Video Klip Pilihan

Wednesday, November 09, 2011

Salam Aidiladha 1432H

Subhanallah, agak lama penulis tidak mengemaskini medan dakwah yang dahulunya menjadi wasilah utama penulis untuk berkongsi ilmu dan pengetahuan. Masakan tidak, hambatan masa, tanggungjawab dan komitmen yang tidak mampu untuk diungkapkan melainkan kita berada di lapangan yang hakiki. Sebelum ini penulis seperti kebanyakan dari kita yang aktif menulis ketika di bangku universiti yang masih belum merasai hambatan tanggungjawab yang sebenarnya.

Pun begitu, sebenarnya masih ada ruang-ruang masa untuk menukilkan sebaris dua kata-kata sebagai peringatan untuk kita bersama. Cuma keasyikan penulis berkolaborasi bersama laman sosial 'MukaBuku' menyebabkan agak berat jari jemari ini beralih ke mekanisme dakwah yang 'kuno' ini kalau tidak keterlaluan.


Akan tetapi tidak bermakna penulis berhasrat untuk menutup akaun mekanisma 'kuno' ini memandangkan begitu banyak jasa yang telah diberikan kepada penulis sehingga berani untuk menyatakan idea, pandangan, pendapat dan ugutan kepada pihak yang berkenaan. Curahan tersebut dihamburkan demi untuk membela Islam itu sendiri seandainya sesuatu isu yang benar-benar memerlukan perjuangan yang berterusan selaku penyambung mata rantai para mujahid silam.

Di kesempatan ini, suka untuk penulis merakamkan ucapan Salam Aidiladha 1432H. Semoga medan Aidiladha yang tersemat di dalamnya peristiwa pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S dan anaknya Nabi Ismail A.S sehingga disyariatkan ibadah korban yang sangat mulia ini. Semoga kita dapat mengambil iktibar yang tersurat dan tersirat seterusnya diterjemahkan dalam kehidupan kita selaku pejuang agama Allah.

Moga Aidiladha kali ini mendatangkan 1001 keinsafan kepada kita untuk lebih berkorban untuk Islam melebihi pengorbanan untuk keluarga, anak-anak, isteri, bangsa dan yang seumpama dengannya yang tidak mendatangkan apa-apa faedah sekiranya keperluan Islam tidak diutamakan.


Bersama kita renungi dan benamkan sedalam-dalamnya ke lubuk hati kita agar tersentap untuk bangkit di barisan hadapan saf perjuangan yang dilaung-laungkan.