Video Klip Pilihan

Monday, March 09, 2009

|| Meruntun Sebuah Penilaian ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Sekian lama perkara ini dipendam untuk dikongsikan bersama kalian semua diluahkan sebagai satu penelitian terhadap setiap amalan yang kita lakukan selama ini. Tatkala mendengar sebuah kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang penceramah dalam sebuah majlis ketika penulis pulang ke tanah air pada cuti tahun lalu. Yang pasti, ianya memberikan kesan yang berbekas sekiranya dihayati secara mendalam.

Sebuah hadith sahih yang diriwayatkan dari RASULULLAH SAW bersabda : 'lakukanlah sesuatu amalan itu secara istiqamah (berterusan) walaupun sedikit.' Tuntutan agar berterusan dalam melakukan sesuatu amal ibadah merupakan suatu tuntutan yang bersungguh-sungguh. Tuntutan beristiqamah ini merupakan tanda-tanda keimanan yang utuh bagi orang-orang beriman.

Apa yang penulis ingin bangkitkan pada entri kali ini bertitik tolak dari ibadah puasa Ramadhan yang telah sama-sama kita lalui tahun-tahun sebelumnya. Segalanya bermula dari ibadah puasa tersebut untuk menentukan samada puasa tersebut benar-benar diterima oleh ALLAH atau ditolak sebagaimana yang diungkapkan oleh kebanyakan ulama berkenaan perkara ini.

Penulis sekadar ingin berkongsi satu rahsia yang penulis dengar di majlis ilmu tersebut sebagai kayu pengukur terhadap tahap penerimaan ibadah di sepanjang bulan mulia itu. Mungkin ada yang mengetahuinya namun lagi ramai yang tidak menyedarinya. Perkara ini sebagai satu muhasabah untuk kita bersama sejauh manakah berhasilnya madrasah Ramadhan yang kita lalui selama sebulan yang penuh barakah itu.

Penulis menaqalkan kembali berkaitan dengan hakikat yang disebut oleh kebanyakan ulama terutama dari sudut tasauf dan akhlak bahawasanya 'tanda diterima ibadah puasa di sepanjang Ramadhan adalah berterusannya segala amalan yang dilakukan disepanjang bulan tersebut seumpama qiamulail, tadarus Al-Quran, sedekah, zikrullah, selawat dan apa jua jenis ibadah sunat yang lain.'


Saya beranggapan, kalian semua jelas dan faham akan maksud yang penulis ingin sampaikan berkenaan perkara ini yang tidak ramai diantara kita mengambil peduli mengenainya. Ramai yang menyangka apabila selesai ibadah puasa selama sebulan dalam Ramadhan itu, maka keadaan akan kembali seperti sediakala. Amalan yang dilaksanakan dengan penuh gigih dan bersungguh-sungguh pada bulan tersebut hanyalah pada bulan tersebut tidak pada selainnya.

Sikap inilah yang sewajarnya diinsafi untuk diubah lantas disuntik kesedaran mengenai tuntutan beristiqamah dalam beribadah kepada RABBUL JALIL dengan penuh semangat dan tekad tanpa terikat dengan ganjaran pahala semata-mata. Tidak dinafikan bahawa kesungguhan yang begitu hebat cukup terserlah pada bulan tersebut dek kerana ganjaran berlipat kali ganda yang dinyatakan tiada pada bulan-bulan yang lain.

Apakah wajar ibadah itu disandarkan hanya semata-mata untuk mengejar ganjaran pahala, fadhilat dan syurga mengetepikan matlamat merebut redha ALLAH yang paling utama? Perlu diingat bahawa segala amal ibadah, solat, hidup dan mati kita di atas dunia ini adalah semata-mata kerana ALLAH untuk menggapai redhaNYA.

Ayuh bersama kita meneliti kembali bagaimanakah kesan madrasah Ramadhan selama sebulan yang kita lalui, mampukah ia memberikan injakan momentum yang dinamik dalam ibadah seharian kita sejajar dengan didikan madrasah tersebut. Janganlah kita membiarkan diri kita terus mengamalkan sikap bermusim dalam ibadah dengan meletakkan selain redha ALLAH sebagai tujuan utama perlaksanaan ibadah.


Kata Muthaqqaf : Semoga sedikit perkongsian ilmiah ini mampu memberikan injeksi kepada kita bersama untuk memperbaiki hubungan terhadap RABBUL JALIL yang paling utama selain memelihara hubungan sesama makhluk di atas muka bumi ini. Salam perjuangan intifada buat sidang pembaca sahabat yang dirahmati ALLAH sekalian. Moga rahmat, maghfirah, inayah dan ri'ayahNYA sentiasa menaungi kita setiap saat walau di mana sahaja keberadaan kita.


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa


No comments: