Video Klip Pilihan

Monday, August 11, 2008

|| Sejurus Hidayah Menerpa ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Tiada satu pun manusia di atas muka bumi ini yang tidak mengkehendaki hidayah supaya mampu menyinari setiap arca perjalanan hidupnya. Namun tiada siapa yang mampu untuk mendatangkannya dan menghalangnya untuk sampai kepada sesiapa yang dikehendaki Allah tanpa paksaan dari sesiapa.


Allah yang berkuasa atas tiap-tiap sesuatu dengan kehendaknya apabila DIA katakan jadi, maka jadilah. Apabila DIA menginginkan hambaNya itu mendapat kebaikan, maka beruntunglah mereka. Andai sebaliknya, itu juga dibawah bidang kuasaNya yang mentadbir segalanya.


Firman Allah SWT yang bermaksud : "Allah itu berkuasa untuk memberikan hidayah kepada sesiapa yang DIA kehendaki ke jalan yang lurus." Surah Al-Baqarah : ayat 142

Namun acapkali itu juga terkadang seseorang tidak mampu untuk merasakan samada hidayah iaitu petunjuk dari Allah itu telah sampai kepadanya atau belum. Manakan tidak, terkadang ada diantara manusia yang meskipun telah diberikan hidayah tentang sesuatu pengetahuan mengenai baik dan buruk sesuatu perkara akan tetapi masih hanyut dengan kemaksiatan itu. Satu tamparan untuk para penuntut ilmu Allah termasuk diri penulis terutamanya samada menjadi pengamal yang sebenar-benarnya atau atas nama sahaja.

Malam semalam seolah-olah pemangkin kepada kestabilan diri setiap mereka yang mendengar syarahan yang disampaikan oleh Syeikh Umar yang berasal dari Yaman merupakan antara penuntut ilmu dari Tanah Hadra Maut yang terkenal dengan kecintaan yang amat tinggi kepada Junjungan Besar Nabi SAW. Malahan ramai dikalangan ahli bait yang bersambung silsilah keturunannya kepada Baginda. Kupasan yang diberikan berkaitan dengan ilmu, iman dan amal disamping sorotan yang berkaitan dengan keagungan bulan-bulan mulia Rejab, Syaaban dan Ramadhan.

Antara pesanan yang disampaikan yang boleh dikongsikan bersama kalian supaya manfaat yang penulis perolehi mampu disebarluaskan untuk manfaat seluruhnya seperti berikut :
  • Barangsiapa yang tidak duduk mendengar atau bergelumang dengan majlis ilmu dalam masa 3 hari sesungguhnya dia akan jauh jauh dari sinar hidayah kerana ilmu adalah sumber kepada peningkatan iman dan amal seseorang.
  • Janganlah bersahabat dengan mereka yang tidak menjadi salah satu dari 3 golongan ini : 1) Duduk menghadiri majlis ilmu. 2) Suka duduk dan bergaul dengan alim ulama. 3) Suka mendengar majlis-majlis ilmu.
  • Jadikan Syaaban sebagai bulan latihan berpuasa, membaca Al-Quran dan mengkhatamkannya serta amalan-amalan sunat yang lain sebagai persediaan untuk menghadapi bulan Ramadhan yang bakal muncul tidak berapa lama lagi.
  • Perbanyakkan memuji dan berselawat kepada Rasulullah SAW untuk menambahkan kecintaan kepada Baginda lebih-lebih lagi dalam bulan Syaaban yang merupakan bulan kesukaan Rasulullah SAW.
  • Bukti kecintaan kepada Rasulullah SAW tidak cukup dengan hanya berdemonstrasi di atas kebiadaban golongan kuffar Nasrani dan Yahudi yang menghina Baginda. Akan tetapi melalui pengamalan terhadap segala yang ditinggalkan oleh Baginda SAW daripada perkataan, perbuatan, akhlak dan peribadi yang meliputi segenap penjuru kehidupan.
  • Sesungguhnya pemimpin adalah pemutus terhadap sesuatu hukum terhadap rakyatnya. Akan tetapi Ulama itu lebih tinggi dari pemimpin secara hakikatnya kerana beliau merupakan penasihat kepada pemimpin dalam melaksanakan sesuatu pelaksanaan hukum.
  • Bersatulah kalian semua wahai penuntut ilmu sekalian dan usahlah berpecah belah dengan mengutamakan kepentingan wilayah kenegerian masing-masing sahaja. Akan tetapi bersatulah untuk terus memartabatkan perjuangan Rasulullah SAW dalam menegakkan Islam.
Itu adalah sebahagian daripada mutiara-mutiara ilmu yang disampaikan oleh beliau melalui Majlis bacaan Burdah (alunan bait-bait syair memuji Rasulullah SAW) dan syarahan ringkas beliau sempena menyambut kedatangan 3 bulan yang agung dan mulia ini. Semoga perkongsian yang tidak seberapa ini mampu memberikan manfaat untuk kita bersama seterusnya disampaikan kepada saudara-saudara kita yang lain.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: