Video Klip Pilihan

Tuesday, September 09, 2008

|| Merintih Sebuah Harapan ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Kedatangan Ramadhan amat dinanti-nantikan oleh seluruh lapisan masyarakat umat Islam di seluruh dunia. Setiap hembusan kasturi yang terkandung didalamnya begitu memukau hati-hati pencinta Rabbul Izzati untuk merebut setiap ganjaran dan nikmat yang amat bernilai yang terdapat pada waktu-waktu selainnya.

Ungkapan Ramadhan selaku penghulu segala bulan yang terkandung dalamannya dengan curahan kemuliaan, kerahmatan, keampunan, pemeliharaan dari azab api neraka dan segala apa jua ruangan pintu-pintu kebaikan yang terbuka luas buat hamba-hambaNya yang mencari keagungan dalam bulan penuh barakah ini.

Bukanlah segala macam wacana yang dikemukakan sebentar tadi yang ingin dikupas secara masak satu persatu memandangkan sudah acapkali ianya diutarakan buat tatapan umum supaya memasyarakatkan pengisian yang bermanfaat dengan sebaiknya.
Namun, suka untuk dipersoalkan sebagai pengoreksian kita bersama adakah setiap satu kebaikan yang dilakukan di setiap saat waktu selama sebulan di bulan mulia itu dipraktikkan dengan sepenuhnya di waktu selainnya? Apakah kita hanya merasakan bahawa keberkatan hidup di Ramadhan itu bermula ketika masuk waktunya lantas mengakhirinya setelah muncul kegembiraan di hari kemenangan?

Kita akui bahawa perlaksanaan amalan-amalan sunat dan ibadah sememangnya begitu hangat membara hanya pada bulan ini. Malah pada ketika ini juga menyaksikan penghayatan umat Islam yang sebenar-benarnya bagi mereka yang menjiwai erti Ramadhan yang sebenar. Seumpama seseorang yang jatuh hati kepada seseorang yang begitu disukai akan terasa rindu, sayang, kasih dan cinta yang teramat sangat sehinggakan tidak sanggup untuk berjauhan.

Ingatlah satu sabda Nabi SAW yang masyhur apabila Baginda ditanya oleh seorang sahabat : Apakah amalan yang amat disukai oleh Allah? Maka Baginda menjawab : “ Sesungguhnya amalan yang amat disukai oleh Allah adalah sesuatu amalan yang walaupun sedikit akan tetapi dilakukan secara berterusan.” -Hadith Sahih-

Melalui maksud hadith di atas, mesej yang amat jelas berupa saranan dari Nabi SAW agar setiap amalan yang dilakukan oleh seseorang itu hendaklah dilakukan secara berterusan tanpa terputus. Meskipun dirasakan suasana ibadah tiada hanya pada bulan Ramadhan tidak sepatutnya dijadikan alasan membataskan sesebuah amal ibadah itu mengikut musim-musim tertentu.

Adakah kemampuan yang begitu hebat pada bulan mulia ini juga bermusim hanya hadir ketika kemunculan Ramadhan kemudian hilang begitu sahaja setelah ianya berakhir? Sesungguhnya Allah tidak meletakkan sebuah keupayaan kepada seseorang kecuali dia benar-benar mampu memikulnya sebagaimana yang terakam kemas di pengakhiran surah Al-Baqarah.

Sebuah keupayaan yang begitu bertenaga di bulan Ramadhan bukan sesuatu yang terbatas bahkan ianya merupakan medan latihan untuk diaplikasikan di waktu selainnya. Usah meletakkan diri dalam kemunafikan yang nyata secara tidak langsung dengan sikap hipokrit yang tidak selayaknya timbul dalam diri seorang muslim.

Pemerkasaan yang disemai di 'akademi Ramadhan' selama sebulan perlulah dititikberatkan supaya kesinambungan perlaksanaannya berterusan kelangsungan dari latihan pendidikan diri, mental, rohani, fizikal dan nafsu supaya seiring berlandaskan asuhan rabbani yang dipupuk. Jangan biarkan nafsu dan logikal semata-mata menguasai pentas kehidupan sehingga menghakis norma-norma Islam yang dibina ketika asuhan di 'akademi Ramadhan' tersebut.

Apakah kita ingin melihat sebuah penyucian jiwa yang dicipta disepanjang bulan barakah itu tidak berguna dan sia-sia seumpama melepaskan batuk di tangga? Mahukah kita tergolong dikalangan mereka yang sebut oleh Allah SWT dalam firmanNya bahawa segala penat lelah melakukan amalan itu tidak dinilai olehNya bahkan dipandang sepi bagaikan habuk yang berterbangan ditiup angin?


Itulah sekadar secebis muhasabah Ramadhan untuk koreksi pada setiap individu muslim bukan dipandang enteng kerana ianya menentukan keberkesanan tarbiyah di dalam bulan tersebut. Usah kita mengamalkan konsep muhasabah yang sinonimnya dilakukan pada akhir sesebuah program. Akan tetapi perlu untuk difikirkan sebelum ianya berlalu pergi gusar tidak sempat bertemu kembali di Ramadhan yang seterusnya untuk memperbaiki kekurangan yang berlaku.

Diharap untaian kalam bicara yang sekadar ini mampu meniupkan semangat para pejuang agama Allah sekalian untuk memberikan komitmen yang sepenuhnya terhadap kedatangan Ramadhan. Sambutlah kemunculannya dengan meriah penuh kesyukuran dan meratap hiba apabila tiba saat pemergiannya sebagaimana yang dilalui oleh para sahabat, orang-orang soleh, dan tabi' tabi'in untuk berpisah dengan bulan terbaik dari seribu bulan.


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa


No comments: