Video Klip Pilihan

Tuesday, January 13, 2009

|| Ujian Dalam Ujian ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Sakit, menderita, sengsara dan kesusahan merupakan perkara-perkara yang biasanya dialami oleh mereka yang dirundung dengan ujian oleh ALLAH. Ujian yang datang juga datangnya dari pelbagai bentuk samada penyakit, musibah, bencana alam, malapetaka dan sebagainya. Ujian yang datang tidak lain adalah sebagai satu penapis kepada kenaikan darjat keimanan seseorang yang benar-benar beriman kepada ALLAH.

Bahkan ALLAH sendiri merakamkan perkara ini di dalam kalamNYA yang bermaksud : "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" (Al-Ankaabut:2)

Bulan 'Peperangan'

Alhamdulillah seperti yang dirancang, syukur ke hadratNYA kerana bersesuaian dengan perancangan RABBULJALIL sehingga penulis berjaya pulang ke 'halaman ilmu' ini bagi menyelesaikan tuntutan ilmu di sini. Seterusnya seusai menduduki imtihan kali ini seterusnya menyambung ke peringkat yang selanjutnya. Segala yang dirancang ini diharap mendapat restu YANG ESA.

Apa yang pasti, kesungguhan yang sebenar-benarnya perlu ku gembleng untuk menatijahkan sebuah kejayaan yang terbaik menggembirakan insan-insan yang sentiasa mendoakan kejayaan diri ini. Kepada ALLAH jua ku pohon moga diberi kekuatan untuk menongkah perjalanan menuntut ilmu ini sehingga matlamat yang dituju mencapai hadafnya. Hadaf memartabatkan ISLAM dari terus diinjak-injak oleh musuh-musuh durjana.

Tika ini kita saksikan Gaza di Palestin yang terletaknya kiblat suci umat Islam yang pertama, iaitu Baitul Maqdis sebelum diarah bertukar ke Makkah Al-Mukarramah. Gaza yang tatkala ini sedang bergolak dengan serangan musuh ISLAM, Israel dan sekutu-sekutunya yang menyerang tanpa henti masuk minggu ke-3 sehingga mengorbankan hampir ribuan nyawa tidak berdosa. Peperangan mereka adalah peperangan yang menjanjikan syahid di jalan ALLAH yang hakiki. Moga ALLAH sentiasa merahmati mereka disamping bantuan yang tidak putus-putus kita salurkan kepada mereka walau dalam apa keadaan sekalipun.

Dengan izin RABBULKARIM, penulis akan menduduki imtihan untuk semester pertama ini bermula pada 19, 22 dan 24 Januari 2009. Sebanyak 3 subjek yang akan penulis tempuhi untuk semester ini diikuti dengan 3 semester juga pada semester seterusnya. Berikut jadual imtihan penulis sebagai makluman sahabat-sahabatku sekalian.

19 Januari 2009 - Tabsyir Wa Istisyraq (Gerakan Orientalis)
22 Januari 2009 - Tayyarat Fikriah (Ideologi Pemikiran)
24 Januari 2009 - Thaqafah Islamiah (Kebudayaan Islam)

Moga kejayaan milik kita bersama kerana semata-mata kerana ALLAH untuk ISLAM kelak, dunia dan akhirat. Untuk memartabatkan ISLAM kembali dari terus dipergula-gulakan oleh musuh-musuh ALLAH.

Ujian Itu Tarbiah

Di kala semua mahasiswa dan mahasiswi sedang sibuk menjalani terapi dengan ulangkaji bagi menghadapi imtihan yang telah pun bermula bagi kebanyakan fakulti. Termasuklah penulis yang akan menghadapinya pada minggu hadapan selama seminggu. Situasi penulis agak berbeza dengan mahasiswa-mahasiswi yang lain kerana penulis hanya menduduki 3 subjek sahaja baki imtihan yang lepas.

Bukan ini yang ku minta akan tetapi ini merupakan ujian dari ALLAH untuk hamba-hambaNYA yang benar-benar beriman sebagaimana yang termaktub di awal entri ini. Dalam kesibukan menghadapi imtihan ini, sudah pasti akan ada ujian yang ALLAH selitkan untun menguji keimanan, kesabaran dan kekuatan fizikal. Bahkan ujian juga pernah dikatakan oleh RASULULLAH SAW merupakan penghapus kepada dosa-dosa kecil yang pernah dilakukan.

Alhamdulillah, kesyukuran yang tidak terhingga dipanjatkan kerana ALLAH masih mengingatiku dengan mendatangkan apa sahaja ujian untuk imanku ini. Teringat daku akan kata-kata Saidina Umar RA mengenai perihal ujian dari ALLAH ini. Maksud dari kata-kata beliau itu : "Aku amat gembira tatkala aku diuji oleh ALLAH kerana aku tahu DIA menyayangiku dengan mendatangkan ujian itu. Akan tetapi aku sangat sedih apabila DIA tidak memberiku sebarang ujian kerana aku akan menyangka DIA tidak menyayangiku."

Kesimpulannya, kedatangan sesuatu ujian berupa kesusahan, kesempitan hidup dan sebagainya seharusnya diterima dengan hati yang terbuka kerana ALLAH Maha Mengetahui akan situasi hamba-hambaNYA dengan mendatangkannya mengikut kemampuan kita hambaNYA. Usahlah dikesali, dirunguti, dan mengadu domba dengan ujian ALLAH ini kerana begitu banyak hikmah yang tersebunyi disebalik sesuatu ujian itu.

Terima kasih kepada insan-insan yang sudi menitipkan kalam-kalam semangat buat diri ini agar menjadi manusia yang kuat dan tabah dengan setiap ujian yang menimpa. Tentunya diri ini tidak akan mensia-siakan harapan dan doa kalian semua yang mengharapkan sebuah kejayaan untuk meneruskan sebuah kesinambungan sirah Nabawiyah sehingga hembusan nafas terakhir.

Semoga kita mampu menjadi pendokong, pendorong dan pembela kepada agama yang amat dicintai ini dari terus dipandang rendah oleh musuh-musuh ISLAM. Berilah kekuatan kepada kami untuk terus berbakti kepada agamaMU dan mempertahankannya dengan sepenuh tenaga kami sehingga ke titisan darah yang terakhir!

Kata Muthaqqaf : Salam imtihan buat semua sahabat-sahabat yang ku kenali mahupun tidak ku kenali dengan ingatan bersama supaya kita ingat D.U.I.T iaitu DOA, USAHA, ISTIQAMAH dan TAWAKAL. Sesungguhnya keempat-empat elemen itu amat berkait rapat antara satu sama lain kerana ianya saling melengkapi untuk membentuk satu natijah kejayaan yang cemerlang dan gemilang yang diredhaiNYA. Salam sayang bersalut ukhuwah fillah buat semua sahabat yang ku kasihi.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: