بسم الله الرحمن الرحيم
Semakin hampir hari itu, semakin tidak menentu minda ini berputar. Semakin kacau jiwa ini memikirkan sebuah keputusan yang telah pun diputuskan. Apabila tindakan telah dilakukan, maka tiada apa-apa yang boleh dilakukan melainkan menghadapinya dengan hati yang terbuka. Suka atau tidak, aku perlu untuk melakukan persediaan yang sayugianya untuk memastikan segala yang dirancang dapat berjalan dengan sebaiknya.
Pejam celik tanpa disedari hanya berbaki 3 hari 2 malam lagi untuku memanfaatkan masa itu dan melunaskan gerak kerja yang sepatutnya disamping memberikan penerangan dengan semasak-masaknya kepada mereka yang bakal memangku amanah yang dipikul. Bukan mudah untuk melepaskan amanah yang diterima memandangkan kerelaan diri ini pada permulaannya. Namun segalanya berlaku tanpa diduga.
Hasrat di hati ingin pulang mencurahkan bakti di 'Tanah Tumpah Darahku' dalam situasiku selesai pengajian sepenuhnya. Namun apakan daya, Allah itu Maha Berkuasa dalam menentukan nasib setiap hamba-hambaNya. Mungkin ada hikmahnya mengapa aku masih diletakkan di Perlembahan Nil ini. Segala yang berlaku tiada yang sia-sia melainkan mempunyai maknanya yang tersirat supaya setiap manusia yang mengalaminya dapat memperbaiki kecacatan yang timbul.
Walau apapun yang berlaku di persekitaran kehidupanku ini, pasti di sana mempunyai hikmah yang tersendiri untuk difikirkan oleh setiap manusia bagi memastikan kesinambungan arca kehidupan yang dirahmati. Hidup ini penuh dengan likunya. Jalannya penuh dengan ranjau berduri. Kiri kanannya terbentang nyata semburan racun Iblis Laknatullah dan bisa nafsu durjana.
Doa dan harapan kalian semua kuharapkan mengiringi perjalanan hidupku ini. Perjalanan yang penuh dengan likunya. Orang kata, itulah sunnah orang berjuang, sunnah perjuangan para Nabi dan Rasul, sunnah perjalanan seorang yang bergelar penuntut ilmu Allah. Semua itu telah dimaklumi oleh setiap individu yang menjadikan Allah sebagai sumber inspirasi dalam menongkah kehidupan duniawi untuk mendapat redha lakaran ukhrawi.
Kecamuk minda ini sememangnya memainkan peranannya yang tersendiri untuk memberikan kesedaran kepadaku untuk menggalas amanah menyampaikan ilmu yang diperolehi dengan penuh tanggungjawab. Jauh di sudut hati ini merasakan kesedihan yang masih segar terbuku dan tangisan yang hangat dengan pemergian kedua insan tersayang yang paling dekat, banyak berkorban untukku sehingga berjaya menjejakkan kaki ke puncak ilmu ini. Segalanya berkat dari usaha penat lelah mereka. Terima kasih abah, mak kerana sudi membesarkan diri ini.
Syukur kepada Allah atas keizinanNya membenarkan roh yang kerdil ini dihembuskan ke rahim bonda seterusnya lahirlah insan ini ke dunia untuk menggalas amanah selaku khalifah. Khalifah yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara agama dan mentadbir dunia seiring dengan garis panduan agama itu sendiri.
Kata Muthaqqaf : Penulis mengucapkan jutaan kemaafan kepada sahabat sekalian terutamanya barisan kepimpinan di semua peringkat seandainya apa yang akan berlaku menyukarkan beberapa gerak kerja yang telah disusun. Segalanya berlaku tanpa dipinta meskipun ianya boleh dibincang. Doakan diri ini dapat kembali bertugas menggalas kembali tugasan yang diamanahkan dengan sebaiknya sebelum munculnya sesi pentadbiran yang baru.
Nukilan Ilham Nurani,
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
No comments:
Post a Comment