Video Klip Pilihan

Friday, May 08, 2009

|| Gagal Merancang, Merancang Kegagalan ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Musim imtihan sudah semakin rancak bersidang. Serancak riuhnya sidang DUN Perak yang berlaku hari semalam. Seluruh rakyat Malaysia yang menyaksikan sidang tersebut samada secara langsung melalui media elektronik ataupun media cetak mampu memikirkan siapakah yang berada di pihak yang benar. Bahkan kebijakan akal fikiran yang dikurniakan oleh ALLAH sewajarnya disyaghalkan dengan sebaiknya melihat perkembangan semasa di seantero dunia bukan sekadar diperuntukkan untuk cemerlang di dalam pengajian sahaja.

Alhamdulillah di kelapangan waktu yang diberikan oleh ALLAH di pagi penghulu segala hari, hari Jumaat yang indah ini masih dilapangkan waktu untuk terus mengabdikan diri kepadaNYA. Berkarya sambil diselitkan artifak ilmiah untuk dikongsikan dengan manusia di sekeliling kita amatlah dianjurkan oleh ISLAM. Sekurang-kurangnya segala ilmu yang diperolehi bukan tersekat untuk kepentingan diri sendiri malahan boleh dimanfaatkan untuk orang lain.


Di musim imtihan sememangnya akan disibukkan dengan aktiviti tertumpu mengulangkaji, menghafal dan memahami sesuatu subjek dengan sebaiknya. Pada waktu ini kadangkala aktiviti yang biasa dilakukan terpaksa dikorbankan semata-mata untuk menguasai sesuatu subjek sebelum menghadapinya kelak. Walaupun begitu, harapnya jangan sampai dikorbankan perasaan orang di sekeliling kita dengan mengabaikan tanggungjawab lain.Bercerita tentang tanggungjawab, pastikan kita menunaikan setiap tanggungjawab yang diberikan ALLAH secara langsung ataupun tidak. Tanggungjawab kepada ALLAH dan keluarga sudah semestinya. Tanggungjawab yang saya maksudkan adalah tanggungjawab sesama manusia di sekeliling kita. Terhadap kawan serumah, sebilik, terhadap rumah itu sendiri seperti memasak, mengemas dan sebagainya, terhadap persatuan dan terhadap diri kita sendiri.

Dalam sebuah hadith RASULULLAH SAW ada juga menyebut berkenaan hak-hak yang ada di sekeliling kita yang mesti kita tunaikan kerana segalanya akan disoal kelak. Moga kita dapat melangsaikan hak-hak tersebut dengan sebaik mungkin tanpa mengguris hati-hati mereka.

Tanggungjawab yang paling utama adalah tanggungjawab terhadap agama seiring terhadap ALLAH. Apabila tanggungjawab terhadap agama dapat dilunaskan dengan sebaiknya bermakna tanggungjawab terhadap ALLAH turut dipenuhi. Antara tanggungjawab terhadap agama itu adalah membantu sesama muslim, mengambil berat, menyampaikan risalah kebenaran dan membasmi kemungkaran dan kebatilan.

Sebagai seorang muslim yang sayangkan agamanya, seharusnya dia mengambil berat terhadap segala yang bersangkut paut dengannya. Agenda dakwah untuk menegakkan ISLAM tidak akan pernah terhenti sehinggalah mentari terbit dari barat maka selagi itulah dakwah digerakkan. Meskipun didatangi dengan sebarang bentuk ujian samada kehilangan insan tersayang, kesibukan dengan urusan pengajian dan sebagainya tidak wajar menjadi alasan terbantutnya dakwah.


Menjelang hari imtihan yang bakal menemui kita satu persatu juga tidak sepatutnya melemahkan semangat untuk berdakwah dalam apa jua keadaan sekalipun. Kejayaan dan kecemerlangan dalam akademik wajar dikecapi untuk meniup semangat berjuang untuk ISLAM dengan lebih gigih lagi.

Untuk mengecapi sebuah kejayaan yang gemilang memerlukan sebuah perancangan yang rapi. Bak kata pepatah 'gagal merancang, merancang kegagalan'. Sekiranya kita gagal merancang dengan penuh teliti untuk menghadapi sidang imtihan ini, maka ianya menandakan merancang untuk gagal. Kalian semua sudah petah berfikir. Tidak perlulah diulas panjang berjela.

Jadi, bersama kita merancang setiap detik dan saat yang berbaki sebelum terlambat. Saya merasakan masih belum terlambat untuk kita merancang sebuah kejayaan. Aturlah setiap masa dengan penuh berhemah ketika bersama ALLAH dan RASULNYA, bersama sahabat-sahabat dan bersama kitab-kitab untuk peperiksaan. Semuanya terlatak di tangan kita untuk menentukan nasib di akhir pengajian kita. Adakah cahaya kejayaan atau malap kegagalan?

Sama-sama kita gembleng untuk kejayaan kita bersama dunia akhirat demi ISLAM kerana ALLAH.

Kata Muthaqqaf : Sama-sama berusaha ke arah itu. (^_^)Y

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: