Video Klip Pilihan

Friday, May 22, 2009

|| Lenguhnya Tangan Ni... ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Lenguh, kebas dan sengal. Itu yang mampu dinyatakan setelah begitu lama bergelumang dalam sistem penaipan papan kekunci huruf. Maka sistem secara manual menggunakan tenaga yang terhimpun pada jarian tangan seolah-olah lumpuh. Apa tidaknya, apabila segalanya diserahkan kepada sistem perkomputeran menyebabkan kebiasaan aktiviti harian yang dilakukan terasa janggal.

Itulah yang saya alami setelah sekian lama tidak menggunakan nikmat tangan untuk menulis. Apabila berhajat untuk mengarang sesebuah artikel, papan kekunci komputer riba sasarannya. Bukan bermakna segala pencatitan melalui khidmat tangan dibekukan. Akan tetapi kuantitinya sedikit berbanding penulisan sebegini.

Pun begitu, semenjak dianugerahkan dengan rezeki yang datangnya dari ALLAH berupa komputer riba peribadi dan bermacam lagi diharap tidak melemahkan dan mengabaikan diri ini terhadap tanggungjawab utama yang dipundakkan. Moga segala nikmat kurniaan ini menjadi pemangkin untuk lebih bersungguh dalam medan dakwah melalui penulisan blog dan seumpama dengannya.

Semalaman saya baru selesai menghadapi kertas pertama untuk semester akhir dan berbaki dua kertas lagi menyusul. Alhamdulillah atas segala kemudahan dan kesenangan yang diberikan oleh ALLAH mampu menjawabnya dengan penuh tekad. Cuma terasa sengal, lenguh dan kebas tangan ketika melunaskan kehendak soalan di kertas jawapan yang disediakan.

Saya rasakan seperti bertahun-tahun tidak menulis. Meskipun begitu, adalah tidak wajar sistem perkomputeran dipersalahkan kerana banyak manfaat daripada mudaratnya andai diguna secara baik. Segalanya kembali kepada diri kita sendiri. Segala kemudahan yang ada di sekeliling sewajarnya disyukuri dan dimanipulasi sebaiknya tanpa disalah guna.

ALLAH sendiri berfirman di dalam Al-Quran yang bemaksud : "Dan janganlah kamu mencampakkan (diri kamu) dengan tangan-tangan kamu ke arah kebinasaan dan berbuat baiklah. Sesungguhnya ALLAH suka akan orang-orang yang berbuat baik." [2:195]

Moga kertas-kertas yang mendatang akan lebih baik keadaannya dan diberikan kekuatan untuk menjawab dengan sebaiknya dengan izin ALLAH. Usaha yang berterusan disamping doa yang tidak putus-putus diiringi dengan iltizam yang jitu dalam amalan-amalan ketaatan secara istiqamah diharap mampu menatijahkan sesuatu yang positif. Segalanya bemula pada diri sendiri.

Kata Muthaqqaf : Optimis dalam melakukan sesuatu yang positif adalah kunci kepada kejayaan yang cemerlang. Salam kejayaan buat semua!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: