Video Klip Pilihan

Saturday, October 31, 2009

|| Sebelum Aku Bernikah ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Insyaallah, hari ini dan esok (31 Oktober dan 1 November) saya akan mengikuti kursus perkahwinan yang akan diadakan di dewan auditorium Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Kursus pada hari pertama akan bermula pada jam 2 petang dan berakhir pada jam 6 petang. Manakala hari kedua seawal jam 8 pagi dan berakhir pada 6 petang. Kursus ini tidak lain adalah sebagai prosedur seseorang rakyat Malaysia beragama ISLAM yang ingin berumahtangga.

Selain itu disyaratkan juga setiap pasangan menjalani ujian HIV bagi memastikan masing-masing negatif virus pembunuh itu. Semoga ALLAH melindungi seluruh umat ISLAM dari musibah tersebut selagi mana kita berpegang teguh dengan ajaran ISLAM yang syumul.

Di sepanjang keberadaan saya di Kuala Lumpur ini, insyaallah saya menumpang di rumah sahabat serumah ketika di Mesir dahulu. Dia yang lebih dikenali dengan 'Butang Mutiara' di Facebook dan Friendster. Terima kasih kerana sudi menerima sahabatmu ini sebagai tetamu.

Semoga 2 hari di sepanjang kursus ini dapat memberikan ilmu yang bermanfaat dan berguna sebelum kami melangkah ke alam rumahtangga yang semestinya penuh dengan onak ranjaunya.


Doa kalian sentiasa diharapkan agar diri ini dapat terus teguh atas landasan memperjuangkan ISLAM meski badai melanda. Insyaallah moga ALLAH thabatkan hati-hati kita semua.

Selamat berkursus kepada diriku!

Kata Muthaqqaf : Moga jodoh berkekalan hingga disatukan kelak. Buat tunangku, bersabarlah untuk melalui bulan-bulan terakhir dengan penuh ketaatan kepadaNYA menjauhi yang dilarangNYA. Fi amanillah...

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Sunday, October 25, 2009

|| Teringin Kembali Seperti Dulu ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Sekian lama blog peribadiku ini tidak dikemaskini. Semenjak diri ini ditimpa musibah 3 minggu lepas kemalasan mula menyelubungi. Akan tetapi hasrat di hati ingin kembali seperti sediakala terasa membuak-buak.


Mungkin kerana diri ini leka daripada tugasan membantu kerja-kerja ISLAM, maka inilah balasannya. Apabila nikmat kesihatan telah ditarik, sesalan sudah tidak berguna lagi.

Apapan suratan yang telah ditetapkan oleh yang MAHA ESA ku akur.

Selepas 2 minggu berbalut dan bersimen ALHAMDULILLAH kerana tulang yang retak semakin sembuh. Akan tetapi doktor masih tidak membenarkan balutan tersebut dibuka. Doktor menasihatkan agar diteruskan balutan bersimen tersebut hingga ke 3 minggu mendatang.

Kemudian barulah dibenarkan untuk dibuka sendiri seterusnya pergi lagi sekali ke hospital untuk menjalani pengimejan sinar-x bagi melihat perubahan terkini terhadap tulang dan kaki kiri yang terseliuh itu.

Dapat ku rasakan ianya masih belum sembuh sepenuhnya. Namun kedegilan ini mengatasi segalanya. Meskipun begitu tidak bermakna aku benar-benar ingin kembali lasak dan aktif ke sana sini sehingga lupa bahawa aku masih belum kebah.

Hari ini adalah hari percubaan untuk aku. Aku telah membuka balutan simen sebelum masa yang ditetapkan. Andai kesakitan yang tidak dapat ku tahan terasa, maka aku akan membalutnya semula. Sekaligus terpaksa membatalkan hasrat untuk menanyakan keperluan jawatan kosong di Majlis Agama ISLAM Negeri Sembilan di bahagian Baitul Mal ketika ini.

Doa kalian diharap-harapkan agar diri ini terus kuat dan tabah menelusuri hari-hari mendatang dengan semangat yang segar.

Kata Muthaqqaf : Terus berharap kepadaNYA...

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Sunday, October 11, 2009

|| Bukan Milik Kita ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Nampak gayanya Bagan Pinang yang merupakan kubu kuat UMNO masih bukan milik kita. Rakyat yang merupakan pengundi telah menentukan pilihan mereka. Mereka lebih cenderung untuk memilih calon yang popular dan dikenali ramai tanpa melihat terlebih dahulu dari aspek lain yang telah mencemari ciri-ciri seorang pemimpin yang sepatutnya dipilih.


Selain Jentera Pilihanraya PAS perlu menilai dan membuat analisa sepenuhnya mengenai kecenderungan para pengundi yang beralih arah, rakyat jelata umumnya juga perlu melihat dengan lebih telus adakah begini masa hadapan negara kita. Menghalalkan perkara yang jelas diharamkan oleh ALLAH berkenaan dengan rasuah yang seolah-olah dipandang sepi.

Dalam masa yang sama, andai dilihat saban hari sebelum hari pembuangan undi PAS dan Pakatan sentiasa diburuk-burukkan oleh media tali barut BN/UMNO yang menjadi hidangan rakyat Malaysia setiap hari. Tidak hairanlah mereka mempergunakan jentera atas nama kerajaan Malaysia dengan sebaik mungkin sehingga menghalalkan yang haram, menanggalkan demokrasi yang menjadi 'laungan takbir' selama ini.


Sekaligus menidakkan laungan 1 Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' hanya demi kepentingan survival politik sempit mereka yang semakin berpecah menanti belah. Juga kenyataan yang mengatakan seolah-olah hanya BN/UMNO yang mampu membawa agenda perpaduan, kemajuan dan pembangunan menafikan parti-parti lain gagal untuk mentadbir negara.

Rakyat Malaysia semakin menuju ke arah masyarakat yang cerdik dan bijak dalam membuat pilihan. Bahkan semakin bijak menimbang sesuatu berita yang disampaikan oleh media yang dieksploitasi oleh kerajaan pemerintah sahaja. Diskriminasi terus berlaku tanpa memberikan ruang sedikit pun kepada parti-parti dalam Pakatan untuk bersuara.

Namun di celah-celah timbunan intan yang berkilau, ada juga kaca yang sudah sebati dengan pengamalan kerajaan sedia ada sekaligus berpandangan hanya kerajaan sedia ada sahaja yang mampu mentadbir Malaysia walaupun terlibat dengan rasuah, politik wang dan bermacam lagi kejahatan yang disembunyikan.


Moga masih ada sinar kejayaan dan kemenangan yang menanti suatu masa nanti apabila kebangkitan menegakkan ISLAM, keadilan dan kebenaran menjadi tunjang dalam diri.

Tahniah kepada sahabat-sahabat pemuda, para petugas dan para pemimpin PAS yang berjuang bertungkus lumus demi membawa suara ISLAM dan ciri-cirinya dihayati bersama. Meski kita kalah pada kali ini, mungkin ada hikmahnya yang ALLAH dah tentukan untuk penghayatan kita di masa mendatang.

Kata Muthaqqaf : Sesungguhnya setiap helaan nafas yang kalian hembuskan semasa berjuang membantu ISLAM dilihat oleh ALLAH sebagai helaan amal bakti sebagai bukti tatkala bertemuNYA kelak. Semoga setiap amalan yang menuju redhaNYA mendapat perhatian yang sewajarnya. FI RI'AYATILLAH!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Saturday, October 10, 2009

|| Titipan Semangat - Undilah PAS! ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Sekali dengar tiap bait lagu ini dinyanyikan, begitu indah sekali. Dalam kesedihan diri ini tidak dapat sama-sama membantu sahabat-sahabat seperjuangan di Bagan Pinang, namun diri ini akur. Selepas ini masih banyak lagi siri-siri perjuangan yang memerlukan diri ini untuk meluangkan masa, tenaga dan jiwa demi merealisasikan misi 'ISLAM Memimpin perubahan' dinikmati semua.

Tiada lain yang mampu ku titipkan di kejauhan ini. Hanya titipan doa dan kata-kata juang agar kalian terus thabat, sabar dan berkobar-kobar demi memastikan ISLAM terus bertahkta di hati masyarakat. Seterusnya menjadi pilihan untuk menjulang kedaulatan ISLAM supaya sentiasa berada di puncaknya.

Justeru itu, untuk kalian semua ku titipkan sebuah lagu yang bukan sekadar lagu. Akan tetapi sebagai azimat buat diri para pejuang ALLAH sekalian dalam menempuh kejahatan orang-orang kafir, fasiq, munafiq bahkan umat ISLAM itu sendiri yang tidak ingin melihat ISLAM berdiri tertegak.

Hiasilah diri kita semua dengan sebahagian dari sifat mahmudah yang merupakan qudwah hasanah dari RASULULLAH SAW sebagai panduan mengharungi liku-liku perjuangan yang penuh duri. Maaf kerana tidak berkesempatan bersama kalian dalam membantu perjuangan jihad fi sabilillah yang amat-amat dinantikan oleh semua. Salam perjuangan!

SIFAT MAHMUDAH - Hijjaz

Chorus
Inilah sebahagian Sifat Mahmudah
Yang patut ada pada diri kita
Susah dimiliki payah dijaga
Hanya yang punya
Yang bermujahadah (2x)

IKHLAS itu jiwa yang murni
Rahsia
ALLAH di dalam hati
Terlalu sembunyi tapi dapat dikesan
Jika disuluh dengan saksama
Nista dan puji tiada berbeza

REDHA sifat hati yang suci
Ujian yang tiba rasa gembira
Atau tiada apa terasa
Kerna menerima anugerah Tuhannya (2x)

Sifat SABAR sedikit berbeza
Ujian yang menimpa sakit dirasa
Tapi dapat ditahan perasaannya
Hanya bermain di dalam sahaja
Di luar tidak nampak terang nyata


Kata Muthaqqaf : Inilah cabaran dalam memperjuangkan ISLAM. Tiada yang mudah. Tiada yang goyang kaki. Segalanya memerlukan ketahanan fizikal, mental, iman dan takwa merantai jiwa dan atma merintis jalan-jalan syahid di hadapan. Moga ALLAH memandang usaha kita ini dalam timbangan rahmat dan redhaNYA.

Undilah PAS untuk kesejahteraan sejagat demi memastikan ISLAM kembali di persada. ALLAHU AKBAR!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Friday, October 09, 2009

|| Sebelum Terlewat ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Ingatan dan pesanan kepada seluruh umat ISLAM, saudara-saudara seakidah yang cintakan ALLAH, cintakan RASULULLAH SAW dan cintakan ISLAM yang dibawa oleh Baginda SAW untuk melaksanakan puasa sunat 6 Syawal. Ianya bukan sunat yang biasa akan tetapi sunat muakkad iaitu sunat yang digalakkan.

Perlaksanaan amalan-amalan sunat ini bukan sekadar tuntutan, bahkan ianya dilihat sebagai penampung kepada amalan wajib yang dilaksanakan andai berlaku kekurangan dan kelompongan yang mengurangi fadhilat di dalamnya.

Abu Ayyub al-Ansari ada meriwayatkan satu hadith daripada RASULULLAH SAW di dalam menerangkan tentang kelebihan puasa enam Syawal yang maksudnya : “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun.” (Dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, juga dikeluarkan oleh sekalian ramai ulama hadith seperti At-Tirmizi, An-Nasaie dan Ibnu Majah)


Imam As-Syafie menjelaskan bahawa hadith ini adalah hadith sahih.

Imam At-Tabrani pula ada mengeluarkan di dalam susunan hadithnya yang turut berkaitan dengan fadhilat puasa enam Syawal maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan diikuti kemudiannya puasa enam hari dalam bulan Syawal, keluarlah dari dirinya segala dosa seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya”


Berbaki 10 hari lagi sebelum memasuki bulan Zulkaedah, segerakanlah melaksanakannya untuk menguatkan iman dan menambahkan tanda kecintaan kita kepada ALLAH dan RASULNYA. Seterusnya meningkatkan kesabaran dan keimanan kita untuk berhadapan dengan liku-liku cabaran dalam menegakkan ISLAM di atas muka bumi ALLAH ini.

Rujukan Quran dan Sunnah melalui Forum ukhuwah.com klik pada link untuk penjelasan lebih terperinci.

Kata Muthaqqaf : Jangan lewat-lewatkan sesuatu perkara, kelak apabila ianya berlalu penyesalan sudah tidak berguna lagi. Beraya beraya juga. Ibadah kena tingkatkan juga. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Moga perjuangan akan lebih manis apabila ditambat ikatan cinta kepada ALLAH dan RASULNYA. FI RI'AYATILLAH!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Thursday, October 08, 2009

|| Mesej Dari Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Ini sudah lebih. Melampau sangat puak-puak pemuda UMNO/BN yang menyahut seruan hunusan keris Menteri Dalam Negeri. Inilah jadinya apabila amalan samseng telah diajarkan oleh pemimpin tertinggi UMNO/BN itu. Masalahnya orang-orang Melayu ISLAM UMNO yang buat. Memalukan bangsa sendiri! Lebih teruk lagi memalukan agama!

Mesej dari Ketua DPPP, Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi melalui Ustaz Zaifuddin Ketua Pemuda Kawasan Gelang Patah : 'Keadaan semakin kritikal. Ramai ahli kita dipukul. Semalam Markaz Pemuda PAS Pusat telah diceroboh dan petugas dihalau keluar. Demi ALLAH dengan nama Jihad Fi Sabilillah ana selaku pemegang amanah Ketua DPPP mengerahkan seramai mungkin pemuda dari seluruh negara agar turun ke Bagan Pinang.' Daripada Tantawi


Kepada sahabat-sahabat seperjuangan yang dikurniakan kesihatan jasad dan rohani bersama-samalah turun menghulurkan bantuan bagi mempertahankan survival PAS di sana dan memastikan keamanan dari terjadi keganasan yang melampau dari saudara seagama kita yang sudah hilang akal dan kawalan.

YA ALLAH BANTULAH TENTERA-TENTERAMU YANG SEDANG BERJUANG MEMPERTAHANKAN AGAMAMU WALAU DI MANA MEREKA BERADA! ALLAHU AKBAR!

P/S : Klik pada perkataan berwarna pink untuk mengetahui berita lebih lanjut.

Kata Muthaqqaf : Penulis mempunyai semangat yang sama dengan kalian untuk membantu ISLAM dan PAS dari terus dibelasah untuk menimbulkan provokasi supaya kita kembali membalas keganasan UMNO/BN seterusnya meraih undi simpati dengan mengatakan PAS/PR memulakan keganasan. Dasar hati busuk!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

|| Pengalaman... ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Bukan pintaku sehingga berlaku sedemikian rupa. Bukan kehendak hati ini sengaja menzalimi diri ini dan mengharapkan simpati manusia. Alhamdulillah diri ini sudah sekian lama menjalani jerih perih kehidupan yang penuh berliku seawal umur 7 tahun sehinggalah ke saat ini. Bersyukur atas segala ujian yang diberikan semestinya mematangkan diri ini.

Bukan berputus asa dengan rahmatNYA akan tetapi sekadar untuk mengingati betapa besarnya hikmah akan setiap yang berlaku itu.


Teringat serangkap bait lagu nyanyian kumpulan Spring "Pengalaman telah mendewasakan, mematangkan fikiran..." Ada kebenarannya. Pengalaman yang amat berharga datang hanya sekali sekala. Datangnya tanpa dipinta untuk menguji tahap kesabaran dan kesediaan kita berlapang dada menerimanya.


Selama ini mungkin terlintas hati menggumam terlintas pandangan serong terhadap mereka-mereka yang berjalan menggunakan tongkat atau lebih difahami dengan singkatan OKU.

ALLAH itu maha kaya. DIA pasti akan memberikan pengajaran kepada hambaNYA sama ada ketika di dunia atau di akhirat yang pastinya lebih azab. Syukur diri ini di'kaffarah' di dunia.

Moga terampun segala dosa, salah silap dan keterlanjuran yang terbit dari diri yang hina ini. Bersyukur kerana masih memberikan peluang kepadaku untuk terus memperbaiki diri yang masih penuh dengan palitan dosa-dosa lalu.

Kata Muthaqqaf : Masih terus mengharapkan rahmat kasih sayangNYA. Terima kasih kerana masih memberikan peluang kepada diri ini.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Wednesday, October 07, 2009

|| Dapat 'Cuti' Tambahan ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Sudah lebih sebulan saya bercuti selepas berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Hajat di hati ingin segera mendapatkan kerjaya setelah sahabat-sahabat seperjuangan lain telah mendapat tempat.

Namun apakan daya, ALLAH tambahi lagi cuti yang sedia ada 2 minggu lagi untuk saya berehat membiasakan dengan persekitaran masyarakat juga isu-isu yang berlegar di dalamnya. Cuti yang tidak bergaji.

Kaki kiri yang terseliuh sebagaimana yang tercatat dalam entri Ahad lepas, sebagaimana yang ditetapkan ALLAH. Sepertimana yang dinasihati doktor sebelum ini, lantas saya mendapatkan rawatan lanjut pemeriksaan sinar x untuk mengenal pasti bengkak yang masih tidak surut.

Jelas kelihatan keretakan pada tulang jari kelingking yang apabila mendapat nasihat doktor Hospital Besar Kuala Lumpur perlu disimen demi memastikan keseimbangan tulang yang retak itu agar tidak menjadi lebih teruk.

Dalam tempoh 2 minggu ini, saya dinasihatkan bergerak dengan menggunakan tongkat dan tidak banyak menggunakan kaki kiri yang disimen dari bawah lutut sehinggalah ke jari jemari kaki.

Ku sangkakan kemalangan kecil itu tidak membawa sehingga kakiku disimen dan berjalan menggunakan tongkat pula. Pengalaman dan ujian buatku. Walau kemalangannya kecil namun untuk masa depan, adalah lebih baik.

ALLAH sendiri berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud ;

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; ALLAH mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui."

Saya redha dengan ketentuan ini. Hanyalah doa dari kalian yang saya harapkan semoga kakiku ini disembuhkan segera dengan izin ALLAH. Kemaafan jua dipinta daripada sahabat-sahabat andai dalam tempoh masa 2 minggu ini ada hak-hak yang tidak dapat saya tunaikan.

Kata Muthaqqaf : Anugerah Media ISLAM Negara [AMIN] malam ini di Putrajaya International Conference Centre, Konvokesyen sahabat-sahabat di UIA pada hari Sabtu ini dan PRK di Bagan Pinang keesokan harinya yang pastinya tidak dapat saya hadiri atas keuzuran yang tidak diduga ini. Moga kejayaan, kemenangan, rahmat, inayah dan hidayah ALLAH sentiasa mengiringi kalian semua. Salam penuh kerinduan dan kasih sayang buat kalian semua.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Monday, October 05, 2009

|| UMNO Bagai Telur Di Hujung Tanduk ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Kurang seminggu dari sekarang akan berlangsung buat sekian kalinya Pilihanraya Kecil Bagan Pinang N.31 yang menyaksikan pertembungan buku dan ruas PAS dan UMNO. PRK sebelumnya menyaksikan kemenangan berturut-turut di Semenanjung Malaysia di pihak PAS-DAP-PKR yang membentuk Pakatan Rakyat.


Suara PR ini memberikan kesan yang amat mendalam kepada rakyat dalam memperjuangkan kebenaran, keadilan, ketelusan dan kebebasan yang rata-rata diidami semua. Tsunami politik yang berlaku pada PRU12 yang lepas masih memberikan impak yang amat mendalam kepada rakyat yang sedar akan kebobrokan yang berlaku pada kerajaan pemerintah UMNO-BN selama lebih 50 tahun.

Dalam keghairahan para pemimpin pemerintah menghentam dan mencipta keburukan terhadap PR mereka tidak menyedari bahawa rakyat bukanlah bodoh setelah melihat hasil pemerintahan selama lebih setengah abad. Diikuti dengan siri-siri pembongkaran yang semakin menyerlahkan kebobrokan dan ketidak telusan yang telah dilakukan oleh mereka.

Lihat sahajalah berita-berita yang disiarkan oleh 'Media Prima' yang merupakan ejen UMNO-BN dalam membuat propaganda memburuk-burukkan pakatan pembangkang dengan pelbagai tuduhan yang berniat mala-fide. Seterusnya menjadikan mereka seolah-olah teraniaya, telus dan bersih mengharapkan undi simpati menyebelahi mereka dengan menggunakan seluruh jentera kerajaan (PDRM, SPRM, ISA etc.) bagi memastikan kuasa di tangan mereka dapat terus kekal.


Apakah rakyat yang semakin menuju ke arah negara membangun dengan penerapan nilai-nilai ilmu yang tinggi akan bersikap tunggu dan lihat dengan hanya mengejar kemajuan semata? Rakyat Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan sudah membuktikan mereka bukanlah bagaikan lembu yang dicucuk hidungnya dengan hanya memangkah dengan membuta tuli tanpa melihat calon mereka terlebih dahulu.

Rakyat yang semakin bijak membuat pilihan dalam menentukan masa hadapan negara mengetahui yang mana baik dan buruk. Yang mana adil dan bobrok dalam pelbagai sudut.

Dengan izin ALLAH, yang batil pasti akan dikalahkan oleh yang hak. Lambat laun seandainya mereka terus dengan mentaliti mengumpul harta, mengejar kebendaan, melanggar hukum ALLAH, menyemai amalan rasuah dan tidak berlaku adil dalam pemerintahan kelak janji ALLAH pasti belaku. Janji untuk menggantikan satu kaum yang membelakangi hukum ALLAH dengan satu kaum yang benar-benar cintakan ALLAH.


Ayuh kita tegakkan keadilan, perjuangkan keadilan dan semarakkan ISLAM dengan penuh bersemangat menjelaskan kepada rakyat akan hakikat yang sebenar. Adalah tidak wajar andai kita terus menerus mentaati pemimpin yang gagal menjalankan fungsi ISLAM dalam pentadbirannya selepas segala macam nasihat dan teguran diberikan.

Jadikan ISLAM model pemerintahan yang menyeluruh. Negara Malaysia yang menjadikan ISLAM sebagai agama rasmi bukan hanya sekadar sebagai pegangan semata. Sewajarnya segala tunjuk ajar yang ISLAM gariskan dilaksanakan dengan sebaik mungkin mengikut acuan yang ditunjukkan melalui Junjungan Besar, NABI MUHAMMAD S.A.W.

Jangan takut dan gentar terhadap segala macam cacian dan maki hamun kerana ianya merupakan sunnah dalam perjuangan. Semoga usaha yang secebis ini akan diambil kira oleh ALLAH tatkala hari pengadilan kelak.

Kata Muthaqqaf : Tiada yang indah dalam berjuang. Tiada yang selesa dalam bekerja untuk ISLAM. Tiada yang manis dalam menegakkan kebenaran. Tiada yang lurus jalan menuju ALLAH. Segalanya ini memerlukan pengorbanan, semangat juang yang tinggi dan ketetapan hati berjuang tiada lain semata-mata mengharapkan redhaNYA.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

|| Belum Masanya Lagi ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Belum masanya lagi...

Itulah kata-kata perangsang yang sering diulang-ulang oleh mereka yang berada di sekeliling saya. Aku baru sebulan bergelar graduan sudah bising tidak menerima sebarang panggilan kerja. Apatah lagi sahabat-sahabat lain di luar sana yang bertahun-tahun masih belum mendapat tempat.

Suatu masa nanti pasti akan ada satu tempat yang sesuai dengan saya dan setiap orang. Cuma cepat atau lambat. Bersabar diiringi usaha, doa dan tawakal kunci segala kejayaan dalam menongkah kehidupan di dunia ini.

Lagi pula buat masa ini, kerana musibah yang melanda mungkin 2-3 hari saya terpaksa di kuarantin di rumah merencat segala perancangan yang diatur. Bukan kerana saya dijangkiti influenza selsema babi (nauzubillahi min zalik). Tetapi saya ditimpa influenza 'terseliuh' yang tidak berjangkit kecuali apabila anda cuai seperti saya.

Sepertinya simptom-simptom yang berbahaya yang disebutkan oleh Doktor Yazid semalam tiada. Harap-harap keesokan hari kaki kiri ini akan kembali normal untuk saya menjalani kehidupan seperti biasa bagi menyelesaikan beberapa perkara untuk masa hadapan yang lebih cemerlang.

Sukar untuk dijangka apa yang akan berlaku 5 minit akan datang apatah lagi hari esok. Semoga hari esok lebih baik dari hari ini. Tak sabar rasanya diri ini ingin berdiri di kaki sendiri untuk turun ke pangkuan masyarakat. Melihat sendiri kebobrokan akhlak masyarakat atas tunjuk ajar dari kepimpinan negara yang jelas kebobrokannya.

Harapan diri ini, semoga kerjaya dunia yang bakal menyibukkan diri tidak menjejaskan kerjaya akhirat untuk terus mencurahkan bakti kepada masyarakat dan ISLAM secara langsung. Moga dikuatkan diri ini dan sahabat seperjuangan untuk menginfakkan diri kepada ISLAM tanpa mementingkan diri dengan dunia sahaja.

Kata Muthaqqaf : Libatkanlah diri kita dengan jamaah atau kumpulan yang memperjuangkan suara ISLAM bukan atas kepentingan bangsa dan peribadi. Elakkan diri dari terasing dan diasingkan daripada jamaah yang akhirnya jauh dari hidayah ALLAH apabila duniawi merantai kalbu.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Sunday, October 04, 2009

|| Tragedi Di Kota Metropolitan ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, akhirnya kami selamat juga menjejakkan kaki ke Kota Metropolitan yang merupakan ibu negara Malaysia. Tak lain tak bukan, Kuala Lumpur. 3 Oktober, bertolak seawal jam 730 pagi walaupun perancangan pada peringkat awalnya seawal jam 6 pagi selepas subuh.

Walau apapun, segalanya bergantung kepada si pemandu yang merupakan sahabat seangkatan ketika di Mesir dan seusai kami menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda, beliau lebih awal mendapat tempat dalam kerjaya. Nasib masih belum menyebelahi saya.

Namun segalanya telah pun ditentukan olehNYA. Cuma usaha yang bakal menentukan cepat atau lambat rezeki seseorang itu. Ya, saya yakin padaNYA.

Kini saudara Syafiq Zulakifli berada di Wangsa Melawati dan akan memulakan kerjayanya sebagai seorang pekerja sepenuh masa meskipun ada perancangan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya. Begitu juga dengan saya. Moga dipertemukan jodoh kita.

Akan tetapi bukan itu yang ingin saya bingkiskan dalam coretan kali ini. Kalau melihat kepada tajuk entri kali ini ianya menggambarkan sebuah tragedi yang mungkin pertama kali dalam hidup saya. Kemungkinan hajat saya untuk menyelesaikan beberapa perkara di Ampang dan Setapak pada keesokan harinya terpaksa di tunda dek kerana 'tragedi' ini.

Segalanya bermula pada pagi tadi seawal jam 9 pagi setelah kami (saya dan saudara Syafiq Zulakifli) sampai di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk bertemu dengan sahabat-sahabat lama yang sudah lama tidak bersua. Hampir 5 tahun lamanya semenjak kami sama-sama menamatkan pengajian di Sekolah Tinggi Arab Johor (Maahad Johor) pada tahun 2003.

Ketika dalam perjalanan menuju ke Mahallah As-Siddiq untuk bertemu dengan saudara Ahmad Syazwan 'tragedi' ini meragut nikmat kesihatan yang dikurniakan ALLAH. Tanpa saya sedari kerana kecuaian diri sendiri, kaki kiri yang melangkah terjelepok dan terseliuh sehingga menghasilkan bunyi yang agak kuat seperti berlaku keretakan atau patah tulang.

Awalnya, kesakitan tidaklah terlalu kuat. Akan tetapi lama kelamaan selepas beberapa jam jelas kelihatan riak-riak bengkak. Langkah kaki ini tak payah cakaplah. Terhenjut-henjut macam orang tempang.

Setelah agak lama menahan sakit yang teramat sangat dan berfikir panjang melalui utusan nasihat orang-orang yang tersayang, dengan berat hati saya mengambil keputusan untuk ke klinik bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Hakikatnya saya memang tidak menyukai ubat-ubatan klinik. Apatah lagi berurut. Memang riuh sekampunglah jawabnya. Lainlah kalau sebelumnya diberikan ubat pelali.

Setelah berjumpa dan mendapatkan nasihat doktor, beliau menasihatkan agar menerima segala ubatan yang ditentukan. Selepas 24 jam daripada waktu tragedi menimpa (9 pagi, 5 Okt) keesokan harinya andai terdapat tanda-tanda kebiruan atau bengkak yang tidak menunjukkan tanda ianya semakin pulih, maka saya perlulah segera ke hospital untuk menjalani X-Ray kerana ditakuti tulang yang mengalami keseliuhan itu retak atau patah.

Semoga segala andaian yang diberikan oleh doktor itu meleset dan saya dijauhi dari musibah yang tidak diingini. Namun disebalik apa yang berlaku, saya redha dan pasrah kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Moga ianya merupakan sebagai penghapus dosa-dosa yang pernah dan telah dilakukan. Juga sebagai tanda kasih dan sayangnya ALLAH kepada hamba yang lemah ini.

Sementara menunggu bantuan dari ALLAH, terpaksalah saya duduk di rumah sehinggalah segalanya kembali normal untuk meneruskan siri-siri perjalanan hidup yang masih panjang.

Kata Muthaqqaf : Segala yang baik, molek dan cermat itu adalah datangnya dari ALLAH dan yang buruk, poyo dan serabai itu adalah datangnya dari kelalaian diri ini. Moga segala urusanku dan seluruh umat ISLAM dipermudahkanNYA.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa