Video Klip Pilihan

Friday, September 05, 2008

|| Berita Baik Untuk Mereka Yang Berpuasa! ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Sesungguhnya bulan ini merupakan bulan yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam yang benar-benar menginginkan rahmat, maghfirah dan segala macam kebajikan yang terdapat di dalamnya. Sesuatu ganjaran yang amat diharap-harapkan oleh setiap orang mukmin supaya dikurniakan keredhaan yang berterusan sehingga mampu menghapuskan segala dosa dan noda yang pernah dilakukan selama ini.

Itulah bulan yang digelar dengan bulan Ramadhan, penghulu segala bulan, sebagaimana Jumaat yang terkenal dengan penghulu segala hari. Bulan ini mendapat variasi jolokan nama-nama yang menunjukkan betapa berharganya bulan ini terhadap umat-umat Islam yang mampu membezakan antara batu dan mutiara. Akademi Ramadhan, Madrasah Tarbiah, Bulan Tarbiah dan pelbagai lagi nama-nama yang menggambarkan keagungan bulan ini.

Ssungguhnya untuk menerangkan segala macam kebajikan, kebaikan dan keagungan yang terdapat di dalamnya sudah tentu ramai yang telah mengetahuinya melalui program dan penerangan yang diadakan. Bahkan majoriti umat Islam sedia maklum akan segala kebaikan yang terkandung di dalamnya melalui pembacaan kitab-kitab dan penyebaran risalah yang diedarkan.

Penulis tidak berhasrat untuk memanjangkan pembikinan entri kali ini memandangkan kesuntukan masa dengan kesibukan seharian dengan tugasan persatuan. Apapun ianya tidak sedikit pun mematahkan semangat penulis untuk meneruskan agenda dakwah melalui saluran maya ini.

Untuk itu, penulis tinggalkan sidang pembaca sekalian dengan beberapa untaian kalam Rabbani dan Nabawi berupa 'Berita Baik Untuk Mereka Yang Berpuasa' di Ramadhan yang mulia ini. Semoga ianya memberikan manfaat kepada kita bersama dan alangkah baiknya disebarkan kepada saudara-saudara seagama kita yang lain.
  • Allah SWT berfirman yang bermaksud : "Sesungguhnya diwajibkan kamu berpuasa sebulan di bulan Ramadhan sebagaimana telah diwajibkan kepada umat-umat terdahulu moga-moga kamu tergolong dikalangan orang yang bertakwa." Al-Baqarah : 182
  • "Sesungguhnya setiap amalan anak-anak Adam itu adalah untuk dirinya (mengetahui ganjarannya) kecuali puasa kerana ia untukKU dan AKU yang akan memberikan ganjaran kepadanya." (Hadith Qudsi)
  • "Apabila datangnya Ramadhan, maka dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka, dan dibelenggu syaitan-syaitan laknatullah." (Al-Hadith) Yang tinggal hanyalah nafsu yang perlu dididik dan ditarbiah supaya mampu mentaati Allah dengan sepenuhnya tanpa terkesan dengan hasutan syaitan pada selain bulan ini.
  • "Ramadhan itu awalnya rahmat, pertengahannnya maghfirah (keampunan), dan akhirnya perlepasan dari api neraka." (Al-Hadith) Tidak akan sempurna satu-satu peringkat itu kecuali berjaya memenuhi tuntutan di setiap peringkat itu.
  • "Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan penyesalan keinsafan, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Al-Hadith)
  • "Sesungguhnya mulut-mulut orang yang berpuasa itu tidak enak di sisi manusia akan tetapi seharum kasturi di sisi Allah SWT." (Al-Hadith)
  • Puasa menurut segala yang disuruh dan menjauh segala pantang larangannya, diampunkan dosanya, dan bertasbih, bertahlil dibinakan rumah indah dalam syurga.
  • "Barang siapa hadir ke dalam majlis zikir pada bulan Ramadan, ditulis tiap langkahnya ibadat setahun, dan pada hari Qiamat bersamaku di bawah Arasy. Siapa tetap berjemaah dalam bulan puasa didirikan kota bercahaya indah, cemerlangnya , dan yang berbakti kepada ibubapanya Allah memandang rahmat kepadanya, dan isteri yang berbuat sesuatu mencari keredaan suaminya, maka pahala yang besar Allah kurniakan kepadanya , seperti Siti Maryam dan siapa yang menyampaikan hajat orang mukmin, Allah menunaikan seribu hajatnya, dan siapa bersedekah kepada fakir miskin (yang ada anak isteri) tiap langkah dikurniakan kepadanya seribu kebajikan, dihapuskan seribu kejahatan dan diangkatkan seribu darjat baginya." (Al-Hadith)
  • "Semulia mulia sedeqah ialah sedeqah pada bulan Ramadhan." (Al Hadith)
  • "Siapa memberi makan ( berbuka puasa) kepada orang puasa makan baginya seumpama balasan pahala orang yang berpuasa dengan tidak kurang sedikitpun." (Al Hadith)
  • "Puasa itu perisai dan sedekah itu memadam kesalahan dosa sepertimana air memadamkan api." (Al Hadith)
  • "Tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadat, dan nafasnya itu adalah tasbih, doanya itu mustajab, dosanya diampunkan Allah, dan amal ibadatnya dilipatgandakan." (Al Hadith)
  • "Dua kegembiraan yang diberikan kepada orang-orang yang berpuasa iaitu : 1) Kegembiraan ketika berbuka puasa dan; 2) Kegembiraan ketika bertemu Allah SWT." (Al-Hadith)
  • "Siapa memberi makan ( berbuka puasa) kepada orang puasa makan baginya seumpama balasan pahala orang yang berpuasa dengan tidak kurang sedikitpun." (Al Hadith)
  • Sesungguhnya amalan sunat yang dilakukan dalam bulan Ramadhan ini akan dilipat gandakan ganjarannya seumpama amalan Fardhu lebih-lebih lagi amalan yang difardhukan.
Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: