Video Klip Pilihan

Tuesday, February 26, 2008

.:: Hakikat Yang Disembunyi... ::.

بسم الله الرحمن الرحيم



Makhluk yang hidup di atas muka bumi ini merupakan ciptaan teragung ALLAH yang berkuasa terhadap kejadian tiap-tiap sesuatu.Dalam menentukan pentadbir untuk muka bumi yang akan menjaga, memelihara dan mentadbir setiap hak milik pinjaman ALLAH dengan sebaik-baiknya, manusia telah terpilih dengan kesanggupan yang dinyatakan. Setelah tanggungjawab yang ditawarkan kepada gunung dan makhluk ciptaan ALLAH yang lain ditolak mentah-mentah kerana tidak mampu untuk memikulnya. Akan tetapi setelah ALLAH menawarkan kepada manusia, mereka menerimanya tanpa berfikir panjang.

Maka daripada situ kita dapat lihat bahawa sifat manusia kadangkala lebih mengutamakan akal fikiran daripada dalam membuat sesuatu keputusan. Kecuali mereka yang berada di landasan dan jalan yang ALLAH tetapkan. Kisah pentaklifan ini tertulis dalam firmanNya selaku rujukan utama dalam menyelesaikan sebarang masalah yang timbul. Namun apa yang berlaku pada realiti hari ini adalah sebaliknya apabila kita dapat melihat sendiri fenomena kerosakan umat manusia dalam semua lapangan kehidupan lebih-lebih lagi berkaitan dengan perlaksanaan hukum yang dipandang enteng.

Bahkan dalam masa yang sama jika saya secara peribadi melihat situasi masyarakat sekarang sekiranya dilaksanakan perundangan ISLAM secara total akan merugikan mereka. Lihatlah kepada masyarakat Malaysia terutamanya selepas saya bersembang bersama dengan sahabat-sahabat Malaysia berkenaan dengan perundangan ISLAM mereka sangat takut akan perlaksanaannya. Faktor yang jelas boleh disimpulkan disebabkan mereka telah terdedah dan sebati dengan suasana kehidupan ala-barat dengan hiburan yang melampau, budaya pergaulan bebas dan pelbagai budaya yang menjauhkan masyarakat dengan suasana ISLAMIK yang sepatutnya diterapkan.

Di kejauhan mata memandang, memang agak berat untuk mereka menerima perlaksanaan sebuah negara ISLAM yang sebenar-benarnya akibat gagalnya asas awal pembentukan ummah Rabbani yang membawa kepada kegagalan dalam segenap aspek dalam ekonomi, sosial, politik keseluruhannya. Seandainya perkara ini dibiarkan berterusan tanpa kesedaran daripada pihak pemerintah sendiri, akan membawa kepada kehancuran masyarakat yang lebih teruk walaupun mereka menggagaskan sebuah gagasan yang dipersetujui konsepnya oleh seluruh ulama' kontemporari di dunia bahkan Sheikhul Azhar sendiri akan tetapi perlaksanaannya 'hampeh'.


Berbalik kepada persoalan yang sebenarnya ingin saya perjelaskan berkaitan dengan 'hakikat yang disembunyi'. Sebelum ianya diperjelaskan dengan lebih terperinci, suka untuk saya nyatakan perbahasan umum sebentar tadi juga sebenarnya sedikit sebanyak menunjukkan sikap egois beberapa pihak dalam menjelaskan sebuah kebenaran! Siapakah yang akan dipersalahkan dalam hal ini? Semestinya kesalahan tidak terpundak sepenuhnya kepada mereka akan tetapi terpundak sepnuhnya kepada si pemerintah kerana gagal dalam menyalurkan maklumat yang sahih.

Dalam masa yang sama, mereka yang mengetahui hakikat kebenaran akan tetapi menyembunyikannya dan tidak berusaha menegakkannya, amat pedihlah siksaan yang bakal disajikan untuknya kerana lebih mengutamakan kepentingan diri dari kepentingan ALLAH yang selayaknya! Sekurang-kurangnya, mereka yang sentiasa berusaha dalam menegakkan kebenaran dengan amar makruf dan nahi mungkar mampu membendung projek kemaksiatan yang dilakukan oleh pemerintah tika ini. Sememangnya perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak bukan semata-mata untuk kepentingan diri sendiri akan tetapi untuk survival masa hadapan.

Perkara ini usahlah dibiarkan berterusan dan dijadikan masalah picisan semata-mata ingin mengejar kepentingan dunia dengan mengetepikan soal kepentingan dan tuntutan akhirat yang lebih utama dipenuhi. Sama-samalah untuk kita memikirkan sebuah penyelesaian yang terbaik untuk memastikan sebuah perubahan dalam menjadikan ISLAM sebuah agama penyelesaian bukan mengikut kepada sumber perundangan barat yang mengundang banyak kehancuran yang berpanjangan.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,

ZuLmArWa

Saturday, February 23, 2008

.:: Layakkah Diri Ini? ::.

بسم الله الرحمن الرحيم


Seringkali diri tersungkur ke lembah hina,
Hanyut dibuai alam fana duniawi,
Minda tersepit dipandu sang laknat,
Semesta terbentang tiada sempadan,
Nista helah terpampang melata,
Dosa terjadi tanpa dihindari,
Pena Nangkir rancak menari,
Sedang si pelaku amalnya meremuk,
Punah dimakan dek dosa durjana.

Tatkala tecampak ke gaung neraka,
Nasuha bertandang tanpa dipinta,
Berlalu pergi tanpa disedari,
Terpacul insaf menerpa minda,
Layakkah diri ini bersemuka denganMU?
Sudikah ENGKAU memandang diriku?
Selamatkah aku dari pedih siksaMU?
Relevankah amalanku selama ini?
Andai terjawab setiap persoalan,
Berbahagialah mereka kelak.

Koreksi diasak menduga iman,
Amal dicerca jiwa ditohor,
Tangisi kotoran perkasa diri,
Doktrin peribadi wacana dijulang,
Cermin takwa sukatan perjalanan,
Memandu sukma menuju redha,
Di mata Pencipta prioriti diutama,
Nusrah syafaat moga tampil,
Berat neraca hindar jahanam.

Andai ampuh amalan dunia,
Pasti terlalai dosa maksiat,
Hembusan sufi mewarnai jiwa,
Zikir tawadhuk mendakap erat,
Takungan keinsafan tiada nista,
Lestari wadi kalbu nan suci,
Melerai punah pautan nafsu,
Pengakhiran episod jauh menusuk,
Melakar rindu di gerbang syurga.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,

ZuLmArWa

Monday, February 18, 2008

.:: Ayuh Kita Ke Kuliah!!! ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

| JADUAL PENGAJIAN SEMESTER KEDUA | TAHUN 4 |

FAKULTI USULUDDIN | JABATAN DAKWAH DAN KEBUDAYAAN ISLAM |

UNIVERSITI AL-AZHAR ASY-SYARIF | KAHERAH | DOKTOR-DOKTOR DAN SYEIKH-SYEIKH SUMBER TADAHAN ILMU :

| BAHASA INGGERIS – DR. MOHAMMAD MUSTAFA | TAKHRIJ FIL-AHADITH - DR. REDHA | PERBANDINGAN AGAMA – DR. AHMAD ISMAIL| DAKHIL FIT-TAFSIR – DR. ZAINAL ABIDIN| FIQH – DR. KHALED ABD ASIM | DAKWAH MASA KINI – DR. RAMADHAN| FALSAFAH ISLAM – DR. MAHMUD HUSAIN| METHOD BAHAS – DR. RAJAB KHIDIR| USUL FIQH – DR. BALAH ZAIDAN|

TANBIIIHAAT BERSAMA!!!

  • PASAKKAN NIAT MENUNTUT ILMU SEMATA-MATA UNTUK MENCARI KEREDHAAN ALLAH.
  • GAGAHKAN DIRI UNTUK KE KULIAH SETIAP HARI JANGAN TINGGAL TANPA KEUZURAN.
  • BACA DAN ULANGKAJI KITAB KULIAH SEBELUM DAN SELEPAS KULIAH.
  • SEMATKAN HAFAZAN DAN BACAAN AL-QURAN BUKAN SEMATA-MATA MUQARAR.
  • DALAMI ILMU DAN THAQAFAH TANPA HAD WAKTU.SAMPAIKAN DAN AJARKAN ILMU KEPADA MEREKA YANG MEMERLUKAN.
  • JULANG THAQAFAH BAKTI DICURAH!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,

ZuLmArWa

Sunday, February 17, 2008

.:: Hakikat Agama Samawi ::.

بسم الله الرحمن الرحيم


|| Seputar Isu Mutiara Ilmu

Salam ta'zim buat semua sidang pembaca yang sudi berkunjung ke blog peribadi penulis yang semakin jarang mengutarakan pos entri yang menarik minat kalian semua. Ala kulli hal semoga sedikit sebanyak ianya mampu memberikan perkongsian perjalanan hidup penulis secara peribadi bersama kalian yang sentiasa memberikan sokongan dalam menongkah kehidupan mendatang. Inilah kemanisan ukhuwah yang terjalin dengan ribat yang erat agar kekuatan yang terhasil itu mampu memberikan nusrah ketika berada di medan perjuangan kelak.

Kesyukuran juga dipanjatkan ke hadrat Ilahi, Rabbi atas segala nikmat kurniaan yang tidak putus-putus disalurkan tanpa penat dan jemu. Alhamdulillahi Rabbil Alamin. Dialah Tuhan Yang Maha Esa tiada Tuhan yang disembah melainkanNya dan sesungguhnya Nabi Muhammad S.A.W itulah utusanNya yang teragung. Baginda yang bersusah membawa risalah ISLAM, ajaran mentauhidkan ALLAH dan menjauhi dari sebarang perkara yang boleh jatuh kepada mensyirikkan ALLAH. Semoga kita dijauhkan dari perkara itu.

Menjurus kepada entri kali ini, penulis ingin memberikan sedikit penjelasan terhadap persoalan yang diajukan oleh seorang muslimat dari sebuah institut pengajian tinggi di Perak. Beliau menanyakan mengenai persoalan agama Samawi di sisi ALLAH. Bagaimanakah konsep agama Samawi tersebut menurut penjelasan Al-Quran dan Sunnah sebagai petunjuk sepanjang zaman. Itulah pegangan yang sepatutnya disemat kemas di hati sanubari setiap yang bergelar "MUSLIM" dan "MU'MIN".

Muslim adalah mereka yang telah mengucap dua kalimah syahadah dan mengerjakan setiap apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang sebagaimana yang termaktub di dalam rukun ISLAM dan rukun IMAN. Akan tetapi mereka hanyalah dikalangan orang awam yang hanya mengetahui perkara yang asas dalam agama. Manakala "mu'min' pula adalah mereka yang beriman dengan sepenuh hati mereka atas segala apa yang diarahkan dan meninggalkan apa yang dilarang disamping memahami setiap perkara tersebut dengan sebaik-baiknya. Semua orang "mu'min" itu adalah "muslim" akan tetapi tidak sebaliknya.

|| Agama Samawi Diiktiraf Di sisi ALLAH

Agama Samawi adalah agama yang diwahyukan oleh ALLAH dan diturunkan kepada agama-agama wahyu tersebut kitab-kitab suci mereka sebagai panduan syariat, ibadat dan akhlak. Agama Samawa terbahagi kepada tiga sahaja iaitu :
  • Agama Yahudi - diturunkan kitab Zabur dan Taurat (Nabi Daud A.S dan Nabi Musa A.S).
  • Agama Nasrani - diturunkan kitab Injil (Nabi Isa A.S).
  • Agama ISLAM - diturunkan Al-Quran (Nabi Muhammad S.A.W).
Berdasarkan kepada rujukan di atas, kita dapat melihat bahawa hanya ketiga-tiga agama ini sahajalah yang diiktiraf oleh ALLAH bagi sesiapa yang berpegang teguh kepada ajaran tersebut. Ajaran kesemua agama ini adalah sama iaitu mentauhidkan ALLAH semata-mata dan menjauhi perkara yang mensyirikkan ALLAH. Cuma yang menjadi perbezaan adalah teknikal perlaksanaan hukam-hakam yang diperintahkan bagi penganut-penganut agama sebelum ISLAM lebih kecil skopnya.

Apabila diutusnya Nabi Muhammad S.A.W, Nabi dan Rasul terakhir bersama dengannya diturunkan juga kitab suci umat ISLAM, Al-Quran. Baginda Rasul terakhir yang meliputi segala ajaran para Nabi dan Rasul sebelumnya semata-mata mengajak umat manusia untuk mengesakan ALLAH. Titik perbezaannya para Nabi dan Rasul terdahulu diutuskan hanyalah untuk kaum mereka sahaja. Akan tetapi Baginda pula diutuskan adalah untuk semua umat manusia yang hidup di muka bumi ini. Bahkan termasuk jin yang tidak mampu untuk dilihat melalui mata kasar.

Al-Quran pula kitab terakhir yang diturunkan meliputi segala hukum-hakam yang pernah disyariatkan pada ajaran-ajaran sebelumnya bahkan dikurniakan banyak kelebihan lain yang tidak dianugerahi kepada umat sebelum ISLAM. Barangsiapa yang masih berada dalam agama selain ISLAM (Yahudi dan Nasrani) sekalipun masih diterima di sisi ALLAH dengan syarat mereka berpegang sebagaimana ajaran yang diturunkan dahulu.

|| ISLAM Ad-Din, Cara Hidup Sebenar

إن الدين عند الله الإسلام ( سورة آل عمران )
Maksudnya : Sesungguhnya Ad-din di sisi ALLAH hanyalah ISLAM.

Melalui ayat yang dipetik dari kitab suci Al-Quran yang amat jelas menjelaskan mengenai pengiktirafan ALLAH hanyalah ISLAM sebagai agama di sisiNya. Bukanlah mengatakan mereka yang menganut agama Yahudi Nasrani sebagai kafir. Akan tetapi agama mereka pada era selepas kewafatan para Nabi dan Rasul Bani Israel yang di khususkan menganuti agama ini semakin jauh dari ajaran yang sebenar. Bahkan semakin terpesong jauh dari arahan dan larangan kitab sebenar mereka seperti yang diturunkan.

Mereka juga merupakan kaum yang tidak bersyukur dengan pelbagai nikmat yang ALLAH berikan kepada mereka tanpa dikurniakan kepada umat selain mereka. Akan tetapi mereka mudah lupa dan kembali mempersukutukan ALLAH. Kelampauan mereka bukan setakat itu sahaja, bahkan mereka melampaui batas sehingga berani mengubah isi kandungan kitab suci yang membenarkan segala apa yang akan berlaku. Sebagai contoh di sana menyatakan akan kemunculan Nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad S.A.W yang diseleweng dan dimansuhkan kebenaran yang termaktub.

فويل للذين يكتبون الكتاب بأيديهم ثم يقولون هذا من عند الله ليشتروا به ثمنا قليلا فويل لهم مما كتبت أيديهم وويل لهم مما يكسبون ( سورة البقرة )
Maksudnya : Maka sesungguhnya neraka waillah bagi mereka yang menulis kitab ALLAH dengan tangan-tangan mereka kemudian mereka berkata " kitab ini adalah dari sisi ALLAH" dan mereka berjual beli kitab ALLAH itu dengan sewenang-wenangnya. Maka neraka waillah daripada apa yang ditulis oleh tangan-tangan mereka dan dari apa yang mereka kerjakan

Selain ituو mereka juga berani membunuh para Nabi dan Rasul, mengaku mereka anak ALLAH bahkan mereka mengatakan bahawa Nabi Isa A.S untuk agama Nasrani adalah Tuhan mereka yang dengan bersatunya ALLAH di jasad Nabi ALLAH Isa A.S. Maha suci ALLAH dari segala kekufuran dan tanggapan mereka yang sesat itu.Dan banyak lagi kekufuran yang nyata berlaku sehingga mereka pada saat ini sedang berusaha untuk menyingkirkan ISLAM dari muka bumi ini seterusnya menyebarluaskan fahaman Yahudi Nasrani yang sesat itu.

Akan tetapi ingatlah bahawa ALLAH akan sentiasa menjaga agama suci ini bersama hamba-hambaNya yang sentiasa berjuang memelihara dan menegakkan syiar ISLAM ini di seluruh pelusuk alam. Semoga sentiasa mendapat pimpinan dan bimbinganNya dalam setiap langkah menuju rahmat dan mardhatillah. Itulah tujuan sebenar ALLAH utuskan umat manusia ke muka bumi ini setelah makhluk-makhluk lain menolak kerana tidak mampu untuk memikul amanah tersebut. Seterusnya disambut baik oleh umat manusia. Maka bersama kita menghayati tujuan sebenar kita diutus ke muka bumi ini.

|| Perkasa Akidah Hindari Perpecahan

Pada akhir zaman yang semakin hampir kepada hari yang dijanjikan cuma tidak diketahui bila akan berakhir. Apakah kita telah bersedia untuk menuju destinasi cinta yang hakiki dengan sebenar-benar akidah disulami ketakwaan dan seberat-berat amal kebajikan dihiasi keikhlasan? Setelah pemerhatian dijalankan kita dapat lihat senario dunia ISLAM yang diasak dengan perpecahan dari sudut fahaman akidah yang saling menolak dan menghujum variasi asbab yang tiada noktahnya.

Dalam umat ISLAM bertengkar mempertahankan fahaman masing-masing yang terlalu fanatik dengan pandangan ulama' mereka dalam sesuatu perkara. Sehingga sanggup mengetepikan Al-Quran dan Sunnah bahkan tega memaki hamun Rasulullah, ahli baitnya, para sahabat dan ulama'-ulama' muktabar. Dalam kes lain pula kita dapat lihat ada diantara mereka yang sanggup kafir mengkafir antara satu puak dengan puak yang lain. Segala yang berlaku ini sememangnya seperti yang termaktub di dalam sebuah hadith Nabi S.A.W mafhumnya :

"Sesungguhnya kaum yahudi akan berpecah kepada 72@73 puak. Begitu juga kaum Nasrani akan berpecah kepada 72@73 puak. Manakala umat ISLAM juga akan berpecah kepada 72@73 puak. Dari kesemua itu hanya satu yang akan selamat."

Sepakat ulama' mempersetujui satu yang akan terselamat itu adalah puak/kelompok ahli sunnah wal jamaah yang memegang teguh tali ALLAH dan sabda Nabi S.A.W. Semoga kita tergolong dikalangan mereka yang terselamat dan mendapat lindungan ALLAH.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Friday, February 15, 2008

.:: Jauh Perjalanan, Luas Inquiri ::.

بسم الله الرحمن الرحيم




Perjalanan yang perlu untuk ditempuhi masih jauh di hadapan. Maih memerlukan waktu dan ruang yang panjang untuk diterokai. Bukan mudah untuk kita mencapai dan meragut kesemuanya dalam masa yang singkat. Sungguh thaqafah, kebudayaan yang terdapat di merata dunia terlalu banyak yang ditinggalkan oleh para utusan ALLAH terdahulu untuk dijadikan pedoman bagi menongkah onak hidup mendatang yang semakin mencabar.

Namun dalam kesibukan menjalankan tugas-tugas terakhir sebelum berakhirnya sesi pemerintahan bagi sesi 2007 ini, sempat juga kami merancang mengadakan jaulah untuk pimpinan yang bakal turun menyerahkan sesi pemerintahan untuk pimpinan yang seterusnya. Spekulasi mengenai kenaikan pimpinan yang bakal menerajui sesi mendatang telah terjawab. Bahkan spekulasi untuk pimpinan yang bakal kekal dalam pimpinan sesi mendatang juga sudah menjadi buah mulut di kalangan masyarakat azhari.



Kesibukan yang melanda tidak seharusnya menekan dan membuatkan diri seorang pemimpin itu tertekan dengan lambakan kerja-kerja akhir. Oleh yang demikian, tercetuslah idea untuk membuat jaulah jalan-jalan makan angin bagi menurunkan sedikit tekanan yang terhasil. Walaupun pada peringkat awal seolah-olah perancangan yang dirangka seolah-olah tidak mendapat restu Yang Esa kerana destinasi yang dituju tidak ditemui. Pengalaman 3 orang badan pengurus yang pernah pergi sebelum ini. Akan tetapi atas bantuan dari ALLAh akhirnya kami sampai dengan selamat.


Jauhnya perjalanan kami ke Ra'su Sidr menambah luaskan inquiri kami. Hajat di hati ini, ingin melangkah jauh mengembara ke Sinai dan tempat-tempat bersejarah lain seperti sahabat-sahabat yang lain. Tetapi apakan daya, amah yang terpundak lebih utama untuk diselesaikan berbanding dengan pengembaraan yang boleh ditunaikan di hari mendatang dengan keizinanNya. Ra'su Sidr, sebuah kolam air panas yang sangat terpencil di tengah-tengah padang pasir. Maha Suci ALLAH yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu.


Semoga dengan jauhnya langkah perjalanan yang dilalui, diharap akan menambahkan ketakwaan dan taqarrub kepada ALLAH. Selain memberikan manfaat yang sangat banyak dengan singkapan pelbagai rahsia alam termasuk sirah perjalanan para Nabi seperti Nabi Musa ketika menyeberang Laut Merah yang dibelah dengan izinNya tatkala dikejar olej Firaun dan bala tenteranya. Dan banyak lagi rahsia yang perlu disingkap untuk menguatkan keimanan kepada ALLAH tiada Tuhan yang disembah melainkan DIA.


Selain itu juga penulis sempat singgah melawat ke beberapa tempat lain dan kalian boleh mendapat kisah selanjutnya di blog kedua penulis di sini. Semoga memberikan banyak manfaat dan pengajaran untuk kita bersama.

Itulah hasil yang disarankan oleh ALLAH dalam transkrip Kitabullah yang meyuruh manusia mengembara melihat kesan-kesan peninggalan sejarah umat-umat terdahulu yang melanggar perintah ALLAH diazab dengan sekeras-keras azab. Bersamalah kita menambah nilai thaqafah budaya kita disamping meneruskan usaha-usaha mencari ilmu yang dituntut dalam medan dakwah kelak.



Untuk akhirnya, penulis tinggalkan sidang pembaca dengan paparan yang sempat dirakam untuk dikongsi bersama sebagai pedoman bersama. Bagi sesiapa yang berhajat untuk melawat peninggalan-peninggalan sejarah yang tidak terkira banyaknya bolehlah menyahut laungan 'Tahun Melawat Mesir 2008' dari penulis sendiri.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Thursday, February 14, 2008

.:: Ikut Kata Hati, Habislah... ::.

بسم الله الرحمن الرحيم


|| MONOLOG TERCIPTA

Acapkali diri ini berputar-putar memikirkan prinsip sahabatku yang seorang ini. Tiap kali minda itu berputar memikirkannya, maka pada tiap kali lintasan pandangan yang pelbagai singgah di ufuk mindaku yang masih kurang dalam menentukan nilai ISLAM yang sebenar. Lebih-lebih lagi, nilai ISLAM yang menurut acuan yang bertepatan dengan ajaran Quran dan Sunnah teragung.

Apakah sebenarnya yang bermain di mindanya sehingga memikirkan sedemikian rupa? Sebelum ini penulis menyentuh soal survival PMRAM yang dilihat seolah-olah semakin diinjak-injak oleh beberapa pihak dengan ugutan dan sebagainya. Itu semata-mata untuk memenuhi hajat dan kepentingan dirinya dalam masa yang sama sanggup menggadai prinsip dirinya dalam memberikan komitmen yang tinggi terhadap PMRAM. Terpulang kepada kalian dalam menilainya.


Melihatkan kepada sambutan yang tidak menggalakkan dari sidang pembaca, maka penulis hanya meninggalkan jawapan bagi persoalan tersebut sekadar di awang-awangan menunggu pertukaran arah angin membawanya prgi bersama. Agak sukar untuk meraih komentar ahli yang benar-benar faham mengenai kesinambungan PMRAM yang semakin terhakis dengan pelbagai tribulasi mendatang bertubi-tubi menenggelamkan gahnya sebuah persatuan induk yang banyak berjasa.

|| SENTUHAN JIWA RASA

Kembali kepada perbincangan entri pada kali ini. Penulis ingin berkongsi sebuah rencah kehidupan seorang sahabat penulis yang akrab suatu ketika dahulu akan tetapi kala ini terpisah dengan haluan masing-masing. Penulis yang berkecimpung penuh di dalam persatuan induk terawal di Ardul Kinanah manakala sahabat penulis bergiat di dalam sebuah persatuan komponen kerajaan yang kalian sedia maklum.

Walaupun kenyataan seorang Menteri Pengajian Tinggi yang melarang sebarang penceburan sebarang aktiviti persatuan yang berunsurkan politik di Tanah Air. Akan tetapi mahasiswa dan mahasiswi di luar negara dihidang bahkan digalakkan untuk menyertai persatuan komponen kerajaan yang wujud di seluruh pelusuk negara. Ianya semata-mata bagi memastikan pelajar luar negara menyokong kerajaan walaupun larangan keras telahpun dikeluarkan.

Ini dapat difikirkan merupakan arahan yang berat sebelah melarang pelajar dan mahasiswa menceburkan diri di mana-mana arena persatuan yang berunsurkan politik dalam masa yang sama menyuruh mereka menyertai persatuan komponen kerajaan yang bertopengkan persatuan kebajikan. Nilai dengan akal minda kita yang waras dalam menentukan keadilan adakah tertegak dengan saksama atau berlaku diskriminasi yang amat ketara.


Berbalik kepada sahabat penulis, beliau menyatakan tujuan beliau menyertai persatuan komponen kerajaan itu adalah semata-mata untuk mengubah prinsip mereka yang selama ini kucar-kacir dan tidak bersistematik. Bahkan kita sendiri dapat lihat pimpinan persatuan tersebut bukanlah dikalangan yang cemerlang dan menjadi contoh kepada dalam apa jua aspek sebagaimana yang ISLAM sarankan dalam memilih dan menjadi pemimpin.

Sekadar lontaran pandangan untuk kita fikirkan bersama mengenai fenomena yang berlaku ini. Kemudian beliau mengatakan dengan cara beliau berada dalam kelompok tersebut beliau dapat memastikan mereka lebih teratur. Penulis amat menghormati segala matlamat yang ingin beliau sasarkan. Memang benar mereka tidak pernah memburuk-burukkan persatuan terlama di Mesir ini. Kerana kerja memburuk-burukkan persatuan ini hanya dilakukan oleh pihak atasan yang sememangnya penyokong kuat kerajaan seterusnya menyokong penuh segala usaha persatuan komponen kerajaan itu.

|| SUNNAH PENYULUH CARA

Perkara yang penulis kongsi dan lontarkan pada sahabat yang amat dikasihi juga kepada sidang pembaca sekalian, adakah setiap tindakan yang dilakukannya berlandaskan pedoman Rasulullah S.A.W? Adakah Baginda berdakwah terhadap kaum Musyrikin dan Kuffar dengan cara menyertai dan mengikut cara mereka? Jawapan yang akan terpacul semestinya TIDAK berdasarkan rentetan sejarah yang termaktub.

Apa yang kita perhatikan Baginda S.A.W berdakwah dengan cara yang sangat berhikmah seterusnya memberikan kesan yang amat mendalam membuatkan mereka menerima ISLAM dengan aman. Bukanlah untuk kita menarik mereka untuk mengikuti jalan ISLAM yang sebenar dengan kemasukan kita di dalam kelompok mereka kerana tindakan tersebut akan menjadikan kita sebahagian daripada mereka yang perlu diperangi kerana memusuhi ISLAM.

Kita semua sedia maklum bahawa mereka adalah orang ISLAM yang menuntut di Universiti Al-Azhar, gedung ilmu yang termasyhur. Akan tetapi cara mereka dalam membawa amanah ilmu itu tidak pada tempatnya setelah terang lagi bersuluh akan segala kerosakan terhadap masyarakat remaja di Tanah Air yang meragut kemuliaan ISLAM yang sebenar.

Adakah kalian masih ingin mengatakan bahawa kita perlu masuk bersama mereka dan mengubah kepada kebaikan dari dalam? Sedangkan kita lihat ramai alim ulama' yang telah menceburkan diri mereka di dalamnya bahkan semakin teruk keadaan umat ISLAM. Usahkan untuk mengubahnya dari dalam, mereka yang bertungkus lumus menghalang kemaksiatan dan kerosakan digam, disekat dari melontarkan amar makruf.

|| ISLAM DIJULANG, BAKTI DICURAH

Kesimpulannya, adakah di sana peluang untuk mengubahnya dari dalam dengan situasi kebejatan akhlak yang bermaharajalela menyesakkan rongga pernafasan? Jawapannya masih TIDAK!. Segala perubahan hanya akan berlaku apabila kerajaan yang bakal memimpin mengikut kepada aturan yang telah ALLAH susun dalam suluhan Mukjizat Teragung yang turut disinari kalam Utusan Terpuji.

Sesuatu kebaikan yang diinginkan tidak akan tercapai selagi mana tiada tercetusnya petikan api perubahan untuk membela dan memartabatkan kembali nilai-nilai ISLAM yang sebenarnya. Apabila petikan tersebut terjadi, maka akan terbitlah suasana yang penuh harmonis demi menggapai cinta pertama. Itulah pengharapan yang sentiasa terdetik di hati sanubari mereka yang merindui KEIMANAN, KETAKWAAN dan KEAMANAN yang hakiki.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Monday, February 11, 2008

.:: Adakah PMRAM Sedemikian Rupa?? ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Bulan yang meletihkan perahan otakku dan memenatkan seluruh badanku. Apa tidaknya di saat-saat akhir pentadbiran untuk sesi 2007 ini semakin mendekati terbenamnya mentari senja. Justeru itulah seharusnya semua pimpinan di setiap badan dan lajnah yang dipegang perlu menyelesaikan saki baki tugasan lantas menyusun segala gerak kerja yang telah dilaksanakan untuk kemudahan pimpinan sesi yang berikutnya. Apabila memikirkan tanggungjawab tersebut yang perlu aku langsaikan dengan seberapa segera terdetik kembali api semangat.

Dalam memikirkan tindakan untuk menyelesaikan tugasan tersebut, menerpa satu persoalan yang cukup memeranjatkan. Bahkan merumitkan sistem pentadbiran di sesi mendatang dalam memastikan keberjayaan menjalankan setiap program kebajikan yang benar-benar memberikan manfaat dan benefit yang diinginkan oleh ahli. Setelah penelitian dan analisis yang dijalankan oleh beberapa ahli fikir, mendapati sokongan dan pandangan ahli terhadap PMRAM semakin merudum bahkan terdapat segelintir ahli yang berani mengugut PMRAM dengan pelbagai kecaman seandainya permintaan mereka tidak dituruti.

Apakah ini sebagai titik permulaan menjauhnya ahli terhadap PMRAM? Memang tidak dinafikan kegemilangan dan gahnya PMRAM suatu ketika dahulu adalah sesuatu yang sukar untuk diulangi kembali. Apa yang perlu dilakukan oleh pimpinan di sesi mendatang adalah melakukan sesuatu perkara yang memuaskan hati semua pihak tanpa menjual dan menggadai prinsip persatuan induk yang banyak berjasa kepada anak-anak Melayu di Ardul Kinanah ini. Ini adalah berdasarkan sudut pandangan mata saya dan beberapa sahabat lain yang sememangnya berbeza dengan pandangan mata kalian semua.


Masing-masing mempunyai pandangan dan penilaian masing-masing dalam menentukan survival sesebuah persatuan yang dinaunginya. Lontarkan segala pandangan, komentar dan alasan kalian untuk membuktikan kebenaran fenomena yang berlaku ataupun untuk menafikannya. Ini bukanlah sebuah permainan dan rekaan semata-mata. Akan tetapi ini adalah untuk memberikan sebuah anjakan perubahan demi memastikan kesinambungan persatuan induk ini akan terus menerajui Badan-badan Anak Negeri (BKAN) dan juga Dewan-dewan Perwakilan Mahasiswa/wi yang berada di bumi Mesir ini.

Kitakan PMRAM. Dan kita adalah sebuah persatuan yang bersatu di bawah satu sinar cahaya ISLAM bermethodkan method Universiti Al-Azhar sejak zaman berzaman. Sebuah universiti yang tertua bahkan terawal ditubuhkan tidak putus-putus mengeluarkan kader-kader alim ulama' pewaris dakwah para Nabi dan Rasul.

Selamat berkomentar dan bersama kita berkongsi sebarang idea yang membina untuk kemaslahatan sejagat lantas menjulang kembali nama PMRAM yang sinonim dalam memperjuangkan kebajikan ahli.

Oleh yang demikian 'adakah benar pada pandangan kalian bahawa PMRAM semakin lemah dan jauh dari ahli?'

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Friday, February 08, 2008

.:: Meningkatnya Umur, Berkurangnya Hayat ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Lafaz kesyukuran yang sebanyak-banyaknya kepada ALLAH yang Esa atas limpah kurnia nikmat Iman dan Islam yang dianugrahinya kepada hamba yang fakir ini. Yang terpenting adalah nikmat umur yang berterusan dalam memberikan peluang kepada hamba ini untuk terus mengabdikan diri kepadaNya selagi hayat di kandung tanah. Tanpa izin dan rahmat Mu Ya Rabb, aku masih mampu berdiri tegak untuk meneruskan perjuangan mengabdikan diri kepadaMu.
Justeru itu, terlintas beberapa firman ALLAH yang mengingatkan kita semua mengenai kepentingan dan tanggungjawab sebenar kita diciptakan dengan sebaik-baik kejadian. Bukan semata-mata untuk mendiami muka bumi ini, akan tetapi hadaf yang paling utama adalah semata-mata untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba ALLAH dan khalifah(pemimpin). Firman ALLAH S.W.T :


وما خلقت الجن والإنس إلا ليعبدون
Maksudnya:Tidaklah aku (ALLAH) jadikan jin dan manusia itu adalah semata-mata untuk beribadah kepadaku.


Dengan itu tiada kalam yang dapat ku gariskan untuk tatapan kalian atas setiap mutiara ucapan yang dihantar kepadaku. Hanyalah ucapan 'Jutaan terima kasih' yang tidak terhingga atas keprihatinan kalian. Semoga sifat prihatin, kasih sayang yang terjalin selama ini akan mendapat pimpinan dan redha Yang Esa.



Walaupun ucapan yang dihantar pelik-pelik tapi sekurang-kurangnya ia menggembirakan kegusaran hati ini. Semoga ALLAH memberikan nusrah kepada kita semua dalam melayari lautan kehidupan yang masih belum pasti pengakhirannya. Yang pastinya kita sematkan di hati sanubari untuk menggapai destinasi cinta yang abadi kembali ke sisi Nya dengan penuh kemuliaan.



Semoga ukhuwah yang terjalin ini jua kita niatkan ianya adalah semata-mata kerana ALLAH. Bertemu dan berpisah adalah lumrah kehidupan. Moga kasih sayang yang terjalin walau sebentar cuma merupakan sebuah lakaran keikhlasan kerana ALLAH hendaknya.


8 Februari 1985-2008

Bagaikan dalam mimpi yang ku rasakan. Pejam celik rupa-rupanya umurku dah mencecah 23 tahun. Semakin meningkat umur, maka semakin berkuranganlah jangka hayat, semakin singkatlah perancangan yang disusun selama ini. Adakah segala apa yang dirancang selama ini akan tercapai? Adakah akan sempat untukku menjejakkan kakiku menyempurnakan sebahagian dari tuntutan agama? Adakah segalanya akan berjaya sepeti yang dirancang? Hanya usaha yang termampu dan selebihnya tawakal yang dapat ku ukir.




Bersamalah kita membangunkan sebuah saranan dan impian ISLAM supaya kelak kita kembali ke hadratNya dalam keadaan yang aman, bersih dari noda, dan diterima dengan penuh kepujian dengan pengamalan suruhan yang terbaik. Salam takzim buat semua atas sokongan padu yang kalian berikan untuk jiwa ini meneruskan perjalanan yang masih jauh di hadapan.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Thursday, February 07, 2008

.:: Kau Pergi Jua Akhirnya ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Sesuatu ketentuan yang semestinya di luar bidang kuasa kita selaku manusia kepada Sang Maha Pencipta yang Maha Agung mentadbir tiap-tiap sesuatu tanpa terlepas pandang walau sekecil mana dan sejauh mana sekalipun ciptaanNya itu.

Firman ALLAH S.W.T :

كل من عليها فان ويبقى وجه ربك ذو الجلال والإكرام

Maksudnya : Semua yang di diciptanya akan musnah dan akn kekal hanyalah ALLAH yang Maha Agung lagi Maha Mulia.

Belangsukawa Buat Ahli Bait Tanjung Puteri

Semestinya sesuatu yang sungguh menyakitkan bahkan menyedihkan kita apabila kehilangan seseorang yang tersayang. Lebih-lebih lagi si dia merupakan orang yang paling rapat, teman di kala kesepian dan tempat meluahkan rasa. Perasaan sedih yang teramat sangat pasti akan merajai hati sanubari tatkala kebersamaan yang terjalin hanya dalam masa yang singkat tanpa sempat untuk berkongsi kasih sayang sepenuhnya.

Namun apakan daya kita, kerana semua itu berada pada kudrat dan iradat ALLAH yang Maha Agung dalam menentukan hidup dan mati setiap makhluk yang hidup di atas muka bumi ini. Apabila telah sampainya maut, sememangya ia tidak akan dapat dihalang kehadirannya. Tidak akan mampu untuk dipercepatkan apatah lagi dilambatkan walaupun sesaat. Bertepatan dengan titah Maha Pencipta dalam FirmanNya :

فإذا جاء أجلهم لا يستأخرون ساعة ولا يستقدمون

Maksudnya : Maka apabila telah sampai ajal (mati) mereka, maka tidak akan boleh untuk dilambatkan sesaat dan tidak boleh dipercepatkan.

Semoga kita dapat mendoakan semoga rohnya sentiasa berada bersama mereka-mereka yang mendapat redha dan rahmat ALLAH. Lantas menemukannya bersama kita kelak di syurga dengan izinNya.

Aristo Pergi Jua Akhirnya

Bagaikan baru semalam bertemu dan berkenalan dengannya. Bahkan tidak sempat untukku mendalami isi hatinya dengan lebih mendalam. Namun apakan daya kuasa ALLAH membatasi segalanya. Semoga dia tenang dan aman di sana hendaknya. Bersama kita doakan untuknya. Walaupun hanya sempat bersamanya hanya beberapa detik sahaja semenjak aku meninggalkan Bait Tanjung Puteri dan berpindah ke Hostel Pelajar-pelajar Johor.

Namun sedetik bersamanya cukup mengembirakan dan memberikan ketenangan apatah lagi si dia merupakan makhluk kesayangan Rasulullah S.A.W. Semoga dengan kecintaan dan kasih sayang padanya akan menambahkan kecintaan kita kepada Kekasih Hati ALLAH itu. Dan yang paling utama untuk kita mendapatkan syafaat di akhirat sana berkat menyayangi dan mengikut setiap langkah kehidupan Junjungan Teragung itu.


Inilah Aristo yang dimaksudkan. Inilah kali terakhir aku bersamanya :((

Setiap yang bernyawa itu pasti akan mati. Insafilah setiap kejadian yang berada di sekeliling kita.

Bagaikan sebuah mimpi kerana gelagatnya yang licik sebelum ku pergi adalah kali yang terakhir.



Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Tuesday, February 05, 2008

.:: Tinta Ukhuwah Coretan Terindah ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas segala limpah kurnia dan kesempatan yang dikurniakan pada kali ini walaupun dalam kesibukan yang teramat sangat akan tetapi DIA masih menyayangi hambanya yang kerdil ini. Alhamdulillah sebanyak-banyaknya di lafazkan. Di kesempitan waktu yang ada ini ku rasakan sebuah anugerah yang cukup berharga dalam memberikan sedikit sebanyak faedah dan maklumat kepada semua yang memegang teguh ukhuwah Fillah Islamiyah yang tersemai.

Perjuangan Masih Panjang

Semoga ianya bermanfaat untuk peringatan dan kestabilan ilmu kita bersama. Dalam keringanan minda sahabat-sahabat yang lain merehatkan kesibukan otak dalam memikir, memahami, menghayati dan mengingat setiap butiran ilmu yang termaktub di dalam suratan ilmiah, akan tetapi diri ini dan sebahagian besar sahabat-sahabat seperjuangan yang berada di tahun ke-3 dan ke-4 di pengajian Usuluddin di semua jabatan akan menghadapi peperiksaan syafawi (ujian lisan) pada pertengahan bulan ini. Diharapkan doa kalian semua mengiringi perjuangan kami yang masih berbaki di penggal pertama ini.

Da
lam masa yang sama untuk pengetahuan semua sahabat-sahabat yang berada di seluruh pelusuk bumi Mesir ini terutamanya yang menuntut di Universiti Al-Azhar juga tidak ketinggalan sahabat-sahabat perubatan bahawa kuliah semester yang kedua akan bermula pada 7 Februari 2008 ini. Bersamalah kita menjayakan dan merancakkan kembali kehadiran ke kuliah azam semangat baru untuk menggapaiu kejayaan untuk memelihara ISLAM di masa mendatang yang jelas terpundak di bahu-bahu para pembawa amanat ilmu ALLAH untuk disampaikan dalam masa yang sama selaku penerus kerja dakwah para Nabi dan Rasul utusan ALLAH.


Gerbang Ilmu Masih Dibuka

Seingat diri ini, disepanjang 3 tahun berada di perantauan menuntut ilmu di Ardul Kinanah ini setiap kali diadakan Maarad Kitab ( Karnival Buku Antarabangsa Kaherah) semestinya tidak akan ku lepaskan peluang untuk mengunjunginya walaupun tidak membawa pulang sebuah kitab sekalipun. Akan tetapi sekurang-kurangnya catalog akan ku bawa pulang bersama sekadar panduan untuk sahabat- sahabat lain yang mungkin ingin membelinya ataupun mungkin tergerak rasa hati ini untuk membelinya.

Sekadar makluman untuk sesiapa yang merasakan terlepas peluang untuk membeli sebarang kitab yang sukar untuk didapati selain di karnival tersebut. Sebelum ini karnival buku tersebut diadakan bermula 23 Januari sehingga 4 Februari 2008. Memandangkan sambutan yang menggalakkan dan permintaan yang tinggi maka ditambah 3 hari lagi yang akan berakhir pada hari Khamis ini, 7 Februari 2008. Justeru itu untuk sesiapa yang mengharapkan detik-detik keemasan yang jarang berlaku bersegeralah mendapatkannya sebelum ianya berakhir.

Kembali Semula Ke Garisan Permulaan

Sedih untuk meninggalkan sebuah tempat yang meninggalkan begitu banyak kenangan bersama rakan-rakan, sahabat perjuangan menempuh susah senang, suka duka bersama. Tetapi apakan daya, diri ini ingin memberikan sebuah natijah yang terbaik untuk diri sendiri hanya untuk kali ini setelah melihat keadaan yang memaksa. Maafkanku sahabat-sahabat Bait Tanjung Putri. Tidak terniat diri ini ingin menyusahkan kalian akan tetapi melihatkan kepada situasi semasa yang terdesak berdasarkan faktor kewangan diri yang lari dari bajet asal.

Aku pun tidak terlintas untuk menyusahkan kakak-kakak dan abangku yang mengambil-alih menanggungku sepenuhnya. Alhamdulillah aku sudah berada di tahun yang terakhir sedikit sebayak meringankan bebanan yang mereka galas. Untuk menanti kehadiran biasiswa zakat Johor dirasakan tidak cukup untuk meringankan bebanan ku dengan beberapa maslaah yang lain. Semoga ALLAH akan memberikan kemudahan kepadaku lantas meringankan kesukaran dan kesempitan yang ku alami.

Dalam 4 tahun tempoh keberadaan aku di Ardul Kinanah ini, 5 kali aku berpindah-randah dari satu tempat ke tempat yang lain. Berikut carta aliran perpindahanku :-

Hostel Pelajar-pelajar Johor - Asrama Rumah Melayu Abasiah (ARMA) - Rumah sewa Abasiah - Bait Tanjung Puteri, Makram Abid - Hostel Pelajar-pelajar Johor

Dari mana tempat pertama tiba, maka ke situlah ku kembali sebelum aku kembali kepadaNya yang hakiki, sebelum aku kembali ke Tanah Air memperjuangkan ISLAM supaya kembali tertegak di bumi Malaysia tercinta. Ajaran ISLAM yang sebenar berlandaskan Quran dan Sunnah sebagaimana ilmu yang ku perolehi di gedung ilmu, Universiti Al- Azhar Az-Syarif untuk disampaikan lantas memperbaiki kekurangan yang terpapar.

Imtihan, Muktamar

Tatkala menaip coretan ini, azan Asar pun berkumandang menandakan masuknya waktu solat Fardu Asar bagi wilayah sekitar Kaherah dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya. Tatkala itu jugalah semakin hampirnya penaipan ku untuk entri kali ini. Cumanya kemungkinan pada fatrah bulan ini dan bulan Mac ini aku akan disubukkan dengan Muktamar Sanawi PMRAM dan HEWI PMRAM bagi sesi yang lepas untuk kenaikan baru bagi sesi 2008. Aku telah dilantik menjadi pengarah bagi muktamar sanawi (mesyuarat agung) pada tahun ini.

Ku harapkan doa dari kalian semua semoga aku dapat menjalankan gerak kerja perjalanan muktamar pada kali ini berjalan dengan lancar seperti yang dirancang. Walaupun mungkin pada 12 Februari ini aku akan menghadapi imtihan syafawi khitobah (berceramah di khalayak ramai) sebagai praktikal kepada teori yang dipelajari. Semoga segala urusan dan perancangan berjaya dilaksanakan sesuai dengan perancangan ALLAH seiring dipermudahkanNya.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa