Video Klip Pilihan

Wednesday, April 25, 2007

.:: Degupan Bertambah Kencang ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Inilah kad matrik terbaru dikeluarkan oleh Al-Azhar tahun ini yang akan ku bawa sebagai syarat untuk menduduki imtihan di mana-mana pusat pengajian tinggi.

Assalamualaikum buat sahabat-sahabat sidang ilmuan yang dirahmati Allah sekalian. Rasanya dalam jangka dua bulan ini jari jemari ini akan mula 'tawaquf' sebentar untuk memberikan sepenuh perhatian kepada 'peperangan' yang sudah menampakkan sinarnya. Diharap kalian semua yang mungkin sepi dari 'peperangan' seumpamaku dan sahabat-sahabat yang lain samada di Perlembahan Nil mahupun di IPTA/IPTS tempatan mahupun di luar negara yang lain.

Sekadar makluman kalian semua bahawa imtihan (exam) yang akanku hadapi adalah sebanyak 11 Subjek bertulis bagi semester ke 2 ni termasuk 2 subjek tahun 2 yang saya bawa seperti berikut :

  • Isnin 14/5 - Syafawi (Lisan) Al-Quran
  • Khamis 17/5 - Tarikh Dakwah
  • Isnin 21/5 - Al-Quran Bertulis
  • Khamis 24/5 - English
  • Ahad 27/5 - Falsafah(Thn 2)
  • Isnin 28/5 - Ilmu Rijal Wa Manahij
  • Rabu 30/5 - Tafsir (Thn 2)
  • Khamis 31/5 - Fiqh
  • Isnin 4/6 - Manahij Mufassirin
  • Khamis 7/6 - Wasail Tabligh
  • Isnin 11/6 - Muqaranah Adyan
  • Khamis 14/6 - Hadir Alam Islami

*Semua imtihan akan bermula pada pukul 9.30 pagi waktu Kaherah, Mesir dan pukul 2.30 petang waktu Malaysia.

Jadinya saya menyusun 10 jari memohon maaf dari hujung rambut hinggalah ke hujung ibu jari kaki seandainya di sana sepanjang penulisan ini terdapat sebarang kecacatan dan kesilapan yang terjadi. Lebih-lebih lagi seandainya ada di sana yang terasa hati dengan sebarang artikel yang menyentuh hati kalian semua. Sesungguhnya manusia itu tidak akan terlepas dari segala kesalahan dan kesilapan yang memerlukan kepada kemaafan dari kalian untuk memudahkan perjalanan imtihan itu lebih lancar diiringi dengan doa-doa yang tulus ikhlas dari kalian semua.

Apapun doakan saya dan sahabat-sahabat yang lain dipermudahkan dan diberikan bantuan ketika menghadapi exam ni nanti. Semoga kejayaan ini bakal digenggami kita bersama. Salam perjuangan buat semua sahabat-sahabat yang juga bakal dan sedang menghadapi exam. Aja-aja fighting, chaiyok-chaiyok. Keep in touch. Sekian.Wassalam.



Cetusan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Sunday, April 22, 2007

.:: Solat Sunat Hifzi : Hadaf dan Kaifiat ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Sahabat-sahabat yang sabar menanti untuk melaksanakan Solat Sunat Hifzi.

Selamat sejahtera ke atas kalian semua sahabat-sahabat yang ku sayangi kerana Allah S.W.T. Semoga kita semua senantiasa berada di bawah payung lindungan rahmat, inayah dan mardhatillah selagi mana kita masih diberikan ruang untuk bernafas di muka bumi Allah S.W.T yang bersifat sementara ini. Walau apapun yang telah dan bakal terjadi bersama kita tingkat dan perbaiki dari semasa ke semasa agar amalan yang dilaksanakan tambah berkualiti pada piawaian ‘SIRIM’ Allah S.W.T dengan disertakan bersama nilai tambah lain berupa keikhlasan dalam melakukan amal tersebut.

Dalam mengubati kerinduan yang teramat sangat pada ‘Ciptaan Teragung’, Nabi S.A.W maka diutuskan jambangan selawat dan salam tanda kecintaan yang lebih bermakna dari cinta dunia dan segala isinya selepas meletakkan cinta dan rindu kepada Allah itu di ‘ranking’ pertama dalam ‘Carta Sang Perindu’. Insan yang banyak mempertaruhkan sepenuh jiwa dan raganya dalam membela umatnya sehingga menjadi sebaik-baik umat daripada umat-umat terdahulu. Inilah pendahuluan yang menjadi kebiasaan bagi insan yang kerdil ini dalam menongkah arus pena memberikan kesedaran, penghayatan dan semangat kepada mereka yang sedang mencari jalan pulang.

Sahabat yang kusayangi kerana Allah sekalian,

Sudah menjadi kebiasaan bagi penuntut Al-Azhar yang akan menduduki kerusi-kerusi dalam menghadapi peperangan di medan Jihad melaksanakan Solat Sunat Hifzi terutamanya kepada ahli BKPJM yang berada di Kaherah khususnya. Perlaksanaan amalan ini telah dilaksanakan sejak dahulu lagi atas rasa pentingnya satu pelindung bagi para pejuang Allah yang akan turun ke medan Jihad tidak berapa lama lagi. Namun begitu, mungkin di sana ada diantara kalian yang tidak mengetahui hadaf dan objektif dilaksanakan amalan ini berserta kaifiatnya. Sebelum ianya dibahaskan lebih lanjut perlunya kepada pemahaman kita semua secara masak terhadap hadaf utama dilakukan ibadah yang mulia ini.

Perlaksanaan Solat Nafilah ini boleh dirujuk bersama dalam sebuah hadith yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A yang tidak dapat dinafikan ketokohan perawi hadith ini melalui riwayat Imam Tirmizi dalam Sunan Tirmizi, Bab Fi Du’aa Al Hifzi.

Terpancar sinar kesungguhan pada raut wajah mereka yang baru sahaja selesai melaksanakan Solat Nafilah ini.

Hadaf Dan Objektif Perlaksanaan

Merujuk kepada riwayat hadith sebelumnya mengenai kaifiat Solat Sunat Hifzi, hadaf utama perlaksanaan solat nafilah ini adalah memohon kepada Allah S.W.T agar memberikan kemampuan untuk menjaga segala panca indera dan keseluruhan tingkah daripada terjerumus melakukan kemaksiatan yang kecil apatah lagi yang besar.

Pokoknya Hifzi yang berasal dari kalimah arab hafazha bermaksud menjaga, melindungi dan memelihara. Inilah sebab utama mengapa dilaksanakan ibadah yang cantik ini.

Manakala objektif ditatbiqkan ibadah ini bersempena dengan kehadiran imtihan yang dinanti-nantikan oleh kita semua. Antara objektif yang dapat di’highlight’kan untuk pengetahuan kita bersama adalah :

  • Memelihara peti simpanan pembacaan, pemahaman, pengetahuan dan penghafalan yang telah dibuat.
  • Melindungi ilmu melalui hafalan ayat Al Quran dan Sunnah daripada hilang begitu sahaja.
  • Memagari seluruh panca indera dan anggota badan dari melakukan perkara kemaksiatan terhadap Allah S.W.T.
  • Memberikan kekuatan menggantungkan harapan kepada Allah S.W.T tas usaha yang telah dilakukan.
  • Melahirkan sifat sabar dan mujahadah untuk menjaga ilmu Allah S.W.T yang telah dikuasai dengan sebaik-baiknya.

Kaifiat Perlaksanaan

Seteleh kita mengetahui hadaf dan objektif perlaksanaan ibadah ini, maka diteruskan perjalanan ini dengan mengetahui kaifiat iaitu cara-cara untuk melaksanakan ibadah ini merujuk kepada riwayat hadith sebelumnya seperti yang berikut :

  • Dilakukan dengan 4 rakaat dengan 2 salam yang memisahkan antara duanya.
  • Sebaik-baiknya dilakukan selepas bangun dari tidur.
  • Dikerjakan sebanyak 3,5 atau 7 malam Jumaat berturut-turut.
  • Dibaca pada rakaat pertama Surah Al Fatihah dan Surah Yasin.
  • Kemudian diikuti rakaat yang kedua dengan membaca Al Fatihah dan Surah Ad Dukhan.
  • Seterusnya pada rakaat ketiga dengan membaca Al Fatihah dan Surah As Sajadah.
  • Pada rakaat yang terakhir iaitu rakaat yang keempat dengan membaca Surah Al Fatihah dan Surah Al Mulk.
  • Membaca doa Solat Sunat Hifzi setelah selesai salam.

Jelas menunjukkan sinar keyakinan pada pandangan mata mereka untuk mengahadapi 'peperangan' yang akan menentukan tahap pemahaman mereka selama ini.

Sahabat yang ku kasihi kerana Allah sekalian,

Demikianlah tadi antara perkara-perkara yang mungkin tidak kita semua ketahui rahsia yang tersirat dengan kita melaksanakan amalan ini lebih-lebih lagi sebelum kita menempuh alam ‘peperangan’ yang terkadang akan menyebabkan kita tertekan hingga tidak mampu untuk mengulang kembali ‘strategi peperangan' yang telah disusun sebelum itu. Moga dengan perantaraan Solat Sunat Hifzi ini mampu memberikan bantuan kepada kita apabila berada didalam kesusahan ketika menempuh ‘peperangan’ yang sengit itu. Perlu diingat juga bahawa sekadar melaksanakan amalan ini tidak akan mempu membantu kita seandainya tanpa usaha yang gigih dengan semangat yang kental semata-mata mengharapkan keredhaan Allah S.W.T dalam menuntut ilmu ini.

Akhir kalam sebelum jari jemari ini berhenti dari tarian salsanya, bersamalah kita menghayati setiap amalan yang dilaksanakan adakah atas dasar terdesak atau sebaliknya kerana sesungguhnya Allah S.W.T tidak akan memandang pada hati-hati yang kotor dan terpesong dari tujuan asal perutusan kita semua ke ‘gedung ilmu’ ini. Tidaklah maqalah ini menyentuh kepada pihak-pihak yang tertentu akan tetapi sebagai amaran kepada penulis sendiri dan juga tamparan buat kalian semua yang memandang enteng tentang hadaf perlaksanaan amalan yang suci murni ini. Bersama kita hayati dan seterusnya dilaksanakan untuk kebaikan bersama.

Cetusan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Friday, April 20, 2007

.:: Muhasabah Pencetus Mujahadah ::.

بسم الله الرحمن الرحيم
Ust. Syafiq sedang berdiskusi sesuatu bersama Ust. Hafiz dengan diperhatikan oleh Ust Salleh Maskob.

Assalamualaikum W.B.T, salam sejahtera penuh keberkatan di malam Jumaat, penghulu segala malam dan hari. Bersamalah kita rebut keberkatan, keampunan, kerahmatan dan keredhaan yang terkandung dalam rencah untuk menjadikan 'hidangan Jumaat' itu lebih enak untuk dijamu juga tidak dilupa buah-buahan keinsafan dan ketakwaan untuk mencuci mulut dan perut setelah menjamu hidangan berat tadi. Setinggi bintang di langit ku panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga atas nikmat Iman dan Islam itu. Juga sekaut selawat dan salam dihadiahkan ke atas Junjungan Besar S.A.W atas segala kesusahan yang telah dilakukan semata-mata mengharapkan agar kelak kita umatnya dapat mengecapi nikmat yang penuh dengan ketenangan jiwa ini. Alhamdulillahi Rabbil Alamin.

Sahabatku yang diingati sekalian,

Bayang-bayang imtihan semakin menyerlahkan susuk tubuhnya yang gagah lagi menggerunkan bagi sesiapa yang tiada persediaan pemantapan ilmu yang mencukupi untuk menghadapi gelora imtihan yang penuh dengan ranjaunya. Sepertinya diri ini tidak layak untuk diletakkan bersama-sama dengan mereka yang berada di barisan paling hadapan dalam peperangan yang bakal menentukan ‘kemenangan’ atau ‘kekalahan’ yang akan diperolehi. Keputusan peperangan ini akan ditentukan berdasarkan pengalaman pembelajaran oleh para tentera dai'e setelah berada selama hampir setahun di dalam ‘Akademi Ulama’ mengikut tahap ‘IQ’ masing-masing. Sebahagian sahabat-sahabat kita yang berada di cawangan telahpun mengetahui tarikh penentuan permulaan peperangan yang bakal mereka lalui pada sekitar 5 Mei dengan syafawi.

Mampukah kita semua berhadapan dengan peperangan yang bakal merenggut ‘nyawa’ bagi sesiapa yang kecundang di pertengahan jalan itu? Diri ini masih belum berjaya menguasai sepenuhnya strategi peperangan ini jika dibandingkan dengan kalian semua.

Walau apapun yang bakal berlaku. Samada kecundang dengan ‘kekalahan’ atau ‘kemenangan’ yang semua natijah itu dalam genggaman Yang Berkuasa untuk meleraikan genggaman rahmat itu untuk menggembirakan atau menguji hambaNya melalui ‘kekalahan’ yang ditentukan pada genggaman itu. Ingatlah wahai sahabatku sekalian, Allah tidak akan mengecewakan hamba-hambaNya yang berusaha dengan penuh keyakinan disamping taat dengan segala arahan dan tegahanNya. Manakala sebaliknya Allah berhak menentukan usaha yang dicemari dengan kotoran maksiat terhadap Allah. Perlulah diingat juga bahawasanya Allah akan sentiasa membantu sesiapa yang membantu saudaranya yang lain.
Hakikat sebenar mereka yang ingin berjaya adalah mereka turut mendoakan sahabat mereka dalam setiap doanya dan sebaik-baik utusan doa itu adalah doa yang dipohon tanpa diketahui oleh sahabatnya.

Muhasabahlah bersama setiap apa yang telah kita lakukan setakat ini adakah ia sudah cukup untuk menampung kebajikan untuk ke sana. Juga perbaiki dan tingkatkanlah usaha untuk menggapai menara kejayaan yang sama-sama kita impikan untuk merealisasikan amanat Nabi S.A.W sebelum Baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir : “ Ulama itu pewaris para Nabi…”. Sememangnya layakkah kita untuk diberikan pangkat ‘ulama’ itu yang berperanan membawa manusia ke arah kebaikan dan keredhaan Allah serta menegah dari segala bentuk kejahatan lahir dan batin yang menyelubungi manusia kala ini. Bersamalah kita realisasikan impian Junjungan Besar Nabi S.A.W yang penuh dengan pengharapan.

Cetusan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa


Wednesday, April 18, 2007

.:: Hari-hari yang berlalu ::.

بسم الله الرحمن الرحيم
Tinggal kurang lebih sebulan sahaja untuk diri ini kembali berada dalam medan perjuangan untuk menilai setakat mana pemahamanku selama hampir setahun di tahun 3 dalam bidang yang ku pilih ini. Jabatan Dakwah dan Thaqafah Islam merupakan salah satu daripada 4 jabatan pecahan dari Fakulti Usuluddin. Selebihnya Jabatan Tafsir dan UlumTafsir, Jabatan Hadith dan Ulum Hadith dan yang ke 4 Jabatan Akidah dan Falsafah Islam. Aku telahpun memilih bidang yang subjeknya cukup banyak berbanding jabatan yang lain iaitu sebanyak 18 subjek setahun berbanding jabatan lain setakat 14 subjek bagi Tafsir dan Hadith manakala 16 subjek bagi Akidah. Tapi bagi semester yang kedua terasa berat pula bagiku untuk menghadapi 9 subjek disamping 2 subjek thn 2 yang aku bawa manjadikan semuanya 11 subjek untuk semester dua ini.

Sebenarnya macam ni lah kalau kau orang semua nak tau. Aku nampak macam rajin, sebenarnya aku ni cukup malas nak buka buku selagi mana belum masuk seminggu atau dua minggu nak dekat imtihan. Aku memerlukan suntikan api dorongan, dokongan, semangat dan utusan doa sebagai tanda ingatan kita sesama kita. Apa yang aku membebel ni entahlah. Itu sahajalah coretan untuk sama-sama aku nak kongsi dengan kau orang semua. Moga aku akan menjadi lebih bersemangat dari sehari ke sehari agar hari-hari yang berlalu itu tidak pergi begitu sahaja tanpa pengisian yang sepatutnya dibawa angin ribut pasir yang baru berlalu siang tadi sebagai tanda akan bermulanya musim panas yang semakin hebat mehnah dan dugaannya.


Akhir kalam sebelum aku nak tutup coretan untuk kesekian kalinya ini, tidak dilupakan aku nak mengucapkan SELAMAT ULANG TAHUN YANG KE 23 kepada taakhi yang ku ingati, USTAZ MOHD NAZRUL BIN ABD. NASIR pada hari ini, 17 April 2007. Semoga dikau dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, ditetapkan iman, sentiasa thabat dalam perjuangan yang tiada hentinya hinggalah ke titisan darah yang terakhir, juga semoga dipermudahkan urusan mu di dunia dan di akhirat. Amin ya rabbal alamin. Doakan semoga kejayaan milik kita bersama. Salam perjuangan buat semua sahabat yang ku sayangi dan cintai kerana Allah. Sekian.

Cetusan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Monday, April 16, 2007

.:: Buat Kesekian Kalinya ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Hubungan persahabatan dan ukhuwah sesama sahabat perlulah dijaga serta dielakkan dari perkara yang bisa meretakkan hubungan itu.

Assalamualaikum W.B.T, salam sejahtera buat kalian semua para sahabat sidang pembaca, ulama profesional juga tidak dilupa profesional ulama yang turut sama bangkit demi menegakkan syiar Islam. Kemantapan Islam semakin sirna dek penindasan dan tekanan yang bukan sahaja berpunca dari pihak musuh laknatullah yang memang telah nyata matlamat mereka bahkan dari musuh dalam selimut dikalangan umat Islam itu sendiri yang munafik, fasik dan mungkin sampai ke peringkat kafir. Nauzubillah. Kesyukuran yang tidak terhingga dipanjatkan setinggi-tingginya ke hadrat Allah S.W.T Tuhan Maha Perkasa diatas nikmat kurniaan yang tidak terhingga kepada kita setakat ini. Juga tidak dilupa jutaan selawat dan salam diutuskan buat Junjungan Besar S.A.W atas setiap suntikan dakwah yang telah disampaikan sehinggalah sampai pada kita la ni.

Kian lama juga jari jemari ini menyepi dari mencampakkan sebarang sebarang isu dan ilmiah yang bisa menambah thaqafah kita bersama. Jutaan kemaafan buat kalian semua atas ketidak berkesempatan diri ini untuk menyampaikan sebarang maklumat yang penting untuk makluman kita bersama. Apapun untuk artikel hari ini sekadar ingin berkongsi bersama kalian semua sambil-sambil kita menyedari bahawa 'exam around the corner' sebagai peringatan dan tindakan lanjut untuk mencapai kelulusan yang lebih memberangsangkan pada kali ini berbanding sebelum ini. Namun diri ini masih terus leka dibuai dengan lenaan nafsu dan kemahuannya yang membantutkan semangat untuk lebih bersungguh-sungguh dalam study smart agar akal ini dapat memahami setiap potong kalimah ilmu yang terdapat di dalam naskhah barakah itu. Teringat kembali satu kalam yang sering bermain di bibir dalam mengingatkan sahabat-sahabat akan tetapi diri ini masih seperti dulu.

Telah berkata Saidina Ali Karamallu Wajhahu (Dimuliakan Allah wajahnya kerana tidak pernah sepanjang hidupnya menyembah berhala selain Allah ) semoga Allah meredhainya dalam kata-kata hikmahnya :

"Seandainya hari ini bagimu lebih baik dari semalam, maka BERUNTUNGLAH. Seandainya masih sama seperti semalam, maka SIA-SIALAH. Seandainya lebih teruk dari semalam, maka CELAKALAH ke atasmu".

Dimanakah kedudukan dan posisi kita semua sekarang ini? Walaupun ini bukanlah lafaz yang keluar dari mulut Rasulullah S.A.W akan tetapi selaku salah seorang Khulafa Ar-Rasyidin yang sememangnya tinggi ilmu beliau bahkan disebut oleh Rasulullah S.A.W sendiri dalam satu hadith mafhumnya : "Aku adalah pintu segala ilmu, jika kamu ingin membuka pintu ini hendaklah kamu mempunyai kuncinya, maka pada Ali terdapat kunci itu". berdasarkan mafhum dari hadith tersebut dapat kita simpulkan bahawa pada Saidina Ali itu terdapat ketinggian ilmu yang luas kerana beliau sentiasa mendampingi Rasulullah S.A.W sehinggakan diumpamakan sedemikian rupa. Bagaimana dengan kita pula sahabatku sekalian? Fikir-fikirkanlah sedalam mana dan setakat mana pula kedudukan penguasaan ilmu kita untuk berhadapan dengan masyararakat yang penuh dengan polemik dan tribulasinya.

Bukanlah diri ini layak dalam membicarakan dan melontarkan sebarang pandangan dalam situasi kecemasan ini kerana diri ini masih dalam peringkat mendalami, mengkaji dan mengeksploitasi sebanyak mana ilmu Allah yang ada di bumi Anbia' ini untuk diluahkan kepada masyarakat kelak. Apa yang pasti, kita perlu rasa bahawa diri kita merupakan dai'e, pengubah umat dari kegelapan kepada cahaya ketenangan dan kebenaran sebagaimana yang digagaskan oleh para Anbia', sahabat, tabi' tabi'in sehinggalah sampai pada kita. Kesedaran inilah yang perlu dipupuk sedari awal sebelum akal dan nafsu berada di luar kawalan neraca Iman. Bersama kita berusaha lagi dan lagi demi mencapai target tertinggi dalam pencapaian semasa dalam masa yang sama tanpa melupakan peranan kita selaku seorang mukmin yang menginginkan sahabat-sahabatnya yang lain mengecapi kejayaan yang bakal ditempa kelak.

Ku tinggalkan kalian semua dengan sepotong Hadith yang menjadi genggaman erat tangan ini agar tidak mementingkan periuk nasi sendiri sahaja agar kita tidak meninggalkan sahabat-sahabat kita yang lain terkapai-kapai mencari cahaya kefahaman dalam pengajian mereka. Ingatilah dan eratilah ia bersama.


... إن الله فى عون العبد ما دام العبد فى عون أخيه ...

( أو كما قال النبى صلى الله عليه وسلم )

Mafhumnya : ..... Sesungguhnya Allah S.W.T akan sentiasa bersama membantu seseorang hamba itu selama mana hamba itu sentiasa membantu saudaranya.....


Bersama iringi dalam setiap doa dan solat agar kejayaan yang bakal dikecapi akan digenggam bersama. Kenangilah sahabat-sahabat kita dalam setiap bingkisan doa yang diutuskan ke hadratNya. Moga kejayaan milik kita bersama. Sekian.

Cetusan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Monday, April 09, 2007

.:: PMRAM Memboikot Atau Diboikot? ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Ramah mesra dan Penerangan 7 Dasawarsa PMRAM Badan Pengurus bersama ahli DPM Zaqaziq dalam program Rabi' Camp di Mukhayyam Daim semalam.

Assalamualaikum w.b.t dan selamat sejahtera diucapkan kepada sidang ulama professional dan pembaca sekalian. Semoga kita bersama sentiasa berada dalam limpahan rahmat, iman dan takwa. Tidak terhitung banyaknya nikmat kurniaan Yang Esa terhadap kita semua sepanjang episod kehidupan yang telah kita lalui setakat ini tanpa diketahui bilakah akan tamatnya tempoh jangka hayat ini. Berdoalah semoga kita semua akan dimatikan dalam keadaan husnul khatimah (mati yang tenang) serta dijauhkan dari su’ul khatimah (mati yang tragis). Nauzubillahi min zalik. Hamparan selawat dan salam dihadiahkan ke atas Junjungan Besar Nabi S.A.W dengan perahan keringat Baginda serta dibantu para sahabat Radiallahu Anhum kita berada dalam golongan yang paling disukai Allah S.W.T, dalam keadaan Islam dan Iman yang membezakan kita dan manusia lain yang kufur terhadap Tuhan Sekalian Alam.

Dewasa ini pelbagai spekulasi dan konflik telah timbul ekoran dari hasil perbincangan usul ‘memboikot sekeras-kerasnya sebarang unsure-unsur yang akan membawa kepada perpecahan’ pada Persidangan Mahasiswa Islam Timur Tengah (PERMIT 07) pada 31 Mac dan 1 April yang lepas. Ramai dikalangan sahabat-sahabat di luar sana yang tidak mengikuti perbincangan tersebut telah mendapat info yang tidak muttasil sanadnya mengundang kebencian mereka terhadap PMRAM. Sebelum ini PMRAM juga turut dilemparkan dengan tuduhan terlalu syadid (kongkong) terhadap ahli dalam beberapa perkara yang mana mereka memperolehi info tersebut dari sumber-sumber yang tidak muttasil sanadnya bukan kalam yang keluar dari bibir presiden PMRAM sendiri.


Sahabat yang ku sayangi kerana Allah sekalian,

Begitu banyak tohmahan yang telah dilemparkan oleh pihak-pihak tertentu ke atas PMRAM namun disebalik tohmahan tersebut mereka tidak menyiasat terlebih dahulu samada info yang mereka terima itu adakah benar ungkapan yang keluar dari kotak minda PMRAM itu sendiri atau tidak. Bukankah kita selaku penuntut yang mendalami agama lebih memahami dan lebih cermat dalam menyelesaikan sesuatu perkara yang ditimbulkan bukan di atas landasan yang sebenar? Bagi azhari secara khususnya sememangnya sudah sinonim di gegendang telinga kalian dengan petikan ayat berikut :

Firman Allah SW.T:

إن جاءكم فاسق بننباء فتبينوا ( الحجرات : 6 )

Mafhumnya : Jika telah datang kepada kamu seorang yang fasik dengan suatu khabar berita maka hendaklah kamu siasat sehinggalah jelas.

Maka atas sikap tanggung jawab terhadap sebuah persekutuan yang memberikan sepenuh penjagaan kebajikan kepada seluruh pelajar Malaysia samada ahli ataupun tidak. Jika kita sorot kembali sejarah PMRAM yang banyak membantu dan memudahkan urusan sepanjang keberadaan kita di Bumi Anbia’ yang penuh barakah ini. Pada permulaan penubuhannya sebagai persekutuan yang mewakili kerajaan pada ketika itu. Yang mana sekiranya kita imbas kembali sesungguhnya tidak akan wujud kedutaan Malaysia ke Mesir tanpa didesak oleh PMRAM yang pada ketika itu. Dalam perkara-perkara kebajikan lain kalau diperhatikan persekutuan yang gah ini banyak menyumbangkan pelbagai bentuk kebajikan kepada penuntut Malaysia yang mana kurang dititik beratkan oleh pihak terbabit dalam memberikan kebajikan yang sepatutnya. Akan tetapi sebaliknya mereka menghalang dan mengecam penuntut yang menceburkan diri mereka bersama PMRAM akan ditarik pemberian zakat yang wajib diberikan kepada mereka di atas landasan menuntut ilmu fi sabilillah.

Mengapakah sebuah persekutuan yang memberikan kebajikan demi membantu pihak kedutaan ditindas dan dihalang sedemikian rupa? Apakah yang kalian semua lihat PMRAM laksanakan adalah suatu yang salah? Adakah PMRAM mengajak ahli-ahlinya ke arah kejahatan dan maksiat? Adakah semata-mata ditakut-takutkan dengan zakat dan sebagainya kalian sanggup untuk menjauhkan diri kalian dari PMRAM yang sebelum ini banyak memberikan bantuan sekiranya kalian didalam kesusahan? Terkadang pernah saya terfikir sekiranya Allah Taala mentakdirkan PMRAM itu dilenyapkan dari Bumi Mesir ini siapakah yang akan memberi bantuan kebajikan sepertimana sekarang? Perlu difahami bahawasanya PMRAM mempunyai hubungan yang sangat erat dengan pihak polis Mesir yang cukup ditakuti oleh rakyat Mesir sendiri Pihak kedutaan sendiri todak mendapat keistimewaan sebegitu.

Sememangnya di sana pasti ada dikalangan kalian berasa PMRAM bermusuhan dengan pihak kedutaan semata-mata PMRAM tidak mahu berdaftar. Sebagai mana yang diterangkan sebelum ini bahawasanya PMRAM mendapat pelbagai keistimewaan dalam melaksanakan aktiviti, program dan sebagainya dari Pihak Keamanan Mesir yang tidak diperolehi oleh mana-mana kecuali yang berdaftar dengan Pihak Keamanan Mesir. Dan sekiranya PMRAM berdaftar dengan pihak kedutaan kita semua tidak akan mudah untuk bergerak menjalankan aktiviti dengan aman dan selesa. Oleh yang demikian PMRAM memilih untuk terus berada di bawah naungan Syuun Ijtimai’e (Kementerian Kemasrakatan) dan Amin Daulah (Pihak Keamanan Mesir) dalam masa yang sama masih menjalinkan hubungan yang baik cuma pihak yang dibantu tidak berasa terhutang budi dengan bantuan yang diberikan.



Sebahagian Badan Pengurus PMRAM yang hadir di bazar ASEAN untuk menjamu selera.

Berbalik kepada tajuk yang ingin saya kemukakan kepada kalian semua agar kalian semua lebih memahami dengan lebih terperinci mengenai isu yang sedang hangat ini. Sememangnya isu boikot cukup sensitif dikalangan para Azhari dan Azhariah sekalian. Sememangnya ada dikalangan ulama yang mengkhususkan bahawa boikot yang ingin dilaksanakan adalah ke atas pihak yang cuba untuk menghancurkan Islam dikalangan pihak kuffar laknatullah. Namun boikot yang PMRAM maksudkan adalah lebih tertumpu kepada beberapa ciri yang digaris-pandukan seperti berikut dalam isu ini supaya kita bersama dapat mengambil cakna dan membuang prasangka buruk dan jahat terhadap PMRAM itu sendiri. Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :

  • Berhubungkait dengan unsur-unsur politik
  • Terkandung didalamnya unsur-unsur kemaksiatan
  • Mengandungi unsur-unsur yang boleh membawa kepada perpecahan ahli

Seandainya di sana ada program atau aktiviti yang mempunyai satu atau lebih dari 3 ciri yang digariskan di atas maka boikot yang sekeras-kerasnya akan dilakukan terhadap program tersebut. Dan perlu diingat juga, bahawa PMRAM hanya akan memboikot sebarang program dan aktiviti yang bersangkut-paut dengan 3 ciri di atas bukan ke atas individu. Dengan itu seharusnya kita melaksanakan apa yang digaris-pandukan semata-mata untuk menyatukan seluruh pelajar Malaysia kepada satu manhaj yang sebenar berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Bukankah itu yang dicanag-canang oleh Rasulullah S.A.W sebelum baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir. Itulah yang perlu kita laksanakan berpandukan kepada 2 warisan itu. Inilah yang PMRAM ikuti dan landaskan bukan atas platform kepartian yang digembar-gemburkan oleh beberapa pihak yang iri hati kurang senang dengan usaha ke arah kebaikan ini.

Sebagai makluman kepada kalian semua, sebagai contoh persatuan yang diboikot oleh PMRAM dengan sekeras-kerasnya adalah Nadi UMNO Republik Arab Mesir (NUMRAM) yang terang-terang berdiri di atas platform politik berdasarkan arahan dari kerajaan Malaysia yang menghalang para penuntut pengajian tinggi dari menceburkan diri dalam sebarang persatuan yang berunsur kepolitikan. Saya berfirasat kalian semua sudah sedia maklum tentang perkara ini. Manakala persatuan-persatuan lain untuk makluman kalian, pihak PMRAM tiada sebarang hubungan rasmi dengan mereka dan segalanya terserah kepada ahli dalam menilai program yang mereka laksanakan samada boleh turut serta atau sebaliknya.


Kump Al-Wadi PMRAM yang turut serta menjayakan Festival Nasyid ASEAN pada kemuncak program tersebut.

Sebagai contoh untuk menunjukkan pihak PMRAM tidak memboikot program yang diadakan oleh Ahli Jawatankuasa Kebajikan Penuntut Dewan Malaysia Kaherah telah mengadakan Bazar ASEAN, Ekspo Buku dan Festival Nasyid ASEAN. Pihak PMRAM tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang kami memboikot program mereka. Bahkan PMRAM turut serta menyertai Ekspo Buku dengan menghantar buku-buku dan keluaran PMRAM yang lain. Manakala dalam Festival Nasyid ASEAN, PMRAM turut menghantar kump nasyid Al-Wadi untuk menjayakan festival tersebut walaupun pada permulaannya ada pihak yang tidak membenarkan sebarang jualan bercop PMRAM dijual. Badan Pengurus PMRAM juga turut hadir pada setiap program yang diadakan bahkan Presiden PMRAM sendiri turun menyaksikan persembahan nasyid tersebut untuk menghilangkan lontaran buruk pihak yang mengatakan PMRAM memboikot yang diadakan oleh DMAK itu.


Saya harap penjelasan yang panjang lebar ini dapat memberikan seribu satu penyelesaian terhadap permasalahan yang mungkin selama ini berputar di minda kalian semua. Segala usaha yang dijalankan oleh PMRAM adalah semata-mata untuk menyatukan kembali semua penuntut Malaysia dan mengelakkan pecah belah yang melemahkan umat Islam itu sendiri dalam melawan musuh-musuh Islam laknatullah dan turut memberikan kesan dalam membina semula khilafah Islamiah yang telah jatuh sekitar tahun 1924. Bersamalah kita berganding bahu untuk bersatu menentang musuh-musuh dan penderhaka serta anasir-anasir luar yang bias menganggu gugat proses menegakkan syiar Islam di muka bumi Allah di akhir zaman yang semakin rancak pancarobanya.


Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,

ZuLmArWa


Wednesday, April 04, 2007

.:: Satukan Fikrah Satukan Amal ::.

بسم الله الرحمن الرحيم



Salam sejahtera buat sahabat sekalian dalam meniti arus kehidupan yang semakin berkocak kencang dengan pelbagai kerenah alam yang semakin menyukarkan seruan dakwah demi menyatukan insan ke arah kesatuan seluruh umat Islam yang bakal menggegarkan dunia. Sebelum jari jemari ini semakin rancak menari menterjemahkan panorama dunia yang semakin berkecamuk dengan pelbagai ragamnya. Selautan selawat dan salam yang sedalam-dalamnya ke atas Junjungan S.A.W dengan semangat juang yang tinggi demi mengharapkan tertegaknya kalimah Allah kepada seluruh umat manusia dan jin. Akan tetapi segala usaha itu tidak akan berjaya setelah mana Baginda berjaya menyeru pembesar Quraisy yang akhirnya menjadi pembantu Baginda dalam menyebarluaskan dakwah Islamiah yang dicanang-canang oleh Rasulullah S.A.W yang mana merupakan amanat dari Allah S.W.T, Tuhan Sekalian Alam.

Dunia semakin lama semakin bergerak menuju ke arah kemodenan, kemajuan dan ketinggian tamadun yang akhirnya menjadikan umat Islam itu semakin terserlah di mata dunia bahkan dipandang mulia oleh anutan agama selainnya yang tidak diiktiraf di sisi Allah. Kebenaran Islam sememangnya tidak dapat disangkal dengan menggunakan akal semata. Ini kerana kedatangan Islam itu bukanlah satu fahaman atau agama yang baru. Akan tetapi ianya merupakan satu pelengkap bagi agama-agama yang terdahulu yang telah diutuskan Allah S.W.T ke atas utusan-utusan terdahulu sebelum diutusnya Nabi S.A.W yang sangat kita cintai. Kecemburuan mereka meluap-luap sehingga ke saat ini sehingga sanggup menyebarkan fitnah bahawa Islam itu agama yang ganas, saling suka berperang, bertumpah darah dan tidak adil.


Hayati bersama firman Allah S.W.T :


ولن ترضى عنك اليهود ولا النصارى حتى تتبع ملتهم ( البقرة : 120 )

Mafhumnya : Dan sesungguhnya mereka iaitu Yahudi dan Nasrani tidak akan redha ke atas kamu (Islam) sehinggalah kamu mengikut agama mereka.


Seandainya kita sama-sama perhatikan konflik yang sedang berlaku dalam dunia Islam yang mana pihak kuffar laknatullah dengan gabungan seluruh agama non Islam termasuklah Kristian dan Yahudi yang sekarang lebih dikenali dengan panggilan Israel yang menggunakan jalan kekerasan merampas, membunuh dan menghancurkan negara-negara Islam yang mereka lihat mengancam kedudukan mereka. Alasan mereka melaksanakan agenda itu adalah kerana wujudnya pengganas yang mengancam keselamatan dunia. Akan tetapi disebalik alasan tersebut mereka sebenarnya ingin melenyapkan institusi agama Islam yang merupakan pegangan agama global dan glokal setiap negara.


Apakah yang dilakukan oleh OIC dalam masalah ini? Apakah yang mereka bincangkan sebenarnya apabila diadakan perjumpaan tersebut? Apakah resolusi yang dapat mereka capai dan perlaksanaan yang bakal dicetuskan natijah dari perjumpaan itu? Terasa canggung pabila melihatkan kesatuan negara-negara Islam bagaikan membisu sejuta bahasa dalam mempertahankan negara-negara Islam yang dicabul ‘kehormatan’nya oleh musuh-musuh yang jahannam adalah tempat mereka kelak. Dimanakah kesatuan Islam yang dahulunya gah dan disanjung oleh dunia bahkan ditakuti dengan kekuatan dan kesatuan yang jitu bagaikan air walau dicincang tidak akan putus.


Namun itu semua hanyalah kegemilangan lampau. Tetapi mesti diingat bahawasanya satu masa kelak ketika mana diutuskan Imam Mahadi dan Nabi Isa A.S ke muka dunia ini bila mana kala itu manusia telah berada dalam era kesesatan yang nyata memerlukan kepada utusan untuk memperbaiki kefasadan itu. Akan tiba saat itu dan bersamalah kita nantikan. Dan pada saat itu sudah hampir tiada lagi nilai-nilai Islam yang sebenar seperti mana yang dibawa didalam Alquran dan Sunnah. Dalam fatrah mencapai masa tersebut, kita adalah zaman yang pertengahan sebelum tibanya tika itu perlulah berusaha menggerakkan segala enjin-enjin dakwah dan memperkasakan segala wahdah kesatuan dalam menyatukan fikrah insani mengikut acuan yang sebenar.


Kitalah umat akhir zaman yang telah dilabelkan oleh Allah kerana sayang dan kasihNya kepada Rasulullah S.A.W yang merupakan kekasihNya. Maka diberikan kita keistimewaan umat yang terpilih dan dijamin dengan kemasukan ke syurga terlebih dahulu dan juga sebaliknya berdasarkan amalan masing-masing. Namun untuk mencapai umat pilihan itu memerlukan kepada satu usaha untuk membantu Islam itu sendiri dalam bekerja untuk Islam menyeru ke arah kebaikan dan mencegah dari kemungkaran. Itulah amanat untuk umat akhir zaman untuk mendapat label terhormat di sisi Allah S.W.T. Persoalannya adakah kita bersedia untuk menghadapi dan menjalankan amanat yang diarahkan itu? Fikir-fikirkanlah bersama.


Firman Allah S.W.T :

كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله ولو ءا من أهل الكتاب لكان خيرا لهم

( آل عمران : 110 )

Mafhumnya : Kamu (umat Islam) adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan dari kalangan umat manusia untuk menyeru mereka ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran dan beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya dan sekiranya ahli kitab itu beriman sekalipun kamu adalah yang terbaik dari mereka.


Itulah yang dicanang oleh Allah terhadap hamba-hambaNya, umat akhir zaman yang merupakan umat teristimewa. Maka seharusnya kita semua memperkasakan dan menterjemahkan setiap bilah kalimah Alquran itu untuk ditatbiq dan diperlaksanakan dalam merealisasikan impian kita sebagai umat yang terbaik bukan sekadar dengan goyang kaki sahaja. Gunakanlah seberapa banyak peluang yang ada untuk menyeru, memperbaiki dan menyelesaikan masalah ummah yang semakin tenat ini.


Semua itu memerlukan kepada satu kesatuan dan perpaduan. Kesatuan dan perpaduan yang dimaksudkan adalah kesatuan dari segi fikrah dan amal. Kesatuan fikrah yang diertikan di sini adalah mempunyai satu fikrah ke arah untuk mewujudkan dan menaikkan kembali khilafah Islamiah yang telah runtuh pada tahun 1924. Dalam masa yang sama kita juga mesti turut menyatukan amal pekerjaan kita bekerja semata-mata kerana Allah S.W.T dan kerana Islam itu sendiri. Sekiranya dua kesatuan ini dapat diperkasakan dan direalisasikan sekaligus akan menaikkan keizzahan Islam yang sememangnya telah sedia izzah.


Bersamalah kita bersatu dalam memperkuatkan kembali benteng Islam yang semakin sirna ini. Satukan fikrah, satukan amal kita bersama. Setelah itu, sudah pastilah Islam itu akan kembali gah di mata dunia. Usahlah berpecah oleh kerana perbezaan pandangan pada sesuatu furu’ ibadah sehingga memecah belahkan ummah. Kembalilah kepada Alquran dan Sunnah sebagaimana yang diterangkan para ulama yang merupakan perintis daripada para tabi’ tabi’in daripada para sahabat yang seterusnya berhubung terus dengan Rasulullah S.A.W. Usahlah kita mentafsirkan satu Hadith mahupun ayat berdasarkan kefahaman kita yang cetek dan mengetepikan pandangan ulama yang diiktiraf ilmunya dan lebih tinggi sarjana ilmunya merangkumi seluruh aspek kelimuan.


Ciptaan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa


Monday, April 02, 2007

.:: Alhamdulillah Atas Segalanya ::.

بسم الله الرحمن الرحيم


Salam sejahtera buat sahabat sekalian yang amat ku sayangi kerana Allah. Selawat dan salam diutuskan kehadrat Junjungan Besar S.A.W atas segala limpah usaha Baginda tanpa bertepi demi melihat dan mempastikan umatnya berada dalam keadaan yang selesa kelak dan tergolong didalam kalangan orang yang mendapat mardhatillah, amin ya rabb. Kesyukuran yang tidak terhingga juga kupanjatkan atas segala nikmat ruang dan kesempatan yang dikurniakan kepada kita sehingga dapat mengecapi segala nikmat dan infrastruktur dengan tenang dan aman.

Kian lama diri ini tidak mengeluarkan sebarang buah fikiran buat ingatan kita bersama semenjak beberapa hari kebelakangan ini. Maaf atas segalanya atas ketidak berpeluang saya untuk mengeluarkan sebarang ilmiah untuk kita bersama. Ini kerana semenjak kebelakangan ini saya sibuk dengan program yang dijalankan oleh PMRAM sebelum ditawaquf segala program pada 10 April ini. Semalam baru sahaja selesai program mega yang mana melibatkan persatuan pelajar dari timur tengah seperti Syria, Yaman dan Jordan yang diberi nama Persidangan Mahasiswa Islam Timur Tengah (PERMIT 07) yang mana akhirnya program ini berakhir dengan satu deklarasi antara PMRAM dan persatuan mahasiswa Islam Asia Barat yang lain dengan penubuhan Sekteriat Mahasiswa Islam Asia Barat (SMART) yang bertujuan untuk menjawab dan menyatukan fikrah kesemua mahasiswa dan mahasiswi di Timur Tengah demi menjuarai isu ummah dan mendepani massa.


Untuk sebarang maklumat lanjut bolehlah sahabat layari ke laman web PMRAM kerana disana akan ada penjelasan lanjut mengenai program yang kami telah laksanakan itu. Setakat itulah rasanya yang dapat saya berkongsi dengan sahabat sekalian. Terima kasih atas segala sokongan dan dokongan yang kalian berikan khusus untuk persatuan yang kita cintai PMRAM dan kepada saya secara umumnya. Bersama kita memartabatkan kesatuan Islam. Apa yang baik itu adalah dari Allah manakala yang buruk itu adalah atas kelemahan dari diri saya sendiri akan tetapi hakikatnya kedua-dua itu adalah dari Allah jua. Sekian.


Cetusan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa