Video Klip Pilihan

Monday, December 28, 2009

|| Cabaran Sebenar Kian Hampir ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Pejam celik rupanya sudah hampir 4 bulan aku bercuti seusai menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Usuluddin, Jabatan Dakwah dan Tamadun Islam Universiti Al-Azhar, Mesir. Alhamdulillah atas kemudahan dan peluang hidup yang diberikan.

Setelah lama diuji dengan ketiadaan pekerjaan, akhirnya usaha, hajat dan doaku untuk mendapatkan sebuah kerjaya yang sesuai dengan jiwa menjadi kenyataan. Insya-ALLAH awal tahun hadapan apabila bermulanya sesi persekolahan sesi 2010 maka bermulalah tugasku terhadap masyarakat secara realiti.

Dalam masa yang sama tanpa diduga, ALLAH permudahkan urusan pernikahan antaraku dan tunangku setelah hampir 4 tahun menyimpan rindu dan kasih. Meski di sana tetap ada rintangan yang melanda. Dengan izin ALLAH, hasil daripada perbincangan keluarga kedua-dua belah pihak 5 Jun kami akan sah diijabkabul dan diikuti walimatul arus di sebelah perempuan pada keesokan harinya.


Insya-ALLAH kami akan menghantar jemputan kepada sesiapa yang berkenaan untuk memeriahkan majlis resepsi tersebut.

Harapan kami moga doa kalian sentiasa mengiringi kami agar disatukan dalam rahmatnya demi memelihara diri dosa dan maksiat yang tidak diingini berlaku. ALLAH jua yang lebih mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Kata Muthaqqaf : Terima kasih sangat-sangat kepada sahabatku Shafarul Azhar Sulaiman (juga sama-sama telah menamatkan pengajian) dan Mohd Amin Sailan kerana membantu menguruskan Sijil Ijazahku. Lain kali boleh minta tolong lagi ^_^

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Saturday, December 26, 2009

|| Asyura Tu Apa? ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar
NABI MUHAMMAD SAW, para sahabat (semoga sentiasa dalam lipatan redha ALLAH) dan ahli keluarganya serta seluruh umat ISLAM di atas muka bumi ini. Puji dan syukur ke hadratNYA atas kesempatan yang ada untuk berkongsi ilmu bersama kalian.

Semakin lama kita hidup, semakin banyak yang kita tidak tahu, yang perlu kita pelajari dan yang perlu untuk difikirkan apatah lagi apabila kita seorang yang berpendidikan yang mempunyai kesedaran agama dan sivik yang tinggi. Satu amanah dan tanggungjawab yang cukup besar untuk dilaksanakan bersama.

Berkaitan dengan 'asyura' sahaja membuka pintu-pintu persoalan yang cukup banyak dikalangan masyarakat ISLAM kini. Memang benarlah sebagaimana yang saya bahkan kalian juga seusai tamat pengajian merupakan medan menduga ilmu. Bukan medan melepaskan penat dan lelah.

Asyura merupakan perkataan Bahasa Arab yang bermaksud hari yang ke-10 daripada bulan Muharam. Pada hari tersebut merupakan puasa yang mula-mula diwajibkan oleh RASULULLAH SAW pada tahun ke-2 Hijrah terhadap semua umat ISLAM sebelum diwajibkan puasa Ramadhan tahun berikutnya.

Andai disorot sejarah Asyura ini cukup besar maknanya buat umat ISLAM kerana banyak mengisahkan perjuangan para NABI dan RASUL menyeru umat manusia kepada agama yang suci iaitu ISLAM.

Antaranya sejarah NABI MUSA AS yang diselamatkan daripada Firaun dan bala tenteranya yang mengejar baginda dan pengikutnya yang mana ditenggelami laut yang terbelah dua. Oleh kerana itulah orang-orang Yahudi juga turut memuliakan dan berpuasa pada hari Asyura.

Bahkan RASULULLAH SAW mengatakan sepatutnya umat ISLAM lebih layak untuk meraikan kemenangan ini bukan mereka dengan melaksanakan puasa sunat di hari tersebut. Baginda juga menasihatkan agar ditambah sehari puasa sebelum atau selepasnya bagi membezakannya dengan amalan Yahudi itu.


Semoga amalan berpuasa sunat diikuti amalan-amalan sunat yang lain mampu meningkatkan ketakwaan kita kepada ALLAH bukan hanya berpada dengan amalan fardhu sahaja. Semoga ianya dipanjangkan kepada saudara-saudara kita yang lain untuk manfaat kita bersama agar umat ISLAM akhir zaman ini lebih ke hadapan hubungannya dengan ALLAH dari semasa ke semasa.

Selamat beramal kerana ALLAH!

Kata Muthaqqaf : Jangan lupa untuk berniat pada malam sebelum berpuasa dan bangun sahur sebelum azan subuh berkumandang. Memadailah dengan minum secawan air putih agar beroleh keberkatannya.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Tuesday, December 15, 2009

|| Ahlan Wa Sahlan 1431 Hijrah! ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Tahun 1430 semakin hampir melabuhkan tirainya. Tanpa disangka-sangka begitu pantas masa berlalu memasuki tahun yang berikutnya. 1431 hijrah tahun
ISLAM yang bakal kunjung tiba hari Jumaat ini. 1 Muharram tarikh yang kurang diambil perhatian oleh masyarakat yang mengaku muslim berbanding tahun masihi yang diingat sampai bila-bila.

Kalendar atau taqwim merupakan tahun umat ISLAM yang diperkenalkan ketika zaman Khilafah Islamiah Saidina Umar Al-Khattab yang terkenal dengan pelbagai perkara-perkara baru untuk kemaslahatan umat ISLAM. Sejarah yang semakin dilupakan yang perlu disuntik kepada muda mudi muslim.


Peranan ini bukan satu tugas yang ringan. Ia memerlukan tenaga yang cukup besar bagi menyedarkan umat ISLAM akan sejarah-sejarah penting yang perlu disemai seterusnya menjadi suntikan semangat untuk berjuang mempertahankan AD-DIN dari terus diperkotak katik oleh musuh.

Peranan sesebuah kerajaan adalah yang paling utama seterusnya dicorakkan kepada para pimpinan sebelum menjadi contoh kepada rakyat jelata. Andai tiada usaha menanam semangat cintakan ISLAM kepada rakyat nescaya akan semakin jauhlah masyarakat.

Justeru kewujudan parti, NGO, gerakan mahasiswa dan individu iti sendiri diharap mampu mengembalikan masyarakat kepada ISLAM seterusnya memilih kepimpinan yang benar-benar memenuhi tuntutan agama itu sendiri.

Ayuh kita pasakkan api semangat cintakan ALLAH, RASULNYA dan ISLAM pada tahun baru yang bakal menjelma. Mainkan peranan kita selaku hambaNYA dan penganutnya yang tidak hanya duduk diam melihat kerosakan terhadap agama oleh tangan-tangan jahiliah.

Klik di LINK ini untuk memuat turun doa akhir tahun dan awal tahun. SALAM MAAL HIJRAH 1431 kepada semua umat ISLAM di serata dunia!

Kata Muthaqqaf : Untuk akhirnya jangan lupa untuk sama-sama kita membaca doa akhir tahun (sebelum Maghrib) dan doa awal tahun (selepas solat fardhu Maghrib) di rumah-rumah ALLAH atau bersama keluarga di rumah. Moga diampunkan segala khilaf, dosa, kemaksiata, salah dan silap sepanjang tahun ini dan dilindungi dari perkara-perkara yang dimurkaiNYA pada tahun hadapan.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

|| Jawatan Kosong Di Kolej ISLAM Johor! ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Anda masih tercari-cari pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan anda? Masih bercucuk tanam anggur yang tidak berbuah? Semoga entri kali ini dapat membantu sedikit sebanyak kalian yang masih mencari pekerjaan yang sesuai dengan jiwa anda yang dicari-cari selama ini.

Maaf seandainya maklumat ini lewat disebarluaskan kepada kalian kerana kesibukan yang melanda sebelum saya memulakan kerjaya pada tahun hadapan.


Di sini saya sertakan link jawatan-jawatan kosong yang amat diperlukan di Selatan Tanah Air di Kolej ISLAM Johor. Klik di SINI untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Moga maklumat ini memberikan sinar baru kepada mereka yang tercari-cari selagi peluang ini masih terbuka. Setakat ini tiada tarikh tutup seperti yang tertera di laman web. Akan tetapi saya dimaklumkan oleh seorang sahabat untuk menghantar resume sebelum 17 Disember 2009.

Selamat mencuba dan semoga berjaya!


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Saturday, December 12, 2009

|| Dedikasi Buat Si Dia : Cinta Terakhir ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Kau... cinta pertamaku,
Kau... cinta terakhirku,
Tiada apa yang bisa menafikan,
Kasih kita.

Kau... ayu di mataku,
Satu... antara seribu,
Tiada tara di dunia.

Mungkin kan terputus di tengah jalan,
Mungkin kan terlerai tanpa ikatan,
Usah ragu dengan takdir.

Mungkin kita kan berbeza haluan,
Berakhirnya cerita percintaan,
Segalanya ketentuan Tuhan.

Lagu dinyanyikan oleh Aiman Akademi Nasyid.




Dedikasi buat si dia : Buat tunangku yang akan ku nikahi dirimu dan keluargamu keseluruhannya. Maaf kerana terlewat menunaikan permintaanmu untuk membaca secebis puisi karanganku sendiri. Malangnya tidak dapat ku lakari. Akan tetapi lirik dan lagu ini adalah maksud yang ingin ku sampaikan daripada lubuk hatiku ini.

Semoga ianya dapat menjadi perangsang sebagai persediaan kepada kita sebelum dan selepas melangkah ke alam pernikahan yang ternyata berat tanggungjawab yang menanti.


Doakan moga kami disatukan dengan izin dan rahmatNYA!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Friday, December 11, 2009

|| Jawatan Kosong Bagi Yang Berminat ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah segunung puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat ALLAHU RABBUNA, Tuhan Pencipta sekalian alam yang masih memberikan peluang kepada diri ini untuk terus mengabdikan diri kepadaNYA meski diri ini terkadang lalai dan alpa. Moga terangkat dan terampun segala salah, silap dan keterlanjuran yang tidak disengajakan apatah lagi yang disengajakan.

Selangit kesyukuran juga ku titipkan buat 'buah hatiku' ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kerana memudahkan segala urusan yang dilakukan oleh hambaMU ini.

Tidak berniat untuk berceloteh panjang. Dengan izin ALLAH saya akan mengajar dan mencurahkan segala ilmu yang dipelajari di negeri kelahiranku, Johor Darul Takzim walaupun masih ditadbir oleh Barisan. Sampai masanya nanti akan beralih angin juga.

Ya, saya akan mengajar di Sekolah Menengah Lughatil Arabiah Tangkak. Untuk makluman kalian semua, Pengetuanya merupakan abang lama lepasan Universiti Al-Azhar juga. Saya sempat bersua dan berkenalan dengan beliau ketika itu saya di tahun pertama.

Di sini saya sertakan sekolah-sekolah berserta nombor untuk dihubungi yang memerlukan guru-guru lepasan pengajian ISLAM untuk berbakti mencurahkan ilmu kepada anak-anak yang dahagakan ilmu agama sebelum bermulanya persekolahan sesi 2010 nanti.

1- Sekolah Rendah Agama Puchong | Pengetua : Ustazah Aishah - +60123360380.

2- Sekolah Rendah dan Menengah Islam Omar Zuhdi, Saujana Utama, Sungai Buloh | Pengetua : Ustaz Adnan - +60195281740.

3- Sekolah Menengah Lughatil Arabiah, Tangkak | Pengetua : Ustaz Zunnurain - +60137723879.

4- Sekolah-sekolah Arab di Johor di bawah seliaan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) [Maahad Johor, Maahad Pontian etc] hantar resume ke tingkat 2@3 bahagian pendidikan sekolah agama blok B sebelum 20 Dis ini atau hubungi Ustaz Safri - +60167155161.


Itu sahaja yang ingin disampaikan. Selamat maju jaya dan semoga berjaya!


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Sunday, November 22, 2009

|| Bantuan Kepada Yang Memerlukan ||

بسم الله الرحمن الرحيم




Introduksi

Dewasa ini masyarakat dunia umumnya dan Malaysia khususnya sedang bergolak dengan pelbagai jenis penyakit yang merantai diri hingga meragut nyawa orang-orang tersayang. Memang diakui bahkan diketahui umum mereka yang beriman kepada ALLAH bahawa setiap yang mati itu adalah ketentuan yang Maha Mematikan dan Menghidupkan sekalian makluk ciptaanNYA. Tanpa sebibit pun was-was akan kekuasaanNYA.

Namun disebalik ketentuan hidup dan mati yang telah putus itu, tetap diselitkan peluang kepada setiap insan untuk berusaha mengubati sebarang penyakit atau apa jua musibah yang menimpa. Usaha mencari penawar bagi setiap penyakit jelas dinyatakan di dalam kalam Nubuwwah yang bermaksud :

"Sesungguhnya setiap penyakit itu ada ubatnya kecuali MATI"
Riwayat Bukhari dan Muslim

Justeru itu, setiap mukmin itu tidak wajar berputus asa atas setiap musibah yang melanda dalam apa jua bentuk dan situasinya. Selain sabar dan redha yang dituntut, usaha adalah jalan yang paling perlu dilaksanakan terlebih dahulu kamudian diikuti tawakal yang dihiasi sabar dan redha tadi.

Mencegah, Mengubat, Merawat

Kita sering mendengar pepatah 'Mencegah lebih baik dari mengubat' yang turut terdapat dalam pepatah Arab dan Bahasa Inggeris. Dari mana pepatah tersebut, saya tidak mengkajinya. Disebalik pepatah yang sering disebut-sebut itu terkandung banyak faedahnya kepada kita bagi mengelakkan diri dari ditimpa penyakit dan musibah yang tersebut sebagai satu usaha.

Sayu dan sebak di hati ini apabila melihat orang-orang yang disayangi ditimpa musibah berupa penyakit. Perbelanjaan rawatan jangan ditanya. Semestinya memakan ribuan hingga mencecah puluhan ribu ringgit demi memastikan orang tersayang kembali sihat seperti sediakala. Mereka sudah ku anggap seperti ahli keluargaku sendiri. Apa yang mereka alami, turut mengguris hatiku.

Apatah lagi saudara-saudara seagama di luar sana yang turut diuji sedemikian rupa walaupun baru ku kenal. Ianya tetap memberikan impak yang pilu dalam hati ini. Ingin ku bantu namun tiada daya. Hanya kata-kata semangat perangsang agar mereka terus bersemangat melalui hari-hari mendatang.

Buat diri ini dan mereka yang masih memiliki kesihatan yang baik, manfaatkanlah kesihatan tersebut dengan sebaiknya. Jaga sumber pemakanan yang diambil halal dan seimbang jauh dari punca kepada penyakit-penyakit berbahaya yang kian menular.

Menurut pemerhatian penulis bahkan melalui pendedahan kajian yang dilakukan oleh doktor-doktor di luar negara bahawa setiap ubat yang diambil terhadap suatu penyakit akan memberikan kesan mengundang kehadiran penyakit lain.

Tidak hairanlah kita lihat mereka yang telah mula mendapatkan rawatan di hospital/klinik pasti akan terikat dengan perjanjian menjalani rawatan susulan dari semasa ke semasa dengan timbulnya penyakit yang lain. Ada kebenarannya.

Cubalah, Ianya Terbukti Dengan Izin ALLAH

Kali pertama melihatnya bagaikan piring alas cawan/gelas Tak keterlaluan dikatakan seperti lampu suluh pun ada apabila digabungkan bersama. Itulah BioDisc, sebiji piring kaca buatan Jerman. Ianya bukan kaca biasa.

Ianya merupakan satu alat penjana tenaga @ chi semulajadi menghasilkan frekuensi tenaga mengandungi 13 jenis mineral semulajadi digabungkan demngan menggunakan kombinasi teknik 'Nano Fusion' kuasa haba yang tinggi ke dalam kepingan disc. Penggabungan mineral semulajadi (fusion techniques) menjadi ejen pemangkin tenaga 'scalar energy'.


Sebarang maklumat terperinci mengenainya, boleh merujuk dan memuat turunnya melalui Box.net saya di sebelah. Telah saya muatkan maklumat terperinci 'Tentang Biodisc' dan 'Cara Guna Biodisc'.

Rawatan ini amat mudah, selesa, tidak menyakitkan, kos rawatan yang rendah dan tiada sistem ubat-ubatan. Sekadar memerlukan perbelanjaan yang besar sedikit di permulaannya.

Biodisc (Piring Kaca Sahaja) = RM1960
Lampu Suluh Berkuasa Tinggi = RM230
Total = RM2190

Sebarang maklumat lanjut dan tempahan sila hubungi saya di talian berbayar +60197371725. Semoga dengan usaha yang sedikit ini dapat meringankan beban mereka yang amat memerlukannya.

Kata Muthaqqaf : Sesungguhnya segala penyakit itu juga datangnya dari ALLAH sebagai ujian sebagaimana penawar penyakit itu. Usaha untuk menyembuhkannya adalah perlu sebagai tanda kita bersyukur sebelum berserah sepenuhnya kepada yang Maha Esa.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Sunday, November 15, 2009

|| Sampaikanlah... ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Ku akui
Hati sering berbicara
Sukma mengkritik benci
Pilu menyorot
Maksiat tegar
Dosa memugar
Diangkat diktator
Rakus membina batuan
Remeh memupuk naluri

Akhir zaman
Manusia berlaku jaguh
Dosa bersalut maksiat
Tanggal malu
Terbang maruah
Seiring api murka
Bersemarak lolongan
Neraka bertakhta
Tersedia buat mereka

Di sana sini
Tidak bersembunyi
Sesuai ditonton
Semua lapisan
Tiada pembela
Tampil membenteng
Menyumpah di sukma
Takkan berkesudahan

Bilakah agaknya
Kan lahir asadullah
Tiada silu terkaku
Tiada rapuh berguru
Tegas mendaulat
Mengarak obor
Kesucian AL-ISLAM


Sampaikanlah
Arahan ringkas
Padat bermakna
Rantaian bertali arus
Warisan mulia
Di anjung kasih-NYA

Muthaqqaf Azhari,
Teratak Sri Pulai Perdana.



Kata Muthaqqaf : Monolog hati sering mengungkapkan kebenaran kerana hati itu suci sesuci kain yang putih. Namun apabila nafsu yang berkuasa, gelap gempita menyelubungi andai ianya tidak dirantai dengan sebaiknya. Rona-rona alam banyak memberikan ilham. Moga lebih berdedikasi untuk membantu agama-NYA.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Friday, November 06, 2009

|| Selesai Dengan IzinNYA ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Satu persatu selesai. Tanpa disangka-sangka kelewatan untukku mendapatkan sebarang pekerjaan sebenarnya membuka peluang kepadaku untuk mengisinya dengan menyelesaikan perkara-perkara mendatang. Perkara yang menjadi prioriti sebagai syarat untuk memenuhi keperluan masa hadapan.

Sementara menantikan panggilan dari mana-mana syarikat dan jabatan kerajaan mahupun swasta melalui permohonan yang telah dibuat. Insya-ALLAH, kala ini kesabaran adalah kunci terbaik bagi meredakan keadaan. Di akhir episod penantian ini, pasti akan ada sinar kegembiraan yang menanti di hadapan.

Lesen kereta yang dinanti-nantikan selama ini selesai jua akhirnya. Meski masih diperingkat percubaan selama 2 tahun sekurang-kurangnya memudahkan urusan bekerja, belajar dan berjuang untuk ISLAM kelak. Bersyukur adalah kunci segala rezeki.

Meski urusan untuk menukar lesen yang diperolehi dari Jabatan Pengangkutan Jalan Republik Arab Mesir begitu sukar, ia merupakan lumrah untuk mendapatkan sesuatu yang berharga. Kemanisannya apabila segala urusan berjaya dilalui dan matlamat mendapatkannya tercapai.

Buat sahabat-sahabat yang juga mempunyai lesen (kelas D dan B) lepasan Mesir dan merancang untuk mendapatkan lesen Malaysia bolehlah merujuk saya nanti di talian 0197371725. Memang merumitkan kerana ianya memerlukan kita turun ke Kedutaan Besar Mesir Di Malaysia di Jalan Ampang Hilir melainkan apabila kalian telah mendapatkan lesen antarabangsa ketika di Mesir lagi.

Pada sekitar tahun 2006 pernah diadakan kursus pra perkahwinan di Mesir yang mana membuka ruang dan peluang kepada para siswa siswi di Mesir menduduki kursus tersebut. Sebagaimana sedia maklum, telah disyaratkan kepada setiap pasangan yang berkahwin agar memiliki sijil kursus pra perkahwinan sebelum menikah. Ditambah dengan menjalani ujian HIV bagi memastikan setiap pasangan negatif HIV.

Terima kasih kepada Saudari Noor Adilah Kamaruddin yang merupakan siswi perubatan HUKM yang sudi berkongsi maklumat berkenaan kursus tersebut yang bertempat di HUKM baru-baru ini.

Ujian, cabaran dan musibah tidak akan pernah jemu menerjah ke ruang hidup orang-orang yang beriman. Selepas satu, pasti akan muncul yang lain sebagai tanda kasih dan sayang ALLAH kepada hamba-hambaNYA yang dikasihi. Selain sebagai penghapus dosa-dosa kecil yang teramat banyak kita lakukan saban hari.

Moga keampunan ALLAH sentiasa merantai diri kita saban waktu dengan basahan zikrullah, istighfar dan taubat yang tidak berkesudahan sehinggalah dijemput ke hadrat ILAHI dengan penuh keimanan dan keinsafan.

Kata Muthaqqaf : Sepenuh kesyukuran kepada ALLAH atas segala macam ranjau yang ditimpakan. Itupun diri ini masih leka dan alpa dengan amanah yang dituntut. Moga diri ini terus thabat dalam meneruskan perjuangan sebagai seorang hamba ALLAH, seorang pejuang ISLAM dan seorang saudara seagama kepada saudaranya yang lain.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Saturday, October 31, 2009

|| Sebelum Aku Bernikah ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Insyaallah, hari ini dan esok (31 Oktober dan 1 November) saya akan mengikuti kursus perkahwinan yang akan diadakan di dewan auditorium Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Kursus pada hari pertama akan bermula pada jam 2 petang dan berakhir pada jam 6 petang. Manakala hari kedua seawal jam 8 pagi dan berakhir pada 6 petang. Kursus ini tidak lain adalah sebagai prosedur seseorang rakyat Malaysia beragama ISLAM yang ingin berumahtangga.

Selain itu disyaratkan juga setiap pasangan menjalani ujian HIV bagi memastikan masing-masing negatif virus pembunuh itu. Semoga ALLAH melindungi seluruh umat ISLAM dari musibah tersebut selagi mana kita berpegang teguh dengan ajaran ISLAM yang syumul.

Di sepanjang keberadaan saya di Kuala Lumpur ini, insyaallah saya menumpang di rumah sahabat serumah ketika di Mesir dahulu. Dia yang lebih dikenali dengan 'Butang Mutiara' di Facebook dan Friendster. Terima kasih kerana sudi menerima sahabatmu ini sebagai tetamu.

Semoga 2 hari di sepanjang kursus ini dapat memberikan ilmu yang bermanfaat dan berguna sebelum kami melangkah ke alam rumahtangga yang semestinya penuh dengan onak ranjaunya.


Doa kalian sentiasa diharapkan agar diri ini dapat terus teguh atas landasan memperjuangkan ISLAM meski badai melanda. Insyaallah moga ALLAH thabatkan hati-hati kita semua.

Selamat berkursus kepada diriku!

Kata Muthaqqaf : Moga jodoh berkekalan hingga disatukan kelak. Buat tunangku, bersabarlah untuk melalui bulan-bulan terakhir dengan penuh ketaatan kepadaNYA menjauhi yang dilarangNYA. Fi amanillah...

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Sunday, October 25, 2009

|| Teringin Kembali Seperti Dulu ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Sekian lama blog peribadiku ini tidak dikemaskini. Semenjak diri ini ditimpa musibah 3 minggu lepas kemalasan mula menyelubungi. Akan tetapi hasrat di hati ingin kembali seperti sediakala terasa membuak-buak.


Mungkin kerana diri ini leka daripada tugasan membantu kerja-kerja ISLAM, maka inilah balasannya. Apabila nikmat kesihatan telah ditarik, sesalan sudah tidak berguna lagi.

Apapan suratan yang telah ditetapkan oleh yang MAHA ESA ku akur.

Selepas 2 minggu berbalut dan bersimen ALHAMDULILLAH kerana tulang yang retak semakin sembuh. Akan tetapi doktor masih tidak membenarkan balutan tersebut dibuka. Doktor menasihatkan agar diteruskan balutan bersimen tersebut hingga ke 3 minggu mendatang.

Kemudian barulah dibenarkan untuk dibuka sendiri seterusnya pergi lagi sekali ke hospital untuk menjalani pengimejan sinar-x bagi melihat perubahan terkini terhadap tulang dan kaki kiri yang terseliuh itu.

Dapat ku rasakan ianya masih belum sembuh sepenuhnya. Namun kedegilan ini mengatasi segalanya. Meskipun begitu tidak bermakna aku benar-benar ingin kembali lasak dan aktif ke sana sini sehingga lupa bahawa aku masih belum kebah.

Hari ini adalah hari percubaan untuk aku. Aku telah membuka balutan simen sebelum masa yang ditetapkan. Andai kesakitan yang tidak dapat ku tahan terasa, maka aku akan membalutnya semula. Sekaligus terpaksa membatalkan hasrat untuk menanyakan keperluan jawatan kosong di Majlis Agama ISLAM Negeri Sembilan di bahagian Baitul Mal ketika ini.

Doa kalian diharap-harapkan agar diri ini terus kuat dan tabah menelusuri hari-hari mendatang dengan semangat yang segar.

Kata Muthaqqaf : Terus berharap kepadaNYA...

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Sunday, October 11, 2009

|| Bukan Milik Kita ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Nampak gayanya Bagan Pinang yang merupakan kubu kuat UMNO masih bukan milik kita. Rakyat yang merupakan pengundi telah menentukan pilihan mereka. Mereka lebih cenderung untuk memilih calon yang popular dan dikenali ramai tanpa melihat terlebih dahulu dari aspek lain yang telah mencemari ciri-ciri seorang pemimpin yang sepatutnya dipilih.


Selain Jentera Pilihanraya PAS perlu menilai dan membuat analisa sepenuhnya mengenai kecenderungan para pengundi yang beralih arah, rakyat jelata umumnya juga perlu melihat dengan lebih telus adakah begini masa hadapan negara kita. Menghalalkan perkara yang jelas diharamkan oleh ALLAH berkenaan dengan rasuah yang seolah-olah dipandang sepi.

Dalam masa yang sama, andai dilihat saban hari sebelum hari pembuangan undi PAS dan Pakatan sentiasa diburuk-burukkan oleh media tali barut BN/UMNO yang menjadi hidangan rakyat Malaysia setiap hari. Tidak hairanlah mereka mempergunakan jentera atas nama kerajaan Malaysia dengan sebaik mungkin sehingga menghalalkan yang haram, menanggalkan demokrasi yang menjadi 'laungan takbir' selama ini.


Sekaligus menidakkan laungan 1 Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' hanya demi kepentingan survival politik sempit mereka yang semakin berpecah menanti belah. Juga kenyataan yang mengatakan seolah-olah hanya BN/UMNO yang mampu membawa agenda perpaduan, kemajuan dan pembangunan menafikan parti-parti lain gagal untuk mentadbir negara.

Rakyat Malaysia semakin menuju ke arah masyarakat yang cerdik dan bijak dalam membuat pilihan. Bahkan semakin bijak menimbang sesuatu berita yang disampaikan oleh media yang dieksploitasi oleh kerajaan pemerintah sahaja. Diskriminasi terus berlaku tanpa memberikan ruang sedikit pun kepada parti-parti dalam Pakatan untuk bersuara.

Namun di celah-celah timbunan intan yang berkilau, ada juga kaca yang sudah sebati dengan pengamalan kerajaan sedia ada sekaligus berpandangan hanya kerajaan sedia ada sahaja yang mampu mentadbir Malaysia walaupun terlibat dengan rasuah, politik wang dan bermacam lagi kejahatan yang disembunyikan.


Moga masih ada sinar kejayaan dan kemenangan yang menanti suatu masa nanti apabila kebangkitan menegakkan ISLAM, keadilan dan kebenaran menjadi tunjang dalam diri.

Tahniah kepada sahabat-sahabat pemuda, para petugas dan para pemimpin PAS yang berjuang bertungkus lumus demi membawa suara ISLAM dan ciri-cirinya dihayati bersama. Meski kita kalah pada kali ini, mungkin ada hikmahnya yang ALLAH dah tentukan untuk penghayatan kita di masa mendatang.

Kata Muthaqqaf : Sesungguhnya setiap helaan nafas yang kalian hembuskan semasa berjuang membantu ISLAM dilihat oleh ALLAH sebagai helaan amal bakti sebagai bukti tatkala bertemuNYA kelak. Semoga setiap amalan yang menuju redhaNYA mendapat perhatian yang sewajarnya. FI RI'AYATILLAH!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Saturday, October 10, 2009

|| Titipan Semangat - Undilah PAS! ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Sekali dengar tiap bait lagu ini dinyanyikan, begitu indah sekali. Dalam kesedihan diri ini tidak dapat sama-sama membantu sahabat-sahabat seperjuangan di Bagan Pinang, namun diri ini akur. Selepas ini masih banyak lagi siri-siri perjuangan yang memerlukan diri ini untuk meluangkan masa, tenaga dan jiwa demi merealisasikan misi 'ISLAM Memimpin perubahan' dinikmati semua.

Tiada lain yang mampu ku titipkan di kejauhan ini. Hanya titipan doa dan kata-kata juang agar kalian terus thabat, sabar dan berkobar-kobar demi memastikan ISLAM terus bertahkta di hati masyarakat. Seterusnya menjadi pilihan untuk menjulang kedaulatan ISLAM supaya sentiasa berada di puncaknya.

Justeru itu, untuk kalian semua ku titipkan sebuah lagu yang bukan sekadar lagu. Akan tetapi sebagai azimat buat diri para pejuang ALLAH sekalian dalam menempuh kejahatan orang-orang kafir, fasiq, munafiq bahkan umat ISLAM itu sendiri yang tidak ingin melihat ISLAM berdiri tertegak.

Hiasilah diri kita semua dengan sebahagian dari sifat mahmudah yang merupakan qudwah hasanah dari RASULULLAH SAW sebagai panduan mengharungi liku-liku perjuangan yang penuh duri. Maaf kerana tidak berkesempatan bersama kalian dalam membantu perjuangan jihad fi sabilillah yang amat-amat dinantikan oleh semua. Salam perjuangan!

SIFAT MAHMUDAH - Hijjaz

Chorus
Inilah sebahagian Sifat Mahmudah
Yang patut ada pada diri kita
Susah dimiliki payah dijaga
Hanya yang punya
Yang bermujahadah (2x)

IKHLAS itu jiwa yang murni
Rahsia
ALLAH di dalam hati
Terlalu sembunyi tapi dapat dikesan
Jika disuluh dengan saksama
Nista dan puji tiada berbeza

REDHA sifat hati yang suci
Ujian yang tiba rasa gembira
Atau tiada apa terasa
Kerna menerima anugerah Tuhannya (2x)

Sifat SABAR sedikit berbeza
Ujian yang menimpa sakit dirasa
Tapi dapat ditahan perasaannya
Hanya bermain di dalam sahaja
Di luar tidak nampak terang nyata


Kata Muthaqqaf : Inilah cabaran dalam memperjuangkan ISLAM. Tiada yang mudah. Tiada yang goyang kaki. Segalanya memerlukan ketahanan fizikal, mental, iman dan takwa merantai jiwa dan atma merintis jalan-jalan syahid di hadapan. Moga ALLAH memandang usaha kita ini dalam timbangan rahmat dan redhaNYA.

Undilah PAS untuk kesejahteraan sejagat demi memastikan ISLAM kembali di persada. ALLAHU AKBAR!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa