Video Klip Pilihan

Monday, October 01, 2007

.:: Apa Nak Jadi?? ::.

بسم الله الرحمن الرحيم



Assalamualaikum dansalam sejahtera buat sahabat sekalian semoga kalian sentiasa berada di bawah limpahan kasih dan sayang Allah hendaknya. Alhamdulillahi rabbil alamin kesyukuran yang tanpa batasan ku panjatkan ke hadrat Ilahi kerana diberikan peluang dan ruang untuk melakarkan sedikit kalam untuk dikongsi bersama. Allahumma solli ala Muhammad, selawat dan salam turut dilafazkan dengan penuh rasa kebanggaan kerana digolongkan dikalangan umat Nabi Muhammad S.A.W yang mempunyai banyak kelebihan yang tidak dipunyai oleh umat-umat yang lain. Ku masih berdiri di sini menghirup udara dan suasana Ramadhan yang masih bersisa 10 hari yang terakhir tatkala berada di hari yang terakhir dalam marhalah keampunan yang ke-2. Bagaimanakah maqam puasa yang telah kita laksanakan setakat ni? Muhasabah diri, tanyalah iman yang berputik di dada.

Insyaallah perkara berkaitan ibadah agung itu akan dibahaskan dalam siri akademi Ramadhan yang selanjutnya kelak. Apa yang ingin dikongsi dan sememangnya telah dimaklumi oleh kalian semua dengan keadaan sosio-politik yang berlaku di kampus dan institut pengajian tanah air untuk mengangkat pimpinan dikalangan pelajar yang baru. Apa yang dapat diperhatikan bersama suasana politik dan pilihanraya kampus ini seolah-olah turut mempengaruhi suasana politik dan pilihanraya negara apabila pihak kerajaan dan parti Melayu itu masuk campur dalam pemilihan tampuk pimpinan bagi menerajui kepimpinan diperingkat kampus. Apakan daya mereka turut menyemai sentimen kepartian politik tanah air pada politik kemahasiswaan menyebabkan kesucian pilihanraya dan pilitik mahasiswa dicemari dengan politik kotor tanah air yang jelas kelihatan.

Apa yang mengesalkan juga apabila kebebasan yang sepatutnya diberikan pada mahasiswa dalam mendidik dan melatih diri menjadi pimpinan mendatang disekat dengan sekeras-kerasnya dari menceburkan diri dengan mana-mana sentimen politik tanah air di dalam politik kemahasiswaan dalam masa yang sama mereka menyemai budaya dan sentimen parti kerajaan terhadap politik kemahasiswaan yang pro-kerajaan. Apalah nak jadi dengan demokrasi yang dicanang-canang oleh mereka namun disebaliknya mereka yang mencabuli gagasan yang ditubuhkan oleh mereka. Sungguh kasihan sahabat-sahabat seangkatan yang memperjuangkan kebajikan pelajar dan kebenaran akan tetapi diancam dengan sekatan zakat yang merupakan hak wajib diperuntukkan oleh Allah kepada golongan fi-sabilillah, juga di kecam mahasiswa-mahasiswa yang terbabit dengan politik yang menjurus kepada pembangkang akan dibuang dari kampus tanpa diberikan peluang untuk bersuara dan memberikan penjelasan.

Ya Allah sesungguhnya hati-hati sekalian hambaMu ini telah berhimpun kerana mengharapkan kasih sayangmu, dan bertemu kerana taat kepadaMu, dan berjanji kerana ingin menjadi pembela kepada syariatMu. Maka tetapkanlah dan kekalkanlah ikatan kesatuan kami ini. Dan suburkanlah mawaddah kasih sayang dan rahmat bersatu di jalanMu. Dan penuhilah dengan nur cahayaMu yang tidak akan hilang dan terangilah dada-dada kami dengan limpahan iman terhadapMu. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik Pembantu dan sebaik-baik Teman. Semoga apa yang kami perjuangkan bernilai di sisiMu dan dikira sebagai pejuang dan pembela agamaMu.

Semoga kita semua akan terus thabat dalam memperjuangkan yang mana hak dan yang mana batil menurut kacamata ilmu yang telah kita pelajari. Penulis berhenti setakat ini untuk bersahur dan insyaallah semoga kita akan bertemu di lain kesempatan dan ruang yang lain.

Fikir-fikirkan dan renungkan bersama. Selamat beramal.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: