Video Klip Pilihan

Tuesday, January 30, 2007

.:: Muharram : Bulan Allah SWT dan peristiwanya ::.

Bulan Muharram adalah bulan yang pertama dalam kalendar hijriah yang dimuliakan oleh Allah Subhanahu Wa Taala selepas bulan Ramadhan maka hendaklah kita berpuasa pada bulan Muharram kerana bulan tersebut merupakan bulan Allah dan padanya juga Allah Subhanallhu Ta'ala menerima taubat satu kaum dan padanya juga Allah Subhanahu Wata'ala diterima taubat ke atas kaum yang lain sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadith Nabi S.A.W dalam sebuah kitab 'Fatwa Muasirah' karangan Dr. Yusof Al-Qardhawi jilid 1 mukasurat 403 apabila Baginda ditanya oleh seorang lelaki mengenai puasa yang sunat sabdanya :

إن كنت صائما بعد رمضان فصم المحرم فإنه شهر الله ، فيه يوم تاب الله على قوم ، ويتوب فيه على قوم آخرين

Dan kalau dilihat dalam kitab rujukan yang dinyatakan di atas sememangnya menyatakan kelebihan berpuasa di hari Asyura iaitu pada 10 Muharram yang cukup besar selepas bulan Ramadhan. Dalam hadith yang lain turut menyatakan tentang kelebihan hari Asyura.

رواه مسلم وغيره عن أبى قتادة قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : صوم يوم عرفة يكفر سنتين : ماضية ومستقبلة وصوم يوم عاشوراء يكفر سنة ماضية

Di sini kalau kita lihat berdasarkan hadith di atas sememangnya Muharram memberikan kelebihan yang cukup besar kepada sesiapa yang cenderung ke arah kebaikan dan kebajikan demi untuk mencapai redha Allah Subhanahu Wa Taala. Dalam pada itu ulama turut membahaskan adakah dosa yang telah lalu yang diampunkan itu adakah termasuk dosa-dosa besar? Lalu dijawab oleh Sheikh Yusof Al-Qardhawi bahawasanya hadith tersebut tidak tertakluk kepada dosa besar atau dosa kecil. Tetapi ada dikalangan ulama yang mengaitkannya dengan dosa yang kecil dengan dikuatkan dengan hadith lain yang diriwayatkan dalam Shahih Muslim juga yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dalam Sabda Nabi S.A.W :

الصلوات الخمس والجمعة الى الجمعة ورمضان الى رمضان مكفرات ما بينهن إذا اجتنب الكبائر

أو كما قال النبى صلى الله عليه وسلم


Walau apapun perbahasan ulama mengenai hadith tersebut namun Allah Subhanahu Wa Taala tetap akan mengampunkan segala dosa-dosa hambanya selagi mana hambanya itu tidak melakukan dosa yang besar dan dan sentiasa bertaubat memohon keampunan disamping melakukan amalan-amalan yang yang boleh membantu untuk mendapatkan keampunanNya seperti menunaikan solat-solat sunat, bersedekah, menunaikan haji, umrah, berpuasa dan sebagainya sebagaimana yang termaktub di dalam Mukjizat teragung Nabi S.A.W, firman Allah S.W.T :

إن الحسنات يذهبن السيئات

Dan bersabda Nabi S.A.W:

وأتبع السيئة الحسنة تمحها


Apa yang dapat disimpulkan di sini melalui penerangan sebentar tadi perlunya perlaksanaan setiap amalan kebajikan yang dilakukan itu selagi mana tidak terlibat dalam kancah dosa-dosa besar maka di sana akan terhapuslah segala dosa-dosa kecil tidak mengira masa mahupun keadaan tertentu cuma Nabi S.A.W menjelaskan mengenai kelebihan yang lebih bernilai pada bulan Muharram.

Namun begitu, apa yang ingin saya kongsikan bersama sahabat-sahabat seperjuangan se'Akidah' dan Iman mengenai peristiwa disebalik Muharram iaitu berkaitan dengan berpuasa Asyura yang mana terdapat percanggahan apabila berlaku persamaan dengan puasa Asyura juga diamalkan oleh ahli-ahli kitab di kalangan yahudi dan nasrani sebagai tanda pengagungan mereka terhadap kaabah. Sedikit sebanyak perkara ini memberikan nilai tambah thaqafah yang tidak semua diantara kita yang mengetahuinya dan mengkajinya. Yang mana kalau dilihat dalam kitab rujukan yang sama dan sepanjang pengetahuan saya dalam mengikuti ceramah agama.

Pendirian Yahudi terhadap puasa Asyura.

جاء فى الحديث : أن النبى صلى الله عليه وسلم حين قدم المدينة وجد اليهود يصومون عاشوراء, فصام وأمر بصيامه

Hadith yang dibentangkan di atas adalah hadith yang disepakati diriwayatkan oleh Ibnu Abbas yang mana diceritakan ketika mana Nabi S.A.W tiba di Madinah Munawwarah maka Baginda S.A.W melihat orang yahudi berpuasa pada hari Asyura lalu Baginda S.A.W berkata : Apakah ini? Maka mereka berkata : Hari yang penuh dgn kebaikan di mana Allah S.W.T telah menyelamatkan padanya Nabi Musa A.S dan Bani Israel daripada musuhnya iaitu Firaun dan tenteranya, maka berpuasalah Nabi Musa A.S. Maka Nabi S.A.W berkata bersabda : aku lebih berhak bersama Musa A.S daripada kamu. Maka Baginda S.A.W berpuasa dan mengarahkan supaya umatnya turut berpuasa.

Apa yang kita perhatikan di sini berdasarkan peristiwa Nabi S.A.W itu bahawasanya arahan berpuasa ini bukanlah bermaksud Islam mengikut kepada Yahudi tetapi sebagai menetapkan dan menguatkan syariat yang pernah di lakukan oleh Nabi Musa A.S yang mana menunjukkan agama Allah itu satu tiada duanya selain Islam semenjak dahulu sehinggalah sekarang juga menyambung dan menguatkan segala syariat yang pernah dilaksanakan oleh umat dan nabi terdahulu kerana para anbia' alaihimussalam adalah utusan Allah S.W.T yang membawa risalah yang sama iaitu Islam yang suci. Maka arahan dari Nabi S.A.W di sini adalaha sebagaimana arahan Nabi Musa A.S sebagai menguatkan syariat yang terdahulu.

Dalam peristiwa yang lain juga ada riwayat lain menyatakan bahawa pada hari Asyura ini jugalah Nabi Nuh A.S diselamatkan oleh Allah S.W.T dari banjir besar yang menimpa umatnya sebagai balasan terhadap pengingkaran mereka terhadap risalah yang dibawa oleh utusan Allah S.W.T terhadap mereka. Sehinggalah kapal Nabi Nuh A.S mendarat di atas Gunung Juudi sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas. Maka berpuasalah Nabi Nuh A.S sebagai tanda kesyukuran.

Dalam hadith yang lain juga turut menyatakan mengenai pendirian Nabi S.A.W terhadap Yahudi tentang puasa Asyura ini. Maka selepas itu lantas Nabi S.A.W bersabda agar berpuasa lah pada hari Asyura dan berpalinglah dari yahudi dengan berpuasa sehari sebelumnya dan seha selepasnya berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad :

صوموا يوم عاشوراء, وخالفوا اليهود, وصوموا قبله يوما وبعده يوما

Akan tetapi ada di sana hadith lain yang mana menyatakan bahawa ketika mana ada sahabat yang bertanya perkarta yang sama lalu di jawab oleh Nabi S.A.W : Sekiranya berjumpa pada tahun seterusnya dengan izin Allah S.W.T kita akan berpuasa pada 9 Muharram. Akan tetapi sebelum sempat datangnya Muharram tahun berikutnya, Nabi S.A.W telah selamat bertemu Kekasihnya, Allah S.W.T.

Yang rajih dan sahihnya berdasarkan kefahaman Sheikh Yusof Al-Qardhawi dan rujukan hadith-hadith nabawi yang lain, sebenarnya tidaklah Nabi S.A.W menjawab sekadar berpuasa pada hari Asyura. Bahkan dikuatkan dan ditambah dengan berpuasa pada sebelumnya iaitu pada 9 Muharram untuk membezakan antara amalan ahli kitab.

Kesimpulannya sebagaimana yang disampaikan oleh Ibnu Al-Qayyim : Martabat puasa Asyura itu 3 : Yang paling sempurna adalah dengan berpuasa sebelumnya dan selepasnya sehari, seterusnya hanya dengan berpuasa pada 9 dan 10 Muharram sahaja, martabat ini adalah paling banyak diriwayatkan didalam hadith dan yang terakhir adalah hanya berpuasa pada hari Asyura sahaja.

Cukuplah sekadar ini penerangan mengenai kelebihan dan peristiwa disebalik bulan Muharram khususnya yang berkait dengan Asyura. Sebarang komen boleh dirujuk dalam kitab 'Fatwa Muasirah' karangan Dr. Sheikh Al-Qardhawi dalam jilid 1. Segala yang baik itu adalah datangya dari Allah S.W.T dan yang buruk itu adalah dari penulis sendiri. Akan tetapi hakikat kedua-duanya itu adalah milik Allah S.W.T mutlak.

Salam thaqafah ukhuwah berbunga kiambang bertaut.

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa




No comments: