pernah mengenal erti jemu dalam mendidik anak bangsa supaya mampu berbakti kepada prioriti yang sepatutnya.

Jika diimbas kembali zaman ketika menjadi seorang murid dan pelajar, pasti akan melakarkan sebuah senyuman yang manis di bibir kita. Insan yang bergelar guru, cikgu, ustaz, ustazah, teacher dan sir merupakan gelaran yang menjadi sebutan para pelajar. Kenakalan dan kedegilan kita dalam melaksanakan kerja rumah, tidak mendengar kata dan bermacam perkara yang menyakitkan hati seorang pendidik terbayang dalam ingatan di kala dewasa.

Namun semua itu telah berlalu. Berlalunya ia merupakan suatu pengajaran kepada kita betapa susah payahnya para pendidik dalam menjalankan amanah seorang pendidik yang ternyata amat besar tanggungjawabnya. Mereka perlu memastikan para pelajar yang di bawah tanggungan mereka mendapat pelajaran, pembelajaran dan pengajaran yang semaksima mungkin agar mampu mendepani masa hadapan.

Itu adalah situasinya tatkala melalui pelbagai tahap pendidikan sehinggalah apa yang kita jadi sekarang ini. Setelah meningkat dewasa, selesai pengajian dan mengenggam segulung ijazah, menceburkan diri dalam bidang kerjaya seterusnya mendirikan rumah tangga, menjadi bapa dan ibu kepada anak-anak. Itulah putaran roda kehidupan. Para pendidik yang pernah mendidik anak bangsa yang wujud ketika ini telah menunaikan amanah mereka. Kini amanah sebagai seorang pendidik terpundak kepada kita pula.

Mahu atau tidak setiap orang pasti akan menjadi pendidik samada dalam sektor pendidikan mahupun dalam sektor kekeluargaan itu sendiri. Setiap individu akan merasa keperitan seorang pendidik yang pernah mendidik kita suatu ketika dahulu. Semoga kita semua mampu memikul amanah seorang dai'e yang tiada bezanya dengan seorang pendidik. Cuma yang membezakan lapangan yang terdapat pada seorang pendidik tertakluk di sekolah tempat mengajar sahaja. Berbanding seorang dai'e yang meliputi seluruh tempat dan masa.


Seorang dai'e itu kebanyakannya adalah pendidik. Akan tetapi tidak semua pendidik itu adalah dai'e. Dai'e adalah mereka yang mengajak umat manusia kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran kepada cahaya kebenaran ISLAM. Semoga kita mampu menjadi seorang dai'e dan pendidik yang seiring dengan tuntutan ILAHI dalam memandu umat manusia ke jalan yang diredhaiNYA.

Saya tinggalkan kalian dengan selembar bait-bait lirik lagu yang bertajuk 'Lilin Seorang Guru' nyanyian kumpulan In-Team. Semoga
bait-bait lirik lagu tersebut mampu menghadirkan kembali nostalgia saat di bangku sekolah dahulu. Seterusnya memangkinkan jatidiri kita untuk menjadi pewaris para NABI dan RASUL meneruskan kesinambungan dakwah ISLAM yang dinamik di masa mendatang.

Lilin Seorang Guru

Pernah langkahku payah,
Menuju ke destinasi,
Kerana malam gelap,
Dan bintang hilang kerdipnya,
Menjadikan arahku keliru,
Ke timur atau ke barat.

Bagai lilin membakar diri,
Menerangi kegelapan hati,
Kau curahkan bakti dan budi,
Jasamu tiada berganti.

Namun tanpa rasa payah,
Dia memimpin tanganku,
Melangkah satu persatu,
Dan mencipta jejak impian,
Menjadikan arahku jelas,
Aku harus ke hadapan.

O hooo... Aku kini rindu,
Pada satu nama yang berjasa,
Tuhan... beri kekuatan,
Untuk mendidikku selamanya,
Ku pohon restu kasihMu,
Ampunkanlah guru-guruku.

Semalam ku lihat dia,
Di bibirnya ada kalimah,
Yang bergetar saban waktu,
Sambil tangan menggenggam lilin,
Lilin yang tiada terpadam,
Menerangi hidupku kini.


Kata Muthaqqaf : SELAMAT HARI GURU buat seluruh pendidik yang pernah mendidik diri ini menjadi seorang muslim yang sejati. Guru-guru di Tabika Kemas Kampung Sri Jaya, Sekolah Kebangsaan Taman Perling, Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Perling, Sekolah Menengah ISLAM dan Tahfiz Pasir Gudang juga tidak dilupa para Doktor dan Syeikh di Universiti Al-Azhar, Mesir. Semoga rahmat ALLAH sentiasa mencucuri kalian semua di dunia dan akhirat.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Monday, May 11, 2009

|| Erti Hidup Pada Memberi ||

بسم الله الرحمن الرحيم
Orang yang memberi lebih baik daripada orang yang menerima. Sabda NABI SAW yang ditinggalkan semenjak 1430 tahun yang lampau sentiasa menjadi rujukan utama dalam aspek akhlak untuk diikuti. Dalam Kitab-ALLAH sendiri telah merakamkan sesungguhnya pada diri NABI SAW mempunyai peri akhlak yang terpuji sebagai ikutan seluruh umat manusia. Tidak hairanlah PENGHULU SEKALIAN NABI dan RASUL ini diletakkan di tangga pertama dalam senarai orang yang berpengaruh semenjak dahulu hingga kini.

Namun persoalannya, mengapa masih ada segelintir di kalangan umat ISLAM itu sendiri tidak menjadikan BAGINDA SAW sebagai role model? Sebaliknya lebih gemar meniru akhlak dan budaya barat yang jelas meminggirkan nilai-nilai positif dalam kehidupan. Satu yang perlu difikirkan bersama oleh segenap pejuang agama ALLAH untuk menerapkan nilai-nilai akhlak terpuji yang ditinggalkan oleh BAGINDA SAW agar mendapat penghayatan dan pemahaman yang menyeluruh daripada masyarakat ISLAM secara khusus.

Kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat ILAHI di atas kesempatan yang diberikan untuk terus memperjuangkan kebenaran untuk terus menobatkan ISLAM dan ALLAH dalam segenap kehidupan manusia. Itulah sasaran yang sewajarnya diterapkan dalam diri pejuang agama ALLAH untuk tetap terus menyalurkan inspirasi dakwah kepada masyarakat yang dahagakannya. Itulah tanggungjawab kita yang mengetahui ilmu agama untuk disampaikan kepada mereka.

Dalam kesibukan menghadapi imtihan, kadangkala terlintas dalam benak fikiran mengenai sumbangan dakwah yang telah dilakukan setakat ini. Apakah aku telah bersedia untuk disoal siasat oleh Mungkar dan Nakir sebelum dihadapkan di mahkamah ALLAH SWT berkenaan sumbangan terhadap agama? Adakah aku telah berusaha menjalankan amar makruf nahi mungkar terhadap orang di sekelilingku yang aku kenali secara langsung atau tidak? Jawapannya masih memberikan signal yang negatif.


Dalam ribuan orang yang berada di kelilingku masih ramai yang berada dalam kesesatan. Sejak kebelakangan ini ramai orang yang kukenali meskipun di alam maya masih kabur tentang ISLAM itu sendiri. Ramai dikalangan mereka hanya ISLAM pada nama. Bak kata seorang sahabat tabligh yang datang bertandang ke rumahku. ISLAM warisan tidak memberikan penghayatan kepada seseorang dalam menjaga kesucian ISLAM jika dibandingkan peritnya para sahabat RASULULLAH SAW RADHIALLAHU ANHUM. Mereka bemati-matian menjaga kesucian ISLAM dalam diri mereka.

Benar apa yang mereka katakan. Ketara perbezaannya antara keduanya. Siapa yang bertanggungjawab untuk mengubah situasi ini kalau bukan kita. Masyarakat kala ini semakin bejat situasinya. Menurut maklumat yang diperolehi dari sahabat di Malaysia bahkan hasil penglibatan saya sendiri melalui rangkaian web persahabatan seumpama Friendster, Hi5, dan yang seumpama dengannya telah dicemari dengan gejala yang tidak sihat. Gejala yang amat membimbangkan ini semakin menular bahkan sampai ke suatu tahap ianya menjadi sesuatu yang biasa.

Kebanyakan sahabat-sahabat yang saya temui di alam maya tanpa segan silu mengaku orientasi diri mereka yang jelas bertentangan dengan agama bahkan dilaknat oleh ALLAH dan RASUL. Saya merasakan keterlibatan golongan agamawan ke dalam kelompok mereka sewajarnya mampu mendekati mereka dengan menjelaskan azab dan siksa yang sepatutnya dikenakan terhadap golongan sebegini ketika di dunia dan keadaan di akhirat kelak. Kebanyakan di antara mereka yang saya temui tahu status halal dan haram aktiviti yang amat membimbangkan ini.

Sekadar lontaran pemikiran untuk tatapan kita bersama supaya bersama membantu mencari titik penyelesaian bagi membasmi amalan laknatullah ini daripada terus melarat sehingga menganggu gugat institusi agama andai tiada suatu transformasi dilakukan. Mujur Malaysia masih menjaga kesucian agama yang jelas ditentang oleh seluruh agama tidak seperti negara barat yang mengiktiraf kebebasan manusia sehingga menghalalkan hubungan terlaknat ini.

Gemblengan seluruh pejuang agama ALLAH yang cintakan ALLAH, cintakan RASUL dan cintakan agamanya untuk membantu kelangsungan proses dakwah ini. Pemahaman yang jitu terhadap pendidikan ISLAM perlu diterap dan dijelaskan kepada masyarakat di kalangan sahabat-sahabat, adik-adik dan saudara-saudara seagama kita untuk menjelaskan segalanya agar ianya tidak semakin menular.

Ini adalah kerja kita. Ini adalah tanggungjawab kita. Usah tunggu untuk habis belajar, baru memulakan kerja dakwah ini. Takut-takut kelak apabila mereka ditarik nikmat hidupnya oleh ALLAH, maka ketika itu kita yang akan dipersoalkan oleh ALLAH kerana tidak melaksanakan amar makruf nahi mungkar terhadap mereka. Semoga perjalanan menuntut ilmu ini akan semakin mudah apabila urusan dakwah seiring bergerak untuk mengutip mutiara-mutiara ilmu sebagai hujah dan perisai diri.


Urusan untuk memberi sudah terpundak pada bahu kita. Sebelum ini kita selalu menerima daripada tok-tok guru, sheikh dan ustaz yang mengajar. Kini tiba masanya untuk kita menyambung kerja ulama-ulama terdahulu meneruskan kelangsungan dakwah untuk diterapkan dalam masyarakat. Menerangkan ISLAM yang sebenar agar masyarakat tidak terpesong jauh dengan budaya tidak sihat yang mencemar ketuanan ISLAM itu sendiri.

Erti hidup pada memberi merupakan sesuatu yang begitu berharga dan dipandang tinggi di mata ALLAH. Selagi hayat dikandung tanah, berilah segala yang bermanfaat sebanyak-banyaknya agar kelak kita tidak dipertanggungjawabkan di hadapan ALLAH kelak. Semoga entri kali ini mampu membuka minda-minda kita untuk memberikan input-input yang bermanfaat kepada masyarakat.

Setelah diteliti dan dihayati semula, peranan sebagai seorang agamawan amat berat. Bahkan amat penting dalam membentuk sebuah masyarakat yang ISLAMIK sesuai dengan acuan Al-Quran dan Sunnah itu sendiri. Fungsi agamawan bukan bermula apabila selesai pengajian, akan tetapi ianya mula bertapak apabila ilmu dan pengetahuan terhadapnya telah dimiliki oleh seseorang. Justeru itu, ayuh bersama kita bersatu berganding bahu untuk membantu agama ALLAH ini. Membawa manusia dari dunia kegelapan kepada cahaya keimanan yang hakiki.

Kata Muthaqqaf : Sahabat yang berada di sekeliling hampir tidak terhitung ramainya. Dalam keramaian itu, masih ramai yang memerlukan pimpinan untuk kembali ke jalan ALLAH. Moga sesiapa yang telah mengenali diri ini sekalipun di alam maya bukan berkawan sekadar suka-suka. Akan tetapi yg ku harapkan supaya diberikan kekuatan untuk memimpin kalian ke jalan yang diredhaiNYA sekaligus kalian dapat sesuatu yang bermanfaat untuk hidup di dunia dan akhirat kelak.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Sunday, May 10, 2009

|| Monolog Kasih Ibu ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Hari ini hari yang amat bermakna pada setiap manusia. Tidak mengira lelaki, perempuan, kanak-kanak, dewasa, tua mahupun muda pasti akan menyambut hari yang bermakna ini. Biarpun hari sebegini tidak pernah disambut oleh
RASULULLAH SAW tidak bermakna ianya merupakan sesuatu yang sesat. Selagi ianya disambut tanpa melibatkan penyelewengan akidah mengesakan ALLAH, selagi itulah ianya dibenarkan menurut pandangan kebanyakan ulama ahli sunnah.

Oleh itu, marilah kita menyambut hari ibu pada hari ini dengan cara mengucapkan selamat hari ibu kepada insan yang bergelar ibu. Insan yang banyak berjasa dalam membesarkan kita sehingga kita menjadi diri kita saat ini. Sesungguhnya ucapan 'selamat hari ibu' kepada mereka sudah cukup menggembirakan hati mereka. Sekaligus melenyapkan segala penat lelah membesarkan kita selama ini.

Pesanan saya kepada sahabat-sahabat yang masih diberikan kesempatan merasai kasih sayang seorang yang bergelar ibu agar hargailah mereka. Gembirakanlah hati mereka ketika hayat mereka. Jadilah seorang anak yang mampu berbakti kepada ibu dan bapanya ketika di dunia lagi apatah lagi di akhirat. Selagi peluang kehidupan yang ALLAH berikan kepada mereka di dunia ini, maka manfaatkan segala waktu yang bersisa bersama mereka.

Renungilah susah payah mereka mengendong kita selama 9 bulan ke sana dan ke sini dengan penuh hati-hati. Seterusnya membesarkan kita sehingga menjadi insan yang berguna kepada agama dan masyarakat. Sehinggalah kita menjadi diri kita tika ini. Dengan izin ALLAH kita masih berpeluang untuk bersama mereka. Bersyukurlah di atas kesempatan yang dikurniakanNYA untuk kita membuktikan kejayaan dalam kehidupan kita kepada mereka sudah begitu menggembirakan mereka.

Jangan apabila sampai masanya ALLAH menjemput mereka, hanya untaian doa yang mampu kita kepilkan sebagai tanda ucapan terima kasih di atas segala penat lelah mereka membesarkan kita selama ini. Masih belum terlambat. Tunaikanlah khidmat bakti yang sehabis baik kepada orang tua kita sehingga mereka menghembuskan nafas yang terakhir. Supaya kelak apabila mereka dipanggil mengadap ALLAH, mereka pergi dalam keadaan tenang tersenyum riang.

Monolog Kasih Ibu

Buat mak di 'sana',
Dikau sentiasa di hati,
Sayangmu merimbun,
Kasihmu semarak,
Bertakhta di kamar,
Yang kalut sepi,
Meruntun nurani,
Yang durja nestapa,
Tidak ku hirau,
Ku gagahkan langkah,
Teruskan perjalanan,
Mempersiap diri,
Bersama mak sentosa,
Disamping abah bahagia,
Disirami cinta
HAKIKI...

Kiriman ucapan syukran jazilan kepada emak yang telah sudi membesarkan anakmu yang degil ini. Maafkan segala dosa salah silap anakmu selama hidupmu.

Hening Dhuha,
Hari Ibu 2009,
Kaherah, Mesir.



Selamat hari ibu kepada para ibu, ummi, mak dan mama yang pernah dan sudi menerima diri ini sebagai anak mereka.


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Saturday, May 09, 2009

|| Penulisan Blog : Betulkan Tujuan ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Benar apa yang diperkatakan oleh Ustaz Nasruddin Hasan Tantawi kepada para bloggers yang semakin banyak bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan. Lihatlah di Mesir sahaja hampir 60 peratus siswa siswi memiliki blog persendirian. Blog yang dimiliki dengan matlamat yang bervariasi. Ada yang membincangkan perihal kehidupan peribadi, perihal sesebuah institusi, perihal makanan dan sebagainya.

Lebih menarik penulisan blog yang membahaskan tentang sesuatu yang memberikan manfaat kepada masyarakat. Lebih-lebih lagi apabila ianya merupakan tuntutan masyarakat yang dahagakan ilmu. Berkenaan kesihatan dan ilmu agama sebagai contoh. Seandainya tujuan sebegitu yang dimanfaatkan untuk tatapan umum sekaligus memberikan pulangan terbaik kepada si penulis bukan sahaja dunia. Malah sebagai pulangan yang berbaloi di akhirat kelak untuk menikmati syurga ALLAH, dengan rahmatNYA.

Semenjak berlakunya transformasi penyampaian maklumat yang lebih meluas yang tidak hanya terikat kepada media massa elektronik dan cetak semata, media alternatif semakin menjadi pilihan masyarakat. Lebih-lebih lagi di era globalisasi dengan jolokan 'celik IT' mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari segenap lapisan masyarakat untuk menceburkan diri dalam dunia maya ini. Bahkan kebangkitan media alternatif seumpama blog ini dilihat semakin menonjol berikutan terdapat penyampaian maklumat yang menyeleweng dan menindas pihak lain.

Entri kali ini sebenarnya diilhamkan selepas saya terbaca sebuah artikel yang disiarkan di akhbar Harakah. Seruan oleh salah seorang aktivis PAS yang juga merupakan bekas mahasiswa di Universiti Al-Azhar, Mesir di cawangan Tanta suatu ketika dahulu. Artikel yang bertajuk 'Manfaatkan penulisan blog untuk perjuangan ISLAM' benar-benar membuatkan sesiapa sahaja terpukul. Terpukul kerana apa yang diperkatakan oleh beliau kena pada batang hidung sendiri.

Antara ucapan beliau yang dapat saya petik sebagai renungan kita bersama "Ada di kalangan kita suka buat blog, lepas itu kemaskini selama lima bulan sekali. Ini seperti orang buat rumah, kemudian dia biarkan laman rumah dipenuhi dengan lalang dan semak samun, lepas tu dia menjemput kita masuk, siapa nak masuk kalau rumah seperti itu lebih baik tidak payah buat blog," tegas beliau.

Ini tidak bermakna kebebasan untuk memberikan pandangan atau meluahkah kisah kehidupan dan sebagainya terhalang. Segala yang ingin diluahkan di dalam bentuk penulisan blog ini tiada salahnya kerana ia merupakan hak individu. Akan tetapi, alangkah baiknya andai tulisan yang dihasilkan dalam apa jua genre diselitkan dengan unsur-unsur ketuhanan, keagamaan dan pengajaran bagi menyuntik semangat cintakan ALLAH, RASULULLAH SAW dan ISLAM itu sendiri. Begitu besar mata ganjaran yang akan ALLAH kembalikan kepada mereka itu.

'Hari Kebebasan Media' yang diadakan pada 3 Mei setiap tahun merupakan sebuah pengiktirafan kepada seluruh krew, wartawan, penulis, editor, kartunis dan yang seumpama dengannya setelah berkecimpung dalam arena media. Sewajarnya dengan kewujudan 'Hari Kebebasan Media' ini menjadi satu platform untuk membebaskan media dari pengaruh politik sesebuah pihak dengan tidak berlaku adil dalam menyampaikan maklumat. Andai ini terjadi, kalian semua telah mengkhianati kebebasan media yang menjadi nadi saluran maklumat kepada masyarakat.

Seruan ini sejajar dengan seruan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Najib Tun Razak yang menyeru kepada seluruh pihak media untuk amanah dan cekap dalam menyampaikan segala maklumat. Bahkan beliau sendiri menyahut seruan 'Hari Kebebasan Media' untuk memberikan ruang penyampaian maklumat yang terbuka luas dalam menyatakan kebenaran. Meskipun begitu, media arus perdana yang berada di bawah pemerintahan kerajaan semenjak 50 tahun lampau masih di takuk yang lama. Menyeleweng fakta bahkan berat sebelah dalam menyampaikan maklumat semasa.

Atas desakan itulah memaksa sahabat-sahabat jurnalis yang lain mewujudkan gelombang media alternatif bagi menyalurkan maklumat sebenar yang tidak didedahkan dalam media arus perdana. Para cendekiawan, cerdik pandai dan intelektual masa kini kian matang dalam menimbang setiap maklumat yang diterima samada fakta atau sebaliknya.

Sayugianya setiap penulis blog perlu amanah dengan setiap hasil tulisannya. Selain amanah dengan penulisannya, tidak boleh tidak bagi penulis blog yang beragama ISLAM apatah lagi yang mendalami ISLAM itu sendiri menerapkan unsur-unsur kerohanian. Elemen ini merupakan komponen terpenting dalam dakwah ISLAMIAH yang berkesan dan konsisten untuk mendidik masyarakat dengan acuan ISLAM yang menyeluruh tanpa sempadan.

Apabila tiba saatnya dihiasi musim silih berganti dilengkapi dengan pertukaran malam dan siang membawa manusia itu semakin menghampiri ke akhir usianya tanpa disedari. Semoga pengakhiran usia itu dapat membekalkan kita dengan bekalan yang secukupnya untuk menempuh alam yang kekal abadi bagi menggapai rahmat ALLAH untuk menuju syurga yang penuh dengan kelazatan. Sepenuh pengharapan semoga dijauhkan dari neraka yang penuh dengan kemurkaan RABBULIZZATI. Nauzubillahi min zalik.

Kata Muthaqqaf : Masih belum terlambat untuk mengubah keadaan. Semoga siri-siri penulisan mendatang kita mampu memberikan manfaat kepada masyarakat. Siapa tahu dengan penulisan yang kita hasilkan mampu memberikan keinsafan kepada orang lain. Di kala itu, hanya ALLAH sebaik-baik tempat untuk kembali. Selamat berdakwah kepada semua!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa