Video Klip Pilihan

Wednesday, March 25, 2009

|| Gelanggang Muhasabah Kembali! ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Hari yang dinanti-nantikan kini kembali. Rasanya seperti baru semalam penulis bersama rakan-rakan seperjuangan memandu kepimpinan PMRAM sesi 2008. Namun, masa itu tidak pernah menunggu kita. Setiap jarum saat dan minit yang bergerak mengubah jam terus berlalu seiring dengan perubahan siang dan malam membawa waktu semakin tiba ke penghujungnya. Yang berlalu tetap akan berlalu dan tidak akan berulang kembali. Yang jernih dijadikan pengajaran dan ditambah baik manakala yang keruh itu dijadikan sempadan supaya lebih berhati-hati di masa mendatang.


Tanpa disedari kurang lagi 24 jam penulis akan dihadapkan ke sidang perbicaraan mahkamah muhasabah tahunan PMRAM. Tahun ini merupakan tahun ke-2 penulis di dalam kepimpinan tertinggi mahasiswa di Mesir kemungkinan merupakan tahun terakhir penulis. Walau apapun yang bakal kami tempuhi dalam sidang perbicaraan pada hari esok, harapannya mahkamah muhasabah bukanlah bertujuan untuk menghukum kepimpinan. Akan tetapi sebagai satu muhasabah seterusnya dijadikan kayu pengukur untuk penambah baik kepimpinan PMRAM sesi 2009.

Saban tahun sudah pasti akan timbul variasi lontaran soalan yang bakal menyaksikan kematangan ahli PMRAM dalam bersama mempertahan PMRAM dari anasir-anasir luar yang sentiasa berusaha untuk melenyapkannya. Buat sidang perwakilan seramai hampir 700 daripada 5000 ahli PMRAM, kalian perlu sedar bahawa kalian merupakan wakil suara-suara ahli keseluruhannya. Sayugianya kematangan dalam mengajukan soalan tidak dipertikai lagi. Apa yang paling diharapkan, segala yang dilontarkan matang untuk menaikkan mutu gerak kerja dan perlaksanaan program yang lebih berkualiti dalam membentuk modal insan yang berkualiti.

Antara soalan-soalan yang tidak munasabah untuk ditanyakan seperti maksud akronim seperti PROSMA, Q, PESAT dan sewaktu dengannya yang boleh ditanya di luar muktamar. Selain itu juga soalan yang meminta kepada penjelasan seperti 'sejauh mana', 'setakat mana' juga seharusnya tidak dipanjangkan oleh ahli yang peka dengan setiap perjalanan program PMRAM sepanjang perjalanannya. Apa yang dititikberatkan di sini adalah persoalan berkaitan isu yang besar yang menganggu gugat PMRAM untuk diminta penjelasan. Paling utama, perbahasan usul yang perlu dibahaskan dengan lebih panjang dan lumat demi memastikan pentadbiran di sesi 2009 lebih cemerlang.


Tambahan sebagai langkah yang agak tegar untuk peringatan para perwakilan agar muhasabah yang bakal berlangsung biarlah muhasabah PMRAM secara umum dan elakkan dari menghentam kepimpinan yang terlantik. Lebihkan pada cadangan untuk kepimpinan sesi 2009 atas kekurangan yang terdapat pada kepimpinan yang tidak lali dari salah dan silapnya. Penulis dan sahabat seperjuangan juga manusia biasa yang terbatas dalam melakukan segala tugasan mengikut kemampuan kami memandangkan kami juga mahasiswa seperti kalian juga.

Di akhir coretan di detik-detik terakhir penulis yang bakal menduduki ruangan mahkamah muhasabah memohon jutaan kemaafan seandainya di sepanjang corat-coret penulis dengan kapasiti selaku kepimpinan mahupun pandangan individu terdapat sebarang kenyataan yang mengguris pelbagai pihak. Apa yang penulis rasakan benar dan bertepatan, penulis akan luahkan secara umum. Setiap pandangan manusia itu boleh diterima dan ditolak kerana manusia semuanya tiada yang bebas dari salah dan silap kecuali NABI SAW. Semoga sinar kemaafan sentiasa bersemi dalam hati dan sanubari kita.

Selamat bermuhasabah kepada seluruh sidang perwakilan. Juga selamat hadir menyaksikan sesi muhasabah yang terulung pada tahun ini kepada para pemerhati yang tidak dapat turut serta dalam muhasabah kali ini. Moga muhasabah yang bakal berlangsung sentiasa mendapat payungan rahmat dan barakah dari ALLAH serta dijauhkan dari sebarang perpecahan, permusuhan dan kepincangan sesama ahli. Perpaduan, kesatuan dan ukhuwah amat dititikberatkan dalam membentuk ummah ISLAMIAH yang kuat dan ampuh.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: