Video Klip Pilihan

Tuesday, February 26, 2008

.:: Hakikat Yang Disembunyi... ::.

بسم الله الرحمن الرحيم



Makhluk yang hidup di atas muka bumi ini merupakan ciptaan teragung ALLAH yang berkuasa terhadap kejadian tiap-tiap sesuatu.Dalam menentukan pentadbir untuk muka bumi yang akan menjaga, memelihara dan mentadbir setiap hak milik pinjaman ALLAH dengan sebaik-baiknya, manusia telah terpilih dengan kesanggupan yang dinyatakan. Setelah tanggungjawab yang ditawarkan kepada gunung dan makhluk ciptaan ALLAH yang lain ditolak mentah-mentah kerana tidak mampu untuk memikulnya. Akan tetapi setelah ALLAH menawarkan kepada manusia, mereka menerimanya tanpa berfikir panjang.

Maka daripada situ kita dapat lihat bahawa sifat manusia kadangkala lebih mengutamakan akal fikiran daripada dalam membuat sesuatu keputusan. Kecuali mereka yang berada di landasan dan jalan yang ALLAH tetapkan. Kisah pentaklifan ini tertulis dalam firmanNya selaku rujukan utama dalam menyelesaikan sebarang masalah yang timbul. Namun apa yang berlaku pada realiti hari ini adalah sebaliknya apabila kita dapat melihat sendiri fenomena kerosakan umat manusia dalam semua lapangan kehidupan lebih-lebih lagi berkaitan dengan perlaksanaan hukum yang dipandang enteng.

Bahkan dalam masa yang sama jika saya secara peribadi melihat situasi masyarakat sekarang sekiranya dilaksanakan perundangan ISLAM secara total akan merugikan mereka. Lihatlah kepada masyarakat Malaysia terutamanya selepas saya bersembang bersama dengan sahabat-sahabat Malaysia berkenaan dengan perundangan ISLAM mereka sangat takut akan perlaksanaannya. Faktor yang jelas boleh disimpulkan disebabkan mereka telah terdedah dan sebati dengan suasana kehidupan ala-barat dengan hiburan yang melampau, budaya pergaulan bebas dan pelbagai budaya yang menjauhkan masyarakat dengan suasana ISLAMIK yang sepatutnya diterapkan.

Di kejauhan mata memandang, memang agak berat untuk mereka menerima perlaksanaan sebuah negara ISLAM yang sebenar-benarnya akibat gagalnya asas awal pembentukan ummah Rabbani yang membawa kepada kegagalan dalam segenap aspek dalam ekonomi, sosial, politik keseluruhannya. Seandainya perkara ini dibiarkan berterusan tanpa kesedaran daripada pihak pemerintah sendiri, akan membawa kepada kehancuran masyarakat yang lebih teruk walaupun mereka menggagaskan sebuah gagasan yang dipersetujui konsepnya oleh seluruh ulama' kontemporari di dunia bahkan Sheikhul Azhar sendiri akan tetapi perlaksanaannya 'hampeh'.


Berbalik kepada persoalan yang sebenarnya ingin saya perjelaskan berkaitan dengan 'hakikat yang disembunyi'. Sebelum ianya diperjelaskan dengan lebih terperinci, suka untuk saya nyatakan perbahasan umum sebentar tadi juga sebenarnya sedikit sebanyak menunjukkan sikap egois beberapa pihak dalam menjelaskan sebuah kebenaran! Siapakah yang akan dipersalahkan dalam hal ini? Semestinya kesalahan tidak terpundak sepenuhnya kepada mereka akan tetapi terpundak sepnuhnya kepada si pemerintah kerana gagal dalam menyalurkan maklumat yang sahih.

Dalam masa yang sama, mereka yang mengetahui hakikat kebenaran akan tetapi menyembunyikannya dan tidak berusaha menegakkannya, amat pedihlah siksaan yang bakal disajikan untuknya kerana lebih mengutamakan kepentingan diri dari kepentingan ALLAH yang selayaknya! Sekurang-kurangnya, mereka yang sentiasa berusaha dalam menegakkan kebenaran dengan amar makruf dan nahi mungkar mampu membendung projek kemaksiatan yang dilakukan oleh pemerintah tika ini. Sememangnya perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak bukan semata-mata untuk kepentingan diri sendiri akan tetapi untuk survival masa hadapan.

Perkara ini usahlah dibiarkan berterusan dan dijadikan masalah picisan semata-mata ingin mengejar kepentingan dunia dengan mengetepikan soal kepentingan dan tuntutan akhirat yang lebih utama dipenuhi. Sama-samalah untuk kita memikirkan sebuah penyelesaian yang terbaik untuk memastikan sebuah perubahan dalam menjadikan ISLAM sebuah agama penyelesaian bukan mengikut kepada sumber perundangan barat yang mengundang banyak kehancuran yang berpanjangan.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,

ZuLmArWa

No comments: