Video Klip Pilihan

Sunday, December 07, 2008

|| Haji, Aidiladha dan Korban ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Hari ini, Isnin, 8 Disember 2008 bersamaan 10 Zulhijjah 1429 merupakan hari yang amat bermakna bagi umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Lebih-lebih lagi buat mereka yang sekarang ini berada di Tanah Haram Makkah Al-Mukarramah, dalam misi menyempurnakan rukun Islam yang ke-5. Beruntunglah mereka kerana diberikan keizinan oleh ALLAH dengan ruang dan peluang yang tiada siapa menjangka dapat menyempurnakan rukun Islam yang terakhir itu.

Haji

Semoga para tetamu ALLAH yang datang berjuta-juta batu dari pelbagai negara, bangsa, bahasa, warna kulit tanpa mengira keturunan dan pangkat hanya dengan satu tujuan. Hanya dengan satu matlamat untuk bertemu ALLAH dan menggapai redhaNYA disamping menyempurnakan tuntutanNYA. Itulah impian dan harapan semua manusia yang bergelar muslim sekaligus mukmin yang benar-benar rindu akan RABBnya.

Dicelah-celah kesibukan dalam melaksanakan segala tuntutan dan rukun mendapat 'Haji Mabrur' itu, tidak sepatutnya dilupakan seorang insan yang amat berjasa untuk Islam. Berjiwa besar dalam memenuhi segala arahan Tuhannya menjadi utusan untuk menyampaikan sebuah ajaran yang benar yang diterima di sisiNya. Dialah KEKASIH ALLAH. Dialah PENGHULU SEGALA NABI. Dialah INSAN PALING MULIA dari sekalian makhluk. Tidak lain tidak bukan, dialah JUNJUNGAN BESAR NABI MUHAMMAD SAW.

Sekiranya seorang yang berkunjung ke Tanah Haram tidak mengambil peluang untuk menziarahi INSAN TERAGUNG ini amatlah malang. Amatlah rugi baginya kerana tega tidak menjenguk seorang insan yang begitu sayang dan cintakan umatnya. Sayang dan cinta kepada umatnya tidak berbelah bahagi sehinggakan pada akhir hayatnya menyebut 'umatku... umatku... umatku...'. Tepuk dada tanyalah iman masing-masing sejauh manakah kecintaan dan kerinduan yang kita ungkapkan kepada BAGINDA SAW.

Aidiladha

Disana para tetamu ALLAH sedang mengerjakan ibadah haji dengan sepenuh penghayatan dengan memfokuskan jiwa dan raganya semata-mata untuk ALLAH. Manakala bagi umat Islam selain mereka pula menyambut sambutan Aidiladha bagi turut sama meraikan kejayaan para tetamu ALLAH merentasi segala ujian yang terkandung dalam ibadah haji itu. Malahan, ada pendalat ulama yang menyebut bahawasanya barangsiapa yang menghidupkan Aidiladha dengan sebaik-baik ibadah dengan puasa, takbir, tahmid, tasbih dan sebagainya menyerupai ganjaran mereka yang menunaikan haji.

Meskipun begitu tidak bermakna kemanisan dan kenikmatan yang dirasai oleh para tetamu ALLAH menyamai ganjaran yang diterima oleh mereka yang bukan ahliNYA. Tidak boleh tidak untuk mereka yang belum berpeluang mengerjakannya untuk mencari peluang untuk melaksanakannya. Setidak-tidaknya sekali seumur hidup sebagaimana pendapat kebanyakan ulama.

Justeru itu, bersamalah kita meraikannya dengan memperbanyak amalan-amalan yang mampu menjemput redha ILAHI di saat para tetamuNYA di sana khusyuk mengharapkan sebuah keredhaan.

Korban

Sebelum menutup tirai entri Aidiladha yang berkunjung setahun sekali ini, satu elemen lagi yang perlu dititik beratkan di sini untuk tatapan kita bersama supaya menghayatinya. Elemen ini seringkali dibacakan dalam khutbah Jumaat. Acapkali diperdengarkan dalam ceramah melalui corong-corong radio dan kuliah-kuliah harian di saentero rumah ALLAH. Ibadah korban juga merupakan ibadah yang amat dituntut untuk dilaksanakan oleh selain para tetamu ALLAH.

Melalui ibadah korban ini begitu banyak pengajaran yang boleh disunting untuk diterjemahkan dalam kehidupa seharian. Ianya merupakan satu ibadah yang direalisasikan berikutan peristiwa 'korban' yang berlaku diantara Nabi ALLAH IBRAHIM dan anaknya ISMAIL. Mereka sanggup berkorban demi mentaati perintah RABBULALAMIN. Sehingga akhirnya ALLAH menukarkan anaknya Ismail kepada seekor Kibash yang akhirnya dijadikan sebuah ibadah yang dituntut dalam Hari Raya Aidiladha ini.

Itu merupakan sebuah peristiwa yang cukup makruf dikalangan umat Islam sejagat. Apa yang ingin penulis kongsikan bersama sidang pembaca sekalian adalah hikmah disebalik tuntutan ibadah korban ini. Hikmah yang sewajarnya dihayati dan diterjemahkan oleh setiap anggota muslim dan mukmin dalam segenap kehidupannya. Sebuah tuntutan yang amat berharga untuk setiap daie sebelum berhadapan dengan kehidupan masyarakat yang pelbagai kerenah.

Justeru itu, hendaklah setiap daie mempersiapkan diri supaya lebih fleksibel dan ke arah kontemporari untuk berhadapan dengan masyarakat era millenium ini yang penuh dengan tribulasi. Bahkan tidak keterlaluan untuk dikatakan kian meruncing di akhir zaman ini.

Apa yang pasti dan yang seharusnya diambil perhatian di sini adalah sejauh manakah penghayatan kita melalui peristiwa korban pada zaman perutusan para Anbia' dan ibadah korban itu sendiri. Seharusnya setiap individu muslim itu perlu menanamkan dalam diri mereka kepentingan untuk berkorban di setiap masa dalam apa jua ketika tanpa dipinta. Korban yang dimaksudkan di sini adalah erti sebuah pengorbanan yang telah dilakukan dalam diri masing-masing.

Erti pengorbanan yang dimaksudkan di sini adalah sebuah pengorbanan yang mampu dilakukan oleh seorang yang bergelar mukmin itu untuk dirinya, keluarga, masyarakat, bangsa, negara dan yang paling utama apa pula pengorbanan kita untuk agama tercinta. Untuk Islam yang telah memberikan sinar cahaya kedamaian, ketenangan dan keamanan kepada kita selaku umatnya.

Jadikan Sambutan Haji, Aidiladha dan Korban tahun ini seumpama pertemuan kita yang terakhir dengan mengabdikan diri sebaik-baiknya demi menggapai redhaNYA. Itu merupakan sasaran seorang yang bergelar mukmin andai dia benar-benar mengharap dan mendamba selaut rindu, kasih dan sayang RABBURRAHIM.

Fikir-fikirkan dan renungkan bersama semoga bermanfaat untuk kita bersama.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

2 comments:

deennasour said...

assalamualaikum bang.
selamat hari raya aidiladha

Muthaqqaf Azhari said...

waalaikumussalam dik....
slmt hari raya aidiladha gak...
wah blog semakin mantap ea...
bagus3... ;)