Video Klip Pilihan

Sunday, October 04, 2009

|| Tragedi Di Kota Metropolitan ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, akhirnya kami selamat juga menjejakkan kaki ke Kota Metropolitan yang merupakan ibu negara Malaysia. Tak lain tak bukan, Kuala Lumpur. 3 Oktober, bertolak seawal jam 730 pagi walaupun perancangan pada peringkat awalnya seawal jam 6 pagi selepas subuh.

Walau apapun, segalanya bergantung kepada si pemandu yang merupakan sahabat seangkatan ketika di Mesir dan seusai kami menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda, beliau lebih awal mendapat tempat dalam kerjaya. Nasib masih belum menyebelahi saya.

Namun segalanya telah pun ditentukan olehNYA. Cuma usaha yang bakal menentukan cepat atau lambat rezeki seseorang itu. Ya, saya yakin padaNYA.

Kini saudara Syafiq Zulakifli berada di Wangsa Melawati dan akan memulakan kerjayanya sebagai seorang pekerja sepenuh masa meskipun ada perancangan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya. Begitu juga dengan saya. Moga dipertemukan jodoh kita.

Akan tetapi bukan itu yang ingin saya bingkiskan dalam coretan kali ini. Kalau melihat kepada tajuk entri kali ini ianya menggambarkan sebuah tragedi yang mungkin pertama kali dalam hidup saya. Kemungkinan hajat saya untuk menyelesaikan beberapa perkara di Ampang dan Setapak pada keesokan harinya terpaksa di tunda dek kerana 'tragedi' ini.

Segalanya bermula pada pagi tadi seawal jam 9 pagi setelah kami (saya dan saudara Syafiq Zulakifli) sampai di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk bertemu dengan sahabat-sahabat lama yang sudah lama tidak bersua. Hampir 5 tahun lamanya semenjak kami sama-sama menamatkan pengajian di Sekolah Tinggi Arab Johor (Maahad Johor) pada tahun 2003.

Ketika dalam perjalanan menuju ke Mahallah As-Siddiq untuk bertemu dengan saudara Ahmad Syazwan 'tragedi' ini meragut nikmat kesihatan yang dikurniakan ALLAH. Tanpa saya sedari kerana kecuaian diri sendiri, kaki kiri yang melangkah terjelepok dan terseliuh sehingga menghasilkan bunyi yang agak kuat seperti berlaku keretakan atau patah tulang.

Awalnya, kesakitan tidaklah terlalu kuat. Akan tetapi lama kelamaan selepas beberapa jam jelas kelihatan riak-riak bengkak. Langkah kaki ini tak payah cakaplah. Terhenjut-henjut macam orang tempang.

Setelah agak lama menahan sakit yang teramat sangat dan berfikir panjang melalui utusan nasihat orang-orang yang tersayang, dengan berat hati saya mengambil keputusan untuk ke klinik bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Hakikatnya saya memang tidak menyukai ubat-ubatan klinik. Apatah lagi berurut. Memang riuh sekampunglah jawabnya. Lainlah kalau sebelumnya diberikan ubat pelali.

Setelah berjumpa dan mendapatkan nasihat doktor, beliau menasihatkan agar menerima segala ubatan yang ditentukan. Selepas 24 jam daripada waktu tragedi menimpa (9 pagi, 5 Okt) keesokan harinya andai terdapat tanda-tanda kebiruan atau bengkak yang tidak menunjukkan tanda ianya semakin pulih, maka saya perlulah segera ke hospital untuk menjalani X-Ray kerana ditakuti tulang yang mengalami keseliuhan itu retak atau patah.

Semoga segala andaian yang diberikan oleh doktor itu meleset dan saya dijauhi dari musibah yang tidak diingini. Namun disebalik apa yang berlaku, saya redha dan pasrah kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Moga ianya merupakan sebagai penghapus dosa-dosa yang pernah dan telah dilakukan. Juga sebagai tanda kasih dan sayangnya ALLAH kepada hamba yang lemah ini.

Sementara menunggu bantuan dari ALLAH, terpaksalah saya duduk di rumah sehinggalah segalanya kembali normal untuk meneruskan siri-siri perjalanan hidup yang masih panjang.

Kata Muthaqqaf : Segala yang baik, molek dan cermat itu adalah datangnya dari ALLAH dan yang buruk, poyo dan serabai itu adalah datangnya dari kelalaian diri ini. Moga segala urusanku dan seluruh umat ISLAM dipermudahkanNYA.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: