Video Klip Pilihan

Friday, November 30, 2007

.:: Amalan Sedekah Penawar Penyakit ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam sejahtera kepada semua sidang pembaca. Buat ke sekian kalinya penulis merasakan terpanggil untuk meneruskan sidang redaksi untuk kali ini bagi memberikan sedikit 'buah tangan' untuk pedoman kita bersama. Kerana apabila kita mendapat satu ilmu yang baru sewajarnya kita menyampaikan dan menyebarkannya kepada orang lain dengan apa wasilah sekalipun. Hari ini merupakan penghulu segala hari yang membuka peluang kepada hamba-hambaNya melipatgandakan amalan yang sebanyak-banyaknya pada hari tersebut. Bagaimana kita merebut peluang itu sebagaimana kita merebut peluang yang terbantang luas pada bulan Ramadhan? Syukur alhamdulillah diucapkan seiring selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi S.A.W semoga dikira sebagai nusrah apabila meniti titian siratal mustaqim dan di hari pembalasan kelak. Amin.

Tatkala tenangnya diri ini menjejakkan kaki ke rumah Allah lantas menempatkan diri ini diantara jamaah ahli jumaat. Seusai azan kali ke-2 selepas khatib menyampaikan salam takzim kepada seluruh jemaah. Smemangnya sungguh ku rasakan cukup seronok apabila mendengarkan penyampaian khutbah yang disampaikan oleh khatib dengan gaya bahasa fushah dan jelas sebutan hurufnya. Khutbah yang disampaikan pada kali ini adalah berkisar mengenai tuntutan untuk kita memperbanyakkan amalan bersedekah. Apa yang menarik satu ilmu baru untuk hari ini ku perolehi adalah dengan bersedekah ianya sebagai penawar kepada penyakit seabagaimana yang tertulis dalam manuskrip peninggalan Nabi S.A.W hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim :

"الصدقة شفاء مرضة"

أو كما قال النبى صلى الله عليه وسلم


Apa yang mungkin dapat diambil ikutan dan feqh hadith yang boleh kita simpulkan adalah seharusnya kita yang mengetahui akan kelebihan dari apa yang terkeluar dari bibir Rasulullah S.A.W adalah sesuatu yang tidak dapat disangkal lagi. Kita seharusnya menjadikan diri kita seumpama Saidina Abu Bakar yang mendapat jolokan As-Siddiq kerana peribadinya yang sentiasa membenarkan setiap apa yang terbit dari diri Rasulullah itu sendiri. Juga lain-lain lagi para sahabat Nabi S.A.W yang terkenal dengan keperibadian yang terkesan dengan akhlak peribadi Baginda yang paling tertinggi berbanding dengan mana-mana makhluk lain yang pernah Allah cipta sebelum ini sehingga digelar 'Kekasih Allah'.

Semoga sedikit ilmu yang diperolehi pada hari ini memberikan manfaat kepada kita semua justeru disampaikan kepada saudara-saudara dan sahabat kita yang lain. Penawar penyakit yang dimaksudkan disini bukanlah secara langsung dan mampu untuk kita lihat dengan mata kasar di depan mata. Akan tetapi penawar tersebut adalah penawar bagi penyakit hati dan rohani yang membelenggu nurani insani. Semoga keikhlasan dalam kita bersedekah akan mendapat ganjaran yang setimpal dengan inayah dan rahmat Yang Esa. Semoga kita akan sentiasa mendapat lindungan dari Allah di sepanjang perjalanan memperjuangkan ISLAM tika dan saat ini hinggalah ke akhirnya.
Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Thursday, November 29, 2007

.:: Semoga Bonda Cepat Sembuh ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Sebuah berita yang menerpa ke mindaku lantas ku panjatkan doa kepadanya semoga dilindungi dan diberikan kesihatan yang baik. Semoga bonda cepat sembuh hendaknya di sana. Hanya utusan doa pengganti diri yang mampu anakanda kirimkan buat bonda setelah mesej ringkas yang disampaikan oleh Kak Idah yang bonda telah dimasukkan ke hospital akibat penyakit batu karang. Semoga bonda akan cepat sembuh dan kembali menjalankan aktiviti seperti kehidupan seperti biasa sehinggalah anakmu ini kembali ke pangkuanmu bersama segulung ijazah kejayaan harapan dan impian mu selama ini. Bersama impian ISLAM dan negara tercinta. Kalian doakan kesihatan bondaku juga.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Wednesday, November 28, 2007

.:: Menteri Yang Mengikut EMOSI ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah, puji dan syukur ku panjatkan ke hadrat Ilahi kerana masih memberikan ruang dan peluang kepada diri ini untuk meneruskan sisa-sisa perjuangan yang masih panjang penuh dengan ranjau likunya. Salam dan selawat melimpah ruah dihadiahi kepada kekasih hati, Rasulullah S.A.W semoga terpimpin diri ini sentiasa. Di kesempatan yang ada ini juga tahniah diucapkan kepada Kedutaan Besar Malaysia Di Mesir kerana berjaya menganjurkan Pameran Kerjaya dan Karnival Kerjaya Timur Tengah 2007 pada 26 dan 27 November 2007 bertempat di Cairo International Convention Centre (CICC) di Kaherah, Mesir. Sekurang-kurangnya program sedemikian membuka mata kepada lepasan Universiti Al-Azhar tentang peluang kerjaya mereka kelak.

Walaupun disebaliknya program tersebut dijalankan dan dianjurkan di bawah Ahli Jawatankuasa Khas Kelab Umno Luar Negara. Namun selagi mana ianya bermanfaat untuk karier masa depan, maka tidak menjadi masalah dan bukanlah bermakna menyokong kewujudan kelab penyokong anti kerajaan itu. Nak buat macam mana kerana mereka yang memerintah 'Malaysiaku Gemilang' maka segala mandat dan kekuasaan berada di tangan mereka buat masa ini. Kalau diperhatikan dari kacamata kasar bukanlah mereka-mereka dikalangan ahli kelab tersebut yang bertindak menggerakkan program mega tersebut akan tetapi 'bukan ahli' yang banyak membantu menjayakannya. Melihatkan sahabatku yang begitu gigih dan bersungguh-sungguh dalam menjayakannya terdetik di hati ini, 'penyokong-penyokong kerajaan ni pandai makan duit je ke apa?'. So, pandai-pandailah nilai dengan serebrum otak kalian. Semoga segala bantuan yang dilakukan oleh mereka dicatit pada bahu kanan sebagai kebaikan.

Berbalik kepada tajuk yang difokuskan pada entri kali ini. Pada perasmian program yang julung-julung diadakan di Timur Tengah ini oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Berhormat Dato' Sri Abdullah Haji Ahmad Badawi, banyak menyentuh soal kemerdekaan dan kemajuan negara yang dikecapi disamping soal Palestin yang ditimbulkan. Selesai ucapan perasmian, telah dibuka sesi dialog bersama pelajar. Maka dikesempatan itu Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), Saudara Hairul NIzam Mat Husin mengajukan dua soalan berkaitan dengan isu Palestin memandangkan Pak Lah merupakan Pengerusi OIC dan juga berkaitan dengan kelemahan lepasan Al-Azhar dalam berbahasa Arab adalah berpunca kerana lemahnya penekanan dalam sistem pendidikan di Malaysia. Turut serta diutarakan sebahagian cadangan yang boleh didapati draf cadangan memorandum tersebut di laman web PMRAM. Ketika diajukan soalan dan cadangan tersebut bergemalah dewan tersebut dengan tepukan para pelajar sebagai tanda menyokong.

Setelah itu diikuti dengan pengutaraan soalan dan cadangan dari seorang mantan Pengerusi Muntada Islam Hadhari Malaysia Mesir, Saudara Mohd Faizal Sabhon yang banyak menyentuh berkaitan persoalan yang dibangkitkan ketika Perhimpunan Aguang UMNO baru-baru ini. Antaranya soal penubuhan Jabatan Mufti Kebangsaan oleh Ketua Pemuda UMNO, masalah Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik oleh Ketua Puteri UMNO dan sebagainya yang menunjukkan keprihatinan beliau terhadap parti komponen kerajaan Malaysia itu. Dan soalan terakhir wakil dari Perubatan yang menyentuh soal perbelanjaan sara hidup yang semakin meningkat sedangkan peruntukan yang diberikan masih sama seperti zaman 80 dan 90 an. Sememangnya para pelajar yang hadir pada ketika itu yang mencecah hampir 3000 orang mampu membezakan yang manakah soalan yang menitikberatkan soal kebajikan pelajar dan yang sebaliknya.

Apa yang menjadi kemarahan penulis dan sebahagian besar yang hadir pada malam tadi ketika majlis penutup ketika ucapan 'menteri emosional' apabila beliau menemplak soalan yang berkaitan Palestin bukanlah soalan yang sepatutnya ditanya dan kelemahan lepasan Al-Azhar berbahasa Arab adalah berpunca dari pelajar itu sendiri ketika di institut pengajian yang tidak bergaul dengan masyarakat tempatan. Beliau bahkan memuji soalan yang dikemukakan oleh wakil pelajar perubatan kerana mengambil berat tentang kebajikan pelajar. Akan tetapi mengapa beliau tidak menemplak dan mengkritik soalan yang diutarakan oleh mantan pengerusi gagasan kerajaan itu? Walaupun beliau tidak menyatakan nama si penyoal akan tetapi jelas beliau menemplak seseorang yang cukup dikenali di Perlembahan Nil ini. Bahkan beliau turut menambah bahawa para pelajar yang memberikan tepukan ketika 'insan tersebut' bangun menyatakan soalan adalah mengikut emosi semata-mata. Siapa sebenarnya yang mengikut emosi? Saya yakin semua yang hadir dan sidang pembaca mampu menjawab soalan ini kecuali mereka yang telahpun dibutakan dengan kesenangan oleh pihak tertentu.

Dalam ucapan 'menteri emosional' itu juga beliau turut menemplak kerajaan dan rakyat negeri KELANTAN dan TERENGGANU secara umum dengan menyatakan mundur tanpa kemajuan menyebabkan rakyat negeri tersebut yang berhijrah ke bandar-bandar metropolitan banyak melakukan jenayah. Sambil mengatakan beliau memberikan kenyataan tersebut mengikut statistik yang dikajinya. Berbanding dengan negeri-negeri lain yang jauh lebih maju dan kurang jenayah katanya lagi. Cukup nyata dan jelas kenyataan yang berbaur sentimen kepartian di sini akan tetapi menafikannya dengan mengatakan sekadar satu kesedaran dan teguran bukanlah mengikut emosi. Saya dapat merasakan ketidak selesa mereka yang merupakan rakyat dari kedua-dua negeri tersebut ketika mana disentuh sentimen tersebut. Saya tidak menyangka sejauh itu sanggup beliau menghilangkan kepercayaan pelajar yang semakin hilang kepadanya. Sememangnya satu tindakan yang berani. Tahniah diucapkan kepada beliau dan kepada kalian semua fikirkan dengan 'neraca ilmu' yang diperolehi dan jangan berdasarkan akal semata.

Saya rasa cukup sekadar itu untuk meluahkan isi hati yang terpendam semoga memberikan kesedaran kepada kita dalam membezakan mana yang hak dan mana yang batil tanpa mengikut perasaan dan emosi benihan syaitan. Bersama kita jauhkan sebarang sentimen kepartian dalam sesi pengajian selagi mana kita masih berada di peringkat pengajian sehinggalah kita tamat. Akan tetapi andai ianya pandangan dan prinsip peribadi terpulang asalkan jangan melibatkan sebarang persatuan pelajar demi menyahut seruan kerajaan yang semakin menjadi sangsi kepada kita sejauh mana perlaksanaannya sehingga terdapat menteri yang menyelia Kelab UMNO Luar Negara. Apa nak jadilah? Fikir-fikirkan dengan sebaiknya. Selamat menjalani pembelajaran di kuliah yang berbaki 4 minggu sebelum memasuki musim imtihan. Ayuh ke kuliah punggahlah mutiara-mutiara ilmu yang bertaburan di lautan Bumi Anbia' ini.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Friday, November 23, 2007

.:: Rahmati Dan Peliharalah 'Dia' Ya Allah!! ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Semenjak berita bondaku ditimpa musibah gangguan makhluk Allah yang tidak dijemput itu fikiran ku sentiasa menerawang terkenangkan bagaimanakah keadaan bondaku setiap saat. Bagaimanakah keadaannya tika ini? Mampukah bondaku melawan dan menangkis gangguan yang datang menganggu setelah hampir sebulan lebih. Seketika aku menerima berita tersebut 2 hari lepas aku langsung terpana membayangkan apakah penyakit yang menimpa bondaku sehingga kakakku di dalam pesanan ringkas yang dihantarnya memberitahu supaya mendoakan kesejahteraan bonda di Malaysia. Fikiranku jadi tidak menentu memikirkan apakah yang telah menimpa bondaku. Segala yang kulakukan tidak keruan selagi mana aku tidak mengetahui berita sebenar yang terjadi.

Lantas aku mendapatkan sesiapa dikalangan sahabatku yang menjalankan perniagaan panggilan luar negara melalui internet dan menghubungi bondaku. Setelah beberapa kali nombor telah ku dail alhamdulillah akhirnya berjaya juga aku menghubungi bondaku. Sayup kedengaran suara bondaku memanggil namaku. Sebak rasanya dada ini mendengar suara itu memanggil diri ini. Hati ini merintih ingin sebtiasa berada disamping bondaku menjaga dan memulihkan kembali semangat bondaku seperti dulu. Bonda yang ku kenal periang dan penuh dengan senyuman hilai tawa. Terasa ingin merembes ai mata ini apabila teringatkan bondaku yang menderita gangguan tersebut.

Setelah bertanyakan keadaan bondaku dalam lemah suaranya memberitahu gangguan yang hadir bila tibanya malam. Menjelang Maghrib secara tiba-tiba sejuklah seluruh anggota badan sehingga ke Subuh tidak mampu untuk bondaku melelapkan matanya. Mengapakah masih ada manusia yang berhasad dengki dengan kebahagiaan orang lain sehingga tega melakukan amalan mensyirikkan Allah semata-mata tidak ingin melihat kebahagiaan orang lain setelah kebahagian yang diimpi-impikan tidak dikecapi. Setakat apa yang ku ketahui arwah isteri pertama ayah tiriku ini dahulu turut menerima nasib yang sama diganggu dengan makhluk Allah yang tidak dijemput sehinggalah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Nauzubillahi min zalik. Moga apa yang pernah menimpa kepadanya tidak akan berlaku kepada bondaku yang tersayang. Dialah yang banyak memberikan inspirasi untuk aku terus berjaya dalam memperjuangkan ISLAM di muka bumi ini.

Walau apapun, aku berharap semoga ENGKAU sentiasa melindungi dan memelihara bondaku dari sebarang gangguan yang tidak baik dari manusia yang berniat buruk kepada bondaku juga kepada seluruh anggota keluargaku. Janganlah ENGKAU menghampakan harapan dan permintaan hambamu ini. Akan tetapi sekiranya apa yang bakal berlaku itu telahpun tertulis hambamu ini hanya mampu berdoa, berharap dan bertawakal semoga yang bakal berlaku merupakan kesudahan yang baik dan terbaik untuk semua. Sebelum ini ENGKAU telah mengambil 'penyuntik semangatku' pergi tanpa sempat untukku menunjukkan kepadanya kejayaan anaknya ini menjejakkan kaki ke menara gading. Ku berharap ENGKAU mengizinkan 'sumber inspirasiku' ini sempat melihat kejayaan anaknya mengenggam segulung ijazah dan kembali ke pangkuannya dengan selamatnya. Begitu jugalah harapan semua anak-anak kepada ibu bapa dan keluarganya yang jauh di mata semoga sentiasa berada di bawah lembayung rahmat dan peliharaan Allah hendaknya.

Di kejauhan mata memandang hanya untaian doa dan utusan harapan kepada Rabbul Izzati agar dirimu diberikan kekuatan keimanan dan pautan kepada Allah yang utuh dengan melaksanakan solat-solat sunat Hajat, Tahajud disamping melazimi zikrullah supaya dengan amalan itu mampu membakar iblis dan jin laknatullah yang menganggu urusan peribadatan manusia dan kufur kepada Allah Azza Wajalla. Untaian doa dari kalian juga amatlah ku harapkan semoga sedikit sebanyak memberikan kekuatan kepada bondaku bertarung dan melawan tipu daya musuh-musuh yang hanya mampu dilihat dengan 'mata halus' sahaja. Terima kasih diatas segala motivasi dan suntikan semangat yang kalian semua berikan untukku lebih tabah menghadapi ujian di dalam perjuangan yang sentiasa menagih pengorbanan. Ku akur dan berserah segalanya kepadaNya.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Wednesday, November 21, 2007

.:: Kembalilah Kepada ISLAM Yang Sebenar ::.

بسم الله الرحمن الرحيم



MahbubMardhatillah Keep In Touch With ALLAH&ISLAM Truth Way Of Life



Rasanya cukup jelas seandainya diletakkan hadhari dibelakang ISLAM seolah-olah ada ajaran baru dlm ISLAM yang nabi bawa seumpama ISLAM LIBERAL, dan sebagainya yang jelas menampakkan konsep yang memisahkan ISLAM dari politik.

Sebagaimana kita maklum ISLAM tu sudah mencukupi merangkumi keseluruhan aspek dalam kehidupan insani. Segala alasan yang dikemukakan timbul akibat tiada perlaksanaan terhadap segala tuntutan QURAN dan SUNNAH semata-mata menjaga maslahat-maslahat tertentu dengan mengetepikan tuntutan syariat itu sendiri.

Gagasan ISLAM hadhari itu sendiri tidakbertepatan langsung bahkan ada dikalangan pimpinan ISLAM hadhari itu sendiri yang memandang remeh hukum Allah yang termaktub di dalam QURAN dengan mengatakan segala hukum ALLAH tidak sesuai dilaksanakan di zaman sekarang sedangkan hakikatnya hukum Allah itu sesuai di semua zaman dari dahulu sehinggalah sekarang.

Semenjak perlaksanaan dan gagasan ISLAM hadhari kita sendiri dapat nilai dan lihat dgn mata kepala kita sendiri masalah maksiat di Malaysia makin bertambah kritikal dengan pelbagai gejala sosial yang bakal merosakkan masa depan ISLAM yang diimpikan.

Pemimpin ISLAM sendiri tidak menjaga segala tuntutan dlm ISLAM itu sendiri mengenai halal dan haram dari segi percampuran lelaki dan perempuan, berlaga pipi, bersalaman. Ada juga dikalangan pimpinan hadhari ini yang tidak memakai tudung yang merupakan tuntutan FARDHU AIN (WAJIB) ke atas wanita untuk menutup aurat mereka dari yang bukan muhrim mereka....

Adakah ini ISLAM HADHARI yang ingin disokong kerana dilihat tiada sebarang impak yang baik terhadap umat ISLAM bahkan memberikan fahaman kpd mereka yang cetek tentang ISLAM bahawa HADHARI itu agama yang sebenar hakikatnya sebaliknya.Kembalilah kepada ISLAM yang sebenar berpandukan QURAN dan SUNNAH dengan melaksanakan segala yang terkandung di dalamnya tanpa mempertikaikannya. Insyaallah akan aman, tenteram dan selamatlah dunia ISLAM yang dituntut. =)

Renung-renungkan dan berfikirlah secara matang dan realistik.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Sunday, November 04, 2007

.:: Kepada yang benar-benar merindui Baitullah ::.

بسم الله الرحمن الرحيم



Mahbub.Mardhatillah Keep in touch with ALLAH&ISLAM truth way of life

Assalamualaikum buat sahabat sekalian terutamanya yang berada di Perlembahan Nil ini.

Kepada sahabat-sahabat yang ternanti-nantikan mengenai perlaksanaan ibadah haji yang saban tahun diadakan oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), insyaAllah bermula dari hari ini telahpun dibuka pendaftaran untuk perlaksanaan ibadah haji anjuran PMRAM ini.

Kos untuk ibadah haji pada tahun ini selepas beberapa perbincangan bersama pihak travel diadakan maka telah dipersetujui dengan bayaran sebanyak USD1550 tidak termasuk makan dan mesti dibayar dengan matawang USD. Pembayaran hendaklah dibuat kepada Ketua Badan Sambutan dan Rehlah PMRAM 2007, saudara Mohd Khairul Anuar Md Ariff sebelum atau pada 17 November ini di pejabat PMRAM.

Makluman secara bertulis dan elektronik akan dimaklumkan kemudian di BKAN/DPM juga di laman web PMRAM. Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh terus berhubung dengan beliau di talian +20107925723. Sekian untuk makluman =)

'GEMBLENG KEKUATAN PASAK KEILMUAN'

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Saturday, November 03, 2007

.:: Peringatan buat sahabatku sekalian!! ::.

بسم الله الرحمن الرحيم





Mahbub.Mardhatillah Keep in touch with ALLAH&ISLAM truth way of life



Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera buat kalian semua sahabatku yang dirahmati Allah dan dipayungi rahmat Allah hingga ke hari kiamat. Semoga kita tergolong dikalangan 7 golongan yang akan terselamat di bawah arasy Allah dikala tiada seorang manusia pun yang akan terselamat pada hari itu kecuali 7 golongan yang akan Allah berikan perlindungan dengan rahmatNya. Selawat dan salam yang sebanyak-banyaknya dihadiahkan kepada Junjungan Besar Nabi S.A.W di atas segala jasa dan bakti yang telah dicurahkan selama ini hingga kita diberikan peluang untuk merasai nikmat IMAN dan ISLAM yang paling utama. Kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas keizinanNya memberikan kesempatan kepada diri ini untuk memberikan sedikit kalimah buat tatapan sahabat seperjuangan dalam menongkah arus perjuangan yang berliku ini.

Sekadar sebuah peringatan buat kita bersama untuk meneruskan pengabdian kita dalam melaksanakan segala bentuk amal ibadah yang akan membantu kita di 'sana' kelak. Hari ini kita telah pun berada di tanggal 22 Syawal 1428H bersamaan 3 November 2007M untuk mengakhiri ke tarikh 29 Syawal 1428H mengambil masa 7 hari lagi untuk memasuki bulan Zulkaedah. Persoalannya di sini untuk muhasabah kita bersama selaku umat Nabi S.A.W yang kita sayangi lagi cintai adakah telah kita laksanakan puasa 6 Syawal walaupun perlaksanaannya sekadar sunat bukanlah sesuatu yang fardhu? Akan tetapi kalau difikirkan dari aspek ganjarannya dan kelebihan yang dikurniakan Allah kepada Nabi S.A.W dan umatnya iaitu kita semua, maka seharusnya kita menyahut seruan itu walaupun tuntutannya sunat.

Lantaran itu bersamalah kita memperbanyakkan amalan sunat disamping amalan fardhu yang sedia ada untuk menampung segala amalan fardhu yang telah kita laksanakan kerana tidak seorang pun yang mampu mengatakan bahawa segala amalan yang telah dilaksanakan itu diterima Allah secara total juga puasa Ramadhan yang baru berlalu itu. Semoga Allah menerima amalan yang telah kita lakukan dengan seikhlas yang mungkin semata-mata mengharapkan redha dan rahmat Yang Esa bukan kerana pahala jua syurga yang penuh kenikmatan itu. Bersama kita bermunajat agar Allah memperkenankan permohonan dan hajat hamba yang hina ini. Amin ya rabbal alamin.


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa