Video Klip Pilihan

Thursday, April 23, 2009

|| Buat Sang Murabbi ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam sejahtera buat semua sidang pembaca para pencinta ISLAM yang dirahmati ALLAH sekalian. Kelihatannya keadaan kembali tenang setelah beberapa siri penegakan hukum ALLAH yang dipandang enteng oleh beberapa pihak mendapat tindak balas yang baik setelah diasak dan digasak. Moga kasih sayang di antara kita semakin utuh dan bertaut erat atas nama ISLAM tanpa melihat perbezaan fikrah yang juga sepatutnya disatukan dengan fikrah ISLAMIAH bukan asobiah, bukan nasionalisme. Hukum ALLAH tetap yang tertinggi dari segalanya. Tiada yang tertinggi melainkan hukum ALLAH. Maka berpegang teguhlah kepada hukum ALLAH dalam apa jua keadaan sekalipun.

Hari-hari yang berlalu mengukir banyak sejarah yang bervariasi. Setiap berita, cerita dan peristiwa yang berlaku banyak memberikan impak kepada manusia sejagat. Ada yang baik. Ada yang kurang baik. Malah ada yang teruk dan melampau yang tak masuk akal andai difikirkan. Walau apapun yang berlaku di sekeliling kita, hakikatnya ia akan menjadikan akal manusia yang menjalani kehidupan lebih matang dan bijak membuat keputusan. Bukan semakin mundur dan terkebelakang dek kerana berajakan nafsu dan syaitan. Justeru itu timbanglah setiap yang berlaku dengan neraca waras minda berpedomankan Quran dan Sunnah.

Sekadar satu injeksi untuk semua pembaca. Kepenatan melayan kerenah manusia yang dangkal akalnya demi mempertahankan sebuah entiti meski jelas berlaku pengkhianatan terhadap AD-DIN yang wajib dipertahankan. Saya yakin dan percaya kalian semua sudah cukup matang dalam menilai setiap sesuatu. Cuma penilaian tersebut perlulah disertakan dengan panduan yang ditinggalkan oleh RASULULLAH SAW agar tidak tersasar dari landasannya.

Di sini penulis sekadar ingin mengulas beberapa peristiwa yang telah, sedang dan akan berlaku di seantero alam untuk makluman semua agar kita tidak ketinggalan dengan peredaran masa yang sentiasa bergerak ke hadapan.

Demi Masa!

Terasa lama sungguh waktu musim panas akan berubah dari musim sejuk. Sedih pula ingin meninggalkan musim sejuk yang banyak memberikan kenangan manis. Mungkin inilah kali terakhir saya akan merasai musim sejuk sehingga 'berasap mulut' selepas menamatkan pengajian sekitar akhir bulan Julai nanti. Harap-harapnya begitulah.

Terik panas mentari sudah terasa sehingga ke kerongkong dek kerana kehausan. Musim panas begini memang sedap andainya tekak ini dibasahi dengan air berperisa ditambah lagi dengan ketulan ais. Ais krim coklat pun cukup menyelerakan dinikmati seusai pengajian di kuliah. Kalau tidak pun, singgah di kedai asir (jus buah-buahan), pekena segelas asob (air tebu) cukup melegakan tekak dek terik panas mentari itu.

Panjang lebar mengomel, sekadar ingin memaklumkan kepada sahabat-sahabat yang menuntut ilmu di MESIR agar dapat menukar waktu jam kalian tepat jam 12 tengah malam ini kepada jam 1 pagi untuk waktu musim panas. Rentetan itu juga waktu solat pada hari esok juga turut berubah contohnya subuh kebiasaannya pada pukul 0346 pagi akan berganjak ke pukul 0446 pagi dan seterusnya. Beza waktu Mesir dan Malaysia juga turut berubah kepada 5 jam contohnya Malaysia pukul 10 malam manakala di Mesir pukul 5 petang hari dan tarikh yang sama.


Sekian untuk makluman.

Peristiwa Lelong Melelong


Dua hari lepas, kerajaan kudeta BN Perak telah mengisytiharkan untuk melelong kesemua 16 buah kereta Toyota Camry 2.4 yang baru dibeli dan dugunakan oleh MB Perak PR dan barisan exconya tidak sampai setahun. Mengapa situasi sebegini boleh berlaku dan dilakukan oleh seorang yang waras seumpama Dr. Zambry? Adakah beliau melelong kereta tersebut atas dasar apa? Inikah yang dikatakan perbelanjaan berhemah dengan menjual kereta yang baru dibeli walaupun beliau memaklumkan ingin menggantikannya dengan kereta buatan tempatan.

Saya tidak nampak ianya merupakan suatu yang menjimatkan apatah lagi perbelanjaan berhemah selepas beliau menggantikannya dengan Perdana yang diketahui umum tatkala isu kereta ini dibangkitkan di awal pemerintahan kerajaan negeri-negeri non-BN. Jelas ianya akan membawa kepada perbelanjaan yang begitu banyak dan merugikan wang rakyat itu sendiri! Apalah nak jadi dengan kemelut di Perak ni. Saya berpendapat saranan supaya dibubarkan DUN Perak direstui seterusnya memberikan mandat kepada rakyat agar dapat menyelesaikan kemelut yang penuh bersejarah ini.


Kepada Tuanku Sultan Perak, patik berharap suara rakyat ini dapat didengari oleh Tuanku untuk mengembalikan kesinambungan pentadbiran negeri kembali normal untuk kepentingan rakyat jelata. Andai apa yang telah tercatat dalam perundangan negeri tidak mampu menyelesaikan kemelut di negeri Perak, adalah lebih baik diserahkan kepada rakyat untuk menentukan pilihan hati mereka supaya keamanan kembali dikecapi bersama.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun.

Asal Tukar PM, Tukar MB

Ini yang paling sadis selepas saya perhatikan dari jauh. Selepas melihat, menilai dan memehatikan corak pentadbiran yang dijalankan oleh kerajaan pemerintah ianya tidak jauh berubah meskipun berubahnya tampuk kepimpinan. Bermula dengan perubahan Menteri Besar selepas Pilihan Raya Umum seterusnya Perhimpunan Agung 'Pertubuhan Melayu Bersatu' yang turut mengubah tampuk kepimpinan yang mampu memberikan komitmen kepada tampuk pimpinan yang baru.

Tradisi ini dilihat seolah-olah dikalangan pimpinan sebelumnya dan yang baru dilantik tiada persefahaman sehingga wujudnya orang 'Pak Lah', orang 'Najib' dan orang 'Mahathir'. Apabila dilihat pentadbiran sesebuah negeri itu tidak mampu memberikan manfaat dan boleh menganggu gugat pentadbiran persekutuan maka ianya akan ditukar bagi memastikan di sekelilingnya hanyalah orang-orang yang menyokong penuh segala dasar dan pembawakan yang digagaskan.

Kita lihat sekarang ini berlaku pertelingkahan sesama exco kerajaan itu sendiri terhadap Menteri Besar yang sedia ada sehingga sanggup memboikot, mengusulkan undi tidak percaya dan pelbagai cara untuk menyingkirkan pimpinan sedia ada. Sekarang ini situasi yang saya gambarkan jelas bergolak di Terengganu, Melaka dan Perlis selepas digulingkan kerajaan negeri Perak. Cuma situasi di Melaka sedikit berbeza kerana terdapat exco Adun yang tidak menginginkan Ketua Menteri Melaka selepas terlibat dengan politik wang.

Inilah situasi yang berlaku. Jawabnya, andai berlaku perubahan tampuk pimpinan sebanyak 3 kali, maka tampuk pimpinan negeri juga akan ditukar sebanyak 3 kali juga untuk mengekalkan sokongan dan mengelakkan pertentangan terhadap pimpinan atasan sebagai contoh. Jelas di sini, di kalangan mereka sendiri pun tiada keyakinan dan kepercayaan antara satu sama lain sehingga wujudnya puak-puak tertentu.

Apa nak jadi dengan 'Malaysiaku Gemilang'...

Biar Ahli Tentukan

Yang ini amat menarik perhatian saya apabila dibuat perbandingan antara pemilihan pucuk pimpinan dua parti politik dominan bagi bangsa Melayu di Malaysia. Iaitu PAS dan UMNO. Umum telah maklum berkenaan dengan pemilihan pucuk pimpinan dalam UMNO baru-baru ini dengan kempennya, politik wangnya dan sebagainya hingga mengakibatkan penglucutan beberapa calon dalam pemilihan tersebut. Tidak kurang hebatnya mereka yang telah dinyatakan terlibat dengan politik wang diangkat sebagai calon yang menang untuk memimpin sebuah parti. Apa sudah jadi dengan orang Melayu ini! Sungguh memalukan!

Bahkan ada dikalangan mereka juga yang menerima tuduhan pembunuhan yang melibatkan maruah negara yang masih berdiam diri sehingga ke saat ini masih juga diangkat sebagai calon yang menang. Berdiam diri kebiasaannya bermaksud setuju dan membenarkan sebarang tuduhan yang dilemparkan. Apakah beliau membenarkan tuduhan akhbar negara Eropah itu? Apakah beliau tidak berasa malu dengan rakyat yang hilang kepercayaan terhadapnya yang sehingga saat ini tidak mempertahankan kredibiliti sebagai pemimpin nombor 1 negara?

Inilah yang berlaku pada peneraju kepimpinan negara kala ini. Amat berbeza dengan situasi parti 'Melayu' ISLAM yang satu lagi. Andai dilihat di ambang Muktamar Sanawi atau Perhimpunan Agung Tahunan parti tersebut tidak seumpama Pertubuhan Melayu Bersatu itu. Pemilihan yang digagaskan amat jauh daripada politik wang kerana ianya jelas dilarang oleh ISLAM itu sendiri. Selain itu juga istilah berkempen dan melobi perwakilan untuk mengundinya tiada sama sekali. Segalanya diserahkan kepada ahli dalam menentukan kredibiliti seseorang yang mahu diletakkan dalam barisan kepimpinan untuk meneruskan agenda daulah ISLAMIAH yang syumul untuk semua bangsa.

Mana yang menjadi pilihan hati? Sendiri congak-congak, sendiri fikir dan tentukan untuk membawa wadah AD-DIN yang dianjurkan oleh ISLAM itu sendiri!

Walau apapun persepsi dan pandangan yang saya utarakan, itulah pandangan peribadi yang berkemungkinan bertepatan dengan pandangan beberapa penganalisa politik bukan kerajaan. Itu adalah hak masing-masing dalam mengulas sesuatu isu secara ilmiah agar maklumat yang ingin disampaikan diterima dengan sebaiknya.

Kata Muthaqqaf : Saya akan menyokong sebuah entiti yang benar-benar membawa agenda ISLAM secara syumul berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Selagi entiti tersebut mengkut lunas-lunas yang digagaskan oleh RASULULLAH SAW selagi itulah saya akan terus bersama entiti tersebut melunaskan kerja-kerja ISLAM kerana ALLAH. ISLAM FOR ALL HUMAN BEING!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: