Video Klip Pilihan

Monday, February 23, 2009

|| Selembar Nasihat... ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Menjadi impian setiap mukmin agar mampu memberikan manfaat kepada ummah manusia umumnya selagi mana jantung masih berdegup kencang. Menjadi harapan buat mereka yang mengaku beriman kepada ALLAH, mencintaiNYA, menyayangiNYA, mengasihiNYA dan merinduiNYA melakukan amalan dan perkara yang amat disukaiNYA bukan sebaliknya.

Justeru itu, sewajibnya setiap individu muslim memberikan komitmen yang terbaik dalam kerja-kerja dakwah ISLAMIAH ini tanpa mengira dalam apa jua situasinya tika ini tatkala kesedaran itu wujud. Apabila kesedaran itu wujud sedangkan dia tidak melaksanakan tuntutan dakwah ISLAMIAH itu, maka jawablah di hadapan ALLAH kelak!


Selembar Nasihat Buat Ratapan Nurani...

Cebisan Kalamullah :

"Sesiapa yang melakukan perbuatan-perbuatan yang baik, baik lelaki atau perempuan dalam keadaan dia beriman, nescaya KAMI beri kepadanya kehidupan yang baik (Thayyibah) dan KAMI berikan kepadanya balasan (pahala) yang lebih baik dari kebaikan yang telah mereka kerjakan." (Surah An-Nahli:97)

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." (Surah Ali 'Imran:185)

"Hai orang-orang yang beriman! berzikirlah (dgn menyebut nama) ALLAH. Zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-NYA di waktu pagi dan petang. DIAlah yg memberi rahmat kepadamu dan malaikat-NYA (memohon ampunan untukmu), supaya DIA mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah DIA yang MAHA PENYAYANG kepada orang-orang beriman." (Surah Ahzab:41-43)

Cebisan Qaulunnabi :

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Dibentangkan amalan-amalan di hadapan ALLAH pada hari Isnin dan Khamis. Maka aku menyukai dibentang amalanku (di hadapan ALLAH) pada ketika aku berpuasa” (Riwayat Imam Tirmizi).

Menjelang perpisahannya dengan Nabi Musa A.S, Nabi Khidir A.S memberi nasihat, "Hai Musa, janganlah terlalu banyak bicara, dan jangan pergi tanpa perlu, dan jangan banyak ketawa, juga jangan mentertawakan orang yang berbuat salah, dan tangisilah dosa-dosa yang telah kamu perbuat, hai putra Ali 'Imran." (Tanbighul Ghafilin: 192-193)

Cebisan Kalam Sahabat dan Hukama' :

Sesiapa yang menyangka dia akan mencapai syurga tanpa usaha, dia hanyalah berkhayal. Dan sesiapa yang menyangka dia akan mencapai syurga dengan hasil usahanya, dia sebenarnya seorang yang tidak mengingati ALLAH. (Saidina Ali R.A)

Abu Laith berkata: Awaslah kamu dari ketawa berlebih-lebihan, kerana ketawa itu mengandungi 8 bahaya :
  1. Tercela oleh ulama dan orang yang sopan sempurna akal.
  2. Memberanikan orang bodoh kepadamu.
  3. Jika engkau bodoh nescaya bertambah kebodohanmu, dan bila engkau alim berkurang ilmumu kerana ada riwayat: 'seorang alim jika ketawa bererti telah memuntahkan ilmunya. '
  4. Melupakan dosa-dosa yang lampau.
  5. Memberanikan membuat dosa di masa depan, sebab bila ketawa terbahak-bahak membekukan hati.
  6. Melupakan mati dan akhirat.
  7. Engkau menanggung dosa orang yang ketawa kerana ketawamu.
  8. Ketawa terbahak-bahak menyebabkan banyak menangis di akhirat.

Ibnu Rajab brkata: "Orang yang menunaikan hak-hak ALLAH, nescaya ALLAH akan menjamin semua keperluannya di dunia dan akhirat.Orang yang ingin dijaga dan dilindungi oleh ALLAH dalam semua urusannya, hendaknya menunaikan kewajipannya terhadap ALLAH. Orang yang ingin terhindar dari sesuatu yang tidak disukainya, hendaknya tidak melakukan apa yang tidak ALLAH sukai.."

“Ketenangan itu milik hati orang-orang yang beriman, agar bercambah benih hikmah dalam setiap perlakuan. Orang yang banyak menderita, jiwanya akan perkasa dan apabila ditimpa kesusahan akan selalu ingat ALLAH. Bertuahlah apabila iman diuji kerana jika sabar dan tabah menghadapi pasti ada kemenangan yg menanti”

Kata Muthaqqaf : Kalau ingin mencari motivasi, cukuplah ALLAH sebagai perangsang. Jika ingin mencari teman pendamping, cukuplah Al-Quran sebagai penghibur. Andai diri perlukan peringatan, cukuplah mati sebagai amaran.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Thursday, February 19, 2009

|| Ke Pangkuan Ilmu... ||

بسم الله الرحمن الرحيم
Pejam celik, pejam celik, musim kuliah bagi semester kedua telah pun bermula. Rasanya seperti baru semalam selesai imtihan bagi semester yang pertama. Manakan tidak, kesibukan tanggungjawab seharian sebagai pemegang amanah selepas selesai imtihan melenyapkan kerehatan yang diperuntukkan dalam musim cuti semester pertama itu. Sebaiknya musim cuti yang telah berlalu dimanfaatkan dengan mengikuti kelas-kelas pengajian luar kuliah sebagai ilmu tambahan. Tahniah kepada mereka yang berjaya mengisinya dengan penuh bijaksana wajar diteruskan meskipun telah memasuki sesi pengajian semester yang kedua.

Setiap individu azhari terutamanya dan azhariah tidak terkecuali untuk memenuhi tuntutan semasa di tanah air yang mengharapkan modal insan mutadayyin (kuat pegangan agamanya) yang berilmu pengetahuan yang luas dalam bidang yang diceburi. Bahkan mampu menguasai ilmu-ilmu lain sebagai aset tambahan yang bernilai tatkala berhadapan dengan masyarakat yang ketagih ilmu agama yang komprehensif dan waqi'iah (menepati arus perdana). Semoga kita sama-sama mampu mempersiapkan diri kita dengan penuh tanggungjawab dan daya kemampuan yang maksimum.

Di kesempatan yang ada ini juga penulis mengingatkan diri penulis sendiri dan seluruh penuntut-penuntut ilmu ALLAH walau di mana jua keberadaan kalian agar menjalankan amanah dengan sebaiknya. Sama-sama kita susuri pengajian di semester pengajian kedua ini dengan penuh dedikasi, konsisten dan bersemangat dengan mengutip mutiara-mutiara ilmu yang disampaikan. Dalam masa yang sama, usah lupa untuk mengingatkan dan mengajak sahabat-sahabat yang kita sayangi turut serta memeriahkan pembukaan pengajian kuliah semester kedua ini.

Semoga dengan kesungguhan dan ketekunan yang luhur yang lahir dari sanubari setiap penuntut ilmu menatijahkan sebuah kejayaan yang membanggakan keluarga demi ISLAM, semata-mata kerana ALLAH jua. Sama-sama kita kembali ikhlaskan niat dan tujuan asal kita menuntut ilmu tanpa mengkesampingkan tuntutan lain yang amat diperlukan sebagai add-value apabila pulang ke tanah air kelak. Gemblengan yang berterusan perlu untuk memastikan modal insan yang bernilai mampu tercipta dalam menongkah tribulasi akhir zaman yang kian membimbangkan.

Kata Muthaqqaf : Selamat menempuhi pengajian semester kedua buat seluruh penuntut ilmu di Perlembahan Nil ini khususnya dan seluruh pelusuk benua dunia amnya. Semoga rahmat, taufiq, hidayah, inayah dan ri'ayahNYA sentiasa mengiringi setiap langkah penuntut ilmu sehingga ke hembusan nafas yang terakhir.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Sunday, February 15, 2009

|| Panggilan Palestin ||

بسم الله الرحمن الرحيم



Di saat ini,
Bergema rintihan,
Panggilan Palestin,
Bertempik semesta
,
Memanggil jiwa-jiwa,
Mengaku pejuang,
Mengaku cinta dan rindu,
Seruan ke 'jalan-NYA'.

Di saat ini,
Masih kedengaran,
Panggilan Palestin,
Memohon kebangkitan,
Pembelaan sejagat,
Ummah yang berdaulat,
Di mata KHALIQ,
Di hati KekasihNYA.

Di saat ini,
Terus berkumandang,
Panggilan Palestin,
Meruntun secebis kasih,
Mengenggam sebuah perpaduan,
Kembali utuh bertaut,
Dipisahkan sekian lama,
Menghimpun jutaan hati,
Kembali menawan dunia.

Bersama menyahut,
Panggilan Palestin,
Sebuah panggilan,
Yang tiada kesudahannya,
Sehingga terlerai ketentuanNYA,
Mengembalikan semula,
Keizzahan ISLAM,
Di tangan mereka,
Bernama Khalifah.

Muthaqqafazhari,
18 Safar 1430,
11 Malam,
Kaherah, Mesir.

Kata Muthaqqaf : Isu Palestin merupakan isu umat ISLAM sejagat yang perlu diambil perhatian oleh setiap individu muslim. Barangsiapa yang tidak mempedulikan masalah umat saudara-saudara seakidahnya, bukanlah dia dari kalangan umat NABI SAW yang tercinta. Teruskan pautan munajat dan doa kepadaNYA disamping usaha boikot yang berterusan tanpa kompromi.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Tuesday, February 10, 2009

|| Terjawab Sudah... ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Alhamdulillah, bersyukur kehadrat ILAHI kerana telah memberikan kesempatan untuk menjawab segala teka teki yang berlegar-legar dikalangan masyarakat pelajar Mesir berhubung calon-calon Badan Pengurus dan AJKT HEWI PMRAM untuk sesi 2009. Pasti ramai yang tidak menyangka melihat akan muka-muka baru yang naik untuk meneruskan kesinambungan perjuangan PMRAM dalam mencurahkan bakti kepada masyarakat pelajar di Perlembahan Nil ini. Tahniah kepada seluruh calon yang menang tanpa bertanding dalam memenuhi kerusi-kerusi kepimpinan PMRAM pada sesi mendatang.

Cuma yang masih menjadi tanda tanya siapakah pula 5 orang Badan Pengurus dan HEWI PMRAM yang akan terus kekal meneruskan agenda thaqafah dan kebajikan kepada ahli? Siapakah diantara baki 13 BP dan 11 HEWI yang tidak tersenarai semula untuk sesi 2009 akan menjadi calon kekal bagi membantu melicinkan perjalanan PMRAM? Adakah penulis tercalon salah seorang daripadanya? Jawapannya sama-sama kita nantikan di akhir Muktamar Sanawi kali ke-76 dan Muktamar HEWI kali ke-22 kelak.

Apapun pimpinan rahmat RABBULIZZATI disertai untaian doa kalian semua diharapkan berpanjangan dalam memastikan kelancaran segala program dan perancangan yang disusun bagi memenuhi segala keperluan thaqafah dan kebajikan mahasiswa terpelihara dengan sebaiknya. Sesungguhnya 30 orang BP dan HEWI tidak mencukupi secara hakikatnya untuk menggembleng hampir 7000 mahasiswa/mahasiswi yang menuntut ilmu di Ardil Kinanah ini. Bantuan kalian semua selaku ahli bahkan atas sentimen UKHUWAH ISLAMIAH sewajarnya bantuan semua pihak amat diperlukan bagi menjayakan segala agenda.

Semoga setiap bibit peluh yang terbit atas tujuan kerja-kerja ISLAM mendapat perhatian di sisi ALLAH dan dinilai dengan penuh saksama di neraca keadilan kelak. Teruskan doa dan munajat kepadaNYA demi keselamatan dan pemeliharaan ke atas umat ISLAM sejagat tanpa henti. Sesungguhnya doa adalah senjata mukmin.

Kata Muthaqqaf : Sebarang maklumat yang terkini berkaitan dengan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) bolehlah layari ke laman web rasmi di http://www.pmram.org.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Sunday, February 08, 2009

|| Hadiah Ulang Tahun Kelahiranku ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Sedar tak sedar hari ini genaplah umurku yang ke-24 tahun. Semakin lama semakin meningkat usiaku, semakin meningkat dewasa, semakin bertambah kematangan. Sebaik-baiknya juga diirigi dengan peningkatan amalan yang soleh demi memastikan bertambahnya keimanan dan ketakwaan kepadaNYA, RABBULKARIM. Semoga semakin bertambahnya umurku, maka akan semakin bertambahlah segala pengabdianku kepada TUHAN PENCIPTA SEKALIAN ALAM dan dimanfaatkan dengan sebaiknya usia yang berbaki tanoa diketahui bilakah kesudahannya.

8 Februari 1985 Masihi bersamaan 15 Jamadilakhir 1405 Hijriah merupakan tarikh yang memberikan pelbagai makna yang amat mendalam untuk diterjemahkan. Variasi tafsiran boleh diajukan sebagai menjawab dan menggambarkan betapa bermaknanya tarikh kelahiran seseorang atau sebaliknya. Apa yang seharusnya difikirkan adalah bagaimanakah kehidupan di sepanjang tempoh kesempatan yang kita telah lalui untuk bertemuNYA. Adakah dipenuhi dengan segala macam amal jariah ke arah keredhaanNYA atau rosak binasa!

Satu lontaran muhasabah untuk diriku terutamanya seterusnya buat semua para sahabat yang membenarkan keimanan kepada ALLAH dan 6 rukun Iman yang lain. Usah kita baziri tempoh kehidupan yang sementara yang diberikan oleh ALLAH kepada kita selaku hamba-hambaNYA mengumpul bekalan. Seterusnya untuk dipersembahkan kepada RABBULJALIL untuk diadili dengan rahmatNYA.

Buat para sahabat yang mengenali diri ini samada secara langsung mahupun tidak, penulis mengucapkan sekalung ucapan terima kasih atas setiap bilah ucapan selamat ulang tahun yang diutuskan dalam apa jua saluran. Penulis amat berbesar hati dan bersyukur ke hadratNYA atas kurniaan mereka-mereka yang sentiasa menyokong dan memberikan kata-kata semangat buat diri ini untuk teguh berdiri memperjuangkan kebenaran ISLAM sejagat kerana ALLAH.

Ku sentiasa panjatkan doa kepadaNYA RABBULIZZATI semoga sentiasa menthabatkan diri ini teguh berdiri memperjuangkan ISLAM walau di mana jua ku berada. Juga ku bermohon semoga dikurniakan istiqamah dalam setiap amal ISLAMI dan ibadahku semata-mata keranaMU, demiMU, hanya untukMU. Didiklah daku menjadi dari kalangan hambaMU yang sentiasa bersyukur dalam apa jua keadaan. AMIN YA ROBBAL ALAMIN...

Hadiah Ulang Tahun Kelahiranku Yang Ke-24!

Dikesempatan ini juga penulis merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh sahabat-sahabat Johorian Ikhwah batch 2004 yang menyertai jaulah ke Piramid di Giza, Qal'ah Salahuddin Al-Ayubi, Jabal Mukottam dan diakhiri dengan jamuan makan malam di bait Saudara Ashraf Johari di Haiyu Asyir.

Penulis merasakan jaulah mahabbah yang diadakan seharian semalam, 7 Februari 2009 merupakan hadiah ulang tahun penulis yang ke-24 yang amat bermakna dengan penuh kegembiraan dan ironi. Terima kasih kerana kalian semua sudi menggembirakan 'hati' yang selama ini penuh dengan lara. Moga ukhuwah yang telah sedia terjalin kekal hingga ke akhirnya menjadi paksi kepada kekuatan ISLAM kelak.


Setiap rakaman episod jaulah mahabbah yang tercipta akan sentiasa tersemat dalam ingatan penulis sebagai sebuah jalinan persahabatan yang amat indah di alam universiti ini. Kalian semua dan yang lainnya merupakan sahabatku dunia akhirat selagi mana kita berpegang teguh kepada tali ALLAH.


Kata Muthaqqaf : Terima kasih atas segala ucapan yang kalian utuskan samada di Friendster, Tagged, Hi5, Facebook hatta melalui khidmat pesanan ringkas. Penulis hanya mampu mendoakan kesejahteraan dan rahmat ALLAH yang berterusan ke atas kalian. Moga ukhuwah yang terjalin berpanjangan dan mendapat redha YANG ESA. Hanya ALLAH jua yang mampu membalas segala jasa baik kalian semua.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa