Video Klip Pilihan

Monday, October 01, 2007

.:: Bila Manusia Tidak Berperi Kebinatangan ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada kalian sahabat yang dikasihi Allah sentiasa. Alhamdulillah, Allah masih memberikan peluang dan ruang untuk saya menukilkan beberapa perkara dan isu yang berlaku untuk tatapan, thaqafah dan pengetahuan di serata dunia. Selawat dan salam yang sebanyak-banyaknya kuutuskan buat Junjungan Besar Nabi S.A.W, ahli keluarganya, para sahabat juga para pengikutnya selepas itu yang sentiasa mendapat hidayah dari Allah. Semoga kita tergolong dikalangan mereka yang mendapat limpahan hidayah petunjuk Allah sepanjang masa. Tergerak jari jemari ini untuk mengetik pepunat menukilkan barah yang terbuku terhadap beberapa golongan manusia yang bersikap tidak seperti seorang manusia yang berperi kemanusiaan. Bahkan mungkin boleh digolongkan mereka dikalangan manusia yang tidak berperi kebinatangan lebih-lebih lagi didalam bulan Ramadhan yang mulia ini.

Terasa seperti hendak tercabut jantungku dari pasaknya pabila terdapat segelintir manusia yang bersikap sedemikian di Bumi Para Nabi. Mungkin kerana mereka ingin menjadi golongan kedua yang turut berada di Bumi Mesir ini tidak lain golongan Firaun. Apa tidaknya sanggup mereka menafikan hak mahasiswa-mahasiswa baru yang baru menjejakkan kaki ke Ardul Kinanah ini terhadap rumah kediaman negeri masing-masing yang sememangnya dibina pada dasarnya untuk memberikan kemudahan kepada mereka yang baru sampai. Adakah boleh diterima akal menafikan hak kependudukan mereka itu dengan membezakan antara yang menerima tajaan dari kerajaan negeri dan persendirian. Bukankah mereka yang diamanahkan menjadi pegawai rumah-rumah negeri ini dihantar adalah semata-mata untuk menjaga kebajikan kepada pelajar bukan menyusahkannya?

Apa yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab sememangnya tidak berperi kebinatangan dan tidak boleh dimaafkan. Apakah layak bagi mereka menerima ganjaran yang Allah berikan pelbagai kelebihan dalam bulan yang mulia ini dengan kerja haram yang mereka lakukan itu? Sememangnya urusan ganjaran pahala dan dosa terletak di tangan Allah akan tetapi secara logika memang semua yang mempelajari asas balasan yang Allah tentukan berpandukan kepada amal yang dilaksanakan baik atau sebaliknya. Mereka dihalau dengan penuh angkuh bagaikan tiada yang lebih Berkuasa darinya. Ingatlah bahawasanya segala yang dilakukan itu akan dipersoalkan kelak dengan sepenuhnya dan pada ketika itu tidak akan ada yang tersembunyi dari pandanganNya. Maka tunggulah saat kebinasaan yang bakal menjemput bila-bila masa tanpa mengira tempat dan waktu yang tertentu. Insaflah wahai manusia yang memahami dan mempelajari hukum-hakam Allah bahkan mengetahui selok belok mengenainya. Kerana pangkat, harta dan ego segala yang dipelajari sanggup digadai. Buat malu Al-Azhar perangai mengalahkan lepasan dari UK.

Itu baru seorang yang buat perangai. Yang paling menaikkan api kemarahan seketika apabila ada dikalangan pemantau dan polis kerajaan terhadap mahasiswa di Bumi Mesir menghamburkan sebuah kalam yang menghina ulama' yang jika dibandingkan dengannya di sisi Allah sememangnya berada di tangga terbawah. Sekiranya kalian juga mendengarnya pastinya mengundang kemarahan sesiapa sahaja tatkala dengan sombong dan angkuh seraya berkata " mengajar apa melalak macam anjing.." kepada Sheikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki yang saban tahun mencurahkan ilmu beliau pada anak-anak Melayu yang berada di Ardul Kinanah ini. Bahkan mengajar umat Islam di tanah air. Sudahlah di Malaysia dengan Mufti Perlisnya yang saban waktu menghina ulama'-ulama' tersohor yang tinggi dan tidak mampu ditandingi ilmu mereka juga keperibadian jika dibandingkan dengannya yang sekadar PHD dari Jordan dalam bidang Hadith sahaja.

Sememangnya tersentuh dan sayu hati ini apabila melihatkan sahabat-sahabat dan adik-adik yang baru tiba ini disekat, diancam dan diperlakukan seumpama pelajar di asrama penuh. Hakikatnya seseorang yang telah berada di alam kampus mahasiswa telah bebas mengatur hidup mereka dan menentukan halatuju hidup mereka. Dinafikan hak kediaman rumah negeri masing-masing Pahang, Selangor dan Terengganu, kemudian dengan sebahagian negeri yang cuba menyemai dan mempengaruhi mahasiswa baru dengan fikrah Nadi Umno yang bersekongkol dengan UMNO negara Malaysia dan juga Muntada Islam Hadhari, persatuan pelajar yang membawa gagasan kerajaan negara Malaysia kepada alam kampus mahasiswa. Apa dah jadi sebenarnya ni? Apakah mereka sudah tidak mempunyai akal yang waras kerana takutkan kehilangan pengaruh anak-anak muda terhadap mereka kelak tatkala mereka mampu membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Mahu ataupun tidak akan tetapi itulah hakikat yang berlaku.

Dimanakah dia peraturan yang mengatakan "PELAJAR DIHALANG SAMA SEKALI BERPOLITIK ATAU MENCEBURI PERSATUAN YANG BERBAUR POLITIK?" Namun mereka yang mencabuli peraturan yang mereka sendiri cipta itu. Ya Allah sesungguhnya ENGKAU sahajalah yang mempu untuk mengubah kemaksiatan yang mereka lakukan terhadap pejuang-pejuang agamaMu yang berada di atas landasan menuntut ilmuMu ini. PadaMu kami berserah dan padaMu jualah kami memohon pertolongan atas tiap ujian yang ENGKAU timpa ke atas kami. Usahlah KAU biarkan golongan-golongan yang tidak berperi kebinatangan ini dari terus mencabuli hak hamba-hambaMu yang taat semata-mata mengharapkan keampunan, rahmat dan keredhaan dariMu. Amin Ya Rabbal Alamin.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: