Video Klip Pilihan

Saturday, April 25, 2009

|| Imtihan Dalam Imtihan ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Debaran imtihan bagi siswa siswi di Perlembahan Nil semakin hampir ke kemuncaknya. Saya tidak terkecuali merasai kehangatan imtihan yang akan menjelma seminggu lebih lagi. Apakah persediaan yang telah saya persiapkan untuk menghadapinya? Sahabat-sahabat yang lain mesti sudah tidak sabar menghadapinya. Saya? Tentu sekali sama seperti kalian tidak sabar untuk menyudahkan kemarau imtihan yang begitu menguji keimanan.

Menguji keimanan? Apa yang saya maksudkan imtihan menguji keimanan? Bagi yang telah lama menduduki imtihan di Mesir semestinya ungkapan ini sudah dimaklumi. Imtihan yang bakal ditempuh merupakan salah satu imtihan dalam kehidupan. Oleh itu, imtihan ini tidak terlepas dari perkara-perkara luaran yang boleh menganggu gugat iman yang kadangkala turun dan naik.

ALLAH SWT turut berfirman di dalam KalamNYA yang bermaksud : "Dan KAMI pasti akan menguji kamu (orang-orang yang beriman) dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan hasil tanaman. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." [Al-Baqarah : 155]
Justeru itu, di musim imtihan ini, tiada yang terkecuali akan diuji dengan pelbagai perkara yang tidak dapat dibayang oleh akal minda manusia kerana segalanya atas kehendakNYA. Sepanjang hampir 5 tahun menghambakan diri kepada Al-Azhar dan Mesir terdapat banyak fenomena yang terjadi kepada saya dan sahabat-sahabat di sekitar saya.

Jangan bohonglah kalau kalian mengatakan tiada apa-apa. Sementelah itu kalian tetap akan diuji apabila dalam hati membenarkan kekuasaan
ALLAH SWT. Melalui firman RABBULJALIL di atas cukup menggambarkan ujian yang kebiasaannya akan ditempuhi oleh sekalian orang-orang yang beriman.

Ketakutan

Elemen pertama yang ALLAH SWT ungkapkan kepada orang-orang yang beriman adalah KETAKUTAN. Apa kaitan ketakutan yang ALLAH maksudkan dengan situasi kita sekarang ini? Kaitannya amat banyak. Antaranya ketakutan untuk menjawawab imtihan, ketidak yakian terhadap diri untuk berhadapan dengan imtihan dan sebagainya.

Dalam erti kata lain, ketakutan amat sinonim dalam kehidupan seorang yang bernama manusia. Elemen ketakutan ini
ALLAH telah campakkan dalam diri manusia untuk menguji sejauh mana keimanan, keyakinan dan keteguhan hati manusia menggantungkan tawakal kepada ALLAH dan tidak berputus asa. Setiap sesuatu yang ALLAH ciptakan ada tujuannya untuk membentuk keperibadian muslim yang sejati.

Kelaparan

Bagi elemen ke-2 yang yang disebutkan di dalam ayat tadi merujuk kepada kondisi kelaparan yang boleh dimaksudkan dengan kekurangan makan. Kemungkinan ada di antara sahabat-sahabat kita yang mengalami masalah kekurangan wang perbelanjaan kerana ketidak mampuan keluarga menyebabkan mereka menghadapi masalah ini. Sewajarnya kita selaku sahabat serumah sentiasa mengambil berat tentang sahabat-sahabat di sekeliling kita dan menghulurkan sebarang bentuk bantuan tanpa dipinta menunjukkan keprihatinan kita.

Jadilah seorang saudara yang sentiasan meringankan masalah dan bebanan sahabat kita meskipun kita juga turut ditimpa masalah yang mungkin berbeza dari mereka.
Adakah kita sangggup melihat sanggup melihat saudara, sahabat kita kelaparan dalam masa yang sama kita kekenyangan terlebih makan? Moga di musim imtihan ini kita tidak hanya sibuk dengan diri kita mengejar kejayaan dengan membiarkan sahabat-sahabat di sekeliling kita menghadapi kesempitan keseorangan.
RASULULLAH SAW bersabda dalam sebuah hadith sahih maksudnya : "Sesungguhnya tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri... "

Kekurangan Harta

Elemen seterusnya yang disebutkan menerusi firman ALLAH di atas berkenaan dengan kekurangan harta. Konsepnya lebih kurang sama dengan situasi di atas terdapat di kalangan sahabat-sahabat kita yang mengalami masalah kewangan. Andai kita tidak prihatin terhadap masalah sahabat serumah tentang perkara ini, memang zalim.

Usah ditunggu mereka yang berceritakan masalah mereka kepada kita. Akan tetapi jadilah orang yang memulakan sesuatu sebagai tanda prihatin dan ambil berat. Meskipun kita tidak dapat membantu untuk meringankan masalah yang dihadapinya, sekurang-kurangnya jadilah sahabat yang mengambil berat sekaligus berusaha untuk membantu mereka.

RASULULLAH SAW juga bersabda dalam sebuah hadith sahih yang lain yang bermaksud : "Sesungguhnya ALLAH akan sentiasa mengurniakan bantuan kepada hambaNYA selagi mana hambaNYA itu sentiasa memberikan bantuan kepada saudaranya yang lain (dengan penuh keikhlasan)."

Kehilangan Jiwa

Ujian yang satu ini telah berlaku ke atas diri saya. Dan sepanjang hampir 5 tahun keberadaan saya di sini, ujian sebegini amat pahit untuk ditelan. Manakan tidak tatkala kita sedang bersemangat untuk berhadalan dengan imtihan untuk dipersembahkan sebuah kejayaan namun
ALLAH lebih menyayangi mereka.

Kehilangan jiwa orang yang tersayang merenggut segala usaha dan semangat yang dicipta. Kejayaan yang ingin diperolehi seolah-olah menjadi sia-sia kerana orang yang disayangi tidak turut sama meraikannya. Inilah realiti yang mungkin difikirkan apabila situasi tersebut menimpa sesiapa sahaja. Namun begitu, ingatlah itu bukanlah halangan dan penyebab untuk sebuah kejayaan untuk mengenggam segulung ijazah dipandang sepi.

Sedarlah duhai saudaraku sekalian, sesungguhnya kehilangan jiwa yang tersayang itu menandakan sayangnya
ALLAH kepada hambaNYA. Janganlah dengan sebab ujian ini kita sanggup menggadaikan sebuah kejayaan yang hakikatnya bukan untuk mereka. Akan tetapi adalah untuk ISLAM yang kita cintai. Kerana ALLAH YANG ESA yang sentiasa menyeru hamba-hambaNYA menuju ke arah kejayaan.

Yang pergi biarlah mereka pergi diiringi dengan untaian doa moga rahmat dan redha
ALLAH sentiasa bersama mereka ditempatkan bersama golongan yang mendapat rahmatNYA. AMIN YA RABBAL ALAMIN.

Kekurangan Hasil Tanaman

Elemen terakhir yang disebutkan melalui ayat di atas adalah merujuk kepada kekurangan hasil yang telah diusahakan. Andai dinisbahkan kepada peladang, petani, nelayan dan yang seumpama dengannya mereka mendapat hasil yang kurang bahkan mungkin merugikan. Andai dinisbahkan kepada pengusaha kilang, ahli ekonomi dan peniaga hasil kepada sebuah perniagaan yang dijalankan mencatatkan defisit dan merugikan. Untung rugi adalah adat dalam berniaga.

Namun begitu, bukanlah adat yang ingin ditekankan di sini. Sandaran kepada adat seharusnya tidak terlalu bergantung kepadanya. Segalanya yang berlaku merupakan ketentuan
ALLAH yang perlu ditekankan melalui konsep Qada dan Qadar. Konsep ini perlu dititikberatkan seiring dengan kehidupan manusia supaya soal ketuhanan sentiasa menjadi pokok utama dalam setiap gerak kerja.

Jika dinisbahkan kondisi ayat tersebut dengan situasi kita yang sebagai seorang penuntut ilmu dengan bersistem tidak lari dari kenyataan samada akan lulus atau gagal sebagai hasilnya. Bergembiralah mereka yang lulus dan berjaya. Berusahalah dengan lebih gigih untuk mereka yang gagal dan tidak berjaya. Pepatah Melayu ada berbunyi;
'gagal sekali bukan bermakna gagal selama-lamanya'.

Justeru itu, jangan jadikan kegagalan yang menimpa diri sebagai batu penghalang untuk lebih tergolong di kalangan mereka yang berjaya. Andai usaha yang hempas pulas dicanai dengan penuh tawakal seterusnya berdoa dan munajat yang tidak putus-putus kepadaNYA. Moga dengan kekhusyukan dan kesungguhan yang terbit tanpa mengabaikan aspek ketuhanan dan kemanusiaan, dengan izinNYA kejayaan menanti di hadapan.

Ini adalah sedikit ulasan untuk renungan kita bersama sementara berbaki beberapa hari sebelum jemari melakar sebuah kejayaan di medan peperiksaan. Bahkan di sana terdapat banyak lagi imtihan lain yang menimpa siswa siswi di musim imtihan ini. Putus cinta, berkeinginan untuk berkahwin, malas, banyak filem dan cerita baru yang menarik dan sebagainya menjadi 'imtihan dalam imtihan' yang bakal menjelma.

Kata Muthaqqaf : Bijaklah dalam mengatur masa sebelum terlambat.
Teruskan menuntut ilmu ALLAH dengan sepenuh perhatian untuk menggapai kejayaan bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat yang paling utama. Dan yang paling utama dari yang terutama adalah kejayaan yang ingin dicapai bukan semata-mata untuk keperluan duniawi, akan tetapi sewajarnya disumbangkan untuk ISLAM semata-mata untuk merebut keredhaanNYA sebagai bukti untuk dipersembahkan kepada kelak.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: