Video Klip Pilihan

Saturday, October 25, 2008

|| Dunia Semakin Melekakan, Salah Siapa? ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Ilahi, Tuhan Pencipta langit dan bumi atas limpah kurniaNya dapat jua kita bersua bicara setelah sekian lama membisu seribu kata di atas sebab-sebab yang tidak dapat penulis elakkan. Meskipun begitu penulis tidak lupa untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada sidang pembaca sekalian kerana masih setia memberikan sumbang saran dalam membantu diri yang serba lemah ini dalam memberikan input yang berguna kepada seantero alam dalam apa jua medium mengikut kesesuaian era globalisasi tika ini.

Sepanjang hampir sebulan setelah kepulangan penulis ke Tanah Air yang tercinta sudah pastinya terdapat pelbagai peristiwa pahit manis yang terjadi kepada diri ini yang tidak dapat diungkapkan kecuali empunya diri. Walau apa jua ranjau yang menimpa penulis merasa amat berterima kasih dan bersyukur yang sebanyak-banyaknya kerana masih diberikan ruang untuk menebus segala kesalahan yang pernah dilakukan secara sengaja mahupun tidak sengaja. Hanya Allah sahajalah yang mampu memberikan keampunan kepada hamba yang serba lemah ini.

Nah, sekiranya dihitung hari demi hari yang berlalu sememangnya dirasakan waktu yang pergi itu bagaikan baru semalam dilalui. Justeru pastinya di sana berlaku sedikit sebanyak kelemahan, kekurangan dan kecacatan yang tidak secara langsung mahupun sebaliknya sehingga menghiris pautan hati yang tulus ikhlas membantu. Penulis akui memang banyak perkara yang berlaku selama ini meragut kegembiraan yang ingin dikecapi oleh insan-insan yang tersayang lantas membantut segala perancangan yang disusun tanpa disengajakan. Mungkin ada hikmah akan setiap yang berlaku.

Penulis memohon jutaan kemaafan kerana membuatkan kalian menangis kekecewaan di atas sebuah kegagalan pertama dalam ujian minda yang tidak disangka-sangka. Bahkan penulis turut tewas dan gagal dalam ujian dunia yang penuh dengan pancaroba. Sehingga penulis merasakan apakah ada lagi tempat untukku di 'sana'? Adakah masih ada peluang untukku menebus kembali setiap titik-titik hitam yang tercalit? Segalanya bergantung kepada diriku dalam menentukan masa hadapan samada jelas ataupun kelam. Segalanya berbalik kepada tegarnya semangat yang tersemat adakah berkobar-kobar ataupun futur menjunam.

Semoga coretan yang sedikit ini mampu memberikan sedikit inspirasi pemangkin kepada kalian semua untuk meneruskan perjuangan menghadapi segala onak duri yang terbentang di hadapan tanpa menoleh ke belakang. Bahkan langsung jangan pandang belakang. Pandanglah ke hadapan dengan penuh berkeyakinan mengharapkan janjiNya menyelaputi diri sang pejuang agama Allah. Selamat menempuh alam peperiksaan kepada yang bakal menemuinya, dan selamat ke kuliah kepada mereka yang baru menempah tempat melanjutkan pelajaran di mana-mana pusat-pusat pengajian. Dengan niat ikhlas kerana Allah.

Sentiasa tajdid niat hanya untuk Rabbul Izzatis,menongkah tribulasi sejajar syakhsiah Nabawi.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: