Video Klip Pilihan

Sunday, April 19, 2009

|| Realiti Permohonan Maaf ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Semenjak artikel berkenaan isu tarian wanita yang lepas dipaparkan, hangat diperkatakan sehingga mendapat tempat di merata tempat hatta di luar Mesir sendiri. Bukan saya sahaja yang menyiarkan ulasan berkenaan dengan insiden tersebut, bahkan ramai dikalangan penulis dan blogger menyatakan pendirian masing-masing berhubung insiden yang amat mengguris hati banyak pihak yang cintakan
ISLAM. Yang paling menarik apabila gesaan saya sendiri terhadap beberapa pertubuhan yang dilihat menjayakan program tersebut di bawah nama Persatuan Pelajar Malaysia Mesir (PPMM) yang bernaung di bawah KBMK mendapat respon.

Kerana ketidak hadiran penulis di sepanjang program tersebut sudah pasti terdapat banyak kecacatan dalam penyampaian maklumat. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang kelihatannya terpukul dengan beberapa kenyataan yang saya keluarkan. Segala teguran yang diberikan berdasarkan kepada situasi sebenar program tersebut yang tidak tepat telah saya ubah dan olah kembali tanpa mengubah maksud sebenar entri tersebut meski di sana terdapat suara-suara yang mendesak supaya dipadamkan. Itu menandakan sensitiviti kalian semua terhadap perkara ini tercabar dan sewajarnya menjadi muhasabah di atas keterlanjuran yang 'tidak disengajakan' itu.

Dek kerana saya dan mantan Presiden PMRAM memulakan langkah dengan menyatakan pendirian yang keras mengutuk tarian tersebut, menyusul selepas itu pendirian pertubuhan ISMA-MESIR berkaitan dengan program tersebut. Malah mereka menyerang kembali beberapa kesilapan maklumat yang kami tulis. Saya secara peribadi menerima teguran tersebut bahkan terus mengubah beberapa kesilapan maklumat yang tidak tepat tanpa menukar matan sebenar artikel yang mengecam diadakan tarian tersebut.

Dalam perkara ini pihak pengurusan tarian yang dijemput untuk mengadakan persembahan tidak bersalah kerana memenuhi jemputan pihak penganjur yang tidak tahu menahu berkenaan situasi mahasiswa di Mesir ini. Cuma yang menjadi kepelikan pada saya bagaimanakah slot tarian dapat diadakan tanpa pengetahuan pihak penganjur malah pengarah itu sendiri? Apakah selesai pembahagian tugas ianya bulat-bulat diserahkan kepada adhoc dalam menyempurnakan tugas masing-masing tanpa di mutabaah oleh pengarah program itu sendiri? Ini menunjukkan perlaksanaan program dalam keadaan yang tidak bersedia sehingga berlaku perkara yang melanggar etika dan adab ISLAM itu sendiri.


Manakala berkenaan dengan kenyataan yang mengatakan terdapat juga di kalangan ahli PMRAM yang menjadi adhoc dan menjayakan program tersebut memang tidak dapat dinafikan. Ini disebabkan kebanyakan mereka yang menjadi ahli kepada pertubuhan selain PMRAM, mereka juga menjadi ahli kepada pertubuhan lain meskipun pertubuhan tersebut tidak diiktiraf dan sebagainya. Maka majoriti ahli kepada pertubuhan selain PMRAM di Mesir ini merupakan ahli PMRAM yang sah memandangkan mereka merupakan ahli DPM dan BKAN yang terpaksa mendaftar sebagai ahli PMRAM di awal kedatangan mereka.

Permohonan Maaf?


Hari ini merupakan kemuncak kepada artikel yang saya siarkan sebelum ini memandang terdapat banyak respon di kalangan beberapa adhoc festival tersebut meminta saya untuk menyatakan permohonan maaf secara terbuka kerana menyebabkan mereka tidak senang duduk. Apakah memadai dengan saya mengunjurkan permohonan maaf saya dalam masa yang sama pihak yang sewajibnya menyatakan permohonan maaf secara terbuka tidak berbuat sedemikian?

Alhamdulillah saya secara peribadi telah berkali-kali menyatakan permohonan maaf secara tidak langsung atas beberapa kesilapan maklumat yang disampaikan. Namun begitu, tujuan utama berkenaan artikel tersebut masih tidak berubah mengharapkan pihak berwajib yang menggerakkan festival tersebut tanpa melihat akibat daripada insiden yang terjadi. Sewajarnya pihak yang mengetuai penganjuran festival ini dengan rendah diri menyatakan permohonan kemaafan diatas kelalaian mereka mengenal pasti segala perangkaan perjalanan festival yang disusun tidak mengandungi unsur-unsur yang boleh mengetuk sensitiviti ISLAM itu sendiri.

Secara peribadi, penulis mengucapkan jutaan terima kasih atas pendirian yang dinyatakan oleh ISMA-MESIR berhubung festival tersebut yang mengakui akan diadakan tarian tersebut. Bahkan turut menyatakan kekesalan di atas penganjurannya oleh Pengarah JPMK sendiri akan tetapi tidak mampu mampu untuk berbuat apa-apa sebagaimana yang dijelaskan di dalam laman web tersebut. Bahkan keberadaan beliau pada konsert yang diselitkan dengan tarian 'kanak-kanak' perempuan seolah-olah meredhai segalanya. Beliau lebih senior dan mengetahui hukumnya dan mungkin di sana terdapat hujah yang membolehkan bagi beliau.

Cukup sekadar ini penjelasan atas beberapa kesilapan teknikal yang terjadi. Permohonan maaf yang dipinta oleh pihak-pihak tertentu ke atas penulis sudahpun penulis utarakan merujuk kepada isu yang dimainkan. Permohanan maaf daripada pihak-pihak berwajib yang mengendalikan festival ini yang di luar pengetahuan mereka juga amatlah diharapkan agar segenap mahasiswa mampu berlapang dada dalam menghadapi imtihan yang bakal berlangsung masa terdekat ini dengan tenang.

Apa yang telah berlalu sewajarnya menjadi pengajaran di hari-hari mendatang. Yang baik dijadikan sandaran dan pedoman manakala yang sebaliknya dijadikan sempadan supaya tidak berulang kembali. Saya menyahut saranan yang dinyatakan oleh ISMA-MESIR dengan hati yang terbuka dan menerima segala kritikan yang dilontarkan. Dalam masa yang sama jangan hanya menyalahkan saya dan beberapa penulis yang membidas dan menyanggah festival dan tarian tersebut tanpa mengakui kesilapan yang kita sendiri mulakan.

Penjelasan mereka sudah cukup menjelaskan kebersamaan mereka bersama beberapa pertubuhan lain yang berdaftar di bawah KBMK dalam menggerakkan festival ini dengan dinyatakan secara jelas pertubuhan pelajar yang lain seperti PERUBATAN, Institut Qura’ Malaysia Mesir (IQRAM), Badan-badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) seperti Negeri Sembilan, Sarawak, Sabah dan Selangor dan sebuah syarikat anak Melayu, 3a Enterprise. Semua persatuan pelajar yang turut serta menjayakan festival ini mengakui menjadi adhoc dalam melancarkan perjalanan festival tersebut. Sejauh mana kebenarannya tidak dipastikan dengan tidak menyatakan pertubuhan lain seperti Kelab UMNO Mesir yang turut menjadi adhoc penggerak.

Kemungkinan entri ini merupakan pengakhiran kepada permulaan entri yang lepas yang menyebabkan beberapa pihak menggelabah. Kalian juga diminta untuk mengakhiri 'episod hitam' bagi mahasiswa Azhari Mesir khususnya kerana merobek sebuah nilai-nilai ISLAM yang dijagai selama ini. Moga kita mampu menjadi generasi pelapis yang sungguh-sungguh menjaga ISLAM di akhir zaman ini terutamanya sebagai persediaan untuk berhadapan dengan suasana Malaysia yang kian meruncing moral dan nilai-nilai ISLAM dalam diri penganutnya. Kalau bukan kita, siapa lagi?

Kata Muthaqqaf : Terima kasih kepada sesiapa yang menghubungi saya untuk memberikan penjelasan berkenaan perkara ini. Juga meminta saya mengeluarkan kenyataan maaf secara terbuka kerana mengguris beberapa individu. Hakikatnya saya tidak menyebut mana-mana individu secara khusus. Akan tetapi sekadar menyebut beberapa pertubuhan dan agensi atas nama Persatuan Pelajar Malaysia Mesir (PPMM). Pun begitu, saya tetap dengan pendirian saya bersama majoriti mahasiswa yang menyanggah beberapa perkara yang tidak sepatutnya berlaku termasuk isu besar yang dibangkitkan ketika ini.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

2 comments:

Mukmin bin Mohd Khairi said...

ust, boleh sertakan rujukan semua qoute yang ust masukkan .. dari mana sumbernya.. saya kurang jelas..

Mohd Rasul Bin Amat said...

salam... qoute tu bukan kenyataan dr mn2 individu... tpi ana sndiri yg kuarkan kenyataan tersebut... bukan dr qaul ulama, hadis apatah lg quran...

klu ada bersangkutan dgn mn2 qaul invidu ke ana akan nyatakan bukan semberono kuarkan kenyataan tanpa tanggungjawab k...

ana ada pendirian ana sebagaimana individu lain...

utk mempertahankan kebenaran, PMRAM dan ISLAM itu sendiri selagi mana masing2 masih berpegang teguh dengan Al-Quran dan Sunnah...