Video Klip Pilihan

Saturday, January 31, 2009

|| Bicara Politik (Respon Terhadap Ceramah Umum Ahli Parlimen PAS Di Mesir) ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam sejahtera buat sidang pembaca yang sentiasa dirahmati ALLAH dengan limpahan taufiq, hidayah dan kasih sayangNYA selamanya. Seusai imtihan penulis seminggu yang lalu, tiada sebarang entri yang dikemaskini. Kesibukan sebagai seorang pemimpin kembali menerjah hidup penulis bagi menyambung kembali tugasan sebagai seorang 'hamba' walaupun tidak pada realitinya. Disebalik entri pada kali ini memaksa penulis untuk mengulas beberapa pengalaman dan pandangan bagi memberikan sedikit kefahaman yang jelas.

Isu ini telah berkisar agak lama sebelum kedatangan wakil rakyat dari pihak pembangkang lagi. Perkara ini kita dapat lihat semenjak sekian lama sebelum berlakunya Pilihanraya Umum Malaysia ke-12 pada 8 Mac 2008 yang menyaksikan berlakunya tsunami politik yang amat memeranjatkan semua pihak. Bahkan ianya memberikan satu kejutan yang di luar dugaan parti-parti politik yang bertanding itu sendiri. Kedatangan para menteri dan wakil rakyat dari pihak kerajaan di kalangan UMNO tidak pula dihingarkan. Mengapa tentangan yang berat sebelah dan 'pilih bulu' berlaku?

Kedatangan wakil-wakil rakyat dari pihak kerajaan yang menggunakan landasan menteri bagi pihak kerajaan Malaysia turut membawa wadah kepartian mereka. Perkara ini tidak dapat dielakkan dan sekalian masyarakat pelajar bijak dalam menilai siapakah yang berada di pihak yang benar berteraskan neraca ilmu yang dipelajari. Ilmu ISLAM yang semestinya syumul dan merangkumi setiap lapangan kehidupan turut memasukkan elemen siasah yakni politik yang berteraskan lunas-lunas ISLAM.

Malahan andai kita perhatikan sebelum PRU12 seluruh jemaah menteri kerajaan Malaysia hingga ke pperingkat Perdana Menteri dan Timbalannya sendiri turun ke Mesir dengan membawa wadah dan wacana kepartian gagasan mereka semenjak 50 tahun memerintah Malaysia. Meskipun mereka datang atas landasan jawatan yang dipegang, terselit juga di sana hasrat untuk menyemai wadah kepartian mereka tanpa menerima sebarang komen mahupun tentangan hebat dari mana-mana individu dan persatuan mahasiswa.

Akan tetapi, mengapa tatkala kedatangan wakil rakyat dari pihak pembangkang dilayan dingin oleh beberapa individu yang pro-kerajaan malah menuduh ianya bertujuan untuk menge'PAS'kan mahasiswa Al-Azhar? Apakah kedatangan wakil-wakil rakyat dari pihak kerajaan yang memerintah tiada tujuan yang sama untuk men'UMNO'kan mahasiswa Al-Azhar? Adakah insan yang sudah bergelar 'MAHASISWA' masih belum matang untuk menilai senario politik tanah air hingga boleh digula-gulakan oleh kedua-dua parti dominan Melayu dan ISLAM itu?

Jawapannya berada di tangan masyarakat mahasiswa sendiri tanpa mengira samada di peringkat pengajian ISLAM mahupun Perubatan dalam menentukan kecenderungan masing-masing dalam arena politik tanah air. Sedangkan masyarakat mahasiswa di Malaysia turut melakukan perubahan dalam politik kampus mereka, apakah masyarakat mahasiswa di Mesir ini tidak boleh untuk menceburkan diri mereka dalam kancah politik ini?

Usah disempitkan pemikiran mahasiswa di era ini yang dilihat sudah matang dan tidak suka dikongkong dalam kebebasan berfikir dan memilih yang terbaik untuk masa hadapan mereka. Untuk masa hadapan ISLAM. Bagi melihat pihak manakah yang benar-benar menjalankan amanah dan tanggungjawab yang dipundak kepada mereka.

Dewasa ini, kita lihat tsunami perubahan menuntut kepada ISLAM berlaku di mana-mana negara tidak terkecuali negara kita yang tercinta. Oleh yang demikian, tidak sepatutnya arus perubahan yang hangat berlaku di mana-mana tempat di dunia ini disekat terhadap rakyat Malaysia yang diisytiharkan sebagai negara yang menjalankan sistem demokrasi! Kembalikan laungan demokrasi yang dilolongkan selama ini dengan memberikan kebebasan kepada rakyat Malaysia terutamanya kami golongan pewaris kepimpinan negara supaya minda yang masih ligat berputar mampu diadaptasikan dengan lebih membina.

Satu perkara lagi yang ingin penulis ingatkan kepada seluruh masyarakat pembaca sekalian berkaitan dengan program 'Ceramah Umum anjuran bersama Muslim Care Malaysian Society dan Yayasan Unit Amal Malaysia'. Program ceramah umum yang dihadiri oleh Presiden Parti Islam SeMalaysia yang amat terkenal, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, berserta 9 orang ahli parlimen dari Pakatan Rakyat. Mereka semua terdiri daripada barisan kepimpinan PAS yang turun berjumpa pelajar sebagaimana datangnya kepimpinan UMNO atas tiket kerajaan.

PERINGATANNYA BERBUNYI BEGINI : Program yang diadakan pada malam tersebut bukanlah anjuran daripada mana-mana Badan Anak Negeri dan Persatuan di Mesir apatah lagi PMRAM. Banyak tohmahan dan pihak sekian lama mencari salah PMRAM dengan menuding jari bahawasanya persatuan dominan di perlembahan Nil itulah yang bekerjasama menganjurkan ceramah umum politik pada malam tersebut. Yang pastinya PMRAM tidak langsung campur tangan dalam program tersebut!

Kata Muthaqqaf : Kepada mereka-mereka yang berkenaan yang sememangnya tidak puas hati dengan PMRAM di Mesir dinasihatkan jangan buat-buat pandai dengan membuat telahan yang sengaja untuk membusukkan reputasi PMRAM. Sekalipun kalian pro dan sokong gagasan yang dibawa oleh kerajaan dengan mempertahankan institusi keMELAYUan semata-mata terpulanglah pada kalian.

Jangan kerana mempertahankan bangsa, agama tergadai dengan membuka ruang-ruang perpecahan dalam masyarakat. Usah melihat kepada satu pihak sedangkan pihak kedua tidak diberikan peluang untuk berhujjah dan memberikan penjelasan. Zalimlah kalian sekiranya itu yang terjadi.


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

1 comment:

Mohd Rasul Bin Amat said...

amin...
sama2 kita sntiasa menadah tangan berdoa untuk mereka dan seluruh umat Islam di dunia ini...

[-o<