Video Klip Pilihan

Sunday, November 30, 2008

|| Maafilah Daku... ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Saban hari,
Hati merintih,

Menjelang fajar,
Jiwa menuntun hiba,
Tika senja merangkak,
Juraian duka,
Menyimbah rebah,
Himpunan dosa.

Jambangan keinsafan,
Sering terungkap,
Penuh keluh kesah,
Menghitung waktu,
Menanti saat,
Terpisah jasad,
Terbang jiwa,
Menuju RABBnya,
Menerima hasil,
Usaha tanaman,
Tika di persinggahan.

Di persinggahan itu,
Penuh dengan hitam dan noda,
Di persinggahan itu,
Bersalut hampa dan duka,
Di persinggahan itu,
Hasutan menerpa,
Indah yang ditegah,
Gelisah yang disuruh,
Maafilah daku,
Atas sikap ini,
Ya RABBULGHOFUR...

Maafilah daku...
___________________________________________________________________________

Nukilan citra,
Muthaqqaf Azhari,
1201 pagi,
Kolej 17, UPM Serdang.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Thursday, November 27, 2008

|| Tatkala Rindu Bertamu ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Resah gelisah,

Bercampur baur,
Sebati menyatu,
Suraman tangisan,
Menghiasi jendela kanta,
Merona lutsinar mata,
Ku cuba menepisnya,
Namun rasa ini,
Acap bertamu,
Meruntun hiba.

Ku raup tinta duka,
Ku sapu rintik derita,
Ku titip hembusan,
Busana ILAHI,
Menuntun tenang,
Mendamba citra,
Fatamorgana RABBI,
Meski gelojak kalbu,
Meronta dibelai,
Dakapan kasih,
Bersulam sayang.

Itulah citra,
Sentosanya cinta,
Indahnya sukma,
Menyemai kasih,
Menyubur redha,
Merantai tenang,
Mengikat dua hati,
Ke arah bahagia,
Cinta ILAHI,
Yang kekal,
Abadi di sisiNYA.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------
**Sajak ini dicipta khas untuk seorang yang penulis amat disayangi, abang angkat penulis (CK Dahlan) yang amat memahami dan menyayangi diri ini. Terima kasih Ya RABBULJALIL, kerana menghadiahkan beliau kepadaku tatkala diri ini dirundung 1001 duka yang pastinya tiada kesudahannya dibawah kuasaMU.

Muthaqqaf Azhari,
27 November 2008,
1130 malam,
Sri Damansara.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Saturday, November 22, 2008

|| Memasak : Aktiviti Menyeronokkan ||

بسم الله الرحمن الرحيم
Siapa yang menyangka sekali-sekala andai seseorang yang biasa makan di luar ataupun dimasak oleh orang lain sebenarnya mempunyai bakat memasak yang amat luar biasa. Lebih-lebih lagi seandainya seseorang yang dimaksudkan dari kalangan kaum Adam yang kadangkala dipandang dangkal di mata kaum Hawa. Apa tidaknya, kaum Adam kebanyakannya hanya goyang kaki menunggu masakan si isteri di meja makan. Apatah lagi andai makan di luar.


Namun hakikat sebenar yang tersembunyi di lubuk hati seorang yang bernama wanita, mereka amat mengidami untuk merasa masakan yang dimasak oleh si suami. Kaum Adam yang selama ini dilihat tidak mampu menguasai dapur dan kerja-kerja rumah yang lain. Apatah lagi membasuh pakaian, menyapu rumah. Dan yang lebih berat lagi mendidik anak-anak. Sesetengah kaum Adam lebih gemar mengatakan, "dah itu memang kerja perempuan, jatuh la standard kaum Adam!"

Apa yang pastinya, segala gerak kerja di rumah yang melibatkan kerja-kerja yang biasa dilakukan oleh perempuan sewajarnya dirasai oleh lelaki yang ebrgelar suami, ayah. Usah dibebani tanggungjawab tersebut kepada kaum Hawa semata-mata. Bukankah seandainya kita menghulurkan tangan dan bantuan itu lebih baik daripada kita sekadar menyaksikan si isteri berpenat lelah melakukan segalanya tanpa jemu. Sanggupkah kita menyaksikan kepenatannya seorang diri?

Sekiranya kita, kaum Adam, lelaki sejati yang bertanggungjawab, jejaka maskulin yang diidami oleh kaum Hawa, perlunya melakukan satu pendekatan yang holistik untuk meraih kebahagiaan. Contohilah Rasulullah SAW yang sentiasa meringankan bebanan isteri-isterinya tatkala berada di rumah. Bahkan, seorang pemimpin keluarga yang baik ialah sentiasa membantu meringankan bebanan mereka yang dibawah tanggungannya.

Justeru itu, kembali kepada tajuk yang penulis pilih pada entri kali ini yang menyentuh soal 'Memasak : Aktiviti Menyeronokkan'. Sejauh mana kebenarannya? Masih wujudkah kaum Adam yang mahir segala perihal di dapur sebelum mereka menceburi bidang masakan ini? Jawapannya terletak pada diri kalian yang bergelar kaum Adam, jejaka maskulin di era metropolitan yang amat memerlukan satu jalinan yang padu dalam pengurusan rumahtangga.

Menurut kajian yang penulis jalankan wanita akan berasa bahagia dan beruntung seandainya memiliki pasangan teman sehidup semati yang mampu berada di dapur tanpa bergantung sepenuhnya kepada si isteri yang memang cukup hebat apabila berada di dapur. Meskipun begitu, kaum Adam tidak kurang hebatnya.

Malah tidak keterlaluan untuk dilabel kaum Adam yang mampu menguasai perihal di dapur akan berjaya menambat hati pasangan hidupnya. Dengan itu, tidak hairanlah kebahagiaan yang dinikmati kekal hingga ke akhir hayat.

Moga dengan bingkisan coretan ini sedikit sebanyak memberikan kesedaran kepada kaum Adam di luar sana supaya dapat mencontohi keperibadian Rasulullah bukan sahaja di dapur, keseluruhan hal-hal berkaitan kerja-kerja rumah yang dilakukan oleh si isteri untuk meningkatkan integriti antara suami dan isteri. Sekaligus merintis jalan bahagia di hadapan.


Di sini penulis senaraikan antara masakan utama yang paling kurang perlu diketahui oleh kaum Adam sebagai value added sebelum melangkah ke alam rumahtangga. Cara-cara menyediakannya, kalian boleh cari hanya dengan menekan di hujung jari anda.

i. Ayam/Daging/Ikan Masak Kurma.
ii. Ayam/Daging/Ikan Masak Kari.
iii. Ayam/Daging/Ikan Masak Kicap.
iv. Ayam/Daging/Ikan Masak Sup.
v. Ayam/Daging/Ikan Masak Merah.
vi. Ayam/Daging/Ikan Masak Lemak Cili Api.
vii. Sayur Goreng/Masak Bening/Lemak (Bayam, Sawi, Bendi dsb).
viii. Nasi Lemak/Nasi Goreng.
x. Mee Kuning/Kue Tiaw/Bihun Goreng.

Selamat mencuba!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Tuesday, November 18, 2008

|| Memori Rumah Itu... ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Tanpa kusedari telah berlalu seminggu lebih aku berada di rumah yang menggamit sejuta memori yang tidak mungkin dapat dilupakan. Selama itu jugalah pelbagai kenangan menerpa datang dan pergi. Lebih-lebih lagi tatkala penulis seorang diri termenung mengimbas kembali setiap butir-butir memori yang pernah terukir di sini.

Berbaki 2 hari lagi aku akan berada di sini. Di rumah yang banyak memberikan inspirasi untuk penulis tetap meneruskan hidup setelah kehilangan seorang insan yang tersayang. Seorang insan yang banyak berkorban untuk memastikan kebahagiaan dan kecemerlangan anaknya di masa mendatang.

Namun, kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Tiada sesiapa pun yang mampu menduga apakah yang akan berlaku keesokan harinya. Tiada siapa yang mampu memastikan esok yang menjelma sentiasa cerah dan ceria tanpa mendung dan kesedihan menyelubungi. Belum sempat pun diri ini ingin merasai kasih sayang seorang ibu, Allah lebih menyayangiNya.

Sebagaimana aku pernah kehilangan seorang ayah yang gigih mencari rezeki untuk menyekolahkanku sehingga aku berjaya menjejakkan kaki ke menara gading ini. Dengan izinNya yang maha kuasa, akhirnya tanpa aku menyangka, aku berjaya menggapai sehingga ke tahap ini. Menjejakkan kaki ke alam universiti yang selama ini tiada seorang pun dikalangan adik beradik bahkan sepupu-sepupuku sendiri. Terima kasih ayah, mak atas segalanya.

Ku impikan pada akhir pengajian ini ingin menyerahkan kepadaNya segulung ijazah bagi membuktikan pengorbanannya. Segala penat lelahnya, tangisan yang dihamparkan di hadapan Allah bagi memastikan anaknya ini sentiasa mendapat perlindungan dan bantuan Allah. Apakan daya segalanya yang tersirat di Luh Mahfuz telah pun tersurat mengikut ketentuanNya.

Ku redha, ku pasrah dan akan sentiasa menitipkan untaian doa yang berterusan buat kedua-duaNya semoga sentiasa dicucuri rahmatNya. Memohon kepada Rabbuljalil supaya meletakkan kalian di kalangan hamba-hambaNya yang beriman, beramal soleh, para syuhada, dan para Anbia'. Amin.

Kesedihan dan juraian air mata sememangnya tidak mampu untuk dibendung pabila saatnya tiba. Suaranya yang lunak memanggil sentiasa terngiang-ngiang di cuping telinga ini. Kata-kata nasihat yang diberikan acapkali bertandang untuk menghiburkan hati ini. Gelak tawanya, senyumannya bahkan genangan air mata pada hari terakhir aku ingin pulang menuntut ilmu Allah seolah-olah memberikan petanda bahawa itulah pertemuan yang terakhir.

Kedatangan ku kali ini untuk mengingatkan kembali sebuah kasih sayang yang tetap utuh dalam diri ini. Melihatnya, menambat ingatanku kepada mak. 'Mus belajar sungguh-sungguh. Kita dah tiada mak, abah. Duduk sini pun kira menumpang di rumah orang, buat cara menumpang. Dengar cakap orang tua, jangan nakal-nakal...' Itulah antara pesanan yang dapat ku titipkan seusai dari solat Isyak berjamaah.

Apa yang pasti aku amat bersyukur kerana masih ada yang sudi menyayangi diri ini. Masih ramai yang sudi merindui diri ini. Kalian banyak memberikan kata-kata perangsang dan pedoman yang tulus ikhlas bagi menceriakan hidup yang berbalam ini. Terima kasih kepada tunangku dan abang Lan yang sudi menyayangi diri ini seadanya.

Sememangnya teramat pedih tatkala melihat insan lain gembira dan bahagia hidupnya bersama ayah dan ibu. Inilah ujian ku, ujian kami. Aku perlu akur dan meneruskan kehidupan dengan memateri kecintaan yang tertinggi kepada Ilahi agar sejahtera hidup ini berpanjangan.

Dalam kesedihan yang tidak seberapa ini, andai diamati lautan manusia di luar sana ada yang lebih malang dari kami. Mereka kehilangan kedua-dua insan tercinta tatkala masih kecil lagi tanpa sempat merasai kasih sayang mereka berdua. Yang paling patut kita contohi adalah Junjungan Besar, Penghulu segala Nabi dan Rasul, Saidina Muhammad Alaihissolatu Wassalam. Aku masih sempat merasai kasih dan sayang seorang yang bergelar ibu dan ayah.

Aku patut bersyukur. Ya, sepatutnya aku menjadi hamba yang lebih bersyukur! Alhamdulillahi rabbil 'alamin.

Kata Muthaqqaf : Buat sidang pembaca yang masih mempunyai kedua orang tua atau salah seorang dari mereka, berbaktilah kepada mereka selagi mereka masih dipanjangkan umur untuk melihat kita berjaya. Untuk melihat anak yang ditatang dengan tangan mereka itu menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara. Usahlah kalian berkecil hati terhadap mereka. Gembirakanlah hati mereka sehingga mereka berasa bangga kepada kita, anak-anaknya. Sebelum mereka menutup mata.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Saturday, November 08, 2008

|| Solat Penentu Muslim Atau Kafir! ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Selama hampir 2 bulan penulis berada di tanah air, bermacam-macam ragam manusia dalam masyarakat yang ditemui. Sememangnya pada peringkat awal penulis sangkakan mudah dan agak selesa untuk berdamping dengan masyarakat yang sememangnya kaya dengan pelbagai kerenah yang tak terlayan. Apatah lagi perkara-perkara yang menyentuh perihal keagamaan yang merupakan amalan dalam kehidupan seharian.

Solat. Itulah tunjang kepada kebahagiaan manusia yang bergelar mukmin untuk berjaya di dunia dan akhirat. Mungkin ramai dikalangan umat Islam itu sendiri tidak nampak dan sedar akan kepentingannya. Bahkan ada yang menganggap solat sekadar sebuah amalan yang tiada kepentingannya. Tidak hairanlah akibat dari sambil lewa ini suasana masyarakat sekarang ini berada di tahap yang amat membimbangkan.
Ramai dikalangan sahabat-sahabat yang penulis temui tidak kira samada di alam maya mahupun di alam nyata yang masih kabur berkenaan dengan kepentingan 'tiang agama' yang amat dititik beratkan oleh Islam. Meskipun ramai diantara mereka yang sedia maklum berkenaan dengan WAJIBNYA menunaikan kewajipan ini namun perihal dunia melekakan mereka.

Siapakah yang bertanggungjawab ke atas mereka? Sepanjang pertemuan dan perkenalan penulis bersama golongan tersebut mereka memerlukan golongan agamawan untuk mendekati mereka. Golongan pengajian agama untuk menunjukkan kepada mereka jalan yang lurus untuk kembali kepada Allah. Itu adalah tanggungjawab saya, kamu dan kalian semua yang tahu secara mendalam selok belok perihal agama ini.

Jangan Ambil Sambil Lewa!

Apa yang mampu untuk penulis ingatkan kepada diri penulis seterusnya seluruh sidang pembaca yang masih tercari-cari sinar kebenaran sememangnya memerlukan usaha untuk mendapatkannya. Solat merupakan tiang kepada agama. Tanpa solat runtuhlah agama manakala dengan menunaikannya maka berdiri teguhlah agama itu.

Solat juga merupakan penghubung kepada manusia dan Tuhannya. Kepadanya untuk kita mengadu, memohon perlindungan, keampunan, dan rezeki. Bukan kepada selainnya. Bahkan dalam sebuah Hadith sahih Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : 'Sesungguhnya solat itu merupakan amalan yang membezakan antara orang Islam dan orang Kafir!'

Berhutang kepada Allah

Apa yang pasti, seandainya kita tidak menunaikan tuntutan solat 5 waktu sehari semalam ianya akan dimasukkan ke dalam buku hutang di bahu kiri oleh malaikat 'Atid. Apabila dibentangkan olehnya segala amalan baik dan buruk seseorang hamba kepada Allah kelak segalanya akan dihisab dengan adil dan saksama.
Begitu juga dengan solat. Namun begitu apa yang amat menakutkan kelak, segala amalan baik yang pernah dilakukan oleh anak adam itu tidak akan dihisab kecuali selepas solatnya selesai dihisab. Selagi baik perlaksanaan solatnya maka baiklah amalan selainnya. Akan tetapi andai solatnya terdapat kelompongan, maka anak adam itu akan dihisab ke dalam api neraka terlebih dahulu sebelum berpindah ke amalan berikutnya.

Seteruk mana pun seseorang manusia itu, solat janganlah diabaikan. Jangan sekali-kali meninggalkan kewajipan solat seharian 5 waktu yang bersamaan 50 waktu ganjarannya sebagaimana sewaktu mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa Israk Mikraj.

Langsaikan Segera!

Dalam kes yang lain pula, bahkan ianya terjadi kepada individu-individu yang mengalami masalah yang sama sejak bermula pendedahan ini. Ada diantara mereka yang mengatakan apabila satu-satu solat telah terlepas waktunya, maka mereka langsung meninggalkannya. Bahkan ada yang mengatakan bahawa seorang ustaz yang mereka temui mengatakan tidak perlu menggantikan solat yang telah kita tinggalkan kerana waktunya telah terlepas.
Bila mana dikatakan solat akan dituntut oleh Allah sebagai sebuah hutang sekiranya tidak ditunaikan dengan sebaiknya, maka ianya WAJIB ditunaikan walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Bahkan Islam turut menyuruh mereka yang tidak mampu solat dalam keadaan berdiri maka solatlah dalam keadaan duduk. Tak boleh duduk, maka solatlah dalam keadaan baring. Tak boleh baring, maka solatlah menggunakan isyarat mata. Kalau tak boleh juga, maka solatlah dengan hati seperti mana yang berlaku ke atas orang-orang yang sakit dan nazak.

Oleh yang demikian, solat itu perlu diqada' (diganti) segera usah dilengah-lengahkan. Usah menunggu waktu solat yang berikutnya barulah ditunai selepas itu. Yang pastinya, jangan sekali-kali meninggalkannya sekalipun kita terlupa dan terlepas waktu samada secara sengaja mahupun tidak. Ianya tetap WAJIB ditunaikan walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

Akhir kata, solatlah kamu sebelum kamu disolatkan. Tatkala itu penyesalan tiada gunanya. Salam peringatan buat semua.

Untuk renungan bersama :

Allah SWT berfirman maksudnya : "Sesungguhnya dengan menunaikan solat itu dapat mencegah seseorang itu dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar."

Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadith yg diriwayatkan oleh Ibnu Hatim dan Mardawiyah yang bermaksud : "Sekiranya solat itu tidak mampu menghalang seseorang itu dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, segalanya kembali kepada solat yang dilakukannya yang tidak sempurna"


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Friday, November 07, 2008

|| Selamat Bertunang! ||

بسم الله الرحمن الرحيم
Pertunangan jika dilihat secara logiknya seolah-olah satu lesen yang membolehkan hubungan antara dua insan yangs edang hangat bercinta untuk lebih intim.Itulah kefahaman sesetengah muda mudi yang kurang mengerti. Mereka perlu difahamkan. Bahkan mereka perlu diterangkan situasi sebenar kondisi ikatan pertunangan yang dibenarkan oleh syarak apabila sesebuah pasangan sedang dan telah melaluinya. Ianya bukanlah satu pintu dari pintu kebebasan yang bisa menghalalkan sebuah kemesraan.

Lebih tepat lagi untuk mudah difahami, ikatan pertunangan setaraf dengan hubungan sebelum bertunang. Yang haram tetap haram. Sebagaimana yang dijelaskan di dalam Kitabullah dan Sunnatunnabi. Semoga ianya mampu memberikan satu injeksi kepada seluruh pembaca yang berstatus 'tunang' untuk mempercepatkan sebuah ikatan yang sah di sisi syarak supaya segalanya yang diharamkan mampu ditukar. Sekaligus mampu menjauhkan diri dari melakukan kemaksiatan kepadanya.

Apapun semoga kalian berdua sentiasa diberkati dan dicucuri rahmat dari Allah sehingga kalian berdua juga penulis sendiri berjaya menyempurnakan tuntutan separuh daripada agama itu. Perlu diingat juga bahawa ikatan pertunangan yang terjalin antara dua insan itu bukanlah ikatan yang menghalalkan segala yang sedia diharamkan oleh syariat. Haram tetap haram. Ianya hanyalah sebagai satu petanda kepada masyarakat bahawa 'si dia' telah dipunyai dan bakal dimiliki dengan izinNya kelak.
Kepada 'beliau', sahabat-sahabat di luar sana juga buat diri penulis sendiri yang turut berkongsi status 'bertunang' supaya mampu menangkis sebarang anasir-anasir yang mampu menggugat keimanan dan ketebalan syariat agar sentiasa terjaga. Usah diikut bisikan syaitan dan nafsu yang sentiasa mengajak ke arah kemaksiatan kepada Allah. Ikatan pertunangan bukanlah lesen untuk menghalalkan segala macam yang diharamkan Allah kecuali dengan ikatan pernikahan yang sah sebagaimana yang berlaku sekarang ini.

Salam pertunangan buat sahabatku, yang dirahsiakan namanya juga kepada sesiapa yang berkenaan. Dengan ucapan semoga kita semua dapat bertahan sehingga pintu bahagia yang telah ditentukan Allah dapat dikecapi kelak.

Kata Muthaqqaf : Nak buat macam mana. Kita hanya mampu bertunang dulu. Orang lain ramai balik menikah terus. Mungkin ini ujian untuk orang-orang yang sabar. Moga-moga kita yang telah selesai majlis pertunangan mampu sabar dan memberikan komitmen yang sepenuhnya dalam pengajian. Supaya apabila dah habis belajar sementara waktu, dengan kejayaan yang gemilang. Insyaallah selepas itu barulah melangkah ke alam pernikahan apabila kita sudah benar-benar bersedia menggalasnya.


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa