Video Klip Pilihan

Friday, July 03, 2009

|| Dakwah ISLAMIAH : Suatu Tuntutan ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Manusia tidak terlepas dari ujian dalam kehidupan seharian. Saban hari pasti akan teruji keimanan di dada. Saban hari pasti akan tersentuh tenangnya sabar. Setiap hari tidak akan terlepas ujian fizikal mahupun mental hingga mampu meruntuhkan semangat yang tersimpan. Semangat yang tercipta untuk terus berjuang di jalan
ALLAH menegakkan syiar ISLAM di atas muka bumi ini.

Itulah tujuan utama manusia dicipta oleh ALLAH sebagai khalifah di muka dunia untuk mengurus tadbirnya mengikut lunas-lunas yang telah digariskan berpandukan Al-Quran dan Sunnah. Tugas melaksanakan amanah yang tidak mampu dilaksanakan oleh makhluk selain manusia menunjukkan betapa beratnya amanah yang terpundak di bahu makhluk bernama manusia berdasarkan ayat 72 daripada Surah Al-Ahzab yang bermaksud:

"Sesungguhnya KAMI Telah mengemukakan amanat [1233] kepada langit, bumi dan gunung-gunung, Maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh."

[1233] Yang dimaksud dengan amanat di sini ialah tugas-tugas keagamaan.


Bila mana ditekankan tugas-tugas keagamaan melalui ayat tersebut maka amatlah meluas peranan yang perlu dimainkan. Bukan sekadar keluar berdakwah amar makruf nahi mungkar. Bukan sekadar keluar mengajak manusia kembali ke jalan ALLAH dengan mempertahankan syiar ISLAM. Bukan sekadar memajukan negara dengan pembangunan dan kemodenan. Bukan juga hanya mementingkan institusi pembinaan blok-blok kenegaraan dan kebangsaan. Bahkan ianya merangkumi segenap penjuru.

Ada segolongan ummat yang mentafsirkan tugas-tugas keagamaan adalah dengan keluar dari sebuah kawasan ke kawasan yang lain. Sebuah negara ke negara yang lain. Dengan tujuan mengajak manusia kembali ke jalan ALLAH. Mengajak manusia mengimarahkan rumah-rumah ALLAH. Golongan ini tidak dinafikan peranannya yang besar dalam arena dakwah kerana banyak membantu urusan dakwah untuk menyedarkan manusia tentang peranan mereka.

Meskipun begitu, terdapat juga kontra yang wujud dicelah-celah jalan dakwah yang dilakukan kerana kesempitan skop dakwah yang hanya tertumpu amar makruf nahi mungkar.

Disamping golongan ini yang terbukti besar peranan mereka membantu kerja-kerja ke arah pembentukan masyarakat ISLAM yang rabbani bukan sahaja ukhrawi bahkan duniawi. Di sana juga perlunya segolongan lain yang berperanan menggerakkan jentera dakwah di medan politik untuk mewujudkan sebuah daulah ISLAMIAH seterusnya menyahut saranan menuju pembentukan Khilafah ISLAMIAH yang runtuh pada tahun 1924.

Andai 2 golongan saling memahami dengan menyatukan fikrah dan amal mampu membentuk sebuah momentum yang hebat bagi menjana sebuah pembentukan masyarakat ISLAM yang syumul. Kesyumulan yang lengkap berpandukan norma-norma yang ditekan oleh ISLAM itu sendiri. Pengakhiran pemusatan ini bukan sahaja untuk kebaikan umat ISLAM bahkan mampu diterima secara terbuka oleh masyarakat bukan ISLAM setelah melihat kesejahteraan yang terbit di bawah naungan ISLAM.

Andai hujah sejarah unggul NABI SAW bersama para sahabatnya yang dikemukakan kita amati bukan keluar dari sebuah negara ke negara dan wilayah ke wilayah melalui penghantaran para sahabat BAGINDA SAW. Malahan pentadbiran negara yang dijalankan oleh BAGINDA SAW dengan sistem Al-Quran dan Sunnah juga merupakan asas kepada kesinambungan dakwah yang dilakukan.

Masing-masing mempunyai peranan masing-masing dalam menggerakkan jenteranya bagi membantu ISLAM. Bukan semua perlu berada di dalam pentadbiran sesebuah negara. Akan tetapi lapangan dakwah berhajat kepada semua individu muslim menjalankan tugas amar makruf nahi mungkar ini. Cumanya uslub dakwah yang dijalankan tidak seharusnya disempitkan dengan cara keluar dari satu kawasan ke kawasan yang lain.

Medan dakwah itu luas. Uslub dakwah juga bermacam. Setiap individu sewajarnya menjalankan dakwah amar makruf nahi mungkar ini dalam apa jua keaadaan sekalipun. Seandainya perkara ini disedari oleh setiap individu muslim, tidak hairanlah ISLAM kuat, gah dan gemilang suatu ketika dahulu apabila wacana dakwah dihayati oleh semua.

ALLAH berfirman di dalam surah Ali Imran, ayat 104 yang bermaksud:

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar [217]; merekalah orang-orang yang beruntung."

[217] Ma'ruf: segala perbuatan yang mendekatkan kita kepada
ALLAH; sedangkan mungkar ialah segala perbuatan yang menjauhkan kita dari pada-NYA.

Untuk melaksanakan kerja dakwah ini bukan perkara yang mudah. Ianya memerlukan cekalnya hati, fizikal dan mental untuk berhadapan dengan kerenah masyarakat akhir zaman yang kian bejat keruntuhan akhlak dan pegangan agamanya. Kecekalan ini tidak akan diperolehi hanya dengan kuatnya fizikal dan mental seseorang. Ianya perlu disandarkan kepada ALLAH untuk memastikan gerak kerja dakwah berkesan dan mendapat bantuannya.

Ini bersesuain dengan janji ALLAH melalui firmannya di dalam Surah MUHAMMAD ayat 7 yang bermaksud:

"Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) ALLAH, niscaya DIA akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu."

Mintalah selalu padaNYA. Jangan patah hati andai kerja dakwah yang dilaksanakan ditolak, dicerca, dihina dan dimaki hamun kerana itu adalah sunnah orang berjuang. Jauhi berprasangka buruk dan putus asa terhadap rahmat ALLAH kerana ianya akan melemahkan semangat juang kita untuk membantu agama ALLAH.

Kata Muthaqqaf : Wakafkanlah diri dengan sepenuh jiwa dan raga untuk perjuangan mempertahankan ISLAM kerana ALLAH. Dengan cara penyerahan ini moga-moga hati yang mudah berdolak dalih ini ditarbiyah untuk tunduk kepada tuntutan ALLAH dengan sepenuhnya tanpa mementingkan kebendaan duniawi yang melekakan seterusnya menjauhkan matlamat asal manusia tercipta. Salam tarbiyah, salam perjuangan tanpa noktah.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

2 comments:

madi2mudamudi said...

Salam ya akhi, nak btol kan, bukan surah Al-Baqarah,104, tapSurah Ali-Imran,104

Mohd Rasul Bin Amat said...

salam ya akhi....
syukran atas tegurannya...
terlepas pandang...
thanx again ya... :)