بسم الله الرحمن الرحيم
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Bulan ini (Ramadhan) awalnya rahmat, pertengahannya maghfirah, dan akhirnya kebebasan dari siksaan api neraka. " -Alhadith-
Hari ini tanpa disangka-sangka telahpun memasuki marhalah ke dua dalam bulan yang penuh barakah ini. Pejam celik pejam celik tidak semena-mena hari ini telah pun menjangkau hari yang ke 11 kita mengerjakan ibadah puasa di dalam bulan Ramadhan yang penuh dengan norma-norma keimanan, keinsafan dan kesyukuran.
Terasa seolah-olah baru semalam Ramadhan bermula. Rupa-rupanya telah pun bertukar marhalah yang seterusnya. Terkadang diri ini serius memikirkan mengenai tahap pemahaman dan pengamalan diri sejauh mana penyurupan segala amalan yang amat disukai Allah pada marhalah awal tersebut dimanfaatkan sebaik-baiknya. Adakah diri kita menjadikan marhalah pertama yang merupakan tahap permulaan untuk melatih diri berjinak-jinak dengan lebih serius kepada Allah dengan melaksanakan amal ibadah dengan penuh taat dan kesungguhan?
Apa yang pasti, berdasarkan penjelasan daripada para alim ulama dan para abid solihin yang sentiasa dekat dan mendekatkan diri kepada Allah mereka mengatakan penjelasan yang terkandung dalam kalam Nubuwwah itu bukanlah semata-mata luaran. Ianya tidak semudah yang difikirkan oleh ruang lingkup orang yang sekadar membaca sesebuah kalam samada kalam Nubuwwah apatah lagi kalam Rabbul Jalil. Sesungguhnya di sana terdapat hikmah terserat yang perlu diambil kira.
Sekadar satu lontaran pemikiran buat saudara-saudara yang ku kasihi sekalian untuk kita meningkatkan mutu dan kualiti hubungan kita kepada Allah adakah masih di takuk yang lama tiada sebarang perubahan atau bertambah baik atau lebih teruk dari sebelumnya?! Hakikat perpindahan dari satu marhalah kepada marhalah yang berikutnya memerlukan satu momentum yang luar biasa dari sudut penghayatan melebihi marhalah yang sebelumnya.
Tidak akan bermakna memasuki marhalah yang berikutnya, iaitu maghfirah andai di kala marhalah sebelumnya, iaitu rahmat tidak memberikan apa-apa kesan yang mendalam dalam sanubari untuk memperbaiki hubungan baik dengan Allah secara lebih serius tanpa senda gurau dan tawa riang yang berlebihan. Akan tetapi sekadar keperluan untuk mengisi kehambaran suasana.
Moga sedikit panahan guruh peringatan ini mampu menyentak seketika lamunan kita agar menyedari tugas dan peranan yang sebenarnya perlu dilakukan di dalam 'akademi Ramadhan' yang penuh dengan ujian yang datangnya dari ledakan nafsu hasil didikan Syaitan terkutuk. Sesungguhnya bulan ini benar-benar medan untuk orang mukmin itu mengajar dan mendidik nafsunya agar mengikut lunas-lunas tuntutan Ilahi sejajar dengan aksara ketaatan dan keredhaan yang diimpi-impikan setiap mukmin sejati itu.
Nukilan Ilham Nurani,
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
No comments:
Post a Comment